. Amoi Chantek: Pembentukan Malaysia Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Wednesday 10 April 2013

Pembentukan Malaysia


1.0         Pengenalan
Persekutuan Tanah Melyu secara rasminya telah diisytiharkan merdeka pada 31 ogos 1957 melalui rundingan. Walau bagaimanapun, wilayah-wilayah negeri Melayu yang lain seperti Singapura, Sarawak, Borneo Utara dan Brunei masih lagi belum mencapai kemerdekaan dan masih menjadi tanah jajahan British. Cadangan-cadangan dan idea-idea bagi menggabungkan kesemua wilayah ini sebagai sebuah negara dibuat beberapa kali sejak tahun 1880-an sehinggalah 1960. Malahan, Kesatuan Melayu Muda turut mencadangkan gagasan ‘Melayu Raya’ atau ‘Indonesia Raya’ yang menggabungkan Indonesia dengan Tanah Melayu sebelum kedatangan Jepun lagi.
           
Corak pemerintahan British terhadap tanah jajahan mereka adalah berteraskan penyatuan dan keseragaman seperti mana yang dapat dilihat melalui penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat. Cadangan bagi menggabungkan Tanah Melayu dengan negeri-negeri Melayu lain yang belum merdeka adalah bagi memudahkan pihak British. Banyak pegawai-pegawai British yang telah mengemukakan cadangan mengenai penggabungan Tanah Melayu dengan Singapura, Sarawak, Borneo Utara dan juga Brunei.

Cadangan bagi menggabungkan Tanah Melayu dengan wilayah-wilayah yang dikuasai oleh British di Asia Tenggara di bawah satu unit pentadbiran telah bermula sejak Tanah Melayu belum mencapai kemerdekaan lagi. Cadangan penggabungan ini bukan sahaja dikemukakan oleh pemimpin-pemimpin di Asia Tenggara, tetapi juga banyak dikemukakan oleh pegawai-pegawai British sendiri, namun tidak mendapat reaksi yang positif.


2.0         Pembentukan Malaysia
2.1       Cadangan Awal Penubuhan
Pada tahun 1887, pengarah Syarikat Berpiagam Borneo Utara iaitu Lord Brassey telah mencadangkan agar Tanah Melayu, Negeri-negeri Selat, brunei, Sabah dan Sarawak disatukan sebagai sebuah tanah jajahan yang besar. Namun, cadangan yang ini telah ditolak sepenuhnya oleh para pemegang saham Syarikat Berpiagam Borneo Utara. Pada tahun 1888, Kabinet British turut membicangkan hal mengenai penggabungan ini namun lenyap begitu sahaja kerana tiada tindakan susulan yang dilakukan. Begitu juga dengan cadangan yang dikemukakan oleh Gabenor Negeri-negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi British di Asia Tenggara iaitu Sir Cecil Clementi agar ditubuhkan Persekutuan Borneo yang menggabungkan Brunei, Sabah dan Sarawak tidak berjaya kerana tidak mendapat sambutan.

Cadangan itu disuarakan semula oleh Sir Malcolm MacDonald selaku Pesuruhjaya Tinggi British di Asia Tenggara yang ditugaskan untuk menyelaraskan dasar-dasar dan pentadbiran British di Borneo dan Singapura. Pada 23 April 1953, beliau telah mempengurusikan satu persidangan yang dikenali sebagai Persidangan Sarawak, Borneo Utara dan Brunei sebagai usaha awal menggabungkan ketiga-tiga wilayah tersebut. Namun usaha itu gagal disebabkan Sultan Brunei tidak berminat dengan sebarang bentuk persekutuan. Bukan sahaja MacDonald yang menggerakkan cadangan tersebut, sebelum tahun 1956 telah ada parti politik yang turut mengerakkan cadangan penggabungan tersebut iaitu Parti Progresif Singapura. Parti ini mentakrifkan kesemua wilayah British di Asia Tenggara dengan nama Malaya (Ruslan Zainuddin, 2003).

Pada tahun 1948 dan 1951, Naib Presiden Parti Progresif iaitu Thio Chan Bee mencadangkan Singapura, Tanah Melayu dan Borneo disatukan ke dalam satu unit pentadbiran. Menjelang tahun 1950-an, konsep ‘Malaysia’ telah disuarakan oleh Parti Progresif Singapura dan hal ini telah menarik banyak perhatian daripada beberapa pihak di Tanah Melayu. Mohd Ghazali bin Shafie pada Mac 1954 telah memberikan sokongan terhadap konsep tersebut dan pada Februari 1955, Presiden MCA iaitu Tan Cheng Lock tutut melahirkan sokongan yang sama. Lee Kuan Yew dan dua orang pemimpin Singapura iaitu David Marshall dan Lim Yew Hock pernah menyuarakan supaya Singapura digabungkan dengan Tanah Melayu disebabkan oleh kedua-dua wilayah tersebut merupakan satu unit ekonomi yang sama tetapi diasingkan oleh pihak British.

Sehingga tahun 1955 masih belum ada tokoh dari Tanah Melayu sendiri yang memberikan pandangan kepada cadangan-cadangan awal yang dibuat. Hanya pada tahun 1953, Ghazali Shafie iaitu seorang peguam muda menyatakan akan sokongan beliau terhadap penyatuan politik dibuat antara wilayah-wilayah tersebut. Kemudian barulah kenyataan daripada tokoh Tanah Melayu iaitu pada 26 Disember 1955 dalam Perhimpunan Agung UMNO, Tunku Abdul Rahman telah mengesyorkan supaya Singapura mencapai kemerdekaan melalui Tanah Melayu. Namun, hal ini telah mendapat tentangan daripada UMNO kerana UMNO bimbang kemasukan Singapura akan menyebabkan imbangan kaum Melayu dan bukan Melayu terjejas berikutan bilangan penduduk Cina yang ramai di Singapura. Selain itu, UMNO juga bimbang sikap antikomunis kerajaan Tanah Melayu akan menghalangnya untuk bergabung dengan sebuah negeri yang corak politiknya cenderung ke kiri.

Segala cadangan awal, saranan dan pandangan diakhiri oleh kenyataan rasmi Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka menyuarakan konsep atau Gagasan Malaysia. Pengumuman Tunku telah dibuat semasa ucapannya kepada Persatuan Wartawan-wartawan Luar Negara di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961. Gagasan Malaysia yang dikemukakan oleh Tunku melibatkan penggabungan Singapura, Sarawak, Sabah dan Brunei.
2.2       Faktor Pembentukan
Kenyataan yang telah dibuat oleh Tunku Abdul Rahman semasa berada di Singapura bukanlah sesuatu yang baru. Tunku mengemukakan kenyataan mengenai cadangan Gagasan Malaysia adalah berdasarkan beberapa faktor. Faktor-faktor inilah yang telah memainkan peranan yang penting bagi Tunku untuk membuat kenyataan mengenai cadangan Gagasan Malaysia.

Faktor yang pertama yang telah mempengaruhi Tunku untuk membuat kenyataan mengenai cadangan Gagasan Malaysia ialah faktor keselamatan. Faktor keselamatan merupakan faktor utama kepada cadangan Gagasan Malaysia. Hal ini berkaitan dengan keadaan politik dalaman Singapura yang tidak stabil. Barisan Sosialis telah memenangi kerusi semasa pilihan raya di kawasan Hong Lim di Singapura diadakan. Kemenangan Gerakan Sosialis telah menunjukkan pengaruh parti Tindakan Rakyat atau People`s Actin Party (PAP) merosot. Perkara yang paling membimbangkan Tunku ialah apabila pihak Komunis dapat menyerap penguasaan menerusi Barisan Sosialis yang berhaluan kiri. Hal ini akan mengancam Tanah Melayu yang baru sahaja selesai membanteras ancaman PKM. Tunku bimbang jika pengaruh komunis dari negara jiran iaitu Singapura akan mewujudkan suasana yang tidak aman dan tidak disenangi rakyat Tanah Melayu. Oleh itu, penggabungan Singapura dengan Tanah Melayu dapat membantu mengatasi masalah tersebut.

            Selain itu, faktor lain yang memainkan peranan penting yang mempengaruhi cadangan Gagasan Malaysia ialah aspek imbangan kaum. Penggabungan Singapura dengan Tanah Melayu akan mengakibatkan jumlah orang Melayu akan diatasi oleh orang Cina. Bilangan penduduk Cina di Singapura dan Tanah Melayu adalah lebih banyak jika dibandingkan dengan penduduk Melayu di Singapura dan Tanah Melayu. Bagi mengatasi masalah ini, Borneo haruslah digabungkan bersama.  Kemasukan Borneo mampu mengimbangi jumlah penduduk Tanah Melayu dan Singapura. Justeru, Tunku telah melahirkan cadangan Gagasan Malaysia yang meliputi Sabah, Sarawak dan Brunei bagi mengimbangi jumlah penduduk Melayu dengan bukan Melayu.

Aspek ekonomi turut memainkan peranan dalam pembentukan Gagasan Malaysia. Tanah Melayu mempunyai ekonomi yang stabil dengan bahan mentah yang banyak dan dengan kemasukan Singapura, kedudukan ekonomi akan menjadi lebih. Hal ini dilihat oleh Tunku sebagai keperluan ekonomi bersama. Penggabungan Tanah Melayu dengan Singapura juga akan dapat memberikan ruang kepada Singapura menyelesaikan masalah-masalah ekonomi yang disebabkan oleh peningkatan populasi dan perdagangan yang memerlukan pulau itu melancarkan program berskala maksimum ke arah industrialisasi. Oleh itu, penggabungan ini akan mewujudkan kestabilan politik dan sebuah pasaran yang akan dapat menarik kemasukan pelabur asing tanpa ada persaingan antara Tanah Melayu dengan Singapura serta mempunyai asas ekonomi yang kukuh dan sangat kuat.

            Faktor yang seterusnya ialah bagi memelihara kepentingan Sabah dan Sarawak. Walaupun Sabah dan Sarawak berada di bawah pentadbiran British, namun penduduk bumiputera telah diabaikan serta diberi layanan yang tidak sewajarnya sebagai penduduk asal negeri tersebut. Jawatan-jawatan penting lebih banyak dikuasai oleh pegawai British sendiri dan orang luar yang datang ke Sabah dan Sarawak berbanding dengan penduduk bumiputera. Hal ini disebabkan oleh pencapaian penduduk bumiputera dalam bidang pendidikan agak rendah jika dibandingkan dengan orang luar. Melalui Gagasan Malaysia, usaha untuk memperbaiki kedudukan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak boleh dilaksanakan. Kerajaan Persekutuan turut memperluaskan peruntukan tentang kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum Bumiputera lain ke Sabah dan Sarawak. Selain itu, pembentukan Malaysia juga akan membolehkan Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan dengan lebih cepat.
            Namun, semasa Tunku mengusulkan pembentukan Malaysia, Sarawak dan Sabah belum lagi bersedia untuk mempunyai pemerintahan sendiri. Di Sarawak, pemerintahan Brooke baru saja berakhir apabila British mengambilalih kuasa untuk mengawasi tugas membangunkan semula negeri itu. Semasa pemerintahan Brooke, Brooke telah mengekalkan cara hidup rakyat bumiputera khusunya kumpulan terbesar iaitu suku Iban. Brooke juga telah menghadkan perkhidmatan awam dan perkhidmatan sosial pada takat yang minimum sahaja kerana beliau ingin mengekalkan tradisi hidup rakyat tempatan. Oleh itu, Sarawak belum bersedia untuk menerima cadangan Tunku mengenai pembentukan Malaysia. Di Sabah juga, kedudukan politik banyak menyerupai keadaan di Sarawak. Sabah dan Pulau Labuan telah diserahkan kepada Great Britain disebabkan oleh perbelanjaan yang ditanggung oleh North Borneo Company bagi membina semula negeri tersebut selepas perang. Kedua-dua negeri ini tidak ingin menyertai Malaysia kerana kebimbangan yang meluas mengenai masa depan negeri mereka tanpa pemerintahan paternalis (Andaya dan Andaya, 1983).












3.0       Proses Pembentukan Malaysia
Rundingan bagi mendapatkan persetujuan dengan pemimpin-pemimpin wilayah yang terlibat dijalankan setelah Tunku membuat kenyataan mengenai Gagasan Malaysia di Singapura. Rundingan amat penting untuk dijalankan lebih-lebih lagi apabila reaksi awal yang ditunjukkan oleh sesetengah pihak di Borneo Utara dan Sarawak tidak menggalakkan. Pada Julai 1961, kerajaan British menghantar beberapa orang wakil dari Sabah dan Sarawak untuk menghadiri persidangan Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) di Singapura yang juga dihadiri oleh wakil-wakil dari Tanah Melayu dan Singapura. Peluang ini digunakan oleh wakil-wakil Tanah Melayu dan Singapura untuk menjelaskan konsep Malaysia kepada wakil-wakil Sabah dan Sarawak. Akhirnya, perbincangan ini telah membawa kepada penubuhan sebuah jawatankuasa khas yang dikenali sebagai Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (MSCC) pada 23 Julai 1963.

Penubuhan jawatankuasa ini bertujuan untuk menyelesaikan pandangan yang berbeza berhubung dengan cadangan Gagasan Malaysia. MSCC dipengerusikan oleh Donald Stephen dan dianggotai oleh wakil-wakil dari Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Brunei dan Sabah. MSSC ditugaskan bagi mengumpulkan pandangan tentang Gagasan Malaysia di ketiga-tiga wilayah yang terlibat dan turut berperanan menyebarkan maklumat bagi menggalakkan perbincangan untuk mempercepatkan kesedaran penduduk terhadap cadangan Gagasan Malaysia. Setelah beberapa rundingan dibuat iaitu di Jesselton pada 21 Ogos 1961, Kuching pada 18 Disember 1961, Kuala Lumpur pada 6 Januari 1962 dan Singapura pada 1 Februari 1962, MSCC mencapai persetujuan tentang beberapa cadangan pembentukan Malaysia.

            Antara cadangan yang dipersetujui ialah satu suruhanjaya dibentuk bagi meninjau pandangan rakyat Sarawak dan Sabah tentang cadangan pembentukan Malaysia. Malaysia yang dicadangkan itu haruslah mempunyai sebuah Kerajaan Persekutuan yang kuat dan berkuasa dalam bidang perhubungan luar, pertahanan dan keselamatan. Selain itu, perwakilan di Parlimen tidak dibuat berasaskan bilangan penduduk di dalam sesebuah kawasan tetapi luas kawasan juga diambil kira. Bagi bidang kuasa pula, pembahagian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dipersetujui, tetapi Sabah dan Sarawak diberi beberapa kuasa istimewa termasuk dalam bidang imigresen. Di samping itu, agama Islam menjadi agama rasmi Persekutuan dan bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi. Kedudukan istimewa kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak juga akan dikekalkan.

Seterusnya ialah pembentukan Suruhanjaya Cobbold. Pembentukan Suruhanjaya ini adalah hasil daripada rundingan yang telah diadakan mengenai cadangan penubuhan Malaysia antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan pihak British di London pada tahun 1961. Suruhanjaya ini ditubuhkan bertujuan bagi meninjau pandangan penduduk Borneo Utara dan Sarawak berkenaan dengan Gagasan Malaysia. Lord Cobbold sebagai pengerusi manakala ahlinya ialah Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston wakil daripada kerajaan British, Ghazali Safie dan Wong Pow Nee wakil dari Persekutuan Tanah Melayu.

            Menurut Zulhilmi dan Rohani (2003), Laporan Suruhanjaya Cobbold dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British pada bulan Jun 1962 setelah mula menjalankan tugas pada bulan Februari sehingga bulan April 1962. Menurut laporan tersebut, satu per tiga daripada penduduk Borneo Utara dan Sarawak bersetuju menerima penubuhan sebuah Persekutuan bersama dengan Tanah Melayu dan Singapura tanpa mengenakan apa-apa syarat. Satu per tiga lagi menentang dan mahukan kemerdekaan secara berasingan dan yang selebihnya menerima penubuhan sebuah Persekutuan dengan Tanah Melayu dan Singapura dengan syarat hak-hak mereka dijamin terlebih dahulu. Suruhanjaya telah menggubal satu perlembagaan bersama yang menjadi tambahan kepada perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 setelah persetujuan daripada rakyat diterima.

Proses pembentukan ini juga dilakukan oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK). Pada 1 Ogos 1962, kerajaan British dan Tanah Melayu mengumumkan bahawa kedua-dua kerajaan menerima dengan sebulat suara hampir semua cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Cobbold dan menetapkan Malaysia ditubuhkan pada 31 Ogos 1963 kerana hari kemerdekaan Tanah Melayu jatuh pada tarikh yang sama. Sabah dan Sarawak juga setuju dengan tarikh tersebut. Seiring dengan itu, satu Jawatankuasa Antara Kerajan (JAK) dibentuk (Nazaruddin et al, 2001).

JAK dibentuk untuk merangka Perlembagaan Persekutuan Malaysia di samping melindungi hak serta kepentingan rakyat di Sabah dan Sarawak. JAK diketuai oleh Lord Landsdowne sebagai pengerusi, Dato’ Abdul Razak sebagai timbalan pengerusi serta wakil-wakil daripada kerajaan British, Singapura, Sabah dan Sarawak. Menurut buku Malaysia Kita (2005), JAK menerima pandangan daripada pelbagai pihak, khususnya dari Sabah dan Sarawak tentang kedudukan kedua-dua negeri tersebut dalam Persekutuan Malaysia. Wakil-wakil dari Sabah menghantar satu memorandum yang mengandungi 20 Perkara untuk melindungi hak dan kepentingan rakyat Sabah. Walaupun para pemimpin Sarawak tidak menghantar sebarang tuntutan, tetapi mereka bersetuju dengan perkara ynag terkandung dalam Tuntutan 20 Perkara.

JAK mengeluarkan laporannya pada bulan Februari 1963. Laporan itu dibincangkan dalam Majlis Negeri Sarawak pada 8 Mac 1963 dan diikuti oleh Sabah pada 13 Mac 1963 sebelum dibentangkan dalam Persidangan Parlimen Tanah Melayu dan diluluskan sebagai Akta Malaysia, 1963. Laporan JAK menjadi asas kepada Perjanjian Malaysia yang ditandatangani di London pada 8 Julai 1963. Menerusi perjanjian itu, kerajaan British bersetuju memberi kemerdekaan kepada Singapura, Sabah dan Sarawak yang akan bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu melalui pembentukan Malaysia (Mohd. Isa Othman, 2002).

Proses pembentukan Malaysia diteruskan dengan referendum Singapura. Menurut Nazaruddin et al (2001), pungutan suara atau referendum yang diadakan pada 1 September 1962 bertujuan untuk menentukan syarat-syarat yang dipersetujui oleh penduduk Singapura untuk bercantum dengan Persekutuan Tanah Melayu dan bukannya bermakna penduduk Singapura berpeluang menolak rancangan Malaysia. Pengundi diberi tiga pilihan iaitu Pilihan A iaitu percantuman yang memberikan Singapura kuasa autonomi dalam buruh, pelajaran dan perkara-perkara lain dan dengan sendirinya rakyat Singapura menjadi rakyat Malaysia.

Seterusnya ialah pilihan B iaitu percantuman penuh tanpa syarat bagi Singapura sebagai negeri yang sama taraf dengan 11 buah negeri-negeri Melayu yang lain. Iaitu Singapura akan dimasukan ke dalam Persekutuan Tanah Melayu tanpa apa-apa syarat dan tarafnya sama dengan 11 negeri yang lain. Manakala pilihan C pula ialah percantuman dengan syarat-syarat yang sama seperti yang diberikan kepada wilayah-wilayah Borneo. Pilihan C ini pula mengenakan syarat sama seperti yang di minta oleh Sabah dan Sarawak.

Semasa pungutan suara dijalankan, Barisan Sosiolis (Socialist Front) meneruskan tentangan dengan meminta penduduk Singapura untuk memulangkan kertas undi kosong sebagai tanda bantahan. Kerajaan Singapura menegaskan bahawa sesiapa yang memulangkan kertas undi kosong dianggap sebagai orang yang belum membuat keputusan. Oleh itu, undi mereka ditakrifkan mengikut Artikel 29, Ordinan Pungutan Suara yang menyebut bahawa sesiapa yang memulangkan kertas undi kosong tanpa ditanda dianggap sebagai bersetuju dengan sebarang keputusan Majlis Undangan Singapura. Setelah selesai, hasil referendum ini mendapati 397626 penduduk menyokong pilihan A dan 7911 penduduk penyokong pilihan C manakala 9422 penduduk menyokong pilihan B dan selebihnya sebanyak 144077 undi rosak (Malaysia Kita, 2005).




















4.0       Cabaran Terhadap Pembentukan Malaysia
Setelah usaha pembentukan Malaysia dilaksanakan yang pada mulanya melihat kepada cadangan awal penubuhannya dan apakah yang menjadi faktor kepada penubuhannya sehinggalah membawa kepada proses pembentukannya iaitu melalui beberapa peringkat antaranya ialah wujudnya Suruhanjaya Cobbold. Wujud juga Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) dan juga referendum di Singapura. Namun proses terhadap pembentukan Persekutuan Malaysia menghadapi beberapa cabaran dan tentangan dari dalam dan juga luar negeri. Di antara cabaran dan halangan yang dihadapi oleh Persekutuan Tanah Melayu dalam usaha menubuhkan Malaysia adalah tentangan dari negara-negara jiran seperti Brunei, Indonesia dan Filipina. Terdapat juga masalah yang wujud dari dalam negara sendiri.

Pertama sekali ialah konfrontasi Indonesia. Secara umumnya, reaksi menentang gagasan Malaysia yang dilakukan oleh Indonesia melalui dua tahap utama. Tahap pertama berlaku sebelum sebelum meletusnya pemberontakan di Brunei iaitu dari tahun 27 Mei 1961 hingga 7 Disember 1962. Manakala tahap kedua pula telah berlaku selepas pemberontakan di Brunei iaitu sejak 9 Disember 1962 sehingga 16 September 1963. Pada peringkat awal Indonesia tidak mengatakan tentangan terhadap gagasan Malaysia. Apabila pemberontakan Brunei meletus, Indonesia memberi simpatinya kepada Parti Rakyat Brunei (Mohd. Isa Othman, 2002). Dasar Indonesia kemudiannya berubah kepada anti-Malaysia.

Sebelum itu, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, konfrontasi juga dapat ditakrifkan sebagai bertentangan secara langsung yang boleh mencetuskan pergaduhan, peperangan dan sebagainya, masing-masing terhadap yang lain. Sememangnya, terdapat pelbagai sebab yang membawa reaksi konfrontasi negara jiran terhadap penubuhan Gagasan Malaysia. Antara sebabnya ialah cadangan Tunku Abdul Rahman membentuk Malaysia. Bagi Tunku Abdul Rahman, penubuhan Gagasan Malaysia ini adalah bertujuan untuk mengimbangi sumber ekonomi Tanah Melayu, Sarawak, Borneo Utara, Brunei dan Singapura selain mengeratkan politik antara wilayah-wilayah tersebut. Sejak pengumuman tersebut, hubungan antara Tanah Melayu dan Indonesia sudah kelihatan suram dan semakin renggang.

Menurut Mohd. Isa Othman (2002), penentangan terhadap Gagasan Malaysia juga dikaitkan dengan pendirian Sukarno dan hasratnya yang tersendiri. Beliau sebenarnya mempunyai hasrat yang hampir sama dengan hasrat Tunku Abdul Rahman yang ingin menggabungkan wilayah sekitarnya menjadi sebuah negara yang bersatu. Indonesia pada awalnya ingin mengemukakan cadangan untuk menyatukan Indonesia dan wilayah sekitarnya yang meliputi Tanah Melayu, Borneo, dan Filipina bagi membentuk satu kesatuan iaitu Indonesia Raya berdasarkan warisan kerajaan Majapahit. Namun, hasrat Sukarno untuk membentuk Indonesia Raya ternyata terlambat setelah mendapati Tunku Abdul Rahman terlebih dahulu menyuarakan hasratnya untuk menubuhkan Malaysia. Sukarno juga mengatakan bahawa pembentukan Malaysia adalah merupakan dasar perluasan Imperialisme Barat dan Nekolonialisme ( Andaya dan Andaya, 1983).

PKI mempunyai alasannya yang tersendiri yang membawa kepada penentangan penubuhan Malaysia iaitu PKI berpendapat bahawa cadangan Malaysia merupakan satu tipu helah yang dilakar oleh penjajah British untuk menjamin kepentingan kompeni tersebut di tanah Asia Tenggara. Sebab kedua ialah PKI menuduh bahawa Britain tidak dapat meneruskan penjajahan bentuk lama di kawasan Kalimantan Utara kerana penduduk di kawasan tersebut menunjukkan reaksi untuk menuntut kemerdekaan. Tidak cukup dengan itu, PKI turut menambah bahawa Malaysia adalah satu bentuk neokolonialisme untuk mengawal tuntutan kemerdekaan bagi Singapura, Brunei, Sarawak dan Borneo Utara ( Andaya dan Andaya, 1983).

Perkembangan politik yang berlaku di negara lain selain Indonesia juga mempengaruhi reaksi konfrontasi Indonesia terhadap penubuhan Gagasan Malaysia. Di Brunei umpamanya terdapat gerakan politik yang menentang Gagasan Malaysia iaitu Parti Rakyat Brunei (PRB). AM Azahari telah mengadakan hubungan sulit dengan kerajaan Indonesia untuk mencapai hasrat menentang Gagasan Malaysia. AM Azahari telah mengadakan lawatan ke Indonesia bagi meminta bantuan daripada kerajaan Indonesia dalam melaksanakan perjuangan beliau. AM Azahari juga membuat kerjasama dengan Filipina pada Jun 1962 berikutan tuntutan Filipina terhadap Sabah tetapi telah ditolak oleh Filipina ( Andaya dan Andaya, 1983).

Indonesia juga menyuarakan kebimbangan mereka terhadap perluasan pengaruh Cina di Tanah Melayu dan Asia Tenggara akan berlaku sekiranya Malaysia ditubuhkan. Berlakunya tentangan yang cukup hebat dari negara jiran kita ini membuatkan proses pembentukan Malaysia menghadapi kesukaran. Malah ia menjadi di antara halangan yang paling mencabar dalam menubuhkan Persekutuan Malaysia.

Cabaran seterusnya ialah tuntutan Filipina terhadap Sabah. Pada asalnya, Filipina memberi reaksi positif terhadap penubuhan Malaysia. Namun, dalam penerimaan gagasan tersebut Filipina juga turut menyuarakan rasa tidak puas hati. Di Filipina, Presiden Macapagal membantah kemasukan Borneo Utara ke dalam Gagasan Malaysia. Bagi Filipina, Sabah adalah tanah pajakan yang dibuat antara Sultan Sulu dan Overbeck dan Alfred Dent pada tahun 1878 dan bukannya serahan. Walau bagaimana pun, tuntutan itu tidak diendahkan oleh British dan menganggap ia adalah sebuah pajakan yang kekal. Pada bulan Februari 1963, kedua –dua pihak setuju berunding di London tetapi rundingan itu gagal kerana kerajaan British enggan mengiktiraf kedaulatan Filipina ke atas Sabah. Oleh kerana tuntutan itu tidak dilayan, hubungan antara kedua-dua negara itu menjadi renggang (Nazaruddin et al, 2001).
Pada tahun 1963, 70% penduduk Sabah telah bersetuju untuk bersama-sama 13 negeri yg lain menubuhkan Persekutuan Malaysia. Maka, secara jelas bahawa Sabah adalah sebahagian dari Malaysia. Namun, kedaulatan sabah sebagai sebuah negeri yg merdeka ini digugat oleh tuntutan negara jiran iaitu Filipina yg mendakwa Filipina adalah wilayah mereka. Tuntutan Filipina ke atas Sabah bermula sejak tahun 1962 apabila keturunan Sultan Sulu menyerahkan hak tuntutan ke atas Sabah kepada Republik Filipina. Kerajaan Filipina  telah meneruskan tuntutannya terhadap Sabah selepas Malaysia ditubuhkan dan tuntutan ini dibuat kepada Kerajaan Malaysia sendiri. Hal tersebut menyebabkan beberapa kesulitan kepada Kerajaan Malaysia dalam usahanya hendak menubuhkan Malaysia (Malaysia Kita, 1991).

Pada 9 Ogos 1965 iaitu hampir dua tahun penubuhan Malaysia, Tunku Abdul Rahman telah mengambil keputusan nekad untuk memisahkan Singapura daripada Malaysia. Singapura juga dianggap ‘duri dalam daging’ yang telah banyak menimbulkan banyak masalah. Pada bulan November 1963, Lee Kuan Yew menyatakan bahawa kegiatan politik PAP akan hanya terbatas di Singapura dan parti itu tidak bercadang untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya Tanah Melayu dalam tempoh lima tahun selepas penyatuan. PAP kemudiannya mengubah keputusan dan bergiat aktif di Tanah Melayu dengan bertanding dalam Pilihan Raya 1964 (Abdul Rahman, 2005).

Hubungan di antara UMNO dan PAP menjadi semakin renggang akibat beberapa peristiwa yang berlaku di Singapura. Setelah menyertai Malaysia, orang Melayu di negeri itu masih merasakan diri mereka ‘diabaikan’ dan kerajaan Singapura tidak mengambil tindakan untuk membaiki kedudukan mereka, keadaan ini menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan orang Melayu di Singapura. Beberapa buah pertubuhan yang mewakili orang Melayu kemudiannya menemui Tunku Abdul Rahman untuk melaporkan perkara itu. Keadaan menjadi semakin serius selepas Setiausaha Agung UMNO, Syed Jaafar Albar menuduh pemimpin PAP cuba memecahkan perpaduan masyarakat Melayu di Singapura ( Andaya dan Andaya, 1983).

Menurut Nazaruddin et al (2001), sikap pemimpin Singapura yang memperjuangkan konsep ‘Malaysian Malaysia’ tidak disenangi pemimpin UMNO. Konsep ini seolah-olah menafikan institusi Kesultanan Melayu serta mencabar hak istimewa orang Melayu dan bumiputera. Pada bulan Mei 1965, Lee Kuan Yew menubuhkan Malaysia Solidarity Convention dengan slogan ‘a democratic Malaysian Malaysia’ sebagai satu pakatan di kalangan parti pembangkang untuk menandingi Parti Perikatan. Beliau ingin mewujudkan satu ‘persamaan hak bagi semua’ melalui satu ideologi politik, sosial dan ekonomi yang sama untuk semua kaum.

Mengikut perjanjian Malaysia, Singapura diberi kuasa untuk memungut cukai. Hasil yang dikutip akan dibahagikan berasaskan kadar 60% untuk Singapura dan 40% untuk kerajaan persekutuan. Memandangkan beban cukai Singapura adalah paling ringan dan bertambahnya perbelanjaan pertahanan akibat konfrontasi dengan Indonesia, kerajaan persekutuan bercadang untuk mengkaji semula agihan hasil itu yang menetapkan Singapura menyerahkan 60 % dan bukan lagi 40% hasilnya. Cadangan ini menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati pemimpin Singapura

Menurut Abdul Rahman (2005), menjelang bulan Mei 1965, hubungan antara Singapura dan Kuala Lumpur terus tegang hingga membimbangkan Tunku Abdul Rahman. Akhirnya beliau memaklumkan keputusan beliau untuk menyingkirkan Singapura kepada Tun Abdul Razak dan Dato’ Dr Ismail Abdul Rahman. Pada 9 Ogos 1965, Tunku membuat pengumuman rasmi di Dewan Rakyat mengenai perpisahan Singapura daripada Malaysia. Keadaan ini menjadi cabaran setelah tertubuhnya Malaysia dimana kehadiran Singapura dalam Malaysia telah menjadi satu episod hitam dalam sejarah. Demi keselamatan dan kemakmuran Malaysia, Tunku Abdul Rahman mengambil keputusan memisahkan Singapura. Walaubagaimanapun, kepimpinan PAP telah menimbulkan masalah politik perkauman sehinggalah terjadinya trategi 13 Mei 1969.
           
            Rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 adalah peristiwa tragis yang terburuk dialami oleh Malaysia. Peristiwa ini merupakan cabaran yang telah meninggalkan kesan yang dalam terhadap negara. Peristiwa ini hampir-hampir memusnahkan negara ini. Walaubagaimanapun, dengan kebijaksanaan pemimpin dan semangat setia kawan rakyat, bencana itu telah dapat ditangani dan negara kembali pulih seperti sediakala. Banyak pengajaran yang boleh dipelajari daripada bencana itu. Antara yang terpenting ialah mustahaknya memperkukuhkan perasaan muhibah dan ikatan perpaduan antara kaum demi kestabilan politik dan keselamatan Malaysia yang berbilang kaum ini.

Menurut Tunku Abdul Rahman (2007), dalam penelitiannya, Tunku merumuskan bahawa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 itu adalah angkara golongan pelampau dan golongan komunis. Kedua-dua golongan ini, tegas Tunku, sejak sebelum merdeka lagi berusaha untuk mencetuskan kekacauan dalam negara. Golongan ini telah terlibat dalam mencetuskan ketegangan dalam peristiwa hartal (1967), hukuman gantung (1968) dan pemulauan pilihan raya (1969), perarakan mayat pada 9 Mei dan perarakan kemenangan oleh parti-parti pembangkang pada 12 Mei 1969. Akibat provokasi golongan ini ketegangan kaum terjadi dan rusuhan kaum berlaku.

Menurut Ishak Saat (2009), lebih memburukkan lagi keadaan ialah apabila mereka yang ingin mengambil kesempatan telah mendesak pihak polis agar satu perarakkan mayat diadakan pada 10 Mei 1969, iaitu pada tarikh hari pengundian. Namun mereka hanya dibenarkan berarak pada 9 Mei 1969, mengikut jalan yang telah ditetapkan dengan seramai 1000 orang sahaja. Akibat campur tangan anasir-anasir jahat daripada komunis dan Parti Buruh, perarakkan itu telah melibatkan seramai lebih kurang 10,000 orang. Mengikut pegawai-pegawai polis yang hadir, keranda mayat telah diisikan dengan senjata dan mayat lelaki tersebut telah diletakkan di luar. Sambil berarak mereka telah menghina kerajaan, orang Melayu dan memuji Mao Tze Tung. Inilah detik-detik yang dapat saya ringkaskan sebelum negara dibakar.

Tunku Abdul Rahman telah menerima cabaran yang hebat, bukan senang hendak menjadi pemimpin. Seperti kata Tunku, “Memang mudah menabur janji yang kosong daripada menunaikannya.” Kisah Tunku Abdul Rahman difitnah bahawa beliau bukan Islam sebaliknya Siam banyak melukakan hati beliau. Bahkan atas jasa beliaulah lahirnya Tilawah Antarabangsa, Masjid Negara, Persidangan Islam Antarabangsa yang pertama kalinya menyatukan negara Islam di seluruh dunia dan lain-lain lagi.

Kemuncak peristiwa 13 Mei berdasarkan statistik diberikan Tunku dalam bukuna ini selepas tiga bulan dua hari dari tarikh 13 Mei ialah 184 orang telah terbunuh, 356 orang luka, 753 kejadian membakar bangunan dan 211 kenderaan dibakar. Kita berdoa agar peristiwa hitam sebegini tidak akan lagi berulang di negara kita. Hanya 14 tahun selepas merdeka, negara Malaysia dilanda krisis perkauman maha hebat yang pernah disaksikan. Ini menjadikan ia satu halangan dalam pembentukan Malaysia setelah wujudnya sebuah negara ini. Dengan berlakunya peristiwa ini akan menyedarkan setiap kaum bahawa pentingnya persefahaman, tolak ansur dan saling mempercayai sesama sendiri (Tunku Abdul Rahman, 2007).



5.0       Penutup
Sejarah pembentukan Malaysia mempunyai episod-episod yang ditempuhi bukanlah setakat kejadian atau peristiwa semata-mata tetapi merupakan halangan atau cabaran yang telah mempercepatkan proses kemantapan negara baru itu. Pelbagai isu seperti minat negeri-negeri bakal anggota, masalah-masalah dalaman, kerjasama dan konflik, penentangan terhadap Malaysia adalah perkara-perkara yang banyak memberi pengajaran. Sesungguhnya usaha-usaha membentuk Malaysia adalah satu perjuangan yang tidak kurang cabarannya.

Pelbagai masalah yang timbul telah menuntut tindakan bijak dan segera. Tanpa tindakan dan keputusan yang tepat daripada pemimpin terdahulu tidakmungkin wujud Malaysia seperti sedia ada sekarang. Dengan sokongan dan kerjasama serta pengorbanan pemimpin-pemimpin lain semua masalah dapat diatasi. Akhirnya dalam tempoh kurang daripada 30 bulan semenjak Tunku melahirkan gagasan Malaysianya, negara baru yang dihasratkan diisytiharkan pada 16 September 1963.

Hari ini, hampir empat dekat telah membuktikan, setelah memahami latar belakang pembentukannya berasa was-was, melainkan yakin bahawa perjuangan pemimpin-pemimpin dan pengorbanan rakyat tidak sia-sia. Objektif-objektif utama pembentukan Malaysia telah tercapai. Keamanan dan kestabilan serantau yang menjadi pendorong utama semua pihak, berjaya dikawal bersama. Dengan keamanan yanag dicapai pembangunan telah dapat dijalankan. Kini masyarakat Malaysia bukan sahaja aman, makmur dan maju tetapi juga semakin bersatu.

 Tunku Abdul Rahman. (2007). 13 Mei Sebelum Dan Selepas. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributions.

Abdul Rahman Embong. (2001). Negara-Bangsa: Proses dan Perbahasan. Bangi: Penebit UKM.

Abu Hassan Adam. (1992). Menghala Wawasan 2020. Kuala Lumpur: Arena Ilmu Sendirian Berhad.

Abu Hassan Othman. (1997). “Tranformasi Masyarakat dalam Konteks Pembinaan Negara-bangsa Malaysia”. Dlm M. Yaakob Johari.(ed). Agenda Pembinaan Negara-Bangsa Malaysia dalam Era Kebangkitan Asia. Kota Kinabalu: Institut Kajian Pembangunan (Sabah).

Ahmad Atory Hussain. (1987). Kepimpinan Masa Depan. Kuala Lumpur: Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd.

Ahmad Fauzi Basri. (1997). “Pembinaan Negara-bangsa Malaysia dan Pencapaian Kini”. Dlm M. Yaakob Johari.(ed). Agenda Pembinaan Negara-Bangsa Malaysia dalam Era Kebangkitan Asia. Kota Kinabalu: Institut Kajian Pembangunan (Sabah).

Ahmat Adam. (1997). “Budaya Popular dan Sepunya Dalam Konteks Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan”. Dlm M. Yaakob Johari.(ed). Agenda Pembinaan Negara-Bangsa Malaysia dalam Era Kebangkitan Asia. Kota Kinabalu: Institut Kajian Pembangunan (Sabah).

Asnarulkhadi & Jayum A. Jawan. (ed) (1997). Kenegaraan Malaysia. Serdang, Selangor: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

9 comments:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
    Replies
    1. ouuh. sorry. mmng xbleh nk copy. kalau nak softcopy kena minta dengan sy. bg email ke. tpi tu lambat la sy nak bagi. kalau boleh terus inbox sy di fb :)

      Delete
  3. really need this information for my assignment, can you just please send this to my email? I'll credit your blog as my reference. Please. Thank you! ;) this is my emel: atieyhairi@yahoo.com pls ASAP :(

    ReplyDelete