. Amoi Chantek: Rusuhan Kaum 13 Mei 1963 dan Insiden Kampung Medan 12 Mac 2001 Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Tuesday 18 February 2014

Rusuhan Kaum 13 Mei 1963 dan Insiden Kampung Medan 12 Mac 2001

1.0          PENGENALAN
Malaysia ialah sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang berbilang kaum. Memperoleh kemerdekaan hasil daripada rundingan dengan penjajah, perpaduan yang wujud dalam kalangan penduduk Tanah Melayu pada ketika itulah yang menarik minat dan memberi kepercayaan kepada penjajah untuk melepaskan pentadbiran kepada rakyat Tanah Melayu itu sendiri. Kerjasama daripada tiga kaum terbesar di Tanah Melayu pada ketika itu iaitu Melayu, Cina dan India telah mewujudkan perpaduan yang berupaya menggerakkan sebuah negara yang baharu merdeka. Kerjasama politik antara ketiga-tiga kaum ini berusaha melahirkan sebuah negara yang mampu berdiri dengan sendiri tanpa bantuan penjajah selepas memperoleh kemerdekaan. Hasilnya, terbinalah sebuah negara yang bergelar Malaysia hasil gabungan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak pada tahun 1963. Namun begitu, Singapura keluar daripada pembentukan Malaysia disebabkan beberapa faktor masalah yang tidak dapat dipersetujui oleh semua pihak.

Tahun 2014 merupakan tahun ke-57 Tanah Melayu memperoleh kemerdekaannya dan tahun ke-51 penubuhan Malaysia. Sepanjang lima dekad penubuhan Malaysia, pelbagai cabaran telah ditempuh oleh rakyat Malaysia. Elemen yang paling penting dalam kehidupan masyarakat yang berbagai etnik ataupun dikenali sebagai masyarakat mozek ialah perpaduan, sikap bertolak ansur, saling menghormati sensitiviti setiap kaum dan hidup dalam bermasyarakat. Kepentingan faktor-faktor yang dinyatakan tadi membantu Malaysia untuk terus maju dan menjadi negara yang berdaya saing seiring dengan negara maju yang lain. Namun demikian, pelbagai cabaran yang telah ditempuh dan usaha dijalankan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju. Dalam kerja kursus ini akan merungkai insiden salah faham, ketegangan dan konflik etnik yang telah berlaku di Malaysia untuk dijadikan sempadan dan pengajaran pada masa hadapan.

Rusuhan dan ketegangan etnik yang akan dirungkai di dalam kerja kursus ini ialah insiden Kampung Medan 2001 dan rusuhan etnik 13 Mei 1969 dan berdasarkan ketegangan etnik ini maka banding beza dari aspek punca, kesan dan pengajaran daripada setiap peristiwa ini akan dijelaskan dengan teliti.
2.0       RUSUHAN ETNIK 13 MEI 1969
Tanggal 13 Mei 1969 tercetus satu detik hitam dalam lipatan sejarah negara. Pertelingkahan kaum yang berlaku telah mengakibatkan negara kehilangan banyak nyawa dan kerugian harta benda. Peristiwa hitam ini turut memaksa pucuk pimpinan yang diterajui oleh Tunku Abdul Rahman untuk mengisytiharkan darurat. Menurut Tunku Abdul  Rahman  (2007) dalam bukunya 13 Mei Sebelum dan Selepas menyatakan digambarkan darurat terpaksa diistiharkan dengan persetujuan Yang Di – Pertuan Agong. Ia mempunyai kaitan rapat dengan Pilihanraya Umum 1969 dan merupakan puncak manifestasi masalah perpaduan kaum di Malaysia. Dalam pilihanraya tahun tersebut banyak isu sensitif telah dibangkitkan dan ditimbulkan seperti bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Dalam pilihanraya tahun 1969 Parti Perikatan gagal memperolehi majorirti dua per tiga dalam Dewan Rakyat manakala Parti Gerakan Dan DAP yang berjaya memperolehi sebanyak 25 kerusi telah mengadakan perarakan di Kuala Lumpur sambil menghina bangsa Melayu. Hal ini memberikan tamparan hebat kepada orang Melayu dan akhirnya UMNO telah mengadakan perarakan balas sebagai bantahan terhadap penghinaan parti DAP dan Gerakan.  Sebenarnya Masalah 13 Mei ini merupakan masalah perpaduan yang telah lama berakar umbi dalam masyarakat majmuk Malaysia sebelum tahun 1969 lagi. Masalah ini telah disebabkan oleh British yang telah memainkan peranan yang cukup besar untuk mewujudkan keadaan sedemikian rupa.

            Peristiwa 13 Mei sememangnya bukan suatu peristiwa yang berlaku secara tiba - tiba atau kerana sebab-sebab yang spontan tetapi ianya merupakan suatu rentetan kepada sebab-sebab atau peristiwa yang telah berlaku sebelumnya. Antaranya ialah kesan pendudukan Jepun di Tanah Melayu merupakan salah satu faktor yang turut menyumbang kepada peristiwa 13 Mei. Ini kerana Jepun memberi layanan yang lebih istimewa kepada orang Melayu berbanding orang Cina kerana Jepun masih lagi dipengaruhi sentimen peperangan dengan negara China pada akhir kurun ke 19 dan awal kurun ke 20. Ini menyebabkan tentera Jepun bersikap pilih kasih dalam hal yang melibatkan kaum Melayu dan Cina.  Jepun juga telah melantik orang Melayu sebagai askar dan polis berbeza dengan orang Cina yang tidak diberi peluang  untuk menjawat sebarang jawatan. Ketika itu kebanyakan orang Cina menyertai MPAJA (Malaysian People Anti Japanese Army). Keadaan bertambah buruk apabila kebanyakan tentera Jepun yang menyerang MPAJA ialah terdiri daripada orang Melayu dan ini telah menimbulkan persengketaan antara orang Melayu dengan Orang Cina dan kemuncaknya ialah pada 13 Mei 1969.

            Selain itu kesan peninggalan penjajah Inggeris juga boleh dilihat sebagai punca kepada peristiwa tersebut. Menurut Mansor Mohd. Noor (2006 : 86), secara majoritinya etnik Melayu tinggal di kawasan luar bandar atau kampung-kampung, etnik Cina tinggal di kawasan bandar atau pekan-pekan, manakala etnik India tinggal di kawasan ladang-ladang getah. Amalan diskriminasi oleh Inggeris contohnya telah banyak merenggangkan lagi hubungan antara kaum di Tanah Melayu. Pada Zaman pemerintahan British, British telah mewujudkan kelompok-kelompok etnik berdasarkan kegiatan ekonomi. Ini dilakukan untuk menjaga kepentingan mereka agar tidak terjejas dengan  kewujudan perpaduan kaum kerana mereka mahu mengeksploitasi semaksima mungkin kekayaan semulajadi Malaysia. Justeru mereka telah menetapkan status dan peranan yang berbeza bagi setiap kaum seperti orang Melayu digalakkan tinggal di kampung, kaum Cina  digalakkan tinggal di bandar manakala kaum India digalakkan tinggal di estet-estet. Dasar ini telah berjaya direalisasikan dan kesannya interaksi antara kaum-kaum menjadi terbatas hanya di pejabat dan pasar sahaja. Apabila ini berlaku maka lahirlah perasaan prasangka antara satu kaum dengan kaum yang lain.  Prasangka yang wujud inilah yang telah mengapi-apikan lagi tercetusnya sentimen 13 Mei 1969.

            Kesan daripada dasar pecah perintah oleh pihak British secara tidak langsung juga telah mewujudkan sistem pendidikan yang berlainan. Menurut Noor Risma Salfina (2006), semasa zaman penjajahan Inggeris, ketiga-tiga kaum ini telah dibahagikan kepada tiga jenis sekolah yang berasingan. Pihak penjajah Inggeris memperkenalkan sistem persekolahan mengikut kaum dan menggunakan bahasa masing-masing. Sebelum  Laporan Razak dikemukakan, Malaysia tidak mempunyai satu asas atau sistem pendidikan nasional. Apa yang wujud ialah  empat aliran pendidikan yang berlainan iaitu aliran Inggeris, Melayu, Cina dan India. Bagi kaum India mereka telah menguna pakai silibus yang diambil dari negara india untuk diajar kepada anak-anak mereka. Begitu juga dengan kaum Cina dan Melayu. Ini telah menyebabkan tiada keseragaman dari segi identiti dan fahaman kerana Negara China contohnya mengamalkan fahaman komunisme dan silibus yang diambil dari Negara China mempunyai unsur-unsur komunisme tetapi lain pula dengan kaum lain yang berteraskan fahaman yang lain.  Selain itu tidak terdapat satu bahasa pengantar yang seragam telah menyebabkan setiap kaum hanya tahu bercakap dalam bahasa ibunda masing-masing sahaja. Ini telah memberikan satu impak buruk dalam pembentukan perpaduan kaum di Malaysia. Sistem pendidikan yang berasingan menjadi cabaran dalam hubungan etnik untuk memupuk integrasi dan persefahaman dalam kalangan pelajar. (Mohd Sohaimi Esa, 2011).

            Selain itu juga Masyarakat Melayu kebanyakan terdiri daripada petani yang tinggal di kampung manakala masyarakat cina telah mewarisi pekerjaan turun temurun  keluarga mereka iaitu beniaga dan kebanyakannya tinggal di bandar dan Masyarakat India pula bekerja sebagai penoreh di estet-estet dan tinggal di estet-estet.  Kegiatan ekonomi yang berbeza ini telah mewujudkan jurang pendapatan yang berbeza anatara satu kaum dengan kaum yang lain. Ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati  dan persaingan ekonimi secara tidak sihat dan pada kemuncaknya berlakulah peristiwa 13 Mei 1969.

            Menurut Abdul Rahman Abdul Aziz (2006), setiap masyarakat mempunyai pegangan hidup masing-masing. Masyarakat barat mengalami perjalanan sejarah sosial yang menafikan tokoh dan institusi agama serta raja dan institusi feudalisme. Perbezaan budaya dan agama juga merupakan salah satu lagi punca berlakunya masalah perpaduan kaum di Malaysia. Kaum Melayu sebahagan besarnya beragama Islam, kaum Cina beragama sama ada Buddha, Lao-Tze, Taoisme, Confucius manakala kaum India beragama Hindu. Disamping itu terdapat ramai juga yang beragama Kristian. Setiap kaum pula mempunyai kebudayaan yang berlainan dan ini menambahparahkan lagi masalah perpaduan kaum di Malaysia. Masalah perpaduan ini bukannya bermula disebabkan agama yang dianuti oleh kaum-kaum yang terdapat di Malaysia menggalakkan penganutnya memusuhi agama lain tetapi ia berpunca dari sikap jahil terhadap agama-agama lain hingga banyak perkara yang dilakukan secara tidak sengaja telah menyinggung emosi  penganut agama lain. Inilah punca yang telah mengakibatkan peristiwa 13 Mei 1969 berlaku. Menurut Noor Risma Salfina (2006: 12), berdasarkan perbezaan agama dan kepercayaan ini masyarakat terbelenggu dengan fahaman masing-masing dan enggan berinteraksi dengan kaum lain.
            Akhir sekali kemuncak kepada punca sebelum terjadinya peristiwa 13 Mei 1969 ini ialah semasa Kempen Pilihanraya Tahun 1969 parti-parti politik yang bertanding telah memainkan isu-isu yang sensitif seperti kedudukan istimewa orang Melayu, soal bahasa dan kerakyatan untuk memancing undi daripada orang ramai. Ini telah menimbulkan pelbagai rasa tidak puas hati antara kaum dan akhirnya setelah memenangi kerusi yang agak banyak dan berjaya menafikan majoriti dua per tiga parti Perikatan, parti DAP dan Gerakan telah berarak untuk menghina orang melayu. Tambah memburukkan lagi keadaan ialah orang Melayu melalui UMNO telah mengadakan perhimpunan balas untuk menangkis penghinaan parti DAP dan Gerakan. Keadaan menjadi tidak terkawal dan akhirnya meletuslah peristiwa hitam 13 Mei 1969. (Nazaruddin Mohd Jali et. al. 2001)

            Menurut Shamsul Amri Baharuddin (2008: 138), jika isu perkauman seperti bahasa, kebudayaan, pendidikan, agama, kerakyatan dan ekonomi diperalat oleh sesuatu pihak untuk mendapatkan sokongan rakyat, maka tindakan ini tidak akan menyumbang ke arah masyarakat yang bersatu padu. Peristiwa 13 Mei 1969 meninggalkan banyak kesan negatif. Antara kesan daripada peristiwa ini ialah pada tahun 1969 pilihan raya diadakan semula dan memberi kemenangan dua pertiga semula kepada kerajaan yang memerintah. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dibentuk bagi mengurangkan pengundi Cina dalam Dewan Undangan Negeri Selangor. Beberapa ahli politik yang dianggap berbahaya telah ditahan melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Persempadanan semula pilihan raya yang lebih bijaksana dan seimbang telah dilaksanakan. Sistem demokrasi, pilihanraya dan agihan ekonomi mendapat tafsiran semula. Peristiwa 13 Mei 1969 ini sebenarnya tidak menghasilkan sebarang faedah kepada berlakunya perpecahan dan perbalahan antara kaum Melayu dan kaum Cina yang mengakibatkan kerosakan harta benda yang besar malah yang paling malang ialah nyawa yang terkorban, kejadian seperti ini meninggalkan kesan dan pengajaran yang pahit dan getir kepada saudara mara dan kaum keluarga yang terlibat.

            Menurut Shamsul Amri Baharuddin (2008), dalam bukunya Modul Hubungan Etnik, Malaysia merupakan negara yang sedar bahawa kemajuan ekonomi sahaja tidak lengkap sekiranya tidak disertai dengan kestabilan politik. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa keperluan kepada aspek kestabilan ekonomi politik mahupun sosial amat diperlukan bagi memastikan kestabilan sesebuah negara terjamin. Peristiwa yang berlaku pada 13 Mei 1969 dan 12 Mac 2001 telah membuka mata semua pihak dalam mengurus sensitiviti sesebuah kaum terhadap sesuatu perkara. Berikutan peristiwa tersebut telah menyebabkan tertubuhnya MAGERAN atau lebih dikenali sebagai Majlis Tindakan Negara pada tahun 1 Julai 1969.  Jabatan Perppaduan Negara yang diletakkan dibawah MAGERAN ini diwujudkan bertujuan untuk  bagi menangani masalah perpaduan dalam kalangan masyarakat. Selepas MAGERAN, Majlis Penasihat Perpaduan Negara ditubuhkan pada 23 Februari 1971. Tanggungjawab untuk memastikan perpaduan Negara terjamin terus diletakkan diabawah Jabatan Perpaduan Negara. Pada tahun 1999-2004 Jabatan Perpaduan Negara telah diletakkan dibawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat.

            Menurut Kamarnddin M. Said (2002), setelah msuhan dan pergaduhan berlanjutan hampir seminggu, seramai 196 orang dilaprkan kehilangan nyawa, hampir 450 cedera, 6,000 orang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran, 750 bangunan terbakar, kira-kira 200 kenderaan terbakar atau binasa, dan lebih 9,000 orang ditangkap. Kesan selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969, kerajaan terpaksa mengeluarkan perintah berkurung lalu mengisytiharkan darurat mengikut Ordinan Darurat 1948. Selaras dengan kuatkuasa darurat, fungsi Parlimen terus digantung. Ini bertujuan untuk mengawal keselamatan rakyat dan mengembalikan kestabilan negara ketika itu. Ini membawa kesan yang buruk terhadap suasana persekitaran dan pergaulan yang kurang harmoni antara kaum kerana ianya menyekat aktiviti yang bebas untuk mencari punca pendapatan seperti menjalankan perniagaan, susah berinteraksi dan saling berhubungan antara kaum .Selain itu, segala aktiviti harian masyarakat tersekat. Kesan selepas peristiwa ini juga menyaksikan tugas pemerintahan diserahkan kepada sebuah badan khas iaitu Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). (Nazaruddin Mohd Jali et. al. 2001)

            Dalam hubungan senario yang telah berlaku dan meneliti daripada pelbagai aspek, maka Rukun Negara yang digubal pada 31 Ogos 1970 berhasrat melahirkan masyarakat Malaysia yang demokratik, saintifik dan progesif serta bersatu padu dan bersikap terbuka terhadap kepelbagaian cara hidup rakyat daripada berbagai-bagai keturunan. Selain itu, peristiwa 13 Mei 1969 ini telah menguntungkan kepada musuh-musuh negara yang sentiasa mengambil kesempatan dan peluang untuk memecah-belahkan rakyat dan ingin menakluk Malaysia sebagai taklukan dan jajahan negaranya. Pengalaman yang perlu diteladani daripada peristiwa ini ialah keadaan negara yang menjadi tidak aman, huru-hara dan rakyat yang berbilang kaum berpecah-belah akibat daripada rasa tidak berpuashati dengan isu-isu yang sensitif terutama isu perkauman. Antara contoh-contoh yang boleh dijadikan panduan kepada negara ialah kejatuhan empayar Melayu Melaka di tangan penjajah portugis pada tahun 1511 begitu juga dengan pencerobohan dan penaklukan tanah kepunyaan negara Arab khususnya di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat Jordon oleh kuasa Israel, dan penindasan secara kejam terhadap rakyat Palestin setelah berjaya mencerobohi bumi Arab ini. (Nazaruddin Mohd Jali et. al. 2001)

3.0       INSIDEN KAMPUNG MEDAN 12 MAC 2001
Kampung Medan terletak di Petaling Jaya Selangor, dan bersempaan dengan Wilayah Persekutuan Kuala lumpur. Kampung Medan berada di tengah-tengah pusat pertubuhan ekonomi negara. Bahagian tengah barat Semenanjung Malaysia merupakan pusat pertumbuhan ekonomi negrara di negara ini. Negeri di mana Kampung Medan berada, iaitu Selangor, memiliki Keluaran Negeri Kasar (KNK) yang terbesar di Malaysia, dengan kadar pertumbuhan ekonomi dan pendapatan per kapita yang tinggi. Kampung Medan juga berada dalam daerah yang terunggul dari segi taraf hidup di negara ini. Pihak Berkuasa Tempatan tersebut juga, iaitu Majlis Perbandaran Petaling Jaya, yang memberi perkhimatan awam kepada penghuni Kampung Medan  adalah majlis perbandaran yang tertua di negara ini.

            Kampung Medan terdiri daripada 27 buah kampung dan taman perumahan. Bancian pada tahun 2000 menunjukkan terdapat 110 000 orang tinggal di kawasan ini (Jabatan Statistik 2001). Dari jumlah tersebut  36 000 orang adalah setinggan. Jika dilihat melalui aspek politik setempat, persoalan kewujudan dan kesampaian dari segi perkhimatan awam yang diperlukan sepatutnya boleh diperolehi dengan lebih berkesan lagi. Mengikut etnik, mereka yang tinggal di Kampung Medan  dan di kawasan setinggan kebanyakkannya terdiri daripada etnik Melayu dan India. Jumlah etnik Cina yang tinggal di kawasan ini adalah kecil. Taburan peratusan mengikut etnik adalah 50% Melayu, 44% India dan 6% Cina. (Abdul Rahman Abdul Aziz, Mansor Mohd. Noor dan Mohamad Ainuddin Iskandar Lee, 2006.)

            Para pemerhati umum misalnya para wartawan, pemimpin politik dan pihak polis mengaitkan peristiwa pergaduhan di Kampung Medan ini dengan faktor kemiskinan. Ini ialah kerana mereka mengandaikan bahawa kemiskinan, dengan sendirinya, sudah cukup kuat untuk menjadi pendorong kepada golongan miskin ini mencetuskan dan melibatkan diri dengan pergaduhan bersenjata secara berkumpulan. Dari sudut ini, faktor pencetus membuktikan bahawa pengertian hidup, pentakrifan realiti serta interaksi sosial sebahagian besar daripada penduduk kawasan ini, terutamanya golongan setinggan dan yang berpendapatan rendah, begitu dipengaruhi oleh situasi anomie. Situasi anomie ini melahirkan pelbagai tanggapan negatif mengenai makna kehidupan serta tanggungjawab mereka antara satu sama lain. Tanggapan ini pula berbeda-beda berdasarkan perbedaan kelas dan etnisiti, dan direnggangkan lagi oleh jarak sosial yang telah sekian lama terbentuk di kalangan mereka.

            Oleh itu, menurut Abdul Rahman Abdul Aziz, Mansor Mohd. Noor dan Mohamad Ainuddin Iskandar Lee, (2006) kesemua ini telah bertanggungjawab menimbulkan serta menebalkan perasaan marah kolektif golongan yang merasa tertekan oleh pelbagai persekitaran ini terhadap kehidupan mereka secara umumnya. Oleh itu, apabila terjadi sesuatu peristiwa pemangkin, ia berupaya mengubah kemarahan umum ini menjadi satu kemarahan yang terfokus, iaitu kebencian perkauman, yang melahirkan satu bentuk kelakuan ganas dan negatif dalam bentuk pergaduhan beramai-ramai yang mengakibatkan kecederaan dan kematian. Masyarakat Melayu di kawasan tersebut telah hilang sabar terhadap sikap anti sosial sekumpulan remaja India dan mereka ingin memberi suatu pengajaran. Serangan bersenjata yang dilakukan terhadap satu sama lain, teutamanya terhadap lawan yang hanya dikenal pasti menemsi warna kulit sahaja, ialah satu cetusan kebencian mendalam yang telah dilahirkan oleh situasi yang mereka hadapi bersama. Penyebab pencetus kepada kelakuan kolektif ini ialah gengsterisme remaja yang berleluasa di kawasan tersebut. Selain itu juga, perbezaan agama dan budaya antara kedua-dua etnik ini juga telah menyebabkan konflik ini berlaku disebabkan oleh berbeza fahaman kepercayaan dan kebudayaan yang tidak sama maka berlakulah salah faham jika kurangnya fahaman terhadap sensititi kaum lain.

            Menurut Kamarnddin M. Said (2002), punca utama yang memainkan peranan dalam terjadinya Insiden pergaduhan ini ialah kewujudan gangster dan budaya gangsterisme serta kerumitan hidup material di kalangan komuniti Melayu dan India di Kampung Medan telah menunjukkan etnik atau agama bukan menjadi persoalan terjadinya konflik antara kumpulan. Tingkahlaku ini lebih dicorakkan oleh kedudukan lokasi kelas dan status sosial akibat perbezaan taraf pendidikan, kemahiran kerja, pendapatan dan budaya hidup yang telah membatasi peluang mobiliti sosial mereka untuk keluar daripada golongan miskin. Keduanya ialah disebabkan oleh perbezaan lokasi sosial telah mempengaruhi konflik yang terjadi di kawasan ini. Kawasan ini sebelum tahun 1970-an adalah bekas lombong bijih dan mereka yang berhijrah ke kawasan ini mempunyai latar belakang taraf keupayaan diri seperti pendidikan, kemahiran kerja, pengalaman kerja dan pendapatan yang rendah. Mobiliti sosial antara generasi daripada ayah ibu kepada anak, terutaman di kalangan golongan miskin Melayu dan India, didapati tidak akan berlaku dan malahan masa hadapan anak-anak mereka akan mewarisi lokasi sosial ibubapa mereka.
             
            Masaalah petempatan persetingganan yang mempunyai kira-kira 2,000 keluarga, yang mendiami satu kawasan yang luasnya kira-kira 1 km persegi. Ketidakmampuan Kerajaan Negeri dan Tempatan untuk menyelesaikan isu-isu pembangunan infrastruktur dalam masa yang singkat. Oleh itu, jelas sekali bahawa kawasan ini mempunyai kepadatan penduduk yang sangat tinggi. Anak Sungai Kelang yang kotor melintasi kawasan persetingganan ini. Berhampiran Kampung Medan terdapat bekas sebuah lombong bijih timah seluas kira-kira 30,000 meterpersegi, yang kini menjadi tempat pembuangan sampah. Di Kampung Medan ini juga terdapat sekumpulan rumah panjang, iaitu rumah sementara untuk mangsa kebakaran. Hampir kesemua rumah setinggan ini diperbuat daripada kayu, beratap zing, bersaiz kecil (kira-kira40-50 meter persegi) dan dibina begitu rapat antara satu sama lain. Kawasan rumah setinggan ini tidak mempunyai perkarangan, dan lorong berjalan kaki terbentuk dengan sendirinya di celah celah rumah yang terbina tidak tersusun itu. Longkang yang mengalirkan air bekas basuhan turut memenuhi ruang yang memisahkan rumah-rumah tersebut.

            Banyak paip getah yang menyambungkan rumah-rumah tertentu dengan paip awam atau bomba yang berdekatan dan berfungsi sebagai saluran bekalan air apabila digunakan secara bergiliran juga turut mengisi ruang pejalan kaki tersebut. Pendeknya, kawasan pemmahan persetingganan ini memberikan satu gambaran kehidupan yang serba sesak dan tidak teratur dari segi fizikalnya. Sebahagian besar daripada para penduduk kawasan persetingganan di sekitar Kampung Medan ini terdiri daripada kumpulan yang berpendapatan rendah. Namun begitu, tinjauan awal memperlihatkan bahawa mereka mempunyai pendapatan bulanan melebihi RM460, pendapatan minimum yang digunakan dalam penetapan garis kemiskinan di Semenanjung Malaysia. Memang terdapat sekumpulan keluarga yang mempunyai pendapatan bulanan melebihi RM1000 Namun demikian, secara umumnya para penduduk yang menghuni kawasan persetingganan adalah terdiri dari keluarga yang berpendapatan rendah. Sebahagian besar daripada ketua keluarga mereka bekerja, dalam kategori pekerja bergaji rendah, dengan pelbagai kilang dan syarikat perniagaan yang terdapat dikawasan tersebut. (Kamarnddin M. Said. 2002)
           
            Melalui Insiden Kampung Medan 12 Mac 2001 ini terdapat beberapa kesan yang telah dikenalpasti dan yang paling jelas ialah telah berlakunya pertumpahan darah, menggugat keselamatan, menjarakkan hubungan antara kaum, merugikan harta benda dan terdapat juga kesan lain antaranya ialah dari segi kesan terhadap sosial, dimana kita dapat lihat bahawa wujudnya salah faham dan buruk pandangan terhadap kaum-kaum lain kerana wujudnya sikap perkauman. Sikap perkauman ini akan membecah-belahkan kaum bukan sahaja memberi kesan dalam jangka masa yang pendek namun turut memberi kesan dalam jangka masa yang panjang. Kesan dalam jangka masa yang masa yang pendek, contohnya sekiranya orang melayu tidak diberi peluang pekerjaan di kebanyakkan perniagaan yang dipunyai oleh masyarakat Cina atau India. Ini akan mewujudkan pandangan yang serong dan rasa tidak puas hati. Dalam jangka panjang pula, perasaan ini akan menjadi teruk dan lebih mendalam dan mungkin akan membawa kepada rusuhan kaum seperti yang berlaku pada 12 Mac 2001,dan ini akan membawa keancaman kepada struktur sosial di Malaysia dan rakyat tidak akan dapat hidup aman lagi.

            Ekoran daripada keruntuhan struktur sosial di Malaysia ataupun perpecahan kaum di Malaysia mungkin akan menyebabkan aktiviti ekonomi dipersekitaran tidak dapat berjalan dengan lancar dan juga mungkin berhenti dengan serta-merta. Hal ini akan mengakibatkan kawasan tersebut dan Negara mengalami kerugian atau defisit dimana perbelanjaan melebihi pendapatan. Antara sebabnya, apabila berlaku rusuhan kaum , kerajaan terpaksa membelanjakan banyak duit untuk mengamankan Negara dan pada masa yang sama pendapatan Negara akan berkurang disebabkan ekonomi terbantut. Selain daripada itu, pelabur-pelabur juga akan menghentikan pelaburan mereka di Malaysia kerana risau mengalami kerugian dan pelabur luar negara ingin melabur di Malaysia juga akan membatalkan hasrat mereka. Mata wang Malaysia juga akan jatuh teruk dimana apabila berlakunya ketidaktenteraman di Malaysia, ramai akan meninggalkan Negara Malaysia untuk mencari tempat yang lebih selamat dan ini akan mengakibatkan duit ringgit Malaysia keluar dengan banyaknya dari Malaysia.  

            Selain itu, ianya memberi kesan kepada integriti dan imej negara seperti yang telah dicatatkan dalam sejarah Malaysia Tunku Abdul Rahman ,Tun V.T Sambanthan dan ahli politik kaum yang lain mendapatkan kebebasan Negara dengan membuktikan kepada kerajaan British mahupun negara di luar sana yang rakyat di Malaysia mampu bersatu padu di bawah satu pentadbiran maka atas sebab inilah kita diberi kemerdekaan suatu ketika dahulu dan atas sebab itu jugalah Negara kita dipandang tinggi kerana mampu bergerak walaupun rakyatnya terdiri daripada banyak kaum. Jikalau rusuhan kaum berlaku lagi, ini akan mencemarkan nama baik negara dimana ia akan jelas menunjukkan negara gagal dalam menyatupadukan penduduknya malah keadaan menjadi semakin teruk. Ini akan menconteng arang terhadap imej dan integriti Negara sebagai sebuah negara yang berdaulat dan mengamalkan prinsip demokrasi.


4.0       PENGAJARAN         

Menurut Abdul Rahman Ismail (2005), Tragedi Peristiwa 13 Mei 1969 ini memberikan kesedaran dalam kehidupan berpolitik di Malaysia. Usaha ke arah persefahaman yang lebih baik antara kaum yang selama ini diterima seadanya telah mula diusahakan dengan secara sedar oleh kerajaan. Kesedaran penting di kalangan rakyat bahawa sikap hormat-menghormati, bertolak-ansur, bertoleransi dan menjauhi sifat-sifat yang terkeji seperti berprasangka buruk, berdengki, iri hati dan menanam sifat curiga di antara kaum. Dengan terdapat pelbagai jenis kaum, agama, budaya dan pegangan agama di Malaysia maka Peristiwa 13 Mei 1969 ini pasti berulang seperti yang telah berlaku Insiden Kampung Medan 12 Mac 2001 sekiranya tiada kesedaran tentang isu-isu sensitif yang timbul seperti hak kedudukan istimewa kaum Melayu yang merupakan penduduk asal bagi negara ini. Oleh itu kaum-kaum lain yang tinggal di negara ini perlu menghormati kedudukan istimewa kaum Melayu dan mewujudkan suasana yang harmoni di kalangan masyarakat. Pendek kata tanggungjawab perpaduan adalah tanggungjawab semua pihak.

            Tragedi 13 Mei 1969 dan Insiden Kampung Medan 12 Mac 2001 juga menunjukkan bahawa matlamat perpaduan masyarakat sukar dicapai jika masyarakat Malaysia kurangnya kesedaran tentang perpaduan dan juga faktor-faktor lain sebagai contoh kemiskinan ianya menjadi lebih sukar jika majoriti kadar kemiskinan penduduk itu hanya pada satu kaum sahaja. Keadaan ekonomi dan demografi penduduk Malaysia menunjukan bahawa majoroti penduduk Bumiputera tinggal di luar bandar kebanyakan adalah berpendapatan rendah dan miskin. Kemiskinan ini akan menjadi isu di dalam masyarakat Malaysia, khususnya masyarakat Bumiputera. Untuk mencapai keharmonian hidup adalah sukar. Rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 adalah peristiwa tragis yang terburuk dialami oleh Malaysia dan peristiwa itu hampir-hampir memusnahkan negara ini. Sekali lagi disebabkan kurang peka tentang sensitiviti masyarakat lain maka terjadilah Insiden Kampung Medan 12 Mac 2001. Dengan kebijaksanaan pemimpin dan semangat setia kawan rakyat, bencana itu telah dapat ditangani dan negara kembali pulih seperti sediakala. Banyak pengajaran yang boleh dipelajari daripada bencana itu. Antara yang terpenting ialah mustahaknya memperkukuhkan perasaan muhibah dan ikatan perpaduan antara kaum demi kestabilan politik dan keselamatan Malaysia yang berbilang kaum ini.
            Bermula daripada kemerdekaan hingga kini, kerajaan telah merangka dan memberi penekanan kepada beberapa dasar dalam bidang  sosioekonomi yang menjurus terhadap pembentukan perpaduan ini. Dasar - dasar tersebut termasuklah Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan  dan Dasar Ekonomi Baru. Dasar tersebut telah dikukuhkan lagi dengan ideologi negara yakni Rukun Negara. Untuk mengukuhkan lagi perpaduan ini telah diperkenalkan juga Dasar Wawasan, Dasar Pembangunan Negara dan Dasar Sosial Negara. Oleh yang demikian berbagai strategi telah dirangka Dalam Pelan Tindakan Perpaduan dan Integrasi Nasional untuk mempertingkatkan perpaduan. Antaranya melalui strategi politik.  Perlembagaan telah menetapkan  bentuk dan lambang – lambang negara, Kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan bukan Melayu,  Oleh yang demikian langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memajukan Negara haruslah berteraskan perlembagaan disamping memupuk hubungan yang akrab antara etnik.

            Selain itu apabila wujud kesedaran satu bangsa Malaysia menjadi semakin mantap dan  semangat kewilayahan semakin cair,  maka pertubuhan – pertubuhan yang merentasi batas – batas perkauman akan muncul. Perkembangan  positif  ini akan mempercepatkan lagi proses pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu padu. Daripada strategi  ekonomi pula  dilihat sebagai satu usaha untuk mewujudkan keseimbangan. Salah satu faktor yang menyebabkan ketegangan adalah disebabkan ketidakseimbangan ekonomi serta taraf sosioekonomi itu sendiri. Masalah ini dirumitkan apabila etnik – etnik tertentu dikaitkan dengan aktiviti – aktiviti ekonomi tertentu. Oleh yang demikian untuk memastikan ianya tidak terjadi beberpa langkah harus diambil. Antaranya Pengimbangan taraf ekonomi antara kaum dan wilayah harus diusahakan tanpa merugikan mana – mana pihak. Selain itu juga program untuk mengurangkan kemiskinan juga perlu tanpa mengira sebarang kaum. Dan yang terakhir sekali,  sektor swasta juga harus memainkan peranan yang aktif dalam mengurangkan ketidakseimbangan ini  dan usaha – usaha mengurangkan ekonomi berasaskan pengenalan kaum ini juga haruslah dielakkan.


            Daripada aspek pendidikan pula ianya sangat penting dalam membina wadah dan jati diri seseorang. Menurut Sufean Hussin (2000), dalam bukunya Motivasi Dasar Pendidikan Perspektif Sistem dan Organisasi menyatakan pendidikan merupakan faktor yang penting  bagi perubahan dan kemajuan ekonomi sesebuah negara. Pendidikan juga dikatakan sebagai wadah perjuangan bagi merealisasikan wawasan 2020 kearah membentuk masyarakat Malaysia yang progresif dalam bidang sains dan teknologi, integrasi nasional dan  dan ketahanan moral serta berfikiran terbuka. Peranan sistem pendidikan  ialah untuk menyediakan persekitaran serta kemudahan bersosialisasi dalam kalangan rakyat dan menyediakan persekitaran serta kemudahan untuk golongan muda agar akses terhadap perpaduan ini dapat ditingkatkan.

            Dalam aspek penggunaaan bahasa kebangsaan pula, penggunaan satu bahasa yang sama amat penting. Ianya sangat berkesan dalam  memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat yang serba berbeza daripada aspek kebudayaan agama dan bahasa. Usaha ini akan membentuk satu komunikasi yang sempurna. Ianya sangat penting supaya cirri persamaan antara kaum itu dapat ditingkatkan seterusnya membawa kepada perpaduan yang erat dalam negara. Disamping itu, dalam  soal keagamaan pula semua rakyat Malaysia adalah bebas untuk mengamalkan ajaran dan agama masing -masing. Oleh yang demikian setiap daripada warganegara haruslah menghormati agama lain dan bukannya mencari perbezaan. Setiap perkara dan tindak tanduk yang dilakukan berdasarkan agama juga hendaklah dilaksanakan dengan penuh berhati-hati tanpa menyinggung mana-mana pihak.

            Manakala untuk kebudayaan pula,  dizahirkan satu kebudayaan nasional yang menjadi milik bersama rakyat negara tanpa mengira kaum, keturunan dan wilayah yang merupakan asas pembentukan bangsa. Kebudayaan ini terbentuk hasil daripada apa yang telah termaktub dalam  Dasar Kebudayaan Kebangsaan untuk memastikan ianya mengambil kira semua pihak dalam hubungan etnik ini. Dalam Strategi wilayah pula  kedudukan  Geografi banyak melahirkan integrasi yang kukuh antara Negeri-Negeri di Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak. Pelbagai langkah yang telah diambil untk mengintegrasikan antara kedua-dua wilayah ini. Antaranya  penambahbaikan dalam sistem perhubungan kebangsaan dan pengangkutan. (Nazaruddin Mohd Jali et. al. 2001)
            Seterusnya daripada aspek pembangunan kawasan. Pemaju-pemaju sesuatu kawasan harus mengambil kira  aspek perpaduan untuk memajukan sesuatu kawasan.  Sesuatu kawasan itu harus lah didiami oleh penduduk yang berlainan kaum. Hal ini supaya sentiment perkauman dapat dielakkan. Perlaksanaan aktiviti seperti rukun Tetangga dan sebgainya juga harus dilaksanakan tanpa mengira agama dan kaum. Ianya sangat penting supaya perpaduan dapat dibentuk. Selain itu pengajaran yang dapat diperolehi dan dititikberatkan dalam strategi penggunaan tenaga manusia pula majikan samada dalam sektor swasta mahupun kerajaan perlulah memastikan agar perlantikan sesuatu jawatan tidak berdasarkan kepada faktor budaya, agama dan kaum. Pemilihan perlulah berdasarkan keadilan dan kerakyatan. Ianya sangat penting supaya wujud  keadilan dan perkara ini akan membawa kepada perpaduan antara etnik itu sendiri supaya tidak timbul rasa iri hati terhadap etnik lain.

            Akhir sekali, media massa pula perlu memainkan peranan yang penting dan merupakan satu usaha untuk memaparkan dan menghubungkan semua rakyat hinggalah ke kawasan pedalaman. Penyampaian maklumat juga haruslah bersifat positif, memupuk nilai-nilai murni kearah membentuk negara harmoni dan maju. Strategi-strategi lain termasuklah dalam bidang kesukanan, pemasyarakatan perpaduan, penubuhan sukarela penyelidikan, program aktiviti perpaduan dan pemantauan isu-isu semasa dan konflik. Pengajaran yang kita perolehi daripada kedua-dua peristiwa ini merupakan satu titik tolak ke arah kebaikan kepada negara kita kerana selepas sahaja peristiwa tersebut berlaku semua pihak mulai sedar dan saling bekerjasama membentuk perpaduan yang lebih jitu seperti yang dapat kita saksikan kini. Apa yang perlu dilakukan oleh rakyat Malaysia ialah terus mendukung aspirasi nasional tanpa mengira apa pun fahaman politik dan saling membantu antara satu sama lain ke arah Malaysia yang lebih adil. Dasar-dasar yang dirangka oleh kerajaan pula haruslah didokong dan diberi sokongan yang sewajarnya agar ia berjaya mencapai matlamatnya. Peristiwa ini telah menyedarkan dan memaksa pemimpin-pemimpin negara meneliti isu perpaduan dengan lebih serius. Hasil penelitian itu, tindakan jangka pendek dan jangka panjang telah diambil untuk memulihkan dengan segera keamanan dan memupuk kembali bibit-bibit perpaduan yang telah goyah.


5.0       KESIMPULAN
Hidup bermasyarakat, saling menghormati, bertolak ansur dan mengukuhkan perpaduan merupakan faktor yang sering dikaitkan dalam masyarakat Malaysia.  Sebelum mendapat kemerdekaan, masyarakat di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak tidak mengenal erti perpaduan dalam masyarakat kerana mementingkan hak-hak yang dianggap penting untuk kaum sendiri. Disebabkan penguasaan penjajah, penduduk peribumi tidak dapat mentadbir tanah tumpah sendiri. Selain itu, dasar pecah perintah yang diperkenalkan oleh penjajah telah memisahkan kaum-kaum dan menetapkan ekonomi sara diri mereka. Dasar ini kelihatan tidak adil kepada masyarakat peribumi itu sendiri kerana impak yang dihadapi masih terasa sehingga masa kini. Perpaduan dalam masyarakat juga sukar dibentuk kerana telah dipisahkan mengikut ekonomi sara diri.

            Setelah pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan kemerdekaan, akhirnya perpaduan menjadi faktor utama dalam mencapai kemerdekaan. Perpaduan yang terbentuk suatu ketika dahulu masih lagi kekal sehingga ke hari ini. Menjadi asas dalam kemajuan negara, perpaduan merupakan tiang kepada kemakmuran masyarakat yang pelbagai di Malaysia. Perpaduan dalam hubungan etnik di Malaysia dipupuk dari bangku sekolah lagi. Minda generasi muda cuba dipupuk dengan perpaduan sejak dari usia yang muda lagi. Selain itu, usaha pemupukan unsur positif dalam hubungan etnik ini juga dilaksanakan dari aspek sosial, politik dan ekonomi. Kerjasama yang sihat serta kesamarataan dilakukan dengan sebaik-baiknya untuk mengelakkan berlakunya rasa tidak puas hati sesetengah pihak. Semua yang dilaksanakan oleh kerajaan hanyalah untuk mencapai kemakmuran.


            Pemupukan hubungan etnik dalam masyarakat yang berpegang teguh kepada aspek perpaduan pastinya dapat mengekalkan kemakmuran dalam negara. Jika tidak dijaga, pastinya peristiwa 13 Mei 1969 dan Insiden Kampung Medan 12 Mac 2001 akan berulang. Kesedaran rakyat Malaysia dalam menjaga kemakmuran dan keharmonian negara perlulah pada peringkat yang paling utama. Masyarakat perlu peka terhadap sensitiviti sesebuah kaum bagi mengelakkan salah faham. Kehidupan masyarakat yang berbagai ini amat menarik sekali jika penuh dengan rasa sayang, harmoni dan bersatu padu. Namun, nikmat tersebut boleh hilang jika tiada kesedaran diambil dan perpaduan dipandang secara sambil lewa. Oleh itu semua pihak yang mendiami tanah Malaysia ini haruslah sedar akan kewujudan cabaran-cabaran yang boleh mengganggu gugat hubungan antara etnik. Biarlah kita  berasal daripada etnik yang berbeza, namun identiti dan ideologi kita sebagai rakyat  harulah sama dan tidak berbelah bagi. Perpaduan yang ada ini sangat penting bagi kita dan masyarakat Malaysia khususnya, supaya kelangsungan hidup kita mampu diteruskan  dan kehidupan harmonis yang kita nikmati sekarang akan terus berkekalan sehinggalah pada generasi yang mendatang.

1 comment: