. Amoi Chantek: Strategi dan Etika Yang Diamalkan Oleh Nabi Muhammad S.A.W Semasa Peperangan Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Wednesday 10 April 2013

Strategi dan Etika Yang Diamalkan Oleh Nabi Muhammad S.A.W Semasa Peperangan


1.0       Pengenalan
Islam adalah agama yang menentang keganasan termasuk peperangan, namun begitu pihak media Barat yang diperalatkan oleh golongan yang mahu menggambarkan imej buruk Islam sering menghubungkan perjuangan Islam yang suci atau jihad dengan keganasan dan pembunuhan seperti yang dilakukan oleh tentera Hamas dan Taliban kononnnya. Menurut sebahagian fahaman songsang yang dicipta oleh musuh Islam, peperangan dikenali sebagai Jihad, jika diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai holy war atau peperangan suci seperti mana yang sedang disebarkan oleh pendakwah-pendakwah kristian pada masa ini.

Terjemahan ini memberikan kefahaman yang jelas bahawa Islam adalah ditegakkan dengan mata pedang dan dikembangkan dengan peperangan. Apabila di sebut ’perang’ tentulah merupakan tindakan membunuh dan menyerang, menawan musuh dan mengambil tindakan keras kepada sesiapa sahaja yang menentangnya. Seorang Islam mestilah berjuang untuk mempertahankan kehormatannya dengan beberapa cara yang tertentu, iaitu sama ada dengan harta benda, ilmu dan kebijaksanaannya, kuasa dan jiwanya sendiri. Maka dalam konteks ini jihad tidak memberi sebarang pengertian yang membolehkan seorang Islam menyerang dan menceroboh orang lain yang tidak menyerang atau menceroboh haknya.

Di dalam al-Quran terdapat istilah yang menunjukkan makna peperangan, iaitu al-qatl atau al-qital. Beberapa ayat al-Quran di bawah menjelaskan tentang tindakan peperangan ini:
Dan perangilah pada jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang melampaui batas. (Al-Baqarah, ayat 190)
Dan perangilah mereka itu sehingga tidak ada fitnah lagi, dan (sehingga) agama itu hanya untuk Allah belaka. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu) maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang zalim. (Al-Baqarah, ayat 193)

Ayat-ayat ini menjelaskan tentang waktu dan bentuk peperangan yang boleh dilakukan oleh orang Islam iaitu sebagai tindak balas kepada musuh-musuh yang menyerang dan memerangi mereka, maka dalam keadaan ini orang Islam haruslah bertindak mempertahankan diri mereka dengan melakukan tindak balas yang sewajarnya. Namun begitu Allah s.w.t. mengingatkan supaya dalam bertindak mempertahankan diri itu orang Islam tidak seharusnya melampaui batasan yang sewajarnya. Dalam hal ini, Islam mengutamakan tindakan yang adil dan mengutamakan sifat mulia dan beretika dalam melindungi hak manusia dan kehormatan moral mereka. Dengan itu Islam juga menyeru pihak musuh supaya menjaga hal yang sama ketika berlaku persengketaan, sebab itulah ditegaskan bahawa hak agama Allah itu sendiri mestilah dihormati dan dijaga dengan sebaik-baiknya.

Dari sudut yang lain, Islam juga meletakkan garis panduan yang baik tentang kewajipan mempertahankan diri dan membalas tindakan dan pencerobohan musuh. Strategi Islam ialah menjaga keselamatan dan keamanan, di samping mencari perdamaian dengan musuh. Allah s.w.t. menjelaskan tentang sempadan-sempadan yang seharusnya dipelihara oleh orang Islam ketika menghadapi pencerobohan musuh, iaitu di dalam firman-Nya: Barang siapa yang menyerang kamu, maka seranglah ia, yang seimbang serangannya terhadap kamu. Bertakwalah kepada Allah, dan ketahuilah bahawa Allah berserta dengan orang-orang yang bertakwa. (Al-Baqarah, ayat 194)

Namun begitu dalam keadaan yang tertentu, iaitu ketika musuh telah bertindak ganas, seperti yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w. ketika Baginda menghadapi pencerobohan yang menyeluruh daripada kaum musyrikin yang ingin membinasakan orang Islam dan agama Allah dengan serangan yang berlarutan dan tidak lagi berperikemanusiaan, maka Allah s.w.t. membenarkan orang Islam bertindak balas dengan menyeluruh juga seperti yang diterangkan oleh ayat yang berikut:
Dan bunuhlah mereka di mana saja kamu jumpa mereka, dan usirlah mereka dari tempat mereka mengusir kamu (Mekah).

Ayat ini menjelaskan bahawa orang musyrikin Mekah telah bertindak di luar batasan perikemanusiaan dengan mengusir orang Islam dari tanah tumpah darah mereka dan bertindak sewenang-wenangnya membunuh orang Islam. Dalam keadaan ini orang Islam harus membunuh mereka dan mengusir mereka dalam proses menegakkan keadilan dan mempertahankan diri dan negara mereka. Bagaimanapun dalam al-Quran terdapat beberapa ajaran yang berikut yang harus dipatuhi, iaitu sekiranya pihak musuh ingin berdamai, maka orang Islam hendaklah bersedia untuk berdamai, peperangan dibenarkan kepada orang Islam kerana mereka telah dizalimi. Dalam peperangan, orang Islam haruslah memelihara etika dan adab peperangan, iaitu tidak mencabuli tempat-tempat suci agama, orang yang beribadat dan sebagainya. Selain itu, tawanan perang haruslah dilayan dengan baik:


2.0       Strategi Yang Digunakan Oleh Rasulullah Semasa Berperang.
2.1       Pengenalan
Pewujudan satu struktur sosial baru di Madinah memerlukan juga strategi dalam sistem ketenteraan. Selepas hijrah, masyarakat islam Madinah yang lemah dan kecil bilangannya dikelilingi oleh pasukan-pasukan musuh yang kuat. Antara bahaya yang paling besar ialah ancaman nyata daripada orang-orang Makkah kerana sebelum itu Rasulullah s.a.w dan pengikut-pengikutnya telah berjaya melepaskan diri daripada cengkaman mereka. Hal ini menyebabkan ramai orang islam merasa teraniaya dan ingin berperang bagi membela nasib mereka yang ditindas. Oleh hal yang demikian maka turunlah wahyu yang membenarkan Rasulullah s.a.w bersama-sama orang islam untuk berperang dengan tujuan untuk menegakkan dan mempertahankan maruah Islam.

            Ketahanan bermakna ketabahan, kecekalan dan kesabaran dan tidak mudah mengalah dalam peperangan. Manakala pertahanan pula merujuk kepada mempertahankan diri, bangsa, agama dan negara daripada serangan musuh dan juga bermaksud membela golongan yang lemah atau dizalimi dan teraniaya. Sejarah bangsa arab sebelum islam tidak mempunyai tentera yang teratur dan berdisiplin seperti bangsa Rom dan Parsi. Mereka mempunyai taktik dan strategi yang tersendiri dan berbeza.

Pada zaman nabi Muhammad, nabi terlibat dalam perang Badar, Uhud, Khandak, Hunain, Taif dan lain-lain. Nabi telah menggunakan beberapa taktik dan strategi ketika menentang musuh-musuh khususnya orang kafir Quraish Makkah. Setelah nabi berhijrah ke Madinah dan membentuk negara Islam, baginda telah diizinkan mempertahankan akidah islam dan negara dengan kekuatan tentera. Terdapat pelbagai teknik dan strategi yg digunakan pada zaman nabi. Antaranya ialah seperti yang dinyatakan tersebut.

2.2       Taktik Menunggu/ Sistem Al-Saf
Nabi pernah menggunakan taktik ini semasa perang badar. Semasa di medan peperangan, nabi dan umat islam menggunakan taktik menunggu hingga musuh menghampiri, baru mereka bertindak balas dan menyerang secara spontan. Caranya adalah tentera akan dibahagikan kepada dua barisan, barisan pertama dihadapan yang bersenjatakan tombak dan perisai manakala barisan kedua bersenjatakan panah dan perisai dan diketuai oleh pemegang bendera.
Di bawah pimpinan nabi, tentera disusun rapi mengikut sistem al-saf. Mereka juga berkubu dan menjaga kawasan yang ada telaga air atau sumber air seperti di badar. Tentera Islam hanya berjumlah 313 orang, manakala musuh 3,000 orang.

2.3       Taktik Bertahan
Rasulullah telah menggunakan strategi ini semasa diserang musuh. Tentera musuh seramai 10,000 orang, manakala tentera Islam hanya seramai 3,000 orang sahaja. Contohnya dalam perang khandak, nabi menggunakan taktik yang disyorkan oleh sahabatnya, Salman Al-Farisi iaitu mereka mengadakan benteng pertahanan dengan menggali parit di sekeliling kota madinah. Taktik ini tidak pernah digunakan oleh orang arab semasa berperang dan membingungkan pihak musuh serta memaksa mereka berundur kerana gagal melepasi rintangan yang dibuat oleh orang islam.

Jika pasukan berkuda atau orang cuba melintasi, mereka akan dipanah atau direjam dengan tombak atau lembing. Benteng pertahanan ini berjaya menyekat serangan musuh. Bantuan angin kencang turut melemahkan pihak musuh. Akhirnya tentera islam telah berjaya mengalahkan musuh dan kemenangan berpihak kepada tentera islam.

2.4       Taktik Mengepong Dan Serangan Bertubi-tubi
Nabi pernah menggunakan taktik ini semasa dalam peperangan Taif. Nabi  telah mengepung kota Taif dan kemudian melancarkan serangan secara bertubi-tubi sehingga pihak musuh tidak sempat bersedia.

2.5       Tidak Mengejar Musuh Yang Lari
Nabi pernah menggunakan taktik ini iaitu tidak mengejar pihak musuh yang lari atau berundur dari medan peperangan supaya tidak menjejaskan kedudukan pertahanan tentera atau boleh menjadikan mereka diperangkap oleh musuh. Taktik ini menunjukkan bahawa umat islam tidak bersifat agresif atau offensif terhadap musuh.

2.6       Taktik Menyerang
Taktik ini digunakan nabi untuk melemahkan kekuatan musuh dan menyebabkan musuh tidak bersedia untuk mengumpul kekuatan mereka. Serangan dilancarkan secara tiba-tiba sama ada pada waktu subuh atau masa-masa tertentu ataupun apabila kekuatan tentera islam sangat besar. Contohnya teknik ini telah digunakan dalam perang Hunain. Dalam peperangan ini juga tebtera islam mendapat kemenangan.

2.7       Taktik Menunggu Dan Lihat
Taktik ini pernah digunakan dalam perang badar dan uhud. Dalam perang ini umat islam menuggu dan melihat musuh yang datang, apabila musuh hampir barulah dimulakan peperangan. Pasukan pemanah diletakkan di atas bukit atau ditempat strategik untuk melindungi umat islam dibawah dan menyekat musuh dari bawah. Pasukan memanah tidak dibenarkan meninggalkan kawasan atau tempat masing-masing.

2.8       Menyerang Sebelum Musuh Menyerang
Taktik ini pernah digunakan oleh nabi semasa mula membentuk negara islam di madinah. Apabila nabi mendapat tahu ada berita suku kaum arab di luar madinah, nabi terus menghantar pasukan tentera islam ke kawasan kabilah atau suku tersebut dan menewaskan mereka sebelum musuh menyerang terlebih dahulu. Begitu juga semasa perang khandak atau azhab, nabi mula mengubah strategi peperangan. Beliau tidak lagi menunggu dan bertahan tetapi telah mula menyerang kesatuan-kesatuan musuh terlebih dahulu.

2.9       Kesimpulan
Peperangan demi peperangan dihadapi oleh nabi. Strategi dan taktik digunakan oleh nabi ketika menentang musuh-musuh Islam menunjukkan bahawa kekuatan fizikal semata-mata sepertt yang dimiliki oleh pihak musuh gagal menewaskan kekuatan iman umat islam. Nabi Muhammad berjaya membuktikan kebijaksanaan sebagai pemimpin dan ketua panglima perang di Madinah yang mampu mengatasi ancaman musuh dengan menggunakan taktik dan strategi. Bagi nabi, peperangan adalah tipu muslihat atau strategi.




3.0      Etika Yang Diamalkan Oleh Nabi Muhammad S.A.W Semasa Peperangan
            3.1       Pengenalan
Islam amat menghormati dan memuliakan nyawa manusia dan telah melakukan segala perkara yang mungkin untuk menyelamatkan dan mempertahankan nyawa tersebut. Nabi Muhammad S.A.w juga telah menghalang pembunuhan beberapa orang kafir Quraish di dalam perang Badar kerana mereka menyertai musuh bukan dengan kerelaan hati mereka di antaranya seperti Abbas bin Abdul Mutalib dan Abu Bakhtari bin Hisyam. Malah semasa penaklukan semula kota Mekah Nabi Muhammad S.A.W telah mengampunkan kesemua mereka yang telah bertindak kejam terhadap baginda dan pengikut-pengikutnya selama 15 hingga 20 tahun yang lalu.

Menumpahkan darah-darah manusia tergolong di dalam dosa-dosa besar. Penghormatan dan kemuliaan terhadap nyawa ini amat jelas menunjukkan bahawa Islam amat mengutamakan perdamaian dan keamanan di dalam kehidupan manusia. Namun, Allah membenarkan orang-orang Muhajirin memerangi Musyrikin Quraisy melalui firman-Nya yang bermaksud : “Diizinkan bagi orang-orang Islam yang diperangi oleh golongan penceroboh kerana sesungguhnya mereka talah dianiaya, dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong meraka mencapai kemenangan . Iaitu mereka yang diusir dari kampung halaman dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, mereka diusir semata-mata kerana mereka berkata ‘Tuhan kami ialah Allah’…” (Al-Haj:39-40).

Walaubagaimanapun, peperangan dalam islam mempunyai etika yang harus dipatuhi. Keamanan adalah asas dan dasar kepada kehidupan di dalam Islam sementara peperangan hanyalah satu perkara keperluan iaitu apabila tiada lagi jalan penyelesaian atau pilihan lain. Walaupun peperangan dibenarkan di dalam Islam tetapi ianya merupakan jalan terakhir dan sekiranya masih ada lagi peluang untuk mengelakkannya daripada berlaku, maka ianya hendaklah dielakkan.

3.2       Berperang Seandainya Diperangi Terlebih Dahulu
Etika pertama ialah Islam hanya membenarkan umatnya berperang seandainya mereka diperangi terlebih dahulu. Contohnya, dalam Perang Badar. Perang Badar berlaku pada tahun ke-2 Hijrah dan merupakan perang yang pertama disertai oleh Nabi Muhammad s.a.w. Perang ini dinamakan Badar kerana meletus disebuah perigi di antara Makkah dan Madinah yang dimiliki oleh seorang yang bernama Badar.

Faktor utama perang ini ialah orang Musyikin Makkah telah menghalau orang Islam dari Makkah dan harta benda mereka terpaksa ditinggalkan di Makkah. Selain itu, orang Musyikin juga ingin menghapuskan orang Islam di Madinah kerana bimbang orang Islam menguasai perdagangan. Hal ini kerana kedudukan Madinah terletak diantara Makkah dan Syam. Perpindahan Nabi s.a.w. tidak disenangi oleh golongan Musyikin di Makkah kerana akan menguatkan lagi kedudukan orang Islam dan memudahkan Rasulullah s.a.w. menyebarkan agama Islam. Orang Quraisy telah membuat satu pakatan sulit dengan orang Yahudi di Madinah kerana mereka ingin menghancurkan perkembangan agama Islam.

Setelah itu, baginda s.a.w. telah berdoa "Ya Tuhanku! andai kata kelompok ini hancur, siapakah lagi yang akan menyembah-Mu di permukaan bumi ini?". Sebab itulah kaum Muslimin menganggap perang ini sebagai "Al-Ghazwatul Furqan" bermaksud peperanan yang menentukan pihak yang benar dan pihak yang salah.

Pada suatu masa, orang Musyikin Makkah telah membawa satu kafilah perdagangan dari Syam ke Makkah di bawah pimpinan Abu Sufian bin Harb. Setelah mengetahui gerakan itu, Nabi Muhammad s.a.w. bersama 324 orang tentera cuba mengesan kafilah tersebut. Abu Sufian terus meminta bantuan dari Makkah setelah mengetahui tentere Islam sedang menghampiri mereka. Bantuan berjumlah 1000 orang telah dihantar dengan diketuai oleh Abu Jahal. Kedatangan kaum Musyikin bukan untuk menyelamatkan barang dagangan mereka (yang dibawa oleh kafilah dari Syam) tetapi sebaliknya untuk menangkap orang Islam, maka peperangan tidak dapat dielakkan lagi.

Maka, berlakulah peperangan besar-besaran yang akhirnya telah dimenangi oleh islam. Seramai 67 orang dari pihak Musyikin terbunuh termasuk Abu Jahal, manakala 14 tentera Islam telah gugur syahid. Banyak tentera Musyikin ditawan dan mereka dikenakan wang tebusan mengikut kemampuan masing-masing, iaitu diantara 1000 dirham hingga 4000 dirham. Tebusan yang miskin tetapi pandai membaca dan menulis, dikehendaki mengajar sepuluh orang kanak-kanak Islam sebelum ia dibebaskan. Hukuman keatas tentera Musyikin yang ditawan ini sebanarnya dicadangkan oleh Sayidina Abu Bakar kerana menurutnya, dengan cara layanan yang baik ini nescaya Allah SWT akan memberi hidayah kepada mereka dan keluarga mereka untuk menganut agama Islam.

3.3      Tidak Boleh Memerangi Orang Kafir Yang Tidak Memiliki Kekuatan Dan Daya Usaha
Seterusnya, dalam ekspedisi peperangan tentera Islam tidak boleh memerangi orang kafir yang tidak memiliki kekuatan dan daya usaha seperti kanak-kanak, kaum wanita, orang cacat, lumpuh, paderi atau pendeta. Allah SWT telah mengizinkan umat Islam berperang selaras dengan surah al-Hajj, ayat 39 yang bermaksud, “Tetapi diizinkan berperang bagi orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya”. Namun begitu, umat Islam diingatkan supaya tidak melampaui batas seperti menzalimi orang yang tidak mampu berperang seperti kanak-kanak, kaum wanita, orang cacat, lumpuh, paderi atau pendeta.

Ini terbukti setelah Perang al-Ahzab pada tahun ke-5 Hijrah diceritakan telah berlaku peperangan yang akhirnya berpihak kepada orang Islam dan banyak antara orang Yahudi yang berjaya ditawan. Kaum lelaki Yahudi dibunuh manakala golongan wanita dan kanak-kanak dibebaskan. Tindakan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad ini adalah wajar memandangkan baginda telah beberapa kali memberi amaran tetapi mereka masih berdegil dan terus bertindak untuk menghapuskan islam.

Islam menetapkan agar pembunuhan hanya di medan perang dan tidak boleh diperluaskan di luar medan perang. Islam melarang membunuh kaum wanita, kanak, kanak dan orang awam yag tidak terlibat di dalam peperangan. Golongan musuh yang tidak terlibat di dalam peperangan tidak akan dibunuh selagi tidak menzahirkan pemusuhan dan penentangan bersenjata. Walaupun golongan wanita tidak boleh dibunuh tetapi jika wanita tersebut terbabit di dalam peperangan ,maka dia boleh dibunuh. Orang tua uzur dan golongan yang beribadat di rumah ibadat juga tidak boleh dibunuh dan dianiaya.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Keluarlah kamu (medan jihad) dengan nama Allah, perangilah di jalan Allah sesiapa yang kafirdengan Allah. Jangan kamu melanggar perjanjian, janjan kamu mengkhianati harta rampasan perang, jangan kamu rosakan mayat, jangan kamu bunuh kanak-kanak, dan ahli rumah ibadat.” Riwayat Ibn Abbas.

3.4       Melarang Segala Perbuatan Yang Mengaibkan Musuh
Islam melarang sebarang perbuatan yang boleh mengaibkan musuh, antaranya ialah tentera tidak boleh mencincang mayat atau musuh yang terbunuh. Peristiwa ini juga dapat dilihat pada Perang Uhud iaitu selepas kekalahan tentera islam dan tewasnya Hamzah bin Abdul Muttalib. Pihak musuh telah menganiaya mayat-mayat Muslimin dengan memotong telinga dan hidung mayat-mayat itu lalu dipakainya sebagai anting-anting dan kalung. Kemudian diteruskan lagi dengan membedahn perut Hamzah, dikeluarkan jantung lalu dikunyahnya tetapi ia tidak menelannya. Begitu kejinya perbuatan tersebut sehingga Abu Sufyan sendiri menyatakan lepas tangan dari perbuatan tersebut. Ia menyatakan bahawa dia samasekali tidak memerintahkan orang berbuat demikian, sekalipun dai sudah terlibat di dalamnya.

Kemudian nabi Muhammad mencari jenazah Hamzah kemudian baginda melihat jenazah tersebut sudah dianiaya dan perutnya sudah dibedah, baginda berasa sangat sedih sekali sehingga ia berkata “Demi Allah, kalau pada suatu ketika Allah memberikan kemengan kepada kami melawan mereka, nescaya akan kuaniaya mereka dengan cara yang belum pernah dilakukan oleh orang Arab”.

Dalam kejadian inilah firman Allah turun: “Dan jika kamu membalas kejahatan (mereka), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan sama seperti ditimpakan kepada kamu dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang yang sabar. Dan bersabarlah (Wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu) dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah, dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.”

Rasulullah kemudiannya memaafkan mereka. Ditabahkannya hatinya dan ia melarang orang melakukan penganiayaan. Diselubunginya jenazah Hamzah itu dengan mantelnya lalu disolatkan.
 
3.5       Sebarang Perjanjian Damai Yang Dimeterai Wajib Ditaati
Selain itu, sebarang perjanjian damai yang dimeterai wajib ditaati. Contohnya, ketika Perjanjian Hudaibiyah. Sebelum Perjanjian Hudaibiyah tertulis, Rasulullah s.a.w yang ingin ke Mekah untuk mengerjakan umrah telah dihalang oleh pihak musyrikin Mekah. Mereka meminta agar satu perjanjian dibuat. Dalam perjanjian itu, Rasulullah telah menuruti permintaan kaum musyrikin agar tidak ditulis ‘bismillahirrahmanirrahim’ tetapi ditulis ‘bismikallahumma’. Kemudian, rasulullah meminta jurutulis perjanjian itu iaitu Saidina Ali r.a. untuk menulis “Bismikallahumma, ini adalah perjanjian yang dibuat oleh Muhammad rasul Allah” tetapi telah dibantah oleh wakil kaum musyrikin.

Akhirnya, perkataan ‘Muhammad rasul Allah’ ditukar kepada ‘Muhammad bin Abdullah’. Selain itu, kaum muslimin tidak dibenarkan mengerjakan umrah pada tahun itu tetapi hanya dibolehkan untuk datang ke Mekah mengerjakan umrah pada tahun berikutnya. Kaum musyrikin juga menyatakan  agar mana-mana orang Mekah yang datang kepada Rasulullah s.a.w mesti dikembalikan kepada mereka dan Rasulullah bersetuju. Tetapi, mana-mana orang Islam yang datang kepada kaum musyrikin tidak akan dikembalikan.

Ramai sahabat merasakan islam telah direndahkan dalam perjanjian itu kerana mengalah terhadap tuntutan kaum musyrikin tetapi Rasulullah meyakinkan mereka dengan berkata, “Sesungguhnya aku adalah rasul Allah, aku tidak akan menyalahi perintah-Nya dan Dia pasti akan membelaku.” Namun, meskipun fasa-fasa dalam perjanjian itu seolah-olah memberikan kelebihan kepada musuh Islam namun Rasulullah mempunyai misi tersendiri. (405-409) Muhammad Husain Haekal terjemahan Ali Audah

Setelah Perjanjian Hudaibiyah termeterai, genjatan senjata 10 tahun dimulakan. Suasana aman dan damai terwujud, umat islam bebas bercakap mengenai islam dan semakin ramai yang memeluk islam. Akhirnya, kemenangan agung tercapai iaitu peristiwa pembukaan kota Mekah yang berlaku dalam keadaan damai (bukan perang) dan menjadilah Mekah sebagai kota suci umat Islam yang diasaskan oleh Nabi Ibrahim a.s. hingga ke hari ini.

3.6      Dilarang Merosakkan Harta Benda, Memotong Pokok Atau Membakar Rumah Kecuali Dalam Keadaa Darurat
Selain itu, tentera Islam dilarang merosakkan harta benda, memotong pokok atau membakar rumah kecuali dalam keadaan darurat. Ini membuktikan Islam mementingkan keamanan dan kesejahteraan. Keamanan adalah nilai yang amat berharga untuk sebuah negara merdeka. Percayalah setiap penduduk dalam negara yang menghadapi persengketaan dan peperangan, akan sentiasa mengimpikan keamanan yang entah bila boleh dikembalikan. Kejayaan Rasulullah SAW membina negara Madinah yang berdaulat adalah hasil kesepaduan masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan. Ia membuktikan Islam mementingkan perpaduan dan keamanan. Inilah keindahan Islam yang sepatutnya diamalkan sebagai model terbaik untuk dicontohi penganut bukan Islam.

Islam amat mementingkan prinsip kesederhanaan dan keadilan dalam kehidupan beragama. Sekiranya setiap penganut agama mengambil pendekatan sederhana dan bersikap adil terhadap penganut agama lain, insya-Allah, saya percaya perpaduan dan keamanan dapat dikekalkan di negara kita. Memelihara keamanan adalah suatu yang dituntut dalam kehidupan tanpa mengira agama, bangsa, atau keturunan. Nabi Ibrahim pada awal baginda memijak kakinya di kota Makkah, beliau berdoa kepada Allah: "Ya Rabb-ku, jadikanlah negeri ini negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki berupa buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari kemudian." (Surah Al-Baqarah : 126).

Rasulullah ketika menyelesaikan masalah masyarakat Islam pada zamannya sentiasa menjuruskan kepada keamanan dan kesejahteraan. Demikian juga yang Baginda lakukan ketika berdepan musuh Baginda. Tindakan Baginda Rasulullah dalam berdakwah umpamanya, Baginda tidak mendahulukan menghukum daripada mendidik. Rasulullah juga mementingkan aspek kemanusiaan dan tidak mendahului nafsu dan amarah dalam tindakan Baginda. Sewajarnya umat Islam menanamkan sikap bertolak-ansur, hormat menghormati serta toleransi yang tinggi sesama manusia dan sekeliling mereka. Orang yang beriman dan bertakwa pastinya akan mengamalkan sikap toleransi, bekerjasama dan tolong menolong sesama insan tanpa mengira batasan agama, bangsa dan sebagainya. 
3.7      Tidak Boleh Memerangi Orang Yang Sudah Menyerah
Islam menetapkan etika peperangan tidak boleh memerangi orang yang sudah menyerah atau kafir dhimmi atau mereka yang sudah mengikat perjanjian damai serta mengaku taat setia kepada pemerintah Islam. Jadi peperangan dalam Islam bukan melambangkan Islam sebagai agama yang suka kepada keganasan atau agama yang disebarkan melalui mata pedang. Islam adalah agama yang menganjurkan kedamaian dan peperangan adalah cara terakhir setelah musuh-musuh Islam menyerang atau menceroboh kawasan umat Islam atau pun melanggar perjanjian damai.

             Islam telah menetapkan umat islam tidak boleh memerangi orang yang menyerah atau kafir dhimmi atau mereka yang sudah mengikat perjanjian damai sebagai contoh ialah semasa peristiwa Rasulullah hendak pergi mengerjakan umrah di Makkah pada ketika itu tetapi ketika sampai di Hudaibiyah ini, kaum kafir Quraisy menghalang rombongan Rasulullah SAW untuk masuk ke tanah haram. Rasulullah SAW mengutus Sayyidina Uthman Affan untuk berunding dengan mereka. Setelah lama menunggu Sayyidina Uthman yang tidak kembali, terdengar khabar mengatakan bahawa Sayyidina Uthman mati dibunuh sehingga menyebabkan para sahabat marah dan membai’ah Rasulullah untuk memerangi Quraisy.

Saat itu turun wahyu dua ayat iaitu ayat 10 dan 18 daripada surah al-Fath :
“Demi sesungguhnya! Allah redha akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya”.

Tidak lama sesudah itu, Sayyidina Uthman kembali dengan selamat. Beliau memperlihatkan butir proposal perjanjian genjatan senjata daripada musyrikin Makkah kepada Rasulullah SAW. Pada ketika itulah kaum kafir Quraisy sudah menyerah dan mengikat perjanjian dengan orang islam maka ia wajib lah ditaati dan diikuti.

            3.8       Pengagihan Harta Rampasan Perang
Cara pengagihan harta rampasan perang. Harta-harta yang diperolehi bukan dibolot oleh Rasulullah sebaliknya diagihkan secara sama rata di kalangan para pejuang. Selepas kewujudan Baitulmal, harta-harta berkenaan diuruskan dengan lebih baik dan digunakan untuk pembangunan negara khususnya pada zaman pemerintahan khalifah Umar al-Khattab. Harta rampasan ialah harta yang diperolehi oleh para pejuang Islam apabila mereka memerangi musuh-musuh Islam. Ia disebut sebagai Al Anfaal dan ini seterusnya terbahagi kepada dua jenis.

Pertama disebut sebagai Ghanimah, iaitu harta yang diperolehi melalui peperangan yang benar-benar berlaku. Kedua ialah harta yang diperolehi melalui peperangan yang tidak berlaku, yakni musuh melarikan diri dan meninggalkan harta benda mereka di medan perang. Di dalam Islam, pengagihan harta rampasan perang bukan secara sesuka hati atau zalim, tetapi berdasarkan apa yang digariskan oleh Allah (al-Quran) dan Rasul-Nya (Rasulullah). Allah berfirman: Mereka bertanya kepadamu tentang harta rampasan perang. Katakanlah: Harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan Rasul-Nya (untuk menentukan pengagihannya)." Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika betul kamu orangorang yang beriman; [al-Anfal 8:01]

Oleh itu sebagai contoh Ghanimah misalnya, pengagihannya adalah seperti berikut;Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, Rasul-Nya, kerabat (Rasulullah), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang musafir yang kehabisan bekalan; [al-Anfal 8:41]. Umat Islam tidak lagi memerangi musuh tetapi musuhlah yang memerangi umat Islam. Mereka mengambil harta rampasan umat Islam secara tidak adil, bahkan melakukan lebih daripada itu seperti merogol para wanita umat Islam dan memusnahkan harta awam.

3.9       Tawanan Perang Akan Dilayan Dengan Baik
Etika terakhir ialah tawanan perang akan dilayan dengan baik. Ia merupakan salah satu kaedah berdakwah yang diajar oleh Rasulullah. Dalam Perang Badar, Baginda menggunakan kaedah diplomasi, iaitu tawanan perang harus menebus diri dengan ilmu pengetahuan serta sejumlah wang tertentu. Selepas perang tersebut Rasulullah juga telah berpesan pada orang ramai supaya bersikap baik dan belas kasihan kepada orang tawanan. Sehingga ada kaum muslimin yang memberikan satu-satunya roti yang ada kepada orang tawanan. 

Sehingga orang tawanan merasa segan dengan kebaikan yang ditunjukkan. Rasulullah kemudian berbincang dengan orang Islam tentang nasib tawanan Badar. Ada yang menyatakan dibunuh saja kerana mereka telah engkar dengan Allah dan mengusir kaum Muhajirin dari Makkah.  Ada pula yang lebih lembut hatinya dan disuruh lepaskan saja dengan harapan mudah-mudahan mereka akan insaf dan tertarik dengan Islam. Setelah lama berbincang, mereka akhirnya mengambil keputusan untuk melepaskan mereka dengan mengenakan tebusan sekadar yang sepatutnya mengikut keadaan masing-masing. Setinggi empat ribu dirham dan serendah satu ribu dirham.

Selain itu, bagi yang miskin tetapi ada pengetahuan membaca dan menulis dikehendaki supaya mengajar sepuluh orang kanak-kanak Islam. Mereka semua dibebaskan apabila tebusan telah dibayar atau kanak-kanak itu telah pandai. Hukuman keatas tentera Musyikin yang ditawan ini sebenarnya dicadangkan oleh Sayidina Abu Bakar kerana menurutnya, dengan cara layanan yang baik ini nescaya Allah SWT akan memberi hidayah kepada mereka dan keluarga mereka untuk menganut agama Islam.



4.0       RUMUSAN
Umat Islam berjuang di jalan keamanan , keadilan dan apabila ianya tidak dapat dicapai melalui jalan biasa maka mereka harus berperang untuk mempertahankan prinsip-prinsip asas islam. Tanpa peperangan adalah mustahil umat Islam akan dapat menikmati kehidupan yang aman dan tenteram malah kemungkinan besar nyawa dan harta benda mereka akan turut terancam.

Meskipun demikian sebelum sesuatu tindakan ketenteraan di ambil terhadap musuh Islam mereka hendaklah di beri pilihan sama ada hendak menerima Islam sebagai agama mereka, membayar cukai untuk menjaga kepentingan mereka atau berperang. Di dalam sejarah Islam Nabi Muhammad S.A.w tidak pernah memerangi musuh tanpa terlebih dahulu mengemukakan tiga perkara tersebut. Ini dapat di lihat daripada hadis Rasullulah S.A.W yang diriwayatkan oleh muslim yang bermaksud:
Apabila kamu berhadapan dengan musuhmu dari orang-orang musyrikin maka serulah mereka kepada salah satu dari tiga perkara, jika sekiranya salah satu dari perkara-perkara itu mereka terima maka selesaikanlah dan layani mereka dengan baik, Islam atau cukai atau peperangan.

Walau bagaimanapun di dalam peperangan tersebut sebaik-baik sahaja kebaikan sudah dapat diperolehi, maka kesemua bentuk peperangan hendaklah dihentikan dengan serta merta. Ini adalah kerana keamanan adalah dasar Islam manakala tindakan ketenteraan hanyalah sebagai alat penegak keamanan, kebaikan dan ketertiban. Ini dapat di lihat dengan jelas daripada firman di dalam surah Al baqarah ayat 194 bererti:
(Oleh itu) barang siapa menyerang (mencerobohi) kamu, maka seranglah ia yang seimbang dengan serangannya terhadap kamu.

Kesimpulannya peperangan adalah satu keperluan di dalam usaha untuk mengawal dan mempertahankan negara yang di atasnya didirikan sistem keadilan dan kebaikan. Oleh kerana musuh-musuh Islam ingin memusnahkannya maka satu-satunya jalan untuk mempertahankan agama dan umat islam ialah melalui tindakan ketenteraan. Ini dapat di lihat daripada firman Allah di dalam surah Al Baqarah ayat 193 yang bermaksud:
perangilah mereka itu sehingga tiada lagi fitnah dan (sehingga) agama itu hanya untuk Allah belaka. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu) maka tiada permusuhan (lagi) kecuali terhadap orang-orang yang zalim.

Dengan ini jelaslah bahawa Islam amat mengutamakan keamanan dan mahukan semua manusia hidup di dalam keadaan berbaik-baik dan saling menghormati di antara satu sama lain. Akan tetapi bukanlah bererti bahawa di dalam menjaga kedamaian dan kerukunan hidup Islam terpaksa menggadai maruahnya dengan sentiasa bersikap negatif walaupun dimusuhi dan dicerobohi oleh musuh diperangi dan di usir dari tanah air. Islam amat tegas di dalam soal ini dan telah mewajibkan umatnya untuk mempertahankan maruah islam walaupun dengan terpaksa melakukan peperangan.


Bibiliografi
Daud Mohd Salleh (2005). Nabi Muhammad S.A.W Keluarga Dan         Sunnah. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Hepi Andi Bastoni (2011). 100 Tokoh Dalam Dakapan Rasulullah. Kuala         Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia: Kemilau Publika Sdn Bhd.
Mahayudin Hj Yahaya, Ensiklopedia Sejarah Islam, Penerbit Universiti            Kebangsaan Malaysia, Bangi, 1986-1989.
Mahayudin Hj Yahaya dan Ahmad Jelani Halimi (1996). Sejarah Islam, Kuala            Lumpur : Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.
Muhammad Yasin Mazhar (1993). Organisasi Kerajaan Pimpinan         Rasulullah. Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Muhammad Husain Haekal (1972). Sejarah Hidup Muhammad. Indonesia,     Jakarta: P.T Mitra Kerjaya Indonesia.
Mustafa haji Daud (1991).Tamadun Islam, Kuala Lumpur: Utusan Publication           and Distributors Sdn. Bhd.
____, Sirah Nabi Muhammad (saw) zaman Makkah, Dewan Bahasa Dan       Pustaka: Kuala Lumpur, 1992.

Professor Dr. Shamrahayu Ab. Aziz (2012). Tajuk dari laman web       http://panduanpercuma.info/tag/etika-rasulullah-dalam-perang/. Diakses   pada 4 Ogos 2012.

Adam Fikri (2011). Tajuk dari laman web
      http://www.adamfikri.com/artikel-peristiwa-perang-badar/. Diakses pada 4 Ogos 2012.

No comments:

Post a Comment