1.0 Pengenalan
Islam adalah agama yang
menentang keganasan termasuk peperangan, namun begitu pihak media Barat yang
diperalatkan oleh golongan yang mahu menggambarkan imej buruk Islam sering
menghubungkan perjuangan Islam yang suci atau jihad dengan keganasan dan pembunuhan
seperti yang dilakukan oleh tentera Hamas dan Taliban kononnnya. Menurut
sebahagian fahaman songsang yang dicipta oleh musuh Islam, peperangan dikenali
sebagai Jihad, jika diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai holy war
atau peperangan suci seperti mana yang sedang disebarkan oleh
pendakwah-pendakwah kristian pada masa ini.
Terjemahan ini
memberikan kefahaman yang jelas bahawa Islam adalah ditegakkan dengan mata
pedang dan dikembangkan dengan peperangan. Apabila di sebut ’perang’ tentulah
merupakan tindakan membunuh dan menyerang, menawan musuh dan mengambil tindakan
keras kepada sesiapa sahaja yang menentangnya. Seorang Islam mestilah berjuang
untuk mempertahankan kehormatannya dengan beberapa cara yang tertentu, iaitu
sama ada dengan harta benda, ilmu dan kebijaksanaannya, kuasa dan jiwanya
sendiri. Maka dalam konteks ini jihad tidak memberi sebarang pengertian yang
membolehkan seorang Islam menyerang dan menceroboh orang lain yang tidak
menyerang atau menceroboh haknya.
Di dalam al-Quran terdapat
istilah yang menunjukkan makna peperangan, iaitu al-qatl atau al-qital.
Beberapa ayat al-Quran di bawah menjelaskan tentang tindakan peperangan ini:
Dan
perangilah pada jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu (tetapi) janganlah
kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang melampaui
batas. (Al-Baqarah, ayat 190)
Dan
perangilah mereka itu sehingga tidak ada fitnah lagi, dan (sehingga) agama itu
hanya untuk Allah belaka. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu) maka tidak
ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang zalim. (Al-Baqarah, ayat
193)
Ayat-ayat ini
menjelaskan tentang waktu dan bentuk peperangan yang boleh dilakukan oleh orang
Islam iaitu sebagai tindak balas kepada musuh-musuh yang menyerang dan
memerangi mereka, maka dalam keadaan ini orang Islam haruslah bertindak
mempertahankan diri mereka dengan melakukan tindak balas yang sewajarnya. Namun
begitu Allah s.w.t. mengingatkan supaya dalam bertindak mempertahankan diri itu
orang Islam tidak seharusnya melampaui batasan yang sewajarnya. Dalam hal ini,
Islam mengutamakan tindakan yang adil dan mengutamakan sifat mulia dan beretika
dalam melindungi hak manusia dan kehormatan moral mereka. Dengan itu Islam juga
menyeru pihak musuh supaya menjaga hal yang sama ketika berlaku persengketaan,
sebab itulah ditegaskan bahawa hak agama Allah itu sendiri mestilah dihormati
dan dijaga dengan sebaik-baiknya.
Dari sudut yang lain,
Islam juga meletakkan garis panduan yang baik tentang kewajipan mempertahankan
diri dan membalas tindakan dan pencerobohan musuh. Strategi Islam ialah menjaga
keselamatan dan keamanan, di samping mencari perdamaian dengan musuh. Allah
s.w.t. menjelaskan tentang sempadan-sempadan yang seharusnya dipelihara oleh
orang Islam ketika menghadapi pencerobohan musuh, iaitu di dalam firman-Nya: Barang siapa yang menyerang kamu, maka
seranglah ia, yang seimbang serangannya terhadap kamu. Bertakwalah kepada
Allah, dan ketahuilah bahawa Allah berserta dengan orang-orang yang bertakwa.
(Al-Baqarah, ayat 194)
Namun begitu dalam
keadaan yang tertentu, iaitu ketika musuh telah bertindak ganas, seperti yang
berlaku kepada Rasulullah s.a.w. ketika Baginda menghadapi pencerobohan yang
menyeluruh daripada kaum musyrikin yang ingin membinasakan orang Islam dan
agama Allah dengan serangan yang berlarutan dan tidak lagi berperikemanusiaan,
maka Allah s.w.t. membenarkan orang Islam bertindak balas dengan menyeluruh
juga seperti yang diterangkan oleh ayat yang berikut:
Dan
bunuhlah mereka di mana saja kamu jumpa mereka, dan usirlah mereka dari tempat
mereka mengusir kamu (Mekah).
Ayat ini menjelaskan
bahawa orang musyrikin Mekah telah bertindak di luar batasan perikemanusiaan
dengan mengusir orang Islam dari tanah tumpah darah mereka dan bertindak
sewenang-wenangnya membunuh orang Islam. Dalam keadaan ini orang Islam harus
membunuh mereka dan mengusir mereka dalam proses menegakkan keadilan dan
mempertahankan diri dan negara mereka. Bagaimanapun dalam al-Quran terdapat
beberapa ajaran yang berikut yang harus dipatuhi, iaitu sekiranya pihak musuh
ingin berdamai, maka orang Islam hendaklah bersedia untuk berdamai, peperangan
dibenarkan kepada orang Islam kerana mereka telah dizalimi. Dalam peperangan,
orang Islam haruslah memelihara etika dan adab peperangan, iaitu tidak mencabuli
tempat-tempat suci agama, orang yang beribadat dan sebagainya. Selain itu, tawanan
perang haruslah dilayan dengan baik:
2.0 Strategi Yang Digunakan Oleh Rasulullah Semasa Berperang.
2.1 Pengenalan
Pewujudan
satu struktur sosial baru di Madinah memerlukan juga strategi dalam sistem
ketenteraan. Selepas hijrah, masyarakat islam Madinah yang lemah dan kecil
bilangannya dikelilingi oleh pasukan-pasukan musuh yang kuat. Antara bahaya
yang paling besar ialah ancaman nyata daripada orang-orang Makkah kerana
sebelum itu Rasulullah s.a.w dan pengikut-pengikutnya telah berjaya melepaskan
diri daripada cengkaman mereka. Hal ini menyebabkan ramai orang islam merasa
teraniaya dan ingin berperang bagi membela nasib mereka yang ditindas. Oleh hal
yang demikian maka turunlah wahyu yang membenarkan Rasulullah s.a.w
bersama-sama orang islam untuk berperang dengan tujuan untuk menegakkan dan
mempertahankan maruah Islam.
Ketahanan bermakna ketabahan, kecekalan
dan kesabaran dan tidak mudah mengalah dalam peperangan. Manakala pertahanan
pula merujuk kepada mempertahankan diri, bangsa, agama dan negara daripada serangan
musuh dan juga bermaksud membela golongan yang lemah atau dizalimi dan
teraniaya. Sejarah bangsa arab sebelum islam tidak mempunyai tentera yang teratur
dan berdisiplin seperti bangsa Rom dan Parsi. Mereka mempunyai taktik dan
strategi yang tersendiri dan berbeza.
Pada zaman nabi Muhammad, nabi terlibat dalam
perang Badar, Uhud, Khandak, Hunain, Taif dan lain-lain. Nabi telah menggunakan
beberapa taktik dan strategi ketika menentang musuh-musuh khususnya orang kafir
Quraish Makkah. Setelah nabi berhijrah ke Madinah dan membentuk negara Islam, baginda
telah diizinkan mempertahankan akidah islam dan negara dengan kekuatan tentera.
Terdapat pelbagai teknik dan strategi yg digunakan pada zaman nabi. Antaranya
ialah seperti yang dinyatakan tersebut.
2.2 Taktik Menunggu/ Sistem Al-Saf
Nabi
pernah menggunakan taktik ini semasa perang badar. Semasa di medan peperangan, nabi
dan umat islam menggunakan taktik menunggu hingga musuh menghampiri, baru
mereka bertindak balas dan menyerang secara spontan. Caranya adalah tentera akan
dibahagikan kepada dua barisan, barisan pertama dihadapan yang bersenjatakan
tombak dan perisai manakala barisan kedua bersenjatakan panah dan perisai dan
diketuai oleh pemegang bendera.
Di bawah pimpinan nabi, tentera disusun rapi
mengikut sistem al-saf. Mereka juga berkubu dan menjaga kawasan yang ada telaga
air atau sumber air seperti di badar. Tentera Islam hanya berjumlah 313 orang,
manakala musuh 3,000 orang.
2.3 Taktik Bertahan
Rasulullah
telah menggunakan strategi ini semasa diserang musuh. Tentera musuh seramai
10,000 orang, manakala tentera Islam hanya seramai 3,000 orang sahaja. Contohnya
dalam perang khandak, nabi menggunakan taktik yang disyorkan oleh sahabatnya,
Salman Al-Farisi iaitu mereka mengadakan benteng pertahanan dengan menggali
parit di sekeliling kota madinah. Taktik ini tidak pernah digunakan oleh orang
arab semasa berperang dan membingungkan pihak musuh serta memaksa mereka
berundur kerana gagal melepasi rintangan yang dibuat oleh orang islam.
Jika pasukan berkuda atau orang cuba
melintasi, mereka akan dipanah atau direjam dengan tombak atau lembing. Benteng
pertahanan ini berjaya menyekat serangan musuh. Bantuan angin kencang turut
melemahkan pihak musuh. Akhirnya tentera islam telah berjaya mengalahkan musuh dan
kemenangan berpihak kepada tentera islam.
2.4 Taktik Mengepong Dan Serangan Bertubi-tubi
Nabi
pernah menggunakan taktik ini semasa dalam peperangan Taif. Nabi telah mengepung kota Taif dan kemudian
melancarkan serangan secara bertubi-tubi sehingga pihak musuh tidak sempat
bersedia.
2.5 Tidak Mengejar Musuh Yang Lari
Nabi
pernah menggunakan taktik ini iaitu tidak mengejar pihak musuh yang lari atau berundur
dari medan peperangan supaya tidak menjejaskan kedudukan pertahanan tentera
atau boleh menjadikan mereka diperangkap oleh musuh. Taktik ini menunjukkan
bahawa umat islam tidak bersifat agresif atau offensif terhadap musuh.
2.6 Taktik Menyerang
Taktik
ini digunakan nabi untuk melemahkan kekuatan musuh dan menyebabkan musuh tidak
bersedia untuk mengumpul kekuatan mereka. Serangan dilancarkan secara tiba-tiba
sama ada pada waktu subuh atau masa-masa tertentu ataupun apabila kekuatan tentera
islam sangat besar. Contohnya teknik ini telah digunakan dalam perang Hunain.
Dalam peperangan ini juga tebtera islam mendapat kemenangan.
2.7 Taktik Menunggu Dan Lihat
Taktik
ini pernah digunakan dalam perang badar dan uhud. Dalam perang ini umat islam
menuggu dan melihat musuh yang datang, apabila musuh hampir barulah dimulakan
peperangan. Pasukan pemanah diletakkan di atas bukit atau ditempat strategik untuk
melindungi umat islam dibawah dan menyekat musuh dari bawah. Pasukan memanah tidak
dibenarkan meninggalkan kawasan atau tempat masing-masing.
2.8 Menyerang Sebelum Musuh Menyerang
Taktik
ini pernah digunakan oleh nabi semasa mula membentuk negara islam di madinah. Apabila
nabi mendapat tahu ada berita suku kaum arab di luar madinah, nabi terus
menghantar pasukan tentera islam ke kawasan kabilah atau suku tersebut dan
menewaskan mereka sebelum musuh menyerang terlebih dahulu. Begitu juga semasa
perang khandak atau azhab, nabi mula mengubah strategi peperangan. Beliau tidak
lagi menunggu dan bertahan tetapi telah mula menyerang kesatuan-kesatuan musuh terlebih
dahulu.
2.9 Kesimpulan
Peperangan
demi peperangan dihadapi oleh nabi. Strategi dan taktik
digunakan oleh nabi ketika menentang musuh-musuh Islam menunjukkan bahawa
kekuatan fizikal semata-mata sepertt yang dimiliki oleh pihak musuh gagal
menewaskan kekuatan iman umat islam. Nabi Muhammad berjaya membuktikan
kebijaksanaan sebagai pemimpin dan ketua panglima perang di Madinah yang mampu mengatasi
ancaman musuh dengan menggunakan taktik dan strategi. Bagi nabi, peperangan
adalah tipu muslihat atau strategi.
3.0 Etika
Yang Diamalkan Oleh Nabi Muhammad S.A.W Semasa Peperangan
3.1 Pengenalan
Islam amat menghormati dan
memuliakan nyawa manusia dan telah melakukan segala perkara yang mungkin untuk
menyelamatkan dan mempertahankan nyawa tersebut. Nabi Muhammad S.A.w juga telah
menghalang pembunuhan beberapa orang kafir Quraish di dalam perang Badar kerana
mereka menyertai musuh bukan dengan kerelaan hati mereka di antaranya seperti
Abbas bin Abdul Mutalib dan Abu Bakhtari bin Hisyam. Malah semasa penaklukan
semula kota Mekah Nabi Muhammad S.A.W telah mengampunkan kesemua mereka yang
telah bertindak kejam terhadap baginda dan pengikut-pengikutnya selama 15
hingga 20 tahun yang lalu.
Menumpahkan
darah-darah manusia tergolong di dalam dosa-dosa besar. Penghormatan dan
kemuliaan terhadap nyawa ini amat jelas menunjukkan bahawa Islam amat
mengutamakan perdamaian dan keamanan di dalam kehidupan manusia. Namun, Allah
membenarkan orang-orang Muhajirin memerangi Musyrikin Quraisy melalui
firman-Nya yang bermaksud : “Diizinkan bagi orang-orang Islam yang diperangi
oleh golongan penceroboh kerana sesungguhnya mereka talah dianiaya, dan
sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong meraka mencapai kemenangan .
Iaitu mereka yang diusir dari kampung halaman dengan tidak berdasarkan sebarang
alasan yang benar, mereka diusir semata-mata kerana mereka berkata ‘Tuhan kami
ialah Allah’…” (Al-Haj:39-40).
Walaubagaimanapun,
peperangan dalam islam mempunyai etika yang harus dipatuhi. Keamanan adalah
asas dan dasar kepada kehidupan di dalam Islam sementara peperangan hanyalah
satu perkara keperluan iaitu apabila tiada lagi jalan penyelesaian atau pilihan
lain. Walaupun peperangan dibenarkan di dalam Islam tetapi ianya merupakan
jalan terakhir dan sekiranya masih ada lagi peluang untuk mengelakkannya
daripada berlaku, maka ianya hendaklah dielakkan.
3.2 Berperang Seandainya Diperangi Terlebih Dahulu
Etika pertama ialah Islam
hanya membenarkan umatnya berperang seandainya mereka diperangi terlebih
dahulu. Contohnya, dalam Perang Badar. Perang Badar berlaku pada tahun ke-2
Hijrah dan merupakan perang yang pertama disertai oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Perang ini dinamakan Badar kerana meletus disebuah perigi di antara Makkah dan
Madinah yang dimiliki oleh seorang yang bernama Badar.
Faktor utama perang
ini ialah orang Musyikin Makkah telah menghalau orang Islam dari Makkah dan
harta benda mereka terpaksa ditinggalkan di Makkah. Selain itu, orang Musyikin
juga ingin menghapuskan orang Islam di Madinah kerana bimbang orang Islam
menguasai perdagangan. Hal ini kerana kedudukan Madinah terletak diantara
Makkah dan Syam. Perpindahan Nabi s.a.w. tidak disenangi oleh golongan Musyikin
di Makkah kerana akan menguatkan lagi kedudukan orang Islam dan memudahkan
Rasulullah s.a.w. menyebarkan agama Islam. Orang Quraisy telah membuat satu
pakatan sulit dengan orang Yahudi di Madinah kerana mereka ingin menghancurkan
perkembangan agama Islam.
Setelah itu, baginda
s.a.w. telah berdoa "Ya Tuhanku! andai kata kelompok ini hancur, siapakah
lagi yang akan menyembah-Mu di permukaan bumi ini?". Sebab itulah kaum
Muslimin menganggap perang ini sebagai "Al-Ghazwatul Furqan"
bermaksud peperanan yang menentukan pihak yang benar dan pihak yang salah.
Pada suatu masa,
orang Musyikin Makkah telah membawa satu kafilah perdagangan dari Syam ke
Makkah di bawah pimpinan Abu Sufian bin Harb. Setelah mengetahui gerakan itu,
Nabi Muhammad s.a.w. bersama 324 orang tentera cuba mengesan kafilah tersebut.
Abu Sufian terus meminta bantuan dari Makkah setelah mengetahui tentere Islam
sedang menghampiri mereka. Bantuan berjumlah 1000 orang telah dihantar dengan
diketuai oleh Abu Jahal. Kedatangan kaum Musyikin bukan untuk menyelamatkan
barang dagangan mereka (yang dibawa oleh kafilah dari Syam) tetapi sebaliknya
untuk menangkap orang Islam, maka peperangan tidak dapat dielakkan lagi.
Maka, berlakulah
peperangan besar-besaran yang akhirnya telah dimenangi oleh islam. Seramai 67
orang dari pihak Musyikin terbunuh termasuk Abu Jahal, manakala 14 tentera
Islam telah gugur syahid. Banyak tentera Musyikin ditawan dan mereka dikenakan
wang tebusan mengikut kemampuan masing-masing, iaitu diantara 1000 dirham
hingga 4000 dirham. Tebusan yang miskin tetapi pandai membaca dan menulis,
dikehendaki mengajar sepuluh orang kanak-kanak Islam sebelum ia dibebaskan.
Hukuman keatas tentera Musyikin yang ditawan ini sebanarnya dicadangkan oleh
Sayidina Abu Bakar kerana menurutnya, dengan cara layanan yang baik ini nescaya
Allah SWT akan memberi hidayah kepada mereka dan keluarga mereka untuk menganut
agama Islam.
3.3 Tidak
Boleh Memerangi Orang Kafir Yang Tidak Memiliki Kekuatan Dan Daya Usaha
Seterusnya, dalam
ekspedisi peperangan tentera Islam tidak boleh memerangi orang kafir yang tidak
memiliki kekuatan dan daya usaha seperti kanak-kanak, kaum wanita, orang cacat,
lumpuh, paderi atau pendeta. Allah SWT telah mengizinkan umat Islam berperang selaras
dengan surah al-Hajj, ayat 39 yang bermaksud, “Tetapi diizinkan berperang bagi
orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya”. Namun begitu,
umat Islam diingatkan supaya tidak melampaui batas seperti menzalimi orang yang
tidak mampu berperang seperti kanak-kanak, kaum wanita, orang cacat, lumpuh,
paderi atau pendeta.
Ini terbukti setelah
Perang al-Ahzab pada tahun ke-5 Hijrah diceritakan telah berlaku peperangan
yang akhirnya berpihak kepada orang Islam dan banyak antara orang Yahudi yang
berjaya ditawan. Kaum lelaki Yahudi dibunuh manakala golongan wanita dan
kanak-kanak dibebaskan. Tindakan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad ini adalah
wajar memandangkan baginda telah beberapa kali memberi amaran tetapi mereka
masih berdegil dan terus bertindak untuk menghapuskan islam.
Islam menetapkan agar
pembunuhan hanya di medan perang dan tidak boleh diperluaskan di luar medan
perang. Islam melarang membunuh kaum wanita, kanak, kanak dan orang awam yag
tidak terlibat di dalam peperangan. Golongan musuh yang tidak terlibat di dalam
peperangan tidak akan dibunuh selagi tidak menzahirkan pemusuhan dan
penentangan bersenjata. Walaupun golongan wanita tidak boleh dibunuh tetapi
jika wanita tersebut terbabit di dalam peperangan ,maka dia boleh dibunuh.
Orang tua uzur dan golongan yang beribadat di rumah ibadat juga tidak boleh
dibunuh dan dianiaya.
Sebagaimana sabda
Rasulullah SAW: “Keluarlah kamu (medan jihad) dengan nama Allah, perangilah di
jalan Allah sesiapa yang kafirdengan Allah. Jangan kamu melanggar perjanjian,
janjan kamu mengkhianati harta rampasan perang, jangan kamu rosakan mayat,
jangan kamu bunuh kanak-kanak, dan ahli rumah ibadat.” Riwayat Ibn Abbas.
3.4 Melarang Segala Perbuatan Yang Mengaibkan
Musuh
Islam melarang sebarang
perbuatan yang boleh mengaibkan musuh, antaranya ialah tentera tidak boleh
mencincang mayat atau musuh yang terbunuh. Peristiwa ini juga dapat dilihat
pada Perang Uhud iaitu selepas kekalahan tentera islam dan tewasnya Hamzah bin
Abdul Muttalib. Pihak musuh telah menganiaya mayat-mayat Muslimin dengan
memotong telinga dan hidung mayat-mayat itu lalu dipakainya sebagai
anting-anting dan kalung. Kemudian diteruskan lagi dengan membedahn perut
Hamzah, dikeluarkan jantung lalu dikunyahnya tetapi ia tidak menelannya. Begitu
kejinya perbuatan tersebut sehingga Abu Sufyan sendiri menyatakan lepas tangan
dari perbuatan tersebut. Ia menyatakan bahawa dia samasekali tidak
memerintahkan orang berbuat demikian, sekalipun dai sudah terlibat di dalamnya.
Kemudian nabi Muhammad
mencari jenazah Hamzah kemudian baginda melihat jenazah tersebut sudah dianiaya
dan perutnya sudah dibedah, baginda berasa sangat sedih sekali sehingga ia
berkata “Demi Allah, kalau pada suatu ketika Allah memberikan kemengan kepada
kami melawan mereka, nescaya akan kuaniaya mereka dengan cara yang belum pernah
dilakukan oleh orang Arab”.
Dalam kejadian inilah
firman Allah turun: “Dan jika kamu membalas kejahatan (mereka), maka hendaklah
kamu membalas dengan kejahatan sama seperti ditimpakan kepada kamu dan jika
kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi
orang yang sabar. Dan bersabarlah (Wahai Muhammad terhadap perbuatan dan
telatah golongan yang ingkar itu) dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan
dengan (memohon pertolongan) Allah, dan janganlah engkau berdukacita terhadap
kedegilan mereka dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang
mereka lakukan.”
Rasulullah
kemudiannya memaafkan mereka. Ditabahkannya hatinya dan ia melarang orang
melakukan penganiayaan. Diselubunginya jenazah Hamzah itu dengan mantelnya lalu
disolatkan.
3.5 Sebarang
Perjanjian Damai Yang Dimeterai Wajib Ditaati
Selain itu,
sebarang perjanjian damai yang dimeterai wajib ditaati. Contohnya, ketika
Perjanjian Hudaibiyah. Sebelum Perjanjian Hudaibiyah tertulis, Rasulullah s.a.w yang ingin ke Mekah untuk mengerjakan
umrah telah dihalang oleh pihak musyrikin Mekah. Mereka meminta agar satu
perjanjian dibuat. Dalam perjanjian itu, Rasulullah telah menuruti permintaan
kaum musyrikin agar tidak ditulis ‘bismillahirrahmanirrahim’ tetapi ditulis
‘bismikallahumma’. Kemudian, rasulullah meminta jurutulis perjanjian itu iaitu
Saidina Ali r.a. untuk menulis “Bismikallahumma, ini adalah perjanjian yang
dibuat oleh Muhammad rasul Allah” tetapi telah dibantah oleh wakil kaum
musyrikin.
Akhirnya, perkataan ‘Muhammad rasul Allah’ ditukar kepada
‘Muhammad bin Abdullah’. Selain itu, kaum muslimin tidak dibenarkan mengerjakan
umrah pada tahun itu tetapi hanya dibolehkan untuk datang ke Mekah mengerjakan
umrah pada tahun berikutnya. Kaum musyrikin juga menyatakan agar mana-mana orang Mekah yang datang kepada
Rasulullah s.a.w mesti dikembalikan kepada mereka dan Rasulullah bersetuju.
Tetapi, mana-mana orang Islam yang datang kepada kaum musyrikin tidak akan
dikembalikan.
Ramai sahabat merasakan islam telah direndahkan dalam perjanjian
itu kerana mengalah terhadap tuntutan kaum musyrikin tetapi Rasulullah
meyakinkan mereka dengan berkata, “Sesungguhnya aku adalah rasul Allah, aku
tidak akan menyalahi perintah-Nya dan Dia pasti akan membelaku.” Namun, meskipun fasa-fasa dalam
perjanjian itu seolah-olah memberikan kelebihan kepada musuh Islam namun
Rasulullah mempunyai misi tersendiri. (405-409) Muhammad Husain Haekal
terjemahan Ali Audah
Setelah
Perjanjian Hudaibiyah termeterai, genjatan senjata 10 tahun dimulakan. Suasana
aman dan damai terwujud, umat islam bebas bercakap mengenai islam dan semakin
ramai yang memeluk islam. Akhirnya, kemenangan agung tercapai iaitu peristiwa
pembukaan kota Mekah yang berlaku dalam keadaan damai (bukan perang) dan
menjadilah Mekah sebagai kota suci umat Islam yang diasaskan oleh Nabi Ibrahim
a.s. hingga ke hari ini.
3.6 Dilarang
Merosakkan Harta Benda, Memotong Pokok Atau Membakar Rumah Kecuali Dalam Keadaa
Darurat
Selain itu, tentera Islam
dilarang merosakkan harta benda, memotong pokok atau membakar rumah kecuali
dalam keadaan darurat. Ini membuktikan Islam mementingkan keamanan dan
kesejahteraan. Keamanan adalah nilai yang amat berharga untuk sebuah negara
merdeka. Percayalah setiap penduduk dalam negara yang menghadapi persengketaan
dan peperangan, akan sentiasa mengimpikan keamanan yang entah bila boleh
dikembalikan. Kejayaan Rasulullah SAW membina negara Madinah yang berdaulat
adalah hasil kesepaduan masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan. Ia
membuktikan Islam mementingkan perpaduan dan keamanan. Inilah keindahan Islam
yang sepatutnya diamalkan sebagai model terbaik untuk dicontohi penganut bukan
Islam.
Islam amat
mementingkan prinsip kesederhanaan dan keadilan dalam kehidupan beragama.
Sekiranya setiap penganut agama mengambil pendekatan sederhana dan bersikap
adil terhadap penganut agama lain, insya-Allah, saya percaya perpaduan dan
keamanan dapat dikekalkan di negara kita. Memelihara keamanan adalah suatu yang
dituntut dalam kehidupan tanpa mengira agama, bangsa, atau keturunan. Nabi
Ibrahim pada awal baginda memijak kakinya di kota Makkah, beliau berdoa kepada
Allah: "Ya Rabb-ku, jadikanlah negeri ini negeri yang aman sentosa, dan
berikanlah rezeki berupa buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara
mereka kepada Allah dan hari kemudian." (Surah Al-Baqarah : 126).
Rasulullah ketika
menyelesaikan masalah masyarakat Islam pada zamannya sentiasa menjuruskan
kepada keamanan dan kesejahteraan. Demikian juga yang Baginda lakukan ketika
berdepan musuh Baginda. Tindakan Baginda Rasulullah dalam berdakwah umpamanya,
Baginda tidak mendahulukan menghukum daripada mendidik. Rasulullah juga
mementingkan aspek kemanusiaan dan tidak mendahului nafsu dan amarah dalam
tindakan Baginda. Sewajarnya
umat Islam menanamkan sikap bertolak-ansur, hormat menghormati serta toleransi
yang tinggi sesama manusia dan sekeliling mereka. Orang yang beriman dan
bertakwa pastