. Amoi Chantek Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Tuesday 8 April 2014

1.0       PENGENALAN
Dalam menguruskan bilik darjah, terdapat beberapa model pengurusan bilik darjah yang telah digunakan. Model-model ini berlandaskan aras kawalan yang berbeza, iaitu daripada kawalan luaran sehingga kawalan kendiri. Berikut merupakan model-model modifikasi tingkah laku yang telah dipelopori oleh ahli-ahli teoris dalam pengurusan bilik darjah iaitu menurut Chong Lean Keow (2011), antaranya ialah Model Modifikasi Tingkah Laku Skinner, Model Disiplin Asertif Canter, Model Akibat Logika Dreikurs, Model Terapi Realiti Glasser dan Model Pengurusan Kelompok Kounin.

2.0       MODEL PENGURUSAN DISIPLIN
2.1         Model Modifikasi Tingkah Laku Skinner
Dalam penulisan Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel (2009), menurut ahli behavioris, peneguhan adalah elemen yang sangat berkesan untuk mengajar tingkah laku baru yang wajar serta mengubah tingkah laku semasa yang kurang wajar. Model ini menekankan suatu pendekatan yang sistematik untuk mengubah tingkah laku melalui aplikasi prinsip-prinsip pelaziman yang berbentuk peneguhan positif dan peneguhan negatif. Untuk mendapatkan tingkah laku yang baik, ia boleh dimajukan dengan menggunakan peneguhan. Hasil penulisan James Ang Jit Eng (2014) menyebut, tingkah laku Skinner telah mengutarakan satu konsep yang dikenali sebagai satu peneguhan kontigensi iaitu hubungan antara tingkah laku dan kawalan tingkah laku secara berkesan. Dalam konteks bilik darjah, peneguhan positif diberikan kepada murid-murid yang melakukan tingkah laku yang diingini. Peneguhan positif ini boleh diberi dalam bentuk ganjaran material dan kata-kata pujian. Manakala, pengukuhan negatif pula adalah rangsangan yang ditarik balik supaya murid-murid menunjukkan tingkah laku yang diingini.
2.2         Model Disiplin Asertif Canter
Menurut Choong Lean Keow (2011), Model Disiplin Asertif telah dipelopori oleh Lee and Marlene Canter pada tahun 1976. Model ini melatih murid-murid untuk menerima konsekuen bagi tindakan mereka. Model ini mempunyai beberapa prinsip tersendiri, iaitu guru harus memberi pengukuhan pada tindakan yang wajar. Kedua, tanggungjawab merupakan nadi disiplin asertif dan guru harus bersifat asertif ketika mengawal kelas. Selain itu, guru juga haruslah merangka sistem ganjaran dan dendaan yang boleh dijadikan rujukan murid mengenai tingkah laku yang baik dan buruk. Dalam penulisan Choong Lean Keow (2011) menyatakan Canter juga memberi pandangan beliau terhadap guru asertif. Menurut beliau, guru asertif menggangap murid mereka sebagai pesalah. Dalam model ini, jika guru ingin mengawal kelas tersebut dan mengajar dengan berkesan, maka guru hendaklah sentiasa bersifat tegas. Perbuatan mereka ini mungkin memberi rasa tidak selesa kepada murid-murid di dalam kelas yang diajar oleh mereka tetapi masalah tingkah laku akan dapat diselesaikan. Berpandukan Model Disiplin Asertif Canter juga, guru berkuasa menetapkan peraturan bilik darjah bagi mengawal tingkah laku murid-murid.
2.3       Model Akibat Logikal Dreikurs
Menurut Griffiths (2014), dalam model ini sebenarnya menekankan kepentingan guru yang memberikan kepercayaan dan tanggungjawab kepada murid-murid untuk bersama-sama menjaga disiplin di dalam bilik darjah. Dalam model ini, guru perlu mengenalpasti punca salah laku. murid perlu dibimbing untuk memahami peraturan di dalam bilik darjah. Murid perlu dilatih untuk mendapatkan kawalan kendiri terhadap pengurusan disiplin bilik darjah dan bersama-sama memikul tanggungjawab dalam pengurusan disiplin bilik darjah agar amalan demokrasi perlu diaplikasikan.

Dalam model ini juga menyatakan tingkah laku yang bermasalah. Hal ini berpunca daripada motif-motif seperti mendapatkan perhatian, mencabar kuasa, membalas dendam dan mempamerkan kekurangan. Oleh hal demikian, dalam model ini mengkehendaki guru menggunakan komunikasi yang berkesan seperti berkomunikasi perkara yang positif, menggalakkan peningkatan murid mengenalpasti kelemahan murid, belajar daripada kesilapan, percaya akan kebolehan murid, bekerjasama, berasa bangga akan pencapaian murid, optimis dan memberi galakan dan motivasi kepada murid.
2.4       Model Pengurusan Kelompok Kounin 
Dalam model ini pula menekankan kepada pengawasan dan penyeliaan yang teliti guru dalam pengurusan bilik darjah. Dalam penulisan Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel (2009), sebenarnya guru perlu mempunyai withitness iaitu berupaya mengawal dan menyelia lebih daripada satu aktiviti bilik darjah dalam satu masa. Kebolehan guru melakuakan dua tindakan pada satu masa digelar pertindanan. Kesan gelombang (ripple effect) kesan daripada teguran atau tidakan guru terhadap seseorang murid yang melakukan salah laku. Kesan gelombang akan lebih efektif sekiranya guru membuat tindakan dengan jelas, tegas dan serius. Selain itu, guru perlu mengawasi persekitaran bilik darjah pada setiap masa. Kelancaran dan pelaksanaan aktiviti perlu untuk pengurusan bilik darjah yang baik. Guru seharusnya mengelakkan dari melakukan penerangan yang meleret, iaitu mengulang perkara-perkara yang tidak perlu dan melakukan fragmentasi. Fragmentasi berlaku apabila guru memecahkan unit-unit kecil sedangkan pelajaran itu dapat dijalankan secara menyeluruh. Momentum pengajaran yang baik pula akan membantu murid untuk bersedia melibatkan diri dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Momentum ini merujuk kepada keadaan di mana guru memulakan pengajaran dengan lancar, melakukan peralihan antara aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan cekap dan membuat penutup dengan menyimpulkan pengajaran pada hari itu dengan berkesan.
2.5       Model Terapi Realiti Oleh William Glasser
Menurut Ang Jit Eng (2007), asas utama kepada model ini ialah setiap tingkah laku yang ditunjukkan oleh individu berasaskan pilihan yang dibuat. Pilihan yang dibuat oleh individu ini berdasarkan keperluan-keperluan asas mereka. Menurut Glasser juga, masalah tingkah laku di dalam bilik darjah berlaku akibat daripada murid-murid bosan atau tidak puas hati dengan jangkaan guru di dalam bilik darjah, keadan persekitaran juga yang menyebabkan murid gagal memenuhi keperluan asas mereka di sekolah. Jadi, keperluan-keperluan asas perlu untuk mengatasi masalah ini seperti kasih sayang, mempunyai kuasa dan kawalan, kebebasan dan keseronokan.

Selain itu, hasil penulisan Ang Jit Eng (2007) juga, model terapi realiti juga merupakan satu teknik kaunseling untuk membantu individu meneroka kemahuan diri, membuat refleksi tentang apa yang sedang dilakukan dan membuat perancangan tent;ang kehendak sebenar mereka pada masa akan datang. Melalui terapi realiti, guru dapat membantu murid kenal pasti akibat tingkah laku yang ditunjukkan, memastikan akibat realiti atau dipilih oleh murid itu sendiri, mengemukakan pelan perancangan untuk membantu murid mengurus tingkah laku dan bertindak sebagai pembimbing murid. Justeru, terapi realiti ini dapat membantu murid mengenal realiti kehidupan dalam memenuhi keperluan mereka mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
3.0       ANALISIS KES MAINTAINING CLASSROOM DISCIPLINE
Dalam video maintaining classroom discipline menunjukkan Encik Grimes iaitu seorang guru sedang mengajar sekumpulan pelajar di dalam kelas. Encik Grimes mempunyai masalah dalam mengawal kelasnya kerana para pelajarnya sering melakukan masalah dan memaksa beliau tegas dalam membuat keputusan. Dalam video ini juga menunjukkan dua situasi di mana dalam situasi pertama Encik Grimes telah menggunakan kaedah yang kurang sesuai dalam mengenakan hukuman kepada para pelajarnya apabila pelajarnya membuat kesalahan disipilin. Dalam situasi kedua pula menunjukkan Encik Grimes telah menggunakkan kaedah yang betul dalam memberi respon terhadap kesalahan para pelajarnya dan para pelajar Encik Grimes telah menunjukkan minat terhadapat pengajaran Encik Grimes.

Selain itu, terdapat pelbagai masalah yang telah dilakukan oleh pelajar Encik Grimes. Antara kesalahan-kesalahan yang dibuat oleh pelajar Encik Grimes ialah salah seorang pelajar mengajuk percakapan Encik Grimes apabila beliau meninggalkan kelas kerana urusan tertentu, pelajar-pelajar lain ketawa melihat rakan yang dikenakan hukuman oleh Encik Grimes, pelajar menjatuhkan buku semasa Encik Grimes menulis sesuatu di papan tulis, membuat bunyi bising (bunyi hidung) menyebabkan pengajaran dan pembelajaran Encik Grimes terganggu dan sebagainya. Dalam video ini Encik Grimes telah memberikan hukuman kepada para pelajarnya yang telah melakukan kesalahan seperti mengenakan kelas tahanan, mengarahkan beberapa pelajarnya meninggalkan kelas dan sebagainya. Jadi, dalam perbincangan tugasan ini sebenarnya memfokuskan strategi-strategi penyelesaian masalah disiplin dengan berpandukan model-model pengurusan disiplin.
3.1       Situasi Kes Pertama
Dalam situasi pertama berpandukan video tersebut, Encik Grimes telah menggunakan kaedah penyelesaian masalah disiplin yang kurang baik terhadap para pelajarnya. Hal ini telah menimbulkan perasaan yang kurang selesa dalam diri setiap pelajar. Dalam video tersebut juga telah menunjukkan beberapa situasi berkaitan dengan pelajar di mana mereka melakukan kesalahan dan dikenakan hukuman oleh Encik Grimes.
Kesalahan yang pertama yang telah dilakukan oleh salah seorang pelajar Encik Grimes ialah mengajuk percakapan Encik Grimes di dalam kelas semasa Encik Grimes meninggalkan kelas kerana urusan tertentu dan seorang pelajar lain telah membaling objek kepada pelajar yang telah mengajuk tadi. Apabila pelajar tersebut mengajuk percakapan Encik Grimes dan membalas balingan objek terhadap rakannya, dalam masa yang sama Encik Grimes telah kembali ke kelas. Pelajar yang mengajuk tadi terpaku melihat Encik Grimes di depan pintu dan Encik Grimes telah mengenakan hukuman terhadap pelajar tersebut dengan mengarahkan agar pelajar itu keluar dari kelasnya.  Apabila Encik Grimes mengenakan hukuman terhadap pelajar itu tadi, sebenarnya Encik Grimes telah melakukan satu kesilapan. Berpandukan hukuman yang diberikan, Encik Grimes telah melepaskan anak didiknya keluar dari kelas dan berkemungkinan pelajar tersebut terdedah dengan bahaya tanpa pantauan daripada Encik Grimes. Merujuk kepada teori Model Disiplin Asertif Canter, sebenarnya, model ini dapat melatih murid-murid untuk menerima konsekuen bagi tindakan mereka. Dalam situasi ini, Encik Grimes telah meletakkan dirinya sebagai seorang guru yang asertif dan telah menggunakan model ini sebagai medium untuk menghukum pelajar tersebut. Akan tetapi, hukuman yang dikenakan oleh Encik Grimes sebenarnya tidak bersesuaian kerana hukuman tersebut terlalu mendedahkan keselamatan para pelajarnya kepada bahaya. 

Kesalahan yang kedua pula, para pelajar Encik Grimes telah mengetawakan rakan mereka yang di arahkan keluar kelas tadi. Melihat kepada perkara tersebut, Encik Grimes telah mengenakan hukuman kelas tahanan. Melihat kepada perkara tersebut, hal ini telah menimbulkan ketidakselesaan pelajar dalam kelas tersebut terlalu memikirkan hendak pulang. Tambahan pula, para pelajar ada aktiviti lain yang terpaksa dibatalkan akibat daripada kelas tahanan tersebut. Merujuk kepada tindakan Encik Grimes ini, beliau telah menggunakan Model Modifikasi Tingkah Laku Skinner di mana Encik Grimes telah mengenakan peneguhan negatif. Peneguhan negatif yang di gunakan oleh Encik Grimes dalam situasi ini ialah beliau telah menarik balik kelebihan menamatkan kelas daripada murid-muridnya. Hal ini sebenarnya tidak bersesuaian kerana ia telah mengganggu mental dan emosi pelajar untuk belajar dan menyebabkan suasana di dalam menjadi tidak kondusif lagi.

Kesalahan yang seterusnya ialah segelintir pelajar telah membuat bising (bunyi hingusan hidung dan sengaja menjatuhkan buku) di dalam kelas. Hal ini menyebabkan pengajaran dan pembelajaran kelas terganggu. Sebenarnya, pelajar yang melakukan kesalahan ini mempunyai motifnya yang tersendiri di mana pelajar tersebut ingin mencabar kuasa guru, menarik perhatian dan sebagainya. Hal ini telah dibincangkan dalam Model Akibat Logikal Dreikurs. Dalam model ini menyatakan mengkehendaki guru menggunakan komunikasi yang berkesan namun Encik Grimes telah menyalahgunakan dengan peneguran yang kurang baik dan efektif.
3.2       Situasi Kes Kedua
Dalam situasi kedua ini sebenarnya menyatakan apa langkah yang sepatutnya dilakukan oleh Encik Grimes. Berpandukan video tersebut, masalah yang pertama dilakukan oleh pelajar tadi iaitu mengajuk dan membalas balingan rakan pelajar itu tadi. Masalah ini sebenarnya dapat diselesaikan dengan berpandukan Model Akibat Logikal Dreikurs iaitu melalui teguran yang positif (komunikasi yang berkesan). Melalui teguran yang positif ini, ia dapat membantu pelajar tersebut untuk berfikir dan menjatuhkan hukum terhadap kesalahan yang dilakukannya tadi sama ada wajar ataupun tidak.

            Dalam situasi kedua ini juga menunjukkan Encik Grimes telah memberi peneguhan yang positif yang berbentuk kata-kata pujian. Hal ini ditunjukkan semasa Encik Grimes memberi keterangan tentang pengajaran pada hari itu dan memberikan latihan kepada para pelajarnya. Encik Grimes telah memuji para pelajarnya yang melakukan kerja yang baik dan menjawab soalan dengan betul. Tindakan ataupun penyelesaian yang telah dibuat oleh Encik Grimes ini sebenarnya menggunakan Model Modifikasi Tingkah Laku Skinner iaitu peneguhan positif diberikan kepada murid-murid yang melakukan tingkah laku yang diingini.

Situasi yang terakhir ialah Encik Grimes telah menggunakan Model Modifikasi Tingkah Laku Skinner juga apabila beliau telah menegur dengan berkesan apabila segelintir pelajarnya telah membaling objek kepada rakannya. Encik Grimes telah menegur pelajar tersebut dengan nada yang baik dan menggunakan bahasa yang sesuai untuk menegur pelajarnya.
4.0       RUMUSAN
Sebagai rumusan, sebenarnya model-model pengurusan disiplin ini sebenarnya banyak membantu para guru dalam pengajaran dan pembelajaran. Dalam konteks Malaysia, menurut menurut Chong Lean Keow (2011), melalui pemerhatian yang dibuat, kebanyakkan guru telah menggunakan model-model ini sebagai panduan dalam menangani masalah disiplin di Malaysia. Contohnya dalam Model Modifikasi Tingkah Laku Skinner kebanyakkan guru telah menggunakan model ini dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Peneguhan positif dan negatif perlu diketengahkan kerana dengan ini dapat menarik pelajar tentang pengajaran hari tersebut.

            Namun demikian, setiap model tersebut mempunyai kebaikan dan keburukannya tersendiri. Ia bergantung kepada pelbagai aspek dan situasi yang dihadapi oleh guru itu sendiri. Tidak semua model tersebut sesuai digunakan dalam kelas kerana jika berlaku kesilapan dalam menggunakan model ini dikhuatiri akan mewujudkan respon yang tidak baik daripada pelajar seperti mengantuk, bosan, bising di dalam kelas dan sebagainya. Jadi, dalam kes ini, guru seharuslah bijak menarik perhatian pelajar dengan berlandaskan teori yang betul dan tepat digunakan.

            Jadi, di sini kita dapat simpulkan bahawa dalam konteks Malaysia ini, model-model ini sesuai untuk digunapakai, namun keutamaannya adalah kesesuaian dalam memilih jenis model tersebut. Guru seharuslah menggunakan model ini dengan sebaik mungkin dan melihat daripada pelbagai aspek dalam pemilihan penggunaan model ini iaitu Model Modifikasi Tingkah Laku Skinner, Model Disiplin Asertif Canter, Model Akibat Logika Dreikurs, Model Terapi Realiti Glasser dan Model Pengurusan Kelompok Kounin. Langkah penyelesaian disiplin untuk setiap model ini adalah berbeza tetapi berfokuskan satu matlamat iaitu membantu guru mencapai apa yang diingini iaitu objektif setiap pengajaran dan pembelajaran.


           

No comments:

Post a Comment