. Amoi Chantek: KBSR dan KSSR Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Wednesday 10 April 2013

KBSR dan KSSR


2.0       MENGHURAIKAN PEMBENTUKAN SERTA PELAKSANAAN KURIKULUM BARU SEKOLAH RENDAH ( KBSR ) DAN KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH ( KSSR ) SERTA BANDING BEZAKAN KEDUA-DUA KURIKULUM TERSEBUT
Pendidikan di Malaysia kian pesat membangun. Pelbagai dasar yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan sebelum dan selepas merdeka demi memantapkan lagi pendidikan di negara ini seperti Penyata Razak, Ordinan Pelajaran pada tahun 1952 dan sebagainya. Rentetan daripada perkara ini impak yang dapat dilihat pada generasi masa kini. Hampir 90 peratus masyarakat yang buta huruf dapat dikurangkan dan diganti dengan generasi yang celik ilmu dan hal ini menyebabkan secara langsung membangunkan negara supaya lebih maju dan berdaya saing. Dalam konteks tugasan ini lebih memfokuskan perihal dua kurikulum iaitu Kurikulum Baru Sekolah Rendah ( KBSR ) Dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah ( KSSR ).

2.1       Pembentukan Serta Pelaksanaan KBSR dan KSSR
Pada tahun 1982, KBSR telah dilaksanakan secara percubaan di 305 buah sekolah di seluruh Malaysia. Kemudian pada tahun berikutnya iaitu pada tahun 1983, pelaksanaan penuh dikuatkuasa di semua sekolah rendah malah ia diwajibkan di semua sekolah seluruh Malaysia. Hal ini dilaksanakan kerana, berlatar belakangkan penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sepertimana yang dijelaskan dalam dalamnya, Jawatankuasa Kabinet telah memberi perhatian serius kepada pembangunan kemanusiaan. Jadi, tindakan untuk menterjemahkan perkara tersebut telah menjelma dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah seperti yang ternyata dalam huraian matlamat pendidikan sekolah rendah di bawah:

“…matlamat pendidikan rendah adalah untuk memastikan perkembangan murid secara menyeluruh. Perkembangan ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani, jasmani, emosi, bakat, akhlak, nilai-nilai estetika sosial.”

Seiring dengan matlamat tersebut, maka objektif-objektif pendidikan peringkat rendah juga merangkumi aspek-aspek seperti yang dinyatakan iaitu yang pertama, supaya murid-murid dapat menguasai Bahasa Melayu selaras dengan kedudukannya sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara kita, menguasai kemahiran asas berbahasa, iaitu bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa pengantar sekolah berkenaan, menguasai kemahiran asas mengira dan menggunakannya dalam kehidupan harian, menguasai kemahiran berfikir dan belajar serta kemahiran saintifik dan teknikal, bertutur, membaca, menulis dan memahami

Selain itu, Bahasa Inggeris sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kedua, menimba pengetahuan dan berikhtiar untuk meluaskannya, menguasai kemahiran membaca, menghafaz dan memahami pengertian ayat-ayat al-Quran bagi murid-murid islam, memperkukuhkan asas keimanan, kerjakan amal ibadat dan amalkan akhlak mulia mengamalkan sikap dan perlakuan yang berpandukan nilai murni serta menjadikannya asas bagi amalan hidup dan akhir sekali menikmati dan sertai aktiviti-aktiviti amal, kesenian dan rekreasi dalam lingkungan kebudayaan nasional.

 Kesannya, maka pada akhir persekolahan rendah nanti, murid-murid dapat menggunakan kemahiran bahasa dan matematik untuk berfikir, berkomunikasi dan menyelesaikan masalah. Selain itu, mereka juga akan dapat berfikir secara logik serta memahami isu-isu kemasyarakatan dan negara. Peluang-peluang juga disediakan untuk murid-murid mengembangkan potensi, bakat, minat dan daya kreatif mereka melalui muzik, lukisan dan penulisan. Namun pada tahun 1988, KBSR telah disemak semula bagi mengetahui kelemahan dan kekuatannya. Lanjutan daripada itu, KBSR yang dahulunya dikenali sebagai Kurikulum Baru Sekolah Rendah telah ditukar menjadi Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah.

