. Amoi Chantek: Hubungan Etnik Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Sunday 16 March 2014

Hubungan Etnik

1.0 PENDAHULUAN
            Malaysia merupakan sebuah negara yang rakyatnya majmuk sifatnya iaitu terdiri daripada pelbagai bangsa/ etnik, kaum/suku, bahasa, budaya dan agama. Cabaran utama yang dihadapi ialah memupuk perpaduan dan integrasi antara etnik untuk membina, menjalin dan mewujudkan kestabilan politik dan pembangunan serta keselamatan negara. Hal ini sesuai dengan hasrat yang pernah disuarakan oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang kedua. Beliau berhasrat untuk menjalin dan memupuk hubungan etnik dan wilayah untuk memajukan Malaysia.
            Salah satu contoh paling baik pernah berlaku di negara ini dalam proses pengwujudan, penjalinan dan pemupukan hubungan antara etnik ialah kewujudan masyarakat Baba atau peranakan imigran cina yang wujud di Tanah Melayu sejak lama dahulu. Mereka telah menerima dan mengasimilasikan tiga kebudayaan iaitu kebudayaan cina, Melayu dan Barat sebagai kebudayaan mereka sehinggakan budaya mereka menjadi sangat unik.
            Dalam tempoh hampir lima dekad pasca kemerdekaan, hubungan etnik di Malaysia telah melalui pelbagai liku peristiwa pasang surut, pahit dan manis. Dengan latar belakang budaya agama, bahasa dan asal usul keturunan yang berbeza, rakyat Malaysia bergerak maju mengharung pelbagai cabaran dan halangan dalam hubungan sosial bagi mewujudkan persekitaran yang harmoni, dami dan selamat.  Untuk memahami cabaran-cabaran yang telah dan sedang dilalui oleh rakyat Malaysia sememangnya tidak mudah. Hal ini kerana, seseorang perlu benar memahami terlebih dahulu latar sejarah yang membawa kepada pembinaan masyarakat, bentuk dan jenis pluraliti negara ini. Proses mengenal pasti cabaran itu bukanlah mudah. Hal ini kerana banyak faktor yang perlu diambil kira berasaskan senario dan persekitaran geopolitik, ekonomi dan perkembangan ideologi selari dengan kepesatan kemajuan ilmu dan teknologi semasa pada peringkat nasional mahupun global.



2.0 CABARAN DAN IMPLIKASI TERHADAP HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA
            Menurut Zaid Ahmad (2010) dalam bukunya Hubungan Etnik Di Malaysia Edisi kedua menyatakan bahawa cabaran yang pertama terhadap Hubungan Etnik di Malaysia adalah membina personaliti rakyat yang berjiwa Malaysia. Menurut beliau lagi, secara amnya bagi memastikan kesinambungan negara maka suatu generasi harus memiliki personaliti dan watak sebagai rakyat Malaysia. Maksudnya seorang rakyat Malaysia dapat menumpahkan taat setianya kepada raja dan negara, mempunyai semangat patriotisme serta bersedia mempertahankan kedaulatan negaranya. Cabaran ini menurut Mohamad Sohaimi Esa (2011) dalam bukunya Hubungan Etnik: Kelangsungan Pembinaan Negara Bangsa, menekankan kepentingan aspek budaya dan nilai. Dalam proses membina jati diri Malaysia, rakyat perlu mempunyai kekuatan budaya dan nilai yang bersifat keMalaysiaan supaya rakyatnya yang berbilang kaum berupaya membina satu jalinan sosial yang kukuh dan utuh. Lantaran itu, adalah amat penting rakyat Malaysia menghayati dan mengamalkan dasar kebudayaan kebangsaan yang telah digubal berasaskan semangat kerjasama dan persefahaman antara etnik di Malaysia. Cabarannya ialah proses menerapkan budaya dan nilai ke dalam kehidupan masyarakat yang pelbagai sifatnya, bukan suatu perkara yang mudah dilakukan disebabkan entiti setiap etnik yang berbeza.
            Satu lagi cabaran yang paling getir ialah cabaran membina jalinan hubungan harmoni antara interetnik dan intraetnik. Hubungan interetnik adalah merujuk kepada hubungan satu etnik dengan etnik yang lain. Hal ini merupakan cabaran besar yang sedang dihadapi oleh masyarakat negara ini dalam proses pembentukan negara Malaysia selaras dengan slogan 1Malaysia yang memiliki dan menghayati nilai jati diri Malaysia. Hubungan intraetnik yang merujuk kepada hubungan sesama kaum atau keturunan juga wujud cabaran menjalin hubungan politik khususnya dalam konteks sosiopolitik. Misalnya, kewujudan politik kepartian yang berbeza tetapi mewakili atau didominasi oleh kaum atau etnik yang sama. Hal ini sedikit sebanyak mendorong dan menyumbang kepada berlakunya masalah dalam hubungan intraetnik. Sebagai contoh wujud dua parti besar orang Melayu iaitu UMNO dan PAS. Kewujudan kedua-dua parti ini yang secara kebetulan tidak sehaluan atau berbeza pendapat dan ideologi sedikit sebanyak mewujudkan masalah hubungan antara sesama Melayu Islam. Demikian juga dengan kelahiran Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), walaupun pada asasnya parti ini sebuah parti pelbagai kaum, tetapi dominasinya juga adalah Melayu.
            Menurut Mohd Sohaimi Esa (2011) dalam bukunya Hubungan Etnik: Kelangsungan Pembinaan Negara Bangsa menyatakan bahawa Sistem pendidikan yang berasingan juga merupakan faktor penyumbang kepada cabaran hubungan etnik untuk memupuk integrasi dan persefahaman dalam kalangan pelajar. Keadaan ini demikian disebabkan interaksi sesama mereka hanya berkisar dalam kalangan etnik yang sama sahaja, walaupun kurikulumnya sama di semua jenis sekolah. Polarasi dalam kalangan pelajar pun merupakan masalah dalam hubungan etnik di Malaysia. Hal ini kerana walaupun interaksi kamu pada peringkat prasekolah khususnya di peringkat Tadika Perpaduan adalah baik, namun keterasingan di peringkat sekolah rendah dan menengah serta di institusi pengajian awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) masih lagi wujud. Demikian juga dengan isu kontrak sosial yang dianggap sebagai persetujuan yang dicapai semasa kemerdekaan dalam merangka perlembagaan . kini isu ini sering kali ditimbulkan oleh pihak tertentu sehingga boleh membawa ketegangan hubungan antara etnik di negara ini.
            Selain itu wujud juga cabaran kepentingan antara etnik dari aspek ekonomi yang merangkumi aspek pengurusan dan perbezaan pekerjaan berdasarkan sektor ekonomi. Dalam pengurusan ekonomi, contohnya, terdapat jurang yang amat luas di antara orang Melayu dengan orang bukan Melayu. Orang Melayu misalnya kebanyakkan menguasai sektor pertanian tradisional dengan menggunakan teknologi rendah. Manakala orang cina pula, umunya menguasai sektor yang lebih maju seperti bidang perniagaan dan perdagangan dengan menggunakan teknologi moden. Dampaknya, wujud jurang pendapatan yang ketara dan ketidakseimbangan pendapatan di antara orang Melayu dan Orang Cina. Hal ini merupakan cabaran dalam hubungan etnik dan mewujudkan ketidakstabilan dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia.
            Perbezaan pekerjaan berdasarkan sektor ekonomi juga merupakan cabaran hubungan etnik, kerana setiap golongan etnik dikelaskan mengikut sektor ekonomi tertentu seperti pertanian, perniagaan, perindustrian dan pentadbiran awam. Hal ini amat ketara semasa pemerintahan British apabila orang Melayu kebanyakannya terlibat dalam sektor pertanian, nelayan dan penjawat awam. Orang cina pula kebanyakannya terlibat dalam sektor perniagaan dan perlombongan. Manakala orang India sebahagian besarnya merupakan buruh estet-estet. Peristiwa inilah yang menghalang interaksi antara kaum dan seterusnya memperkukuhkan lagi semangat perkauman. Sedihnya sehingga kini masih wujud jurang dari segi ekonomi khususnya jurang antara bandar dan luar bandar dan jurang antara kaya dan miskin. Lebih malang lagi timbul pula masalah kawasan dan rakyat miskin tegar yang tidak pernah timbul sebelum ini.
            Cabaran-cabaran tersebut merupakan penyumbang utama sebab tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969. Malah peristiwa ini merupakan cabaran paling kronik pasca merdeka sehingga ketegangan kaum tidak dapat dibendung dan akhirnya meletup selepas pilihan raya umum tahun 1969 berakhir. Hubungan kaum yang selama ini disangka baik telah hancur lebur dan musnah sama sekali. Tragedi berdarah ini telah banyak meninggalkan kesan dari segi politik, ekonomi, politik dan sosial, malah menyangkut juga soal psikologi masyarakat Malaysia. Peristiwa malang ini merupakan cetusan daripada prejudis dan saling tidak mempercayai antara etnik yang akhirnya menjadi kian melibar polarisasi kaum di Malaysia. Namun, agenda politik bangsa Melayu pramerdeka tetap mempunyai pengaruhnya terhadap agenda politik bangsa Malaysia yang merdeka, menurut Makmor Tumin dalam majalah Dewan Budaya, 1999, nampaknya, sudahlah agenda politik pasca merdeka hanya terungkap selepas berlakunya rusuhan kaum 13 Mei 1969, agenda politik itu termarginal pula kerana tumpuan terhadap agenda ekonomi daripada pelaksanaan DEB.
            Cabaran masa kini yang sulit ialah cabaran globalisasi iaitu corak hidup yag berasaskan gagasan ekonomi dan politik barat bersifat sejagat. Kesan daripada kemajuan teknologi moden dan kepesatan teknologi maklumat melalui ruang angkasa menyebabkan dunia menjadi mengecil tanpa sempadan dan tidak boleh dibendung oleh mana-mana kuasa besar di dunia. Lantaran itu dengan mudah pengaruh dari segi ideologi, hedonisme, dan nilai-nailai negatif, ekonomi bebas, ciptaan sains dan teknologi yang boelh memusnahkan serta sistem politik dianggap terbaik bagi semua manusia dengan mudah dapat dibawa masuk ke negara kita. Melalui globalisasi ini juga barat mengeksport segala macam hiburan dan pengeploitasian sumber manusia serta bahan mentah ke seluruh dunia termasuk juga Malaysia. Globalisasi nanti akan menjadikan dunia semakin terbuka. Pelbagai inovasi teknologi baharu yang wujud akan menjadikan dunia ini seolah-olah tiada sempadan “borderless world”. Dalam dunia yang sebegitu rupa sudah tentu persaingan juga kian terbuka. Oleh itu, untuk mengekalkan kesepaduan kaum di Malaysia, sikap terbuka dan sanggup bersaing perlulah diperkembangkan lagi. (Tarmizi Mat Zin, Dewan Masyarakat: 1998).

3.0 USAHA-USAHA PEMUPUKAN HUBUNGAN ETNIK DALAM MASYARAKAT MALAYSIA
            Istilah perpaduan, bangsa dan rakyat, ia tidak bermakna perpaduan dengan menghapuskan suku bangsa dan perbezaan pendapat. Maksud ‘kita’ ialah kerjasama di antara suku bangsa dan di kalangan masyarakat dan bangsa seluruhnya untuk mencapai tujuan kebajikan dan kebaikan bersama. (Kassim Ahmad, 1998).  Soal perpaduan tetap menjadi agenda utama yang mesti dipertahankan. Kepentingannya dalam konteks masayarakat majmuk di Malaysia amat perlu dan penting. Mungkin cara, pendekatan, dan nadanya berbeza tetapi matlamatnya tetap sama iaitu membentik perpaduan nasional yang utuh, teguh, demi kestabilan politik, sosial, dan ekonomi. Sejarah hitam tragedi 13 Mei 1969 yang telah terakam dalam sejarah Malaysia, biar pun cuba dihilangkan terus dari ingatan kita semua, namun ia tetap menjadi iktibar kepada rakyat Malaysia betapa pentingnya perpaduan itu dipelihara, dipupuk, dan dipertahankan biar apa pun yang berlaku.
            Justeru itu usaha untuk mengatasinya secara holistik merupakan satu usaha yang berterusan. Tidak kira bangsa, yang pasti semuanya mempunyai peranan penting ke arah mewujudkan pemupukan integrasi dalam hubungan etnik dalam masayarakat Malaysia. Sementara itu, memahami hak-hak istimewa bumiputera seperti yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia juga amat penting. Hak-hak bumuputera ini wajar diberi pengiktirafan yang sewajarnya dan ia perlu difahami oleh semua pihak. Justeru, tidak timbullah soal agihan kuota yang bias bagi kaum pribumi jika dibandingkan dengan bukan pribumi. Sekali lagi, kita sebagai rakyat Malaysia harus mempunyai toleransi yang tinggi demi mengekalkan kesejahteraan yang wujud.
            Persaingan yang kompetitif dalam bidang perniagaan yang secara sihat misalnya boleh menyamarakkan semangat daya juang yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia. Sewajarnya pula, dalam konteks perpaduan ini, sikap tolong-menolong perlu pula diperteguhkan lagi kerana dalam kes-kes  ekonomi misalnya orang-orang Melayu yang sering ketinggalan. Meskipun kerajaan Malaysia telah berjaya melahirkan  ramai tokoh korporat Melayu yang disegani, namun pada masa yang sama ramai lagi yang berpotensi dan perlu dibimbing. Jika jika benar masyarakat Malaysia impikan perpaduan yang berkekalan, maka ahli-ahli perniagaan berbilang bangsa wajar berganding bahu, saling bantu-membantu dan tolong-menolong sesama mereka dengan mengenepikan terus sebarang elemen perkauman. Di smaping suasana seperti ini boleh menyemarakkan lagi semangat perpaduan, maka ia juga dapat wujudkan ekonomi yang teguh kepada negara.
            Namun begitu, faktor paling dominan dan yang menjadi pemgimbang utama ke arah perpaduan nasional menjelang wawasan 2020 ialah kesedaran. Kesedaran yang dimaksudkan di sini ialah rasa keinsafan yang lahir daripada hati nurani setiap rakyat Malaysia betapa nikmat yang kita kecapi sekarang adalah kerana perpaduan. Dengan kata lain, nikmat ini tidak pernah lahir dan tidak akan lahir jika kita masih mementingkan kaum masing-masing. Malah, perpecahan antara kaum akan menghancurkan dan membantutkan pembangunan Malaysia yang kita cintai. Oleh itu, rakyat Malaysia seharusnya menanamkan sikap cintakan negara di mana sahaja mereka berada.
            Sejajar dengan wawasan 2020 yang di dominasi oleh kemajuan material berteknologi tinggi, maka segala program yang bakal dirancang, dirombak atau digubal semula perlulah mengambil kira soal ini. Kerana kesesuaian zaman menjadi pemangkin utama kepada proses integrasi kaum yang lebih padu dan kukuh. Di smaping tidak mengenepikan terus unsur-unsur tradisional yang melingkari budaya sesuatu kaum, maka keperluan masyarakat yang kian moden perlu dipertimbangkan agar segala program tersebut mencapai sasaran dan menuju matlamat yang dikehendaki.
            Menurut Shamsul Amri (2007) dalam bukunya Modul Hubungan Etnik, terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dimainkan oleh masyarakat dalam memastikan keharmonian etnik sentiasa terjaga iaitu Rukun Tetangga. Skin Rukun Tetangga telah diperkenalkan pada tahun 1975 berikutan dengan kuatkuasanya Peraturan-peraturan Perlu (Rukun Tetangga 1975). Pada peringkat awal, Rukun Tetangga membolehkan rakyat mengawal keselamatan di kawasan kediaman masing-masing. Dengan tumpuan diberi kepada tugas rondaan yang diwajibkan kepada masyarakat yang berumur antara 18 tahun hingga 55 tahun. Objektif Rukun Tetangga, iaitu memelihara, meningkat dan mengukuhkan perpaduan rakyat dan integrasi nasional selaras dengan dasar-dasar pembangunan negara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
            Rumah terbuka akan diadakan oleh setiap rakyat Malaysia apabila tiba musim perayaan. Setiap golongan etnik di Malaysia akan sering kujung-mengunjungi ke rumah jiran tetangga walaupun berlainan etnik. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, etnik Cina, India, Kadazan, Iban dan pelbagai lagi akan kunjung mengunjungi ke rumah orang Melayu dan begitulah sebaliknya bagi etnik lain. Pertimbangan ini memperlihatkan keharmonian hubungan etnik sentiasa terjalin kukuh dalam kalangan rakyat dan memahami dan menghormati budaya masing-masing. Amalan ini membuktikan integrasi sosial dalam masyarakat begitu tinggi walaupun berlainan agama, bangsa dan kebudayaan.
            Penerimaan budaya dewasa ini, masyarakat bukan Melayu mula menerima budaya orang Melayu dari segi pakaian dan makanan. Contohnya, orang bukan Melayu segak menggayakan baju kurung dan baju Melayu terutamanya pada hari jumaat danfenomena ini sesuatu yang biasa bagi pelajar bukan Melayu. Bagi orang Melayu pula, mereka mula menerima masakan Cina dan India serta pemberian duit raya telah menggunakan sampul atau angpau yang terkenal dalam kalangan orang Cina. Dewasa ini juga telah kelihatan di taman-taman perumahan, terdapatnya penempatan yang sama untuk semua etnik yang pastinya keadaan ini akan menggalakkan lagi hubungan etnik dalam kalangan rakyat melalui aktiviti setempat.
            Antara usaha yang lain dari sudut kerajaan Malaysia adalah dengan menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara khusus untuk menangani permasalahan hubungan kaum di negara ini. Jabatan ini pada mulanya diletakkan dibawah kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat kemudian diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri dan dikawal selia oleh seorang menteri kabinet persekutuan. Langkah ini dilihat sebagai usaha kerajaan untuk menangani permasalahan integrasi nasional antara kaum di Malaysia. Langkah lain ialah dengan memperkenalkan Rukun Negara, Dasar Kebudayaan, Dasar Sosial, Dasar Pendidikan dan Dasar Bahasa, Sekolah Wawasan dan yang mutakhir ialah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Ksemua ini diperkenalkan bagi membolehkan rakyat Malaysia yang majmuk sifatnya ini boleh berinteraksi dan menghayati nilai-nilai yang di kongsi bersama dalam usaha menyuburkan integrasi nasional.
            Program Khidmat Negara (PLKN) yang mula dilaksanakan di Malaysia pada 16 Februari 2004 merupakan satu kursus latihan yang dijalankan oleh kerajaan bagi pembinaan sahsian diri bermatlamatkan membina dan mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, menyatukan golongan muda dari pelbagai kaum dan menyediakan mereka menghadapi cabaran dari dalam dan luar negara.
            Bukan itu sahaja, dasar kerajaan terkini iaitu Konsep 1Malaysia dengan slogan ‘satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ merupakan pendekatan baharu bagi menempa sebuah zaman baharu demi menjelmakan sebuah kerajaan yang mengutamakan prestasi berpaksikan keutamaan rakyat yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak setelah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6 pada 3 April 2009. Menurut Datuk Seri Najib, konsep 1Malaysia dalam pentadbiran kerajaan baharu bererti bahawa kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia-One People dan kita mengambil segala tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik di Malaysia. Pendekatan baharu ini merangkumi elemen yang jelas bagi pembinaan negara dengan berpaksikan perpaduan, integrasi, kepentingan rakyat dan kecemerlangan bagi melonjakkan kemajuan negara. Pembentukan 1Malaysia merupakan wadah bagi pembinaan bangsa Malaysia  yang bersatu padu dan membantu negara ke arah mencapai Wawasan 2020, iaitu membentuk sebuah negara yang bersatu dan menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama.
            Untuk mengukuhkan lagi penyatuan kaum melalui politik selepas Peristiwa 13 Mei 1969, kerajaan Perikatan berpendapat perlu untuk mengadakan kerjasama dengan parti-parti pembangkang agar satu ikatan kerjasama politik antara pelbagai etnik dan parti dapat diwujudkan, kerajaan campuran pertama yang dibentuk adalah antara Perikatan dengan sebuah parti Pembangkang iaitu Gerakan pada Februari 1972 supaya memudahkan kerajaan mengimplementasikan dasar-dasar sosioekonomi di seluruh negara. Gabungan perikatan denga parti-parti pembangkang tersebut telah meluaskan perkongsian politik hingga melibatkan 12 parti politik dari semenanjung, Sabah dan Sarawak yang dikenali sebagai Barisan Nasional (BN) dan didaftarkan pada 1 Jun 1974. Melihat kepada matlamat utama BN iaitu memupuk dan mengekalkan satu bangsa Malaysia yang harmoni dan bersatu padu, maka jelaslah bahawa pihak kerajaan mahu menjuruskan dasar-dasarnya kepada perpaduan etnik dalam proses politik di Malaysia.
            Selain Wawasan 2020, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga diperkenalkan bertujuan mewujudkan masyarakat yang harmonis kerana menggunakan acuan tempatan iaitu menggunakan bahasa pengantar, sukatan pelajaran dan kurikulum yang seragam seperti termaktub dalam Penyata Razak tahun 1956 dan Ordinan Pelajaran 1957 serta Laporan Rahman Talib 1960 dan seterusnya Akta Pelajaran 1961. Selepas itu dikaji semula jawatankuasa Kabinet 1974 dan laporannya diterbitkan pada tahun 1979 bertujuan untuk menambah baik perlaksanaan sistem pendidikan sedia ada untuk mencapai matlamat melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi membangunkan negara Malaysia.
            Sebagai langkah memupuk perpaduan di sekolah, kerajaan telah memperkenalkan Sekolah Wawasan bertujuan untuk menyediakan satu ruang sosial yang memberi kesempatan kepada pelajar daripada pelbagai kumpulan etnik untuk berinteraksi dan seterusnya menjalin hubungan yang harmonis. Kerajaan juga memperkenalkan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) iaitu kerjasama  antara sekolah pelbagai aliran dalam semua program pelajar dan guru. Terdapat empat objektif utama  RIMUP ini iaitu menggalakkan penyertaan guru dan murid dalam sebarang kegiatan sekolah, mewujudkan sikap kerjasama dan tolong-menolong, melahirkan persefahaman dan tolak unsur antara murid pelbagai kaum di sekolah, dan berkongsi kemudahan, peralatan, tenaga dan kepakaran untuk kegiatan tertentu. Langkah ini diharapkan mampu meningkatkan hubungan etnik dalam kalangan pelajar di sekolah.



No comments:

Post a Comment