. Amoi Chantek: Sejarah Sabah Dan Sarawak 1841-1963 Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Tuesday 1 April 2014

Sejarah Sabah Dan Sarawak 1841-1963

SEJARAH SABAH DAN SARAWAK ( 1841-1963 )
         
Pada kurun ke-10 hingga kurun ke-13 Sarawak dikatakan telah berada di bawah kerajaan Srivijaya. Penguasaan kerajaan ini keatas wilayah pesisiran Sarawak telah menyebabkan orang Melayu dan Sumatera berhijrah dan menetap di kawasan pesisiran Sarawak. Orang Melayu telah membuka penempatan mereka di Santubong iaitu satu pelabuhan entrepot yang terpenting di Nusantara. Pada kurun ke-13 Sarawak telah dikuasai oleh kerajaan Majapahit. Raden Menteri Dipati Jepang atau Datu Merpati Jepang telah berhijrah pada kurun ke-15 dan setelah itu berkahwin dengan anak perempuan Raja Jarom di Johor. Daripada keturunan Datu Merpati Jepang mencul golongan bangsawan Melayu Sarawak yang digelar Abang. Golongan perabangan Sarawak telah memegang jawatan terpenting seperti Datu Patinggi, Datu Temenggong, Datu Bentara pada zaman pemerintahan Brooke di Sarawak. Akan tetapi pada awal abad ke-19 Sarawak terletak dibawah penguasaan Kesultanan Brunei. Catatan awal menunjukkan Kesultanan Brunei merupakan kerajaan yang kuat dan kaya meliputi kawasan Sarawak di barat hingga Manila di sebelah utara.[1] Tetapi tidak lama kemudian Kesultanan Brunei mengalami kemerosotan dan menjadi semakin lemah apabila kedatangan Barat seperti Sepanyol di Filipina dan Belanda di Indonesia dan beberapa saudagar British di Borneo dan Selat Melaka. Sebahagian jajahan di utara telah diserahkan kepada Kesultanan Sulu. Setelah berlaku beberapa peristiwa di Sarawak maka berlaku campur tangan antara pihak Inggeris iaitu James Brooke, beberapa pentadbiran Sarawak telah diambil alih. Dinasti Brooke telah memerintah Sarawak selama seratus tahun dan mencapai kegemilangan sebagai “Raja Putih” (“White Rajahs”), dan telah diberi taraf yang serupa dengan raja-raja India dalam empayar British. Brooke adalah seorang hartawan Inggeris dan juga seorang ahli pelayaran yang berpengalaman. Beliau telah belayar ke beberapa tempat di dunia untuk berniaga dan juga bertujuan untuk menjajah. Kedatangan Brooke ke Sarawak adalah secara kebetulan sahaja.[2]

          Pemerintahan di Sarawak pada mulanya adalah berasaskan sistem feudal yang meletakkan kekuasaan mutlak  pemerintahan kepada ketua yang bergelar sultan. Sultan berhak menentukan pemerintahan atas kehendaknya seperti perlantikan pembesar, pembangunan dan sebagainya. Sultan juga adalah ketua angkatan perang dan mengetuai adat istiadat serta ketua agama Islam. Kemudian susun lapis seterusnya ialah golongan pembesar yang terdiri daripada kerabat diraja itu sendiri serta pemimpin tempatan yang berkebolehan. Pembesar akan dilantik oleh sultan dan diberi kepercayaan untuk menjaga kawasan jajahan. Kawasan yang dijaga oleh pembesar ini lebih dikenali sebagai kawasan pegangan. Oleh itu, pembesar yang dilantik akan mewakili sultan di kawasan tersebut. Golongan pedagang yang berdagang adalah susun lapis ketiga. Pedagang yang menjalankan kegiatan perdagangan di kawasan perairan Borneo ini ada yang menetap dan berkahwin dengan orang tempatan
         
           Sebelum kedatangan Barat, negeri Sabah atau Borneo Utara sudah mempunyai sistem pemerintahan sendiri di bawah Kesultanan Brunei. Pada mulanya Sabah atau Borneo Utara di kuasai oleh dua pihak iaitu bahagian Barat oleh Kesultanan Brunei iaitu kawasan pantai antara Pandasan hingga Kimanis dan sebelah Timur di kuasai oleh Kesultanan Sulu iaitu kawasan pantai dari Teluk Marudu hingga ke Sungai Sibuku. Kawasan tersebut diperoleh daripada Brunei sebagai hadiah kerana membantu dalam menyelesaikan masalah pertelingkahan takhta di negeri tersebut. Kawasan dari Pandasan  hingga ke Teluk Marudu ditadbir oleh para pembesar bebas yang dikenali sebagai ‘Syarif’ dan kawasan pedalaman ditadbir oleh dan dikuasai oleh kaum perbumi sendiri. Kawasan yang dibawah Kesultanan Brunei dan Sulu ditadbir mengikut pemerintahan kesultanan Melayu dan adat istiadat yang berasaskan agama Islam. Sejak abad ke-16, Sabah sudah dikenali oleh para pedagang sebagai sebuah negeri yang kaya dengan hasil bumi seperti batu arang, rotan, mutiara, emas, gambir dan sarang burung. Kekayaan hasil bumi telah menarik minat para pedagang dari Barat seperti Portugis, Sepanyol, Belanda dan British untuk singgah berdagang di Sabah sebelum meneruskan perjalanan ke negara China. Pertapakan British dimulai dengan dengan perjanjian perdagangan yang ditandatangani antara seorang pegawai British bernama Alexander Dalrymple dengan sultan Sulu iaitu Sultan Muizuidin pada tahun 1764. Pada tahun 1865, Amerika Syarikat telah membuat perjanjian dengan sultan Brunei, Sultan Abdul Mu’min dan meletakkan seorang konsulnya di Brunei iaitu Charles Le Moses.[3]

          Perolehan Sarawak dilakukan melalui perjanjian dan desakan. James Brooke berminat untuk memajukan penduduk tempatan dan bukannya menindas mereka. Beliau begitu menyanjungi usaha Stanford Raffles ketika mentadbir Pulau Jawa. Pada akhir tahun 1838, James Brooke sekali lagi meninggalkan England ke Timur untuk membuat penyelidikan sains di Borneo Utara dan Sulawesi. Pada tahun 1839, James Brooke tiba di Singapura dan diminta oleh Gabenor George Bonham ke Kuching untuk menyampaikan terima kasih kepada Pangiran Muda Hashim yang membantu anak-anak kapal yang terkandas di pantai Sarawak. (Isa Othman, 2002: 263)

Menurut Ruslan Zainuddin (2006), Bonham juga meminta Pangeran Muda Hashim memulihkan semula perniagaan logam bijih-perak (antimoni) antara Sarawak dan Singapura. Faktor yang menyebabkan penembusan British di Sarawak ialah ialah kesilapan Pangeran Muda Hashim membuat keputusan terburu-buru untuk membasmi pemberontakan. James Brooke mengambil kesempatan menjelajah pantai Pulau Borneo dan beliau kembali ke Singapura pada tahun 1840. Manakala pada masa itu Pangeran Muda Hashim telah memohon bantuan Gabenor Negeri-negeri Selat untuk menghentikan huru-hara di Sarawak, tetapi permohonan beliau tidak dilayan. Brooke tertarik dengan perkembangan itu dan memutuskan untuk kembali ke Sarawak. Oleh itu Pangeran Muda Hashim telah meminta bantuan James Brooke untuk membantu beliau menghapuskan pemberontakan dengan menawarkan daerah Seniawan dan Kuching dan juga melantik Brooke sebagai pemerintah iaitu sebagai ‘Gabenor Sarawak’. Dengan diiringi oleh askar yang dilengkapi dengan dua buah meriam besar serta orang Eropah yang bersenjatakan senapang, Brooke bergabung dengan askar Brunei di bawah pimpinan Pangeran Muda Hashim akhirnya pemberontakan itu dapat di hapuskan juga pada Disember 1840.

            Setelah itu, Pangeran Muda Hashim melambat-lambatkan perlantikan tersebut kerana beliau tiada kuasa. Beliau juga sedar bahawa Sultan Brunei tentu tidak akan mengakui perjanjian tersebut. Oleh itu, Brooke telah membuat ugutan dan mengepung tempat kediaman Pangeran Muda Hashim (Isa Othman, 2002: 264). Brooke menghalakan meriam-meriam dari kapalnya, Royalist dan membedil Kuching. Tindakan tersebut berjaya memaksa Pangeran Muda Hashim segera melantik Brooke sebagai Gabenor Sarawak pada 2 September 1841. Tindakan Pangeran Muda Hashim menawarkan jawatan Gabenor Sarawak kepada Brooke kerana terdesak untuk menghapuskan pemberontakan ini secara lansung memberi laluan masuk kepada British untuk bertapak di Sarawak. (Ruslan Zainuddin, 2006: 226)
           
            Faktor kedua pula ialah sultan melantik pembesar yang tidak disukai oleh rakyat menyebabkan pemberontakan seperti yang berlaku pada pemerintahan Sultan Omar Syaifuddin II yang melantik Pangeran Mahkota sebagai gabenor Sarawak. Pada mulanya, wakil-wakil Sultan Brunei memerintah dengan adil dan saksama yang tidak mendatangkan masalah kepada rakyat malah menyukainya. Keadaan aman ini mula bertukar apabila orang besar Brunei bernama Pangeran Mahkota dan beberapa orang besar lain datang memerintah. Pada masa itu ramai orang Melayu, Cina dan Bidayuh menetap di beberapa kawasan yang tidak jauh dari Bandar Kuching. Mereka mempunyai ketua sendiri. Ketua mereka bernama Datu Patinggi Ali. Datu Patinggi Ali berasal dari keluarga terkenal yang telah lama memerintah negeri Sarawak. Keluarga ini berasal dari Minangkabau dan juga dipercayai datang bersama-sama sekumpulan orang Melayu ke Sarawak. Datu Patinggi Ali tidak membantah tentang kedatangan orang besar Brunei. Tetapi Pangeran Mahkota tidak memerintah seperti pemerintah-pemerintah Brunei sebelumnya. Beliau memrintah secara zalim tanpa mengira perasaan setiap penduduk di situ, bagi Pangeran Mahkota beliau dan pegawai-pegawainya sahaja yang penting dan mesti dihormati. Penduduk mula memberontak dan pemberontakan ini dilakukan kerana harta, hasil tanaman dan hasil mata pencarian yang lain habis dirampas. Selain itu, penduduk juga dipaksa membuka lombong untuk mencari emas dan batu permata. Tetapi hasil lombongan tersebut dirampas oleh Pangeran Mahkota. Apabila Sultan Brunei mengetahui pemberontakan ini baginda telah menghantar Pangeran Muda Hashim ke Sarawak dengan harapan pemberontakan tersebut dapat diselesaikan. Malangnya, Pangeran Muda Hashim tidak boleh buat apa-apa kerana pengaruh Pangeran Mahkota yang kuat dan pengikut yang sangat taat kepadanya. Pangeran Mahkota terus bertindak kejam dan Pengeran Muda Hashim berasa amat kesal dan malu kerana gagal menunaikan tugas yang diamanahkan kepada beliau oleh Sultan Brunei. Oleh itu, beliau amat gembira dengan kedatangan James Brooke. Beliau berharap dapat meminta sedikit sebanyak atau nasihat daripada James Brooke.[8] Pemberontakan yang berlaku menyebabkan keadaan negeri menjadi kucar kacir dan menyebabkan penjajah mengambil kesempatan untuk meluaskan kekuasaan mereka di borneo dan juga berlaku di negeri-negeri lain. Tindakan sultan yang melantik pembesar yang zalim memberi kesan mendalam terhadap pemerintahan yang akhirnya rakyat memberontak melawan kezaliman.

            Terdapat juga faktor-faktor lain menyebabkan perolehan British terhadap sarawak. Antaranya ialah melalui perjanjian Sultan Brunei dan James Brooke. Tindakan Pangeran Muda Hashim melantik Brooke sebagai Gabenor Sarawak yang memberi laluan Brooke untuk memulakan langkah seterusnya mengambil beberapa kawasan di Sarawak menjadi miliknya. Setelah dilantik menjadi Gabenor Sarawak, Brooke mahu lebih daripada taraf itu kerana beliau masih berada di bawah kekuasaan Sultan Brunei. Brooke kemudiaanya menandatangani perjanjian dengan Sultan Brunei yang menyerahkan kekuasaan terhadap negeri Sarawak dan hasil cukai negeri kepada beliau malah juga kepada pewarisnya selama-lamanya.[9] Perjanjian itu ditandatangani oleh sultan Brunei atas alasan yang diberikan Brooke untuk menumpaskan lanun laut yang berluas-luasa. Brooke meyakinkan Sultan Brunei jika menyerahkan kekuasaan penuh kepadanya maka beliau mampu untuk menumpaskan kegiatan perlanunan yang berlaku. Sultan Brunei bersetuju dengan menerima bayaran dan segala hal ehwal agama serta adat resam kaum di Sarawak tidak boleh dicampuri oleh Brooke.[10] Brooke mula menggunakan gelaran raja dan bermulalah penguasaan dinasti Brooke di Sarawak yang memerintah kawasan seluas 3000 batu persegi. Sebagai balasan Sultan Brunei telah dibayar sebanyak $2500 setiap tahun dengan syarat negeri tidak boleh diberikan kepada orang lain melainkan persetujuaan sultan Brunei sendiri.             Penyerahan kekuasaan kepada Brooke tidak dibantah dan ditentang oleh sesiapa termasuklah orang besar-besar Sarawak kerana surat perlantikan adalah daripada Sultan Brunei sendiri. Semua rakyat juga patuh dengan arahan yang diberikan oelh Sultan Brunei itu kerana tidak berani untuk menyuarakan perasaan mereka.

            Selain itu, kegiatan lanun dan rompakan juga mendorong kepada perolehan kawasan-kawasan di Sarawak. Kegiatan perlanunan di perairan negeri Sarawak ini telah menyebabkan kemarahan Brooke. Lanun-lanun atau perompak-perompak laut ini bukan sahaja telah mengancam keselamatan rakyat negeri Sarawak malah mengganggu kegiatan perdagangan dan perniagaan yang dijalankan.[11] Hal ini menyebabkan peniaga-peniaga dan saudagar-saudagar merasa takut untuk datang berdagang ke negeri Sarawak dan sumber pendapatan negeri Sarawak melalui cukai yang dipungut dari saudagar-saudagar dan peniaga-peniaga juga merosot. Namum hakikat sebenarnya bukan semua perompak laut itu jahat dan mereka melakukan rompakan kerana keadaan terdesak. Sebahagian mereka terpaksa merompak apabila mereka kehilangan pekerjaan setelah dijajah. Hal ini adalah kerana mereka memerlukan wang untuk membeli makanan, pakaian serta keperluan lain untuk terus hidup dan juga menanggung anak isteri bagi mereka yang telah berumahtangga. Ramai antara mereka merompak kapal-kapal orang Barat hanya semata-mata untuk menbalas dendam. Sehubungan dengan itu, Brooke mengambil langkah meluaskan kawasan pegangannya bagi membenteras kegiatan perlanunan dengan meminta Sultan Brunei menyerahkan kuasa pemerintahan sepenuhnya kepada beliau. Setelah mendapat surat perlantikan, Brooke menghapuskan kegiatan perlanunan di sepanjang pantai Sarawak yang bermula dari Kuching hingga ke Marudu di sebelah timur laut. Sepanjang tahun 1840, Brooke memberi tumpuan memerangi kegiatan perlanunan dan pada tahun 1853 kegiatan lanun ini dapat dikawal sepenuhnya.[12]

            Penembusan penjajah British di Borneo Utara pula berbeza dengan Sarawak kerana Sarawak diperoleh kerana laluan yang telah diberikan oleh Pangeran Muda Hashim terhadap James Brooke. Melalui tindakan itu, Brooke mengambil alih kuasa pemerintahan melalui perjanjian. Borneo Utara pula diperoleh British melalui konsesi yang saling bertukar tangan antara pemodal-pemodal sehingga membentuk satu syarikat berpiagam yang dikenali sebagai  The  British North Borneo Chartered Company. Pada mulanya satu perjanjian perdagangan telah ditandatangani antara pegawai British iaitu Alexander Dalrymple dengan Sultan Sulu untuk membina pusat perdagangan  dan menjalankan kegiatan perniagaan di kawasan timur Kimanis kerana beliau melihat kawasan tersebut berpotensi untuk dimajukan.[13] Dalrymple juga dibenarkan untuk membuka kawasan perdagangan di Pulau Balambangan. Perjanjian tersebut telah membuka laluan British untuk bertapak di Borneo Utara. Namum kegagalan Dalrymple mendapat sokongan British membina petempatan di Pulau Balambangan menyebabkan beliau meninggalkan perkhidmatannya. Kapten John Herbert telah berjaya mendirikan petempatan pada tahun 1773 dan ditadbir sepenuhnya oleh beliau. Petempatan British ini tidak dapat bertahan lama kerana mendapat tentangan penduduk tempatan.[14]

            Seterusnya, kegiatan ekonomi di Borneo Utara dikendalikan pula oleh pihak perseorangan secara bersendirian. Pada tahun 1865, seorang konsul Amerika  Syarikat iaitu Claude Le Moses

RUJUKAN
1.    Harry Miller. 2007. The History Of Malaysia. Kuala Lumpur. S.A. Majeed & Co Sdn. Bhd.
2.    Haji Buyong Adil. 1981. Sejarah Sabah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka
3.    Md. Isa Othman. 2002. Sejarah Malaysia (1800-1063). Selangor: Utusan Publications Distributors. Sdn. Bhd.
4.    Ruslan Zainuddin. 2006. Sejarah Malaysia. Edisi Kedua. Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
5.    Tom William. 2004. Three Whites Rajas The Renee Of Sarawak. Kota Kinabalu: Natural History Publications (Borneo). Sdn. Bhd.
6.    Tom Harrisson. 2007. World Within A Borneo Story. Kuala Lumpur: S.A. Majeed & Co Sdn. Bhd.
7.    Wendy Moore. 2005. This Is Malaysia. London: New Holland Publishers (U.K) Ltd.
Zurina Ismail. 1987. Sarawak Bumi Kenyalang. Selangor: Pelanduk Publication (M) Sdn. Bhd



No comments:

Post a Comment