Untuk KSSR pula melalui konteks ini, ia diperkenalkan untuk menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai relevan untuk memenuhi keperluan semasa serta menghadapi cabaran abad ke-21. KSSR juga  diterapkan kepada murid tahun satu kerana kesesuaian murid tersebut yang baru menduduki alam persekolahan atau peringkat awal pendidikan mereka. Penerapan dari peringkat awal akan membantu memudahkan perjalanan serta pembelajaran murid-murid tersebut yang akan melangkah ke tahun-tahun seterusnya sejajar dengan perubahan umur.

Menurut Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, KSSR tidak akan menggantikan tetapi beriringan dengan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Melalui KSSR katanya, pengajaran dan pembelajaran akan menggunakan modul yang akan menggantikan buku teks, oleh itu guru-guru sedang disedia dan dilatih untuk KSSR. Ia diharap dapat meningkatkan penguasaan murid-murid sekolah rendah khususnya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Pendekatan teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan menjadi lebih menarik dan interaktif di mana ia melibatkan penggunaan dua bahasa tersebut serta meningkatkan penguasaannya bagi guru-guru untuk mengajar dalam subjek Matematik dan Sains sejajar dengan matlamat kerajaan.

 KSSR juga digubal dalam pernyataan standard terdiri daripada standard kandungan dan pembelajaran yang perlu dicapai murid dalam satu tahap persekolahan. Standard Kandungan ialah penyataan spesifik mengenai perkara murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai, manakala Standard Pembelajaran ialah penetapan kriteria atau petunjuk kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.

2.1       Pebezaan KBSR dan KSSR
Tidak dinafikan terdapat banyak perbezaan antara KBSR dengan KSSR. Antara perbezaan yang ketara ialah dari segi reka bentuk kurikulum kedua-duanya. Kurikulum Baru Sekolah Rendah ( KBSR ) adalah reka bentuk kurikulum berasaskan tiga bidang iaitu Komunikasi iaitu manusia dan alam kelilingnya dan perkembangan diri individu. Kaedah ini menggunakan Elemen Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif dengan fokus kepada 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Untuk Kurikulum Standard Sekolah Rendah ( KSSR ) pula, konsepnya ialah reka bentuk kurikulum berasaskan enam tunjang iaitu komunikasi, kerohanian, sikap dan nilai, kemanusiaan, perkembangan fizikal dan estetika, sains dan teknologi serta keterampilan diri. KSSR menggunakan Elemen Kreativiti dan Inovasi, Keusahawanan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) secara eksplisit dengan memfokuskan kepada 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul.

Selain itu, perbezaan matlamat pula antara kedua-dua kurikulum ini ialah pertama sekali matlamat KBSR ialah untuk memastikan perkembangan pelajar secara menyeluruh dan seimbang  sama ada dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi. Selain perkembangan individu KBSR juga menekankan ciri-ciri komunikasi berkesan, kemanusiaan dan persekitaran. Untuk KSSR pula menumpukan aspek-aspek seperti komunikasi, kerohanian, sikap dan nilai kemanusiaan, perkembangan fizikal dan estetika,  sains dan teknologi serta ketrampilan diri.

Di samping itu juga, perbezaan lain yang dapat dilihat antara KBSR dan KSSR ialah dari segi organisasinya. Untuk kurikulum KBSR, ia lebih kepada pembahagian kurikulum mengikut tahap dan umur seseorang pelajar. Kurikulum KBSR ini boleh terbahagi kepada dua iaitu tahap satu dan tahap dua. Bagi tahap satu, ia merangkumi tahun satu, dua dan tiga dan tahap kedua ialah merangkumi tahun empat, lima dan enam. Kesua sukatan pelajaran ini berdasarkan matapelajaran wajib, teras dan tambahan.

 Untuk KSSR pula, organisasi kurikulumnya kebanyakan sama dengan kurikulum KBSR cuma terdapat pertambahan sedikit dalam struktur organisasinya. Untuk tahap satu, KSSR menggunakan Modul Teras Asas, Modul Teras Tema dan Modul Elektif dan bagi tahap dua pula, kurikulumnya adalah Mata pelajaran Teras dan Elektif. Jadi disini kita dapat perhatikan perbezaannya melalui struktur organisasinya. Tahap yang digunakan adalah sama cuma kandungan dalamnya yang berbeza mengikut tahap dan umur para pelajar.

Antara perbezaan lain KBSR dan KSSR ialah dokumen kurikulum KSSR dipanggil sebagai Dokumen Standard dan tiada lagi Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran.  KBSR menetapkan hasil pembelajaran ( learning outcome ) sebagai sasaran yang ingin dicapai setelah menamatkan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran namun bagi KSSR ia menekankan standard kandungan dan standard pembelajaran sebagai sasarannya sewaktu guru merancang pembelajaran dan pengajaran. Selain itu, strategi untuk murid menguasai Bahasa Inggeris dalam  KBSR ialah dasar PPSMI  sementara dalam KSSR pula strateginya ialah dasar MBMMBI.

Penilaian dalam KBSR menggunakan kaedah konvensyenal ujian dan peperiksaan sementara dalam KSSR pula menggunakan Standard Prestasi (yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan) sebagai panduan wajib guru untuk melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah ( PBS ). Ujian dan peperiksaan sudah tidak lagi wajib dilaksanakan. Pencapaian atau perkembangan murid akan dilabelkan dengan band.  Tidak ada lagi nombor ( kedudukan ) dalam peperiksaan sebaliknya mereka dilabel dengan band dari satu hingga enam.  Band enam adalah aras tertinggi sementara band satu pula adalah sebaliknya. Dasar MBMMBI telah merubah struktur mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dari segi komponen, peruntukan bilangan masa pembelajaran dan pengajaran, pendekatan serta mewajibkan kedua-dua mata pelajaran tersebut diajar oleh guru opsyen. 












3.0       KURIKULUM STANDARD RENDAH (KSSR) DAPAT MEREALISASIKAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
KURIKULUM Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan sebagai usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai relevan untuk memenuhi keperluan semasa serta menghadapi cabaran abad ke-21. Pelaksanaan KSSR menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) bermula sesi persekolahan Januari lalu bertujuan meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran bahasa Inggeris.

KSSR digubal dalam pernyataan standard terdiri daripada standard kandungan dan pembelajaran yang perlu dicapai murid dalam satu tahap persekolahan. Standard Kandungan ialah penyataan spesifik mengenai perkara murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai, manakala Standard Pembelajaran ialah penetapan kriteria atau petunjuk kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) jelas sekali berlandaskan dan dapat merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini menekankan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) mengandungi sebelas unsur-unsur yang penting. Unsur-unsur tersebut ialah pendidikan suatu usaha berterusan, memperkembang potensi individu, perkembangan potensi secara menyeluruh dan bersepadu. Seterusnya, insan yang seimbang dan harmonis, kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan, rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, rakyat Malaysia yang berketrampilan. Selain itu, rakyat Malaysia yang berakhlak mulia, rakyat Malaysia yang bertanggungjawab. rakyat Malaysia yang berkeupayaan menikmati kesejahteraan diri dan rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan.

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) pula menekankan tentang KSSR adalah reka bentuk kurikulum berasaskan 6 tunjang iaitu Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai; Kemanusiaan, Perkembangan Fizikal dan Estetika; Sains dan Teknologi serta Keterampilan Diri. KSSR menggunakan Elemen Kreativiti dan Inovasi, Keusahawanan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) secara eksplisit dengan memfokuskan kepada 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul). KSSR dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) mempunyai matlamat dan hala tuju yang sama dan salin berkait rapat.

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah menyemaikan ke dalam masyarakat Malaysia yang berilmu pengetahuan dan dan berketrampilan seharusnya memiliki sifat cinta dan sentiasa dahagakan ilmu, suka membaca dan mengamalkan konsep pendidikan sepanjang hayat. Manusia yang memiliki sifat – sifat ini akan menggunakan ilmu tersebut untuk manfaat diri dan orang lain. Maksudnya di sini ialah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang mencintai ilmu pengetahuan dan sentiasa berusaha untuk mendapat, meningkat, dan menyebarkan ilmu serta meletakkan ilmu sebagai keutamaan dalam kehidupan, unsur ini amatlah dititik beratkan. Mereka juga hendaklah berupaya memanfaatkan ilmu untuk diri sendiri dan orang lain serta melakukan aktiviti kehidupan berasaskan ilmu pengetahuan di samping menghayati dan mengamalkan prinsip ' pendidikan sepanjang hayat '.

Implikasi unsur ini terhadap pengajaran dan pembelajaran guru di dalam bilik darjah ialah suasana pembelajaran akan lebih rancak dan menarik kerana apabila lahirnya pelajar atau rakyat Malaysia yang mencintai ilmu pengetahuan, ianya akan lebih menggalakkan pelajar untuk membaca lebih banyak buku untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan berlumba-lumba untuk mendapatkan ilmu pengetahuan baik daripada guru mahupun daripada usaha sendiri seperti membeli bahan bacaan ilmiah ataupun pergi ke perpustakaan untuk meminjam buku – buku. Contohnya, buku cerita, rujukan dan pelbagai lagi .
Selain itu, program buku nilam telah ditubuhkan di sekolah rendah bagi mengalakkan murid – murid membaca . Membaca ini dapat menambahkan pengetahuan murid – murid . Program ini juga turut menyediakan beberapa anugerah dan sijil oleh sekolah tertentu kepada murid yang paling ramai membaca buku. Program seperti ini secara tidak langsung akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua pelajar . Dengan itu, pelajar akan mampu melahirkan idea-idea yang logik , bernas dan mampu menjawab soalan yang dikemukakan oleh guru mereka .

Selain itu, sekiranya pelajar minat membaca, perkara inilah perkara utama yang menyumbang kepada kejayaan pengajaran dan pembelajaran guru di bilik darjah kerana, apabila pelajar mempunyai nilai suka membaca buku, mereka tidak perlu disuruh atau tidak lagi menunggu arahan untuk menimba ilmu pengetahuan. Sebaliknya mereka akan berusaha sendiri untuk menimba ilmu pengetahuan. Sikap seperti inilah yang akan menjadikan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas  lebih senang dan mudah dijalankan .

Disamping itu ialah perkembangan secara menyeluruh dan bersepadu yang ditekankan di dalam KSSR juga selaras dengan unsur-unsur yang terdapat di dalam FPK. Kesemua unsur yang yang ada pada diri manusia dikembangkan secara optimum dan pengembangan itu dilakukan tidak secara berasingan tetapi sentiasa dikaitkan di antara satu sama lain. Bakat, potensi dan kebolehan seseorang individu tidak boleh dikembangkan secara berasingan, sebaliknya ia dihubungkaitkan atau diselaraskan bagi mengelakkan pertentangan antara satu sama lain. Perkembangan dan peningkatan ini seelok – eloknya merangkumi empat aspek iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani. Pendek kata, semua unsur ini diperlukan bagi memperkembangan setiap keboleh upayaan seseorang individu terutamanya gologan murid.

Manusia memerlukan air dan makanan untuk hidup. Tanpa keperluan asas ini, manusia akan mati kebuluran. Sebegitu juga dengan keperluan manusia dalam ilmu, kemahiran dan nilai murni mengikut unsur itu tadi. Oleh itu, semua potensi perlu dikembangkan secara menyeluruh. Setiap potensi perlu dihubungkaitkan dengan potensi yang lain supaya semuanya berkembang secara tergabung dan saling berkaitan antara satu sama lain . Semua potensi dikembang secara bersepadu di atas suatu paksi iaitu prinsip ketuhanan. Nilai kehidupan, kemahiran, pengetahuan dan nilai murni ini juga tidak boleh bertentangan dengan prinsip agama seseorang individu . Keseimbangan diperlukan dalam menguasai unsur ini .

Potensi dan kebolehan dalam domain-domain berikut perlu dipupuk secara bersepadu dan menyeluruh iaitu dari segi intelektual, rohani, emosi dan fizikal. Sekiranya potensi dan kebolehan secara intelektual individu tersebut diperkembangkan, maka individu tersebut akan memiliki pengetahuan yang sebenar dan memiliki serta menghasilkan pemikiran yang kritis dan kreatif. Seterusnya, individu tersebut akan menggunakan pengetahuan yang telah diperolehinya untuk dirinya sendiri dan orang lain dengan cara menyebarkan pengetahuan yang dimilikinya dengan orang lain. Kesan perkembangan intelektual ini terhadap pengajaran dan pembelajaran guru di bilik darjah ialah pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah akan menjadi lebih menarik kerana pelajar-pelajar mampu untuk memikirkan sesuatu yang kritis dan menghasilkan jawapan yang kreatif bagi soalan-soalan yang diajukan oleh guru di dalam kelas.

Aspek dan unsur-unsur rohani juga hendaklah ditekankan kerana dengan penekanan yang lebih terhadap unsur rohani ini akan membentuk individu yang percaya kepada Tuhan , beragama , bernilai moral yang tinggi , bertingkah laku baik , setia dan rela berkorban demi pembangunan Negara . Implikasi perkembangan rohani ini terhadap proses pengajaran dan pembelajaran guru di bilik darjah ialah ianya akan lebih mendisiplinkan diri pelajar tersebut dan akan memudahkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah kerana murid yang berdisiplin akan mematuhi peraturan dan secara automatik mengamankan suasana di dalam bilik darjah agar murid dan guru dapat menjalani proses pengajaran dan pembelajaran dalam keadaaan yang selesa . Guru juga akan lebih mudah mengajar dalam suasana yang kondisif .

Unsur emosi juga tidak harus diabaikan kerana perkembangan emosi yang baik akan membentuk individu yang pandai berdikari, tenang, bertingkah laku baik, bersikap penyayang dan bersemangat setiakawan. Mereka juga akan turut menghargai kecantikan dan seni. Implikasi perkembangan potensi dari aspek emosi ini terhadap proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah ialah proses P&P akan berada dalam keadaan yang lebih terkawal dan memberansangkan. Hal ini adalah kerana dengan perkembangan emosi, pelajar-pelajar tidak akan bergantung sepenuhnya kepada guru dan lebih tenang dalam melakukan sesuatu keputusan.

Pembelajaran juga akan menjadi lebih menarik kerana adanya semangat setiakawan dan penyayang yang akan mendorong pelajar untuk menolong antara satu sama lain. Guru seharusnya pandai mengawal emosi dalam mengawal keadaan kelas yang agak aktif. Pendekatan saling berkomunikasi dengan mereka dapat mendekatkan seorang guru itu dengan murid. Murid akan mudah dan suka berkongsi masalah dengan guru tersebut. Emosi kedua – dua pihak akan dapat dikawal. Jika emosi tidak dapat dikawal, maka konflik akan terjadi .

Seterusnya ialah unsur fizikal bagi melahirkan individu yang tangkas dan sihat. Unsur ini penting bagi memperkembangkan bakat dan kemahiran teknikal serta manipulatif. Implikasinya terhadap pengajaran dan pembelajaran guru di bilik darjah ialah pengajaran dan pembelajaran guru dalam bilik darjah akan menjadi lebih selesa jika pelajar mengetahui cara-cara menjaga kesihatan tubuh badan diri kerana guru akan dapat menyampaikan ilmu kepada semua pelajarnya . Oleh yang demikian, subjek Pendidikan Jasmani dibuat bagi menyeimbangi aspek fizikal murid dan mental emosi murid. Contohnya, murid akan dapat mengurangkan sedikit tekanan semasa melakukan senaman badan .

Di samping itu, ia juga akan dapat membantu guru menjalankan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah dengan lancar jika semua pelajar memanfaatkan tenaga fizikal secara berdikari tanpa terlalu mengharapkan bantuan guru. Tambahan lagi, unsur jasmani dalam pengajaran dan pembelajaran guru dalam bilik darjah akan dapat membantu guru kerana pelajar akan menggunakan bakat dan kemahiran teknikal atau manipulatif dengan cekap.

 Rujukan
Choong Lean Keow (2008). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia untuk
Program Perguruan Pendidikan Rendah Pengajian 4 Tahun. Selangor: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Ee Ah Meng (2005). Ilmu Pendidikan, Pengetahuan dan Ketrampilan Ikhtisas
(Semester 1),Shah Alam, Selangor : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd
Mok Song Sang (1996). Pendidikan Di Malaysia Untuk Diploma Pendidikan.
Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd
Ragbir Kaur a/p Joginder Singh (2005). Panduan Ulangkaji Ilmu
Pendidikan untuk KPLI. Selangor: Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
Sufean Hussin (2004). Pendidikan di Malaysia Sejarah, Sistem dan Falsafah.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  

1 comment:

  1. menariknya boleh mintak tak cikgu sebagai bahan assigment saya .kalau boleh send lah kepada saya pgsr09nafasah.gmail.com

    ReplyDelete