. Amoi Chantek: sistem politik di Sabah dan Sarawak Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Tuesday 1 April 2014

sistem politik di Sabah dan Sarawak

PENGENALAN:
            Pengkajian akan sistem politik di Sabah dan Sarawak amat menarik sekali. Kedudukan kedua-dua buah negeri ini berada pada kepulauan Borneo[1]. Sebelum tahun 1860-an, Negeri Sabah berada dibawah penguasaan Kesultanan Brunei di bahagian barat Sabah dan penguasaan Kesultanan Sulu di bahgian utara dan timur Sabah. Kedatangan Kompeni Berpiagam Utara British pada tahun 1881 telah membawa kepada peralihan kuasa dimana kompeni ini telah mengambil alih pentadbiran Sabah sehingga kedatangan tentera Jepun[2]. Namun,  era pendudukan Jepun tidak begitu lama di Sabah  iaitu dari tahun 1942-1945. Selepas pentadbiran Jepun menyerah kalah kepada pihak British, sekali lagi pihak British mengambil alih petadbiran di Negeri Sabah sehingga tahun 1946. Sama juga dengan sejarah negeri Sarawak. Negeri sarawak pada awalnya dikuasai oleh Kesultanan Brunei. Namun setelah kedatangan James Brooke pada tahun 1841, pemerintahan Sarawak diambil alih oleh Dinasti Brooke sampailah kepada pendudukan Jepun pada tahun 1942-1945. selepas pendudukan jepun berakhir di negeri Sarawak, Vyner Brooke iaitu peneraju pentadbiran sarawak pada masa itu telah menyerahkan Sarawak kepada pihak british atas sebab-sebab tertentu. Setelah peralihan kuasa ini berlaku, Sarawak mengalami perubahan baik dari aspek politik mahupun aspek sosial[3].
            Selepas perang dunia ke-2, Sabah dan Sarawak masih ketinggalan dalam bidang ekonomi dan politik berbanding dengan Tanah Melayu. Hal ini sedemikian, pihak Tanah Jajahan British hanya menumpukan kepada aspek kestabilan pentadbiran mereka keatas negeri-negeri tersebut. Jika diselidiki, diantara kedua-dua buah negeri ini, sarawak lebih maju berbanding dengan Sabah. Semasa penguasaan Dinasti Brooke, Sarawak telah mempunyai Perlembagaan yang tersendiri. Perlembagaan ini mula diperkenalkan pada tahun 1941 yang dikelani sebagai Pelembagaan Brooke[4]. Dibawah perlembagaan ini, ianya mempunyai kuasa dan peruntukan untuk penubuhan Majlis Tertinggi yang mana angotanya terdiri daripada 5 orang. Bagi negeri sabah, langsung tiada perlembagaan di bawah pentadbiran Chartered Company. Syarikat itu lebih mengutamakan kepentingan-kepentingan dan anak-anak negeri tidak diberi peluang dalam pemerintahan. Walaupun satu majlis perundangan telah ditubuhkan pada 1912 yang terdiri daripada 7 orang ahli rasmi dan 4 ahli tidak rasmi, namun tidak ada seorangpun Bumiputera yang menjadi ahli.[5] Dan sebab itulah perkembangan politik Negeri Sabah jauh lebih mundur dari Sarawak.

TAHAP KESEDARAN POLITIK DI SABAH DAN SARAWAK SEBELUM TAHUN 1963:
NEGERI SABAH:
            Jika dikaji dan diselidiki, tahap kesedaran politik masyarakat Sabah agak ketinggalan berbanding negeri Sarawak. Namun begitu, bagi saya, tidak semua masyarakat sabah pada masa itu tidak mengetahui akan kesdaran berpolitik, tetapi ianya tidak serancak denga negeri-negeri lain yang ada di Semenanjung Tanah Melayu. Ini diakui oleh Sabihah Osman, sebelum perang dunia ke-2, tidak ada sebarang pertubuhan politik di sabah yang bergerakdan mengerakkan kegiatan mereka dalam bidang politik, tetapi tidak bermakna kesedaran politik dalam kalangan penduduk juga tidak wujud. Sebenarnya, ramai tokoh-tokoh politik Bumiputera yang telah sedar  dan bergiat dala organisasi yang bercorak persuratan dan kebudayaan.[6] Hal ini dapat dibuktikan dengan kewujudan Persatuan Persaudaraan Sahabat Pena Malaya ( PASPAM) dan kegiatanya dilaporkan di Jesselton, Tawau dan Labuan sekitar tahun 1939[7]. Sebenarnya, pertubuhan persatuan ini adalah bertujuan untuk  menjaga kepentingan dan menyatukan penduduk Bumiputera Muslim di sabah serta memupuk kesedaran di kalangan mereka dalam menghadapi cabaran daripada pihak penjajah Brtish di sabah.
            Menjelang awal 40-an, beberapa pertubuhan yang bersifat persatuan yang bersifat Islam muncul di Sabah. Diantara persatuan-persatuan tersebut adalah Pesatuan Barisan Pemuda( BARIP) yang ditubuhkan pada tahun 1946 di Labuan dan Jesselton, Parti Kebangsaan Melayu (PKM) pada 16 Julai 1946 di Labuan , serta Khairiat Jumaat Muslimin (KJM) pada tahun 1950 di Jesselton[8]. Kewujudan persatuan-persatuan ini adalah bertujuan untuk menyatukan anak-anak negeri Sabah dan berkejasama dalam memperbaiki keadaan Politik, Ekonomi, dan Sosial masyarakat Bumiputera Sabah secara keseluruhan. Namun begitu, di negeri Sabah juda pada masa ini terdapat persatuan yang bercorak kebudayaan dan perkauman yang sama dan salah satunya adalah petubuhan orang Kadazan. Pertubuhan ini dikenali sebagai Kadazan Cultural Association dan ianya ditubuhkan di kawasan Penampang yang mana bertujuan untuk menjaga kepentingan orang Kadazan terutama dari segi sosial, pelajaran dan juga kebudayaan.[9] Jelas sekali menunjukkan bahawa pertubuhan-pertubuhan yang wujud disabah sebelum tahun 1961 hanyalah bercorak untuk menjaga kepentingan sosial, budaya dan agama komuniti yang diwakilinya.
            Walaupun telah ada kesedaran politik masyarakat pada masa itu, tetapi perjuangan pertubuhan-pertubuhan tersebut terhadap isu-isu politik di Sabah masih tiada. Mereka pada masa itu hanyalah berjuang untuk kepentingan tersendiri dan masih kurang perhatian terhadap perkembangan Sabah dan selepas pengumuman Gagasan Malaysia yang telah di buat oleh Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj pada 27 Mei 1961, barulah nampak bibit politik di Sabah yang memperjuangkan hak dan kepentingan negeri Sabah[10]. Munculah Parti politik United National Kadazan Organization (UNKO) pada 27 Mac 1961, kemudian parti United Sabah National Organization (USNO) pada 23 Disember 1961, diikuti dengan penubuhan parti United National Pasok Momogum Organization (PASOK MOMOGUN pada tahun 1962, North Borneo Democratic Party (NBDP) pada Februari 1962 dan North Borneo Indian Congress (NBIC) pada 14 Oktober 1962[11]. Kemunculan parti-parti politik ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor dan faktor-faktornya akan dibincangkan pada perenggang yang seterusnya.

NEGERI SARAWAK:
            Ditinjau pula keadaan ataupun tahap kesedaran politik masyarakat Sarawak sebelum tahun 1963, rata-rata masyarakat Sarawak pada masa ini telah mengalami tahap kesedaran politik yang mana mereka mula bangkit untuk mendapatkan pemerintahan yang sendiri. Umumnya, Negeri Sarawak telah mengalami tahap kesedaran politik sejak dari tahun 1900 lagi. Ini dapatdilihat dengan penubuhan Fajar Sawarak pada 1 Februari 1930 yang mana ianya telah diketuai oleh Mohammad Rakawi Yusuf[12]. Gerakan kesedaran ini berusaha membangkitkan semanggat orang melayu tetang pemerintahan James Brooke yang berusaha untuk meluaskan pengaruhnya serta menyeru para pemimpn melayu agar memperjuangkan hak dan nasib kaum melayu dan bukanya berpuashati dengan kemewahan mereka. Golongan ini juga menyedarkan masyarakat melayu agar bersatu dalam menghadapi musuh dan ancaman kemajuan oleh bangsa asing serta menkrintik ekonomi di Sarawak hanya menguntungkan kerajaan Eropah orang Cina sahaja. Pada tahun 1939, rentetan daripada idea yang telah dibuat oleh pertubuhan Fajar Sarawak, ianya telah menjadi perangsang kepada penduduk Melayu dan Bumiputera Sarawak untuk menubuhkan Persatuan Melayu Sarawak yang mana kemudianya telah ditukar kepada Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak.
            Menjelang pada tahun 1946, pertubuhan ini telah terlibat dan turut serta dalam gerakan Anti-Penyerahan Sarawak. Dikatakan, sekitar tahun 1946 sehingga 1947, sebanyak 57 pertubuhan gerakan kesedaran telah muncul di Sarawak. Antaranya, Barisan Pemuda Sarawak (BPS), Pergerakan Pemuda Melayu ( PPM), Persatuan Bumiputera Sarawak (PBS), Sulam Mas Seri, Kesetiaan Kelab Dalat dan lain-lain[13]. Kesemua pertubuhan ini muncul adalah disebabkan untuk menentang penyerahan Sarawak kepada pihak British yang mana rata-rata masyarakat penduduk merasakan jika Sarawak diserahkan kepada British, hak mereka sebagai peribumi akan terhakis dan kebebasan untuk mencapai kemerdekaan akan hilang.
            Namun selepas gerakan Anti-Penyerahan selesai, kerajaan british mula sedar bahawa telah muncul kesedaran dalam diri masyarakat Sarawak untuk terlibat dalam kegiatan politik kerajaan sarawak dan dengan ini, pihak british mula mengambil langkah untuk memberikan taraf berkerjaan sendiri kepada masyarakat Sarawak dan menjajikan kemerdekaan kepada mereka selepas itu. Pilihan Raya peringkat Tempatan telah diadakan pada 4 November 1956 bagi Kuching Municipal Council (KMC) dan seterusnya pilihan raya ke dua diadakan pada tahun berikutnya di Sibu Urban District Council (SUDC). Seterusnya Pilihan Raya Umum Pertama diadakan pada tahun 1959 secara tiga peringkat. Ianya dimulakan Dengan Pilihan Raya Majlis Daerah dan seterusnya Majlis Daerah mengadakan pemilihan wakil ke Majlis Penasihat Bahagian dan akhirnya ke Majlis Negeri[14]. Daripada pilihan raya inilah telah muncul parti politik yang mana penubuhanya dimulakan dengan Sarawak United People’s Party( SUPP) pada 12 Jun 1959 diikuti dengan penubuhan Parti Negara Sarawak (PANAS) pada 9 April 1960. Seterusnya pada 10 April 1961 telah muncul Sarawak National Party (SNAP), Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA) pada 2 Januari 1962, sarawak chinese association(SCA) pada tahun Julai 1962 serta Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) yang ditubuhkan pada Ogos 1962. Tahap kesedaran politik masyarakat Sarawak lebih jelas berbanding dengan masyarakat di Sabah. Walaupun telah muncul parti pada tahun 1959, sarawak lebih menyedari bahawa tidak selamanya negeri mereka ingin diperintah oleh bangsa asing, maka dengan pengenalan Gagasan Malaysia Mei 1961 telah menghangatkan lagi kemunculan parti-parti politik disarawak[15]. Dan pembentukan parti-parti tersebut mempunyai sifat dan faktor yang tersendiri yang mana akan diperjelaskan dengan lebih terperinci pada perengang yang seterusnya nanti.





FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KEMUNCULAN PARTI-PARTI POLITIK DI SABAH DAN SARAWAK ANTARA TAHUN 1959-1963.

1) PENUBUHAN GAGASAN MALAYSIA:
Negeri Sabah :
            Gagasan Malaysia telah dikemukakan oleh Tunku Abdul Rahman dalam persindangan dengan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Sigapura. Didalam ucapannya yang berbunyi, “Lambat laun Tanah Melayu harus bersefahaman dengan Britain dan rakyat-rakyat Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak. Adalah terlalu awal untuk saya menyebut untuk cara persefahaman itu dapat dicapai, namun kita perlu mencapai objektif ini dan memikirkan satu rancangan supaya wilayah-wilayah ini dapat dibawa kepada satu kerjasama politik dan ekonomi yang rapat”[16]. Dengan usul yang dikeluarkan oleh Tunku telah membangkitkan kesedaran berpolitik dikalangan pemimpin Sabah dan memberi rangsangan kepada mereka untuk menubuhkan parti-parti politik yang formal dalam proses kearah kemerdekaan negeri Sabah. Jika dikaji, kemunculan kepada parti-parti politik adalah disebabkan oleh rasa bimbang para penduduk tempatan akan pembentukan gagasan tersebut. Kebimbangan penduduk Sabah adalah kerana jika sabah dimasukkan kedalam Tanah Melayu, keistemewaan mereka sebagai penduduk peribumi akan hilang dan malah penguasaan mereka dalam ekonomi juga akan terhakis
            Pada masa ini, parti politik yang pertama muncul di Sabah adalah United National Kadazan Organization (UNKO) yang dipengerusikan oleh Donald Stephens[17]. Parti ini ditubuhkan pada 26 Mac 1961 yang mana ianya bertujuan untuk menyatukan dan memperkuatkan hubungan di antara orang Kadazan Dusun bagi memperjuangkan cita-cita dalam Politik, Ekonomi dan Sosial di Sabah. Pada awalnya, parti ini tidak menyokong petubuhan Gagasan Malaysia. Bagi mereka, jika sabah dimasukkan kedalam Persekutuan Tanah Melayu, hak penduduk peribumi Kadazan di Sabah akan hilang dan terhakis. Melihat kepada kemunculan parti UNKO[18] ini, para pemimpin Islam di Sabah mula melihat ini satu bentuk pertubuhan yang bakal menjejaskan mereka dan Agama Islam. Maka dengan ini, mereka mula mencari jalan untuk menubuhkan parti politik mereka sendiri. pada 23 Disember 1961,  United Sabah National Organization (USNO) ditubuhkan. Parti ini dipimpin oleh Datu Mustapha Bin Datu Harun. Penubuhan parti ini lahir daripada rasa kesedaran Komuniti Melayu yang menganuti Agama Islam di Sabah terhadap penubuhan parti UNKO. Mereka mahukan kermerdekaan Sabah. Oleh itu, mereka menyokong Penubuhan Malaysia, maka hak komuniti masyrakat Melayu akan terjamin.
            Melihat kepada penubuhan parti-parti tersebut, Komuniti Orang Cina di Sabah mula merasa bimbang akan hak ekonomi mereka di Sabah akan terhakis jika sekiranya Sabah dimasukkan kedalam Persekutuan Tanah Melayu. Maka dengan ini, merek bertindak untuk menubuhkan parti mereka sendiri yang dikenali sebagai North Borneo Democratic Party(NBDP). Parti ini dibentuk di Kota Kinabalu yang dipimpin oleh Peter Chin dan United Party(UP) di Sandakan pada Februari 1962 yang di ketuai oleh Khoo Siak Chiew[19].
            Jika diteliti, penubuhan malaysia pada awalnya tidaklah mendapat sokongan yang menyeluruh daripada semua parti yang ada di Sabah pada masa ini. Terdapat beberapa parti politik di Sabah yang muncul dan tidak menyokong akan Gagasan tersebut. Hal ini dapat dilihat dengan parti UNKO. Pada awalnya, mereka tidak setuju dengan pembentukan gagasan tersebut. Namun, setelah meneliti penyertaan parti-parti lain yang ada di Sabah pada masa itu seperti Parti North Borneo Indian Congress (NBIC) 1963,  NBDP, dan USNO yang membentuk Parti Perikatan Sabah, akhirnya parti UNKO bersetuju untuk menyertai Gagasan Malaysia dan Perikatan Sabah dengan sebab-sebap yang tertentu.

Negeri Sarawak:
            Sebelum pengenalan kepada Gagasan Malaysia, Negeri Sarawak telah pun ada 3 buah parti politik yang sah. Diantara Parti-Parti ini adalah seperti SUPP,PANAS dan SNAP. Melihat kepada pengumuman yang telah dibuat oleh Tunku mengenai pembentukan Gagasan Malaysia, muncul lagi 3 buah parti politik di Sarawak. Kewujudan parti ini adalah respon kepada kesedaran masyarakat Sarawak bahawa pentingnya ada sebuah parti politik agar mereka tidak lagi terus ketinggalan dalam arus politik di Sarawak. Maka dengan ini, muncul parti BARJASA, SCA dan PESAKA.
            Kajian akan penerimaan Negeri Sarawak akan kemasukannya kedalam Malaysia mula mendapat reaksi yang berbeza dari setiap parti yang muncul pada masa itu. Tentangan dan reaksi masyarakat sarawak akan pembentukan Malaysia ini dapat dilihat dari parti SUPP. Sememangnya diketahui bahawa SUPP telah ditubuhkan pada tahun 1959 iaitu sebelum pengenalan Gagasan Malaysia. Jadi mereka menentang penubuhan malaysia kerana bagi mereka, Penubuhan Malaysia adalah satu bentuk pemindahan kuasa politik daripada tangan pihak British kepada satu bentuk entiti lain, bukanya kepada penduduk negeri Sarawak sendiri[20].  Begitu juga dengan parti SNAP yang diketuai oleh  Stephen Kalong Ningkan menyatakan ketidaksetujuan mereka akan pembentukan ini. Hal ini kerana, mereka menyatakan bahawa “Sarawak tidak memerlukan orang luar atau kerajaan luar campur tangan dalam mencapai kemerdekaan Sarawak”. Namun sebaliknya yang berlaku dengan parti PANAS yang menyatakan bahawa jika sekiranya negeri Sarawak memasuki Tanah Melayu, Sarawak akan mendapat kemerdekaan dengan aman dan selamat.
            Walaupun penubuhan Gagasan Malaysia ini mendapat reaksi yang pelbagai  dari semua parti yang muncul pada masa itu, namun akhirnya mereka bersetuju dengan penubuhan Gagasan tersebut di atas sebab tertentu seperti hak kewarganegaraan, ekonomi dan status sosial yang sama dengan Tanah Melayu. Namun yang sedemikian, SUPP masih terus menentang penubuhan Gagasan tersebut. Akhirnya, melihat kepada pengaruh SUPP yang mendapat pengaruh yang ramai dari Orang Cina, kata sepakat telah diambil dimana setiap parti-parti yang mewakili komuniti kaum di Sarawak pada masa itu bersetuju untuk bekerjasama dalam menangani penentangan parti SUPP. Mereka telah bergabung dan membentuk Sarawak Alliance Party (SAP[21]). Antara parti yang dalam SAP adalah parti PANAS, BARJASA,SNAP, PESAKA dan SCA. Pada hakikatnya, walaupun kesemua parti-parti yang mewakili komuniti kaum masing-masing bergabung, namun kesemuanya masih tidak lagi bersatu dan mereka hanya mencapai persetujuan dalam soal Malaysia serta bagi mendapatkan kemerdekaan negeri Sarawak melalui Malaysia serta ingin memecahbelahkan dominasi parti SUPP dalam parti politik Sarawak.
            Jadi, dengan ini pengenalan gagasan malaysia ini, kesedaran politik masyarakat Sarawak mula timbul. Rata-rata kaum yang di negeri Sarawak mula melihat bahawa perlunya mereka bangkit dan memperjuangkan hak mereka sebagai masyarakat Peribumi Sarawak dalam soal kemerdekaan Sarawak, komuniti mereka serta hala tuju masa depan kaum mereka.

2) SEMANGGAT PERKAUMAN:
Negeri Sabah:
            Sememangnya diketahui bahawa Negeri Sabah mempunyai masyarakat yang berlainan kaum, bangsa dan agama. Maka dengan ini, tidah hairanlah jika kalau saya katakan bahawa faktor yang membawa kepada penubuhan setiap parti politik di Sabah pada masa ini adalah bersifat perkauman. Setiap masyarakat Sabah mempunyai niat dan tujuan masing-masing dalam menubuhkan sesuatu parti politik. Bagi suku kaum kadazan, mereka telah menubuhkan parti mereka sendiri iaitu UNKO yang bertujuan untuk menjaga kepentingan kaum mereka sahaja. Hal ini telah menyebabkan rasa kebimbangan dalam kalangan penduduk Bumiputera Islam di Sabah. Kaum bumiputera telah menubuhkan parti politik mereka sendiri iaitu United Sabah National Organization (USNO). Penubuhan parti ini bertujuan untuk menjaga kepentingan Melayu Muslim di Sabah dan bekerja untuk berkerajaan sendiri serta kemerdekaan Sabah melalui Malaysia.
            Melihat kepada keadaan ini, kaum Murut di Sabah bimbang bahawa kemungkinan mereka akan ketinggalan dalam arus perubahan yang pesat di Sabah berbandin dengan orang kadazan dan melayu muslim.Hal yang demikian menyebabkan, G.S Sundang keluar dari UNKO dan menubuhkan United National Pasok Momogun Organization (Pasok Momogun) pada 4 Jan. 1962 bersama dengan Orang Kaya-Kaya Sedomon[22]. Parti ini bertujuan untuk melindungi hak kaum Bumiputera di kawasan pedalaman dan mendapat sokongan daripada segelintir orang cina yang bimbang tentang kedudukan ekonomi mereka apabila Sabah menyertai malaysia nanti.
            Memandangkan setiap kaum pada masa itu telah menubuhkan parti masing-masing, komuniti India juga telah menubuhkan sebuah parti mereka sendiri bagi mengelakkan kaum mereka dari diabaikan dalam arus politik di Sabah. Pada tahun 1962, North Borneo Indian Congress (NBIC)[23] telah berjaya ditubuhkan yang mana Presiden awalnya adalah Kehar Singh. Penubuhan parti politik ini hasil daripada mesyuarat yang diadakan di Batu Tiga, Kota Kinabalu. Oleh yang sedemikian mereka masing-masing bersaing dan berikhtiar untuk menubuhkan parti mereka sendiri bagi menjaga kaum dan komuniti masing. Dengan kata lain, penubuhan parti-parti politik  di Sabah bercorak Etnik dan Perkauman.

Negeri Sarawak:
            Begitu juga dengan negeri sarawak, semanggat kesedaran berpolitik dalam kalangan masyarakat Sarawak pada masa itu masih lagi bersifat perkauman. Bagi mereka, sudah menjdai kewajipan bagi sesebuah kaum mempunyai sebuah parti politik yang sah bagi menjamin keuntuhan sesuatu kaum mereka. Melihat kepada persepsei sedemikian, setiap parti politik yang muncul diSarawak pada masa itu lebih condong kepada hak mereka sendiri dan langsung tiada pakatan yang sama bagi menuju kepada misi permuafaktan melainkan selepas daripada pengenalan Gagasan Malaysia. Hal yang sedemikian telah menarik minat semua kaum dan masyarakat diSarawak untuk menubuhkan parti-parti politik mereka daripada terus ketinggalan dari belakan kaum yang ada pada masa itu.
            Ini dapat dilihat dengan penubuhan Sarawak United People’s Party (SUPP) pada 12 Jun 1959. Penubuhan parti ini diketuai oleh Ong Kee Hui dengan 3 orang Timbalan Pengerusi, iaitu Jonathan Bangau Anak Renang, Francis Umpi Rantai dan Wan Abdul Rahman, manakala Stephen Yong sebagai Setiausahanya[24]. Motif penubuhan parti ini adalah bertujuan untuk menyatukan seluruh penduduk Sarawak bagi mewujudkan suasana harmoni supaya dapat membentuk satu unit politik yang besar dan kukuh. Hakikat yang sebenarnya dalam parti ini dikuasai oleh Orang Cina. Melihat kepada keadaan ini, masyarakat Melayu mula risau dan bimbang jika sekiranya Orang Cina menguasai ekonomi Sarawak, masyarakat Melayu Sarawak akan terus di ketinggalan dibelakang Orang Cina. Menjelang April 1960 Parti Negara Sarawak (PANAS) ditubuhkan[25]. Penubuhan parti ini dibuat oleh Kaum Melayu di Sarawak adalah bertujuan untuk menyatukan semua kaum di Sarawak tanpa membezakan keturunan, warna kulit, agama dan kepercayaan. Dengan kata lain parti ini berkonsepkan perpaduan semua kaum di Sarawak.
            Sememangnya diakui bahawa setiap kaum di Sarawak pada masa sebelum dan selepas Gagasan Malaysia diperkenalkan, masing-masing kaum di Sarawak telah mempunyai 2 buah parti politik yang sah. Dari satu sudut, timbul persoalan akan “sebab kenapa kaum atau masyarakat di Sarawak pada masa itu mempunyai 2 buah parti?. Hal ini dapat dilihat dimana bagi kaum cina, walaupun telah ada parti SUPP, namun muncul lagi sebuah parti baru yang dikenali sebagai Sarawak Chinese Association (SCA). Kemunculan parti ini adalah disebabkan ketidakhaluan mereka terhadap SUPP yang mana mereka mahukan negeri Sarawak mencapai kemerdekaan melalui Malaysia. Sebaliknya parti SUPP masih lagi menentang akan penubuhan Malaysia.
            Sama juga dengan kaum Melayu di Sarawak. Kemunculan Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA) adalah rententan daripada rasa tidak setuju mereka terhadap perjuangan parti PANAS. Walau hakikatnya kedua-dua parti ini mempunyai persetujuan untuk menyokong penubuhan Gagasan Malaysia, namun dari sudut yang berbeza, mereka masih tidak dapat bersatu kerana perjuangan mereka yang berbeza. Jika ditinjau pula kaum Dayak Sarawak, walaupun telah ada parti SNAP, namun parti ini menolak akan Gagasan Malaysia. Maka dengan ini, kaum dayak yang tinggal di bahagian ke-3 membentuk sebuah lagi parti baru yang dipimpin oleh Temenggung Jugah iaitu Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA)[26]. Dengan hal yang sedemikian, dapat dinyatakan bahawa kemunculan parti-parti tersebut adalah disebabkan oleh sifat perkauman yang menebal dalam diri masyarakat Sarawak. Walaupun mereka telah ada kesedaran akan berpolitik, namun kesedaran ini hanyalah sekadar untuk kepentingan peribadi mereka sahaja. Mereka hanya mementingkan kaum mereka dan semanggat untuk bersatu masih belum ada. Perasaan bimbang akan penguasaan sesebuah kaum lain keatas kaum yang ada di Sarawak telah menjadi kunci kepada kemunculan parti-parti di Sarawak.

3) KEGIATAN ORANG CINA:
            Pada awalnya, kedatangan orang cina ke negeri Sarawak pada adalah bekerja sebagai Pelombong Emas di kawasan Perlombongan, Kalimantan. Selain melombong emas di Bau dan Marup, tanaman gambir dan lada untuk tujuan eksport juga menjadi daya penarik. Sehingga tahun 1857 adalah dianggarkan terdapat sebanyak 4,000 orang Cina di barat Sarawak. Perusahaan tanaman lada hitam secara meluas hanya bermula pada tahun 1876 apabila Raja Brooke menawarkan pelayaran percuma kepada penanam lada dari Singapura dan menguntukkan tanah bagi ladang lada hitam kepada saudagar Cina. Selain orang Hakka, pada tahun 1900 banyak imigran Foochow masuk ke Sarawak untuk menanam lada di Sibu, Sarikei-Binatang dan Serian. Tanaman getah mula diperkenalkan di Sarawak pada tahun 1881. Hasilnya menjadi eksport penting Sarawak mulai tahun 1906 apabila harga getah melambung naik.
            Getah dimajukan dengan cara menggalakkan pekebun kecil bumiputera dan orang Foochow menanam tanaman ini. Kenaikkan harga getah pada tahun 1920-an telah menyebabkan, banyak imigran Cina masuk dan mengusahakannya secara ladang. Perangkaan tentang bilangan imigran yang meningkat di Sarawak adalah jelas, pada tahun 1908 dianggarkan terdapat 45,000 orang Cina - lebih kurang 10 peratus daripada penduduk Sarawak. Walau bagaimanapun pada tahun 1960 jumlahnya menjadi 229,154 orang atau 32 peratus dari jumlah penduduk Sarawak. Pertambahan pesat berlaku di antara tahun 1939 hingga 1960. Dengan itu adalah jelas faktor ekonomi menjadi pendorong kedatangan imigran Cina. Malahan dasar keluarga Brooke yang memberikan pelbagai kemudahan seperti pemilikan tanah, bantuan kewangan, dan tambang pelayaran telah memesatkan lagi kedatangan mereka. Raja Brooke kedua pula secara peribadi menggalakkan orang Foochow datang ke Sarawak. Negeri Sabah mengalami pertambahan jumlah penduduk yang pesat di antara tahun 1901 hingga 1911. Banci penduduk pertama pada tahun 1891 menunjukkan penduduknya berjumlah 67,062 orang. Narnun jumlah ini meningkat kepada 208,183 orang pada tahun 1911.
            Semasa pemerintahan keluarga Brooke yang ke -2 iaitu Charles Brooke, beliau telah menggalakkan lagi kemasukan orang cina di Sarawak secara beramai-ramai. Namun sedemikian, sehingga Perang Dunia ke-2, masyarakat Cina yang mendiami kawasan Sarawak masih lagi melihat Negara China sebagai tanah air mereka dan masih berpegang kepada prinsip asal mereka yang mana tujuan mereka datang ke sini adalah untuk mengumpulkan kekayaan di negara asing. Sebaliknya, selepas Perang Dunia ke-2, pandangan dan pemikiran masyarakat Cina di Sarawak mula beralih kepada masa depan mereka di Sarawak dan melihat negeri Sarawak sebagai sebuah negeri mereka sendiri. Hal ini dimana, mereka telah mendapat seruan daripada Ketua Orang Cina yang ada di Sarawak pada masa itu yang mahukan orang-orang Cina yang ada di Sarawak hidup berdikari dan tidak lagi bergantung kepada Tanah Besar China lagi. Persepsi mereka mula beralih dan mula berfikir bahawa sudah tiba masanya untuk mereka berubah dan menjadikan Sarawak ini sebagai tempat untuk mereka kuasai.
            Pada masa yang sama, mereka mula menceburi dan mengambil bahagian dalam perkembangan yang berlaku di Sarawak. Sekitar tahun 1950-an, ramai diantara orang cina di sarawak mula terlibat dalam Parti Komunis. Kebimbangan di pihak pentadbir dan para pemimpin temparan mula jelas kelihatan. Mereka bimbang jika sekiranya Orang Cina terlibat dengan Parti Komunis, secara tidak langsung mereka akan menentang British. Maka dengan sedemikian, pihak British mula mengantur langkah dengan menggalakkan orang Cina untuk mengambil bahagian dalam politik di Sarawak bagi mengelakkan pengaruh Komunis tersebar luas kedalam masyarakat Cina di Sarawak. Galakkan yang dibuat oleh pihak British adalah dengan harapan Orang Cina di Sarawak mula mengubah perhatian daripada Parti Komunis kepada politik tempatan dan kerjasama dengan pihaknya. Maka dengan faktor kegiatan Orang Cina ini telah membawa kepada pembentukan parti politik di Sarawak.

4) PENGARUH DARI NEGARA-NEGARA JIRAN:   
            Faktor yang membawa kepada kemunculan parti politik di Sabah dan Sarawak pada tahun 1959-1963 adalah disebabkan oleh terdapatnya pengaruh dari negara-negara jiran seperti di Tanah Melayu, Singapura, Indonesia dan Brunei. Berikutan daripada pengaruh tersebut, masyarakat di keperluan Borneo mula mendapat rangsangan baru bahawa perlunya ada kesedaran dalam diri mereka untuk membentuk kerajaan sendiri serta memerdekakan Negeri mereka daripada Kuasa Asing.
            Reaksi akan penubuhan parti politik di kepulauan Borneo dapat dikatakan berkait rapat dengan penubuhan parti UMNO di Tanah Melayu. Pengaruh parti UMNO begitu dalam keatas diri masyarakat Borneo pada masa itu kerana melalui penubuhan UMNO ini, mereka merasakan satu semanggat untuk menegakkan keadilan dan memperjuangkan apa yang patut dilakukan oleh mereka bagi memajukan komuniti setiap kaum yang ada serta untuk memperjuangkan kemerdekaan negeri mereka sendiri. Apa yang berlaku dengan pernubuhan parti UMNO di Tanah Melayu pada tahun 1946 adalah bertujuan untuk menentang penubuhan Malayan Union yang telah dibuat oleh pihak British di Tanah Melayu[27].
            Pada masa yang sama, pengumuman Gagasan Malaysai oleh Tunku telah menyebabkan reaksi yang negatif kepada Negara-Negara jiran pada masa itu. Filipina tidak bersetuju dengan kemasukkan Negeri Borneo kedalam Persekutuan Tanah Melayu kerana mendakwa Sabah adalah sebahagian daripada Tanah Jajahan Filipina. Hal yang sedemikian adalah disebabkan faktor sejarah lampau dimana Filipina dibawah pemerintahan Kuasa Sepanyol telah memajakkan Sabah kepada Sultan Sulu[28]. Mereka juga menyatakan hak Sultan Sulu adalah hak Filipina yang mana mereka mahukan Sabah menjadi jajahan milik Filipina. Ekoran daripada itu, Presiden Filipina iaitu Macapagal telah membuat satu bantahan yang mana beliau mahukan Sabah menjadi milik Filipina sepenuhnya. Ekoran daripada ini, masyarakat Sabah merasakan perlunya mereka menubuhkan sebuah parti politik untuk bersatu dan memasuki Malaysia. Bagi pihak Sabah, jika mereka menyertai Malaysia, hak-hak mereka lebih terjamin dan jika menyertai Filipina, mereka tidak pasti dengan masa depan mereka.
            Jika ditinjau akan Negara Indonesia pada masa itu, pengaruh Parti Komunis Indonesia begitu menebal di sana. Pada masa yang sama, Presiden Indonesia yang pertama, Sukarno telah menyatakan kemahuan untuk menubuhkan Melayu Raya yang mana melibatkan pergabungan antara negeri-negeri di Borneo pada masa itu. Melihat akan pengaruh PKI ini, masyarakat Sabah mula bimbang akan kemasukan PKI dalam negeri mereka akan mengugat mereka sebagai penduduk peribumi di Sabah. Selain itu juga, tindakan Indonesia yang melakukan pencerobohan tentera di Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan negeri mereka sendiri telah menambahkan lagi keinginan mereka untuk membentuk parti sendiri bagi menghalang kemungkinan yang akan berlaku nanti. Bertepatan dengan pengumuman Gagasan Malaysia itu, kesedaran mereka terhadap politik semakin bertambah dan akhirnya mereka berjaya membentuk parti mereka sendiri seperti UNKO, USNO, dan PANAS. Manakala di Brunei, Parti Rakyat Brunei (PRB) dibawah pimpinan A,M Azahari yang ditubuhkan pada tahun 1956 adalah bertujuan untuk memperjuangkan kemerdekaan negeri Brunei. Pada PRB ini telah bekerjasama dengan para pemimpin dari Sabah dan Sarawak. Secara tidak lagsung, para pemimpin tempatan telah didedahkan dengan cara pentadbiran dan perjuangan serta memimpin satu gerakan bagi memperjuangkan sesuatu hak dan kebebasan yang bakal dikecapi oleh semua rakyat. Pada tahun 1962, A.M Azahari telah mengumumkan pembentukan negara Kalimantan Utara dan Beliau menjadi Perdana Menteri. Melihat keadaan ini, masyarakat Sabah dan Sarawak mula sedar bahawa perjuangan sebenar PRB bukanlah untuk memberi keuntungan kepada mereka, bahkan untuk mempergunakan mereka demi kepentingan peribadi A.M Azahari. Oleh yang sedemikian, jelas menunjukkan bahawa pengaruh dari negara-negara jiran telah menjadi pemangkin kepada kewujudan parti-parti politik di Sabah dan Sarawak pada masa itu.


5) PENGARUH KERAJAAN BRITISH:
Negeri Sabah:
            Di Sabah, semasa Sabah berada dibawah pengaruh Kompeni Borneo Utara British (1881-1946)[29], negeri Sabah langsung tiada Perlembagaan yang khusus malahan pada masa yang sama, rata-rata rakyat Sabah langsung tidak diberi peluang untuk menceburi bidang pentadbiran dan pemerintahan di Sabah. Semasa pemerintahan Kompeni ini, mereka lebih mengutamakan kepentingan walaupun ketika itu Majlis Perundangan telah ditubuhkan. Penubuhan Majlis Perundangan  dibuat pada tahun 1912. Namun begitu, penubuhan majlis ini langsung tiada wakil anak negeri untuk memegang jawatan yang tinggi dalam Majlis tersebut.
            Keadaan ini telah berlanjutan sehingga zaman pendudukan jepun dan selepas Sabah menjadi tanah jajahan British. Beberapa perubahan telah diperkenalkan dan Negeri Sabah telah dibahagian kepada beberapa kawasan yang dikenali sebagai Residensi, Daerah dan Kampung[30]. Selepas pendudukan jepun di Sabah, pentadbiran Sabah di ambil alih kerajaan British. Pada masa pemerintahan kerajaan British, Majlis-Majlis Tempatan seperti Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah telah ditubuhkan pada tahun 1951. Kebanyakan ahli-ahlinya terdiri daripada pembesar-pembesar Melayu dan juga wakil-wakil tempatan. Penubuhan ini adalah berfungsi dan mempunyai kuasa dalam membuat perancangan pembadaran, memperihal akan kesihatan, mengutip cukai serta mengeluarkan lesen ,permit dan sebagainya lagi. Dengan perlibatan penduduk Sabah dalam pentadbiran telah memberi mereka pengalaman dan salah satu faktor dalam membuat persediaan untuk mereka bergerak kearah kesedaran dalam pembentukan parti-parti politik sabah yang sah bagi mencapai sebuah negeri menjelang kemerdekaan.
Negeri Sarawak:
            Di Sarawak, jika dilihat pada masa ini telah wujud wakil-wakil tempatan untuk mengangotai Majlis Negeri dan Majlis Tertinggi. Pihak penjajah telah memberi pengalaman pentadbiran kepada pembesar-pembesar Sarawak untuk menangotai Majlis Negeri dan Majlis Tertinggi Sarawak. Dikatakan, menjelang pada tahun 1957 hampir seluruh Sarawak ditadbirkan dibawah Kerajaan Tempatan yang mana ianya terdidri daripada pelbagai Kaum. Seterusnya pada 2 tahun kemudian iaitu tahun 1959, pilihanraya pertama diadakan untuk memilih ahli-ahli Majlis Daerah. Namun sedemikian, jika dikaji, sebenarnya pilihanraya ini telah wujud sejak dari tahun 1956 dimana ianya hanyalah bersifat Tempatan. Pilihanraya pertama diadakan pada 4 November 1956 di Kuching Municipal Council (KMC)[31].  Setelah menjelang tahun 1959, pilihanraya umum mula diadakan dan bagi memastikan rancangan ini berjalan lancar, pilihanraya secara berperingkat telah diperkenalkan.  
            Dengan hal yang sedemikian, pihak British mula melihat masyarakat Sarawak mula sedar akan keinginan untuk berkerajaan sendiri dan memerdekakan negeri Sarawak[32]. Oleh itu, galakkan terus diberikan kepada masyarakat Sarawak yang mana setiap kaum di Sarawak dibenarkan untuk menubuhkan parti politik masing-masing dan parti-parti yang awal muncul adalah seperti SUPP, PANAS, SNAP, BARJASA, SCA dan PESAKA.

KESIMPULAN:
            Secara keseluruhannya dapat dilihat bahawa perkembangan kesedaran kearah berpolitik masih lagi kurang dalam kalangan masyarakat Sabah dan Sarawak. Walaupun telah wujud pertubuhan-pertubuhan awal yang ada pada masa itu seperti Fajar Sarawak, namun ianya tidaklah bertujuan untuk memperjuangkan kearah kemerdekaan ataupun berkerajaan sendiri bahkan hanya untuk kebudayaan, kaum, agama dan hak-hak komuniti mereka sahaja. Daripada hasil bacaan yang telah saya lakukan, saya merasakan semanggat kesedaran antara masyarakat Sabah dan Sarawak terhadap parti politik agak berbeza. Ianya dapat dibuktikan bahawa negeri Sarawak lebih maju sedikit berbanding dengan negeri Sabah. Terbukti sebelum pengenalan Gagasan Malaysia, Sabah masih belum ada parti politik yang sah berbanding dengan Sarawak yang mana pada masa itu telah muncul 3 buah parti Politik iaitu, SUPP, PANAS dan SNAP. Namun selepas Pengumuman Gagasan Malaysia, kegiatan politik Sarawak menjadi lebih rancak lagi dengan munculnya parti BARJASA, SCA dan PESAKA. 
            Dengan ini, dapatlah dinyatakan bahawa faktor Gagasan Malaysia, Perkauman, Peranan Orang Cina, Peranan British serta Pengaruh Dari Negara Jiran telah mempengaruhi kemunculan Parti-Parti Politik di Negeri Sabah dan Sarawak antara tahun 1959 hingga tahun 1963. Jika dikaji dan diselidiki, faktor utama yang menjadi pemangkin kepada penubuhan parti-parti politik di Sabah dan Sarawak pada masa itu adalah pengumuman Gagasan Malaysia Oleh Tunku Abdul Rahman pada 27 Mei 1962. Namun begitu, tidak kurang juga dengan faktor semanggat perkauman dan keagamaan yang menebal dalam setiap masyarakat di Sabah dan Sarawak pada masa itu telah mendorong kepada pembentukan parti-parti politik mereka. Perasaan bimbang akan kaum lain kunci kepada penubuhan sesebuah parti politik di kedua-dua buah negeri ini pada masa itu. Oleh yang sedemikian, semuanya berubah dan bersatu dibawah pemerintahan dan pentadbiran yang sama selepas negeri Sabah dan Sarawak memasuki Malaysia pada tahun 1963[33].

           
BIBLIOGRAFI:
1.      Arkib Negara Malaysia, Malaysia Kita, Penubuhan Negara Malaysia, Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 1994.
2.      Ho Hui Ling, , Gagasan Malaysia: Satu Kajian Mengenai Perananya Terhadap Perkembangan Parti Politik Di Sabah, 1961-1963:  Mohd Sarim Hj Mustajab, G. Anantha Raman, Sabah Dalam Konteks Pembinaan Nasion Malaysia, Prosinding Seminar Kebangsaan Dan Pembinaan Nasion Malaysia: Penerbit , Universiti Malaysia Sabah, 2003.
3.      Ho Hui Ling, Kemunculan Kesedaran Kebangsaan, Politik Dan Kemerdekaan Di Negeri Sabah Dan Sarawak: Satu Tinjauan, Jurnal Persatuan Muzium Malaysia, Bil 27, 2008.
4.      Ishak Saat, Malaysia 1945-2000: Penerbit,Utusan Publications & Distibutors Sdn Bhd.
5.      Noor Bin Abdullah B.A (Hons), Kemasukan Sabah dan Sarawak Ke Dalam Persekutuan Malaysia, Dari Segi Perlembagaan Malaysia: Penerbit, Dewan Bahasa Dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur, 1976.
6.      Nik Anuar Nik Mahmud, Tuntuntan Filipina Ke Atas Borneo Utara: Penerbit, Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi, 2009.
7.      Sumber Dari Internet dan Nota-Nota Kuliah.

           





2 comments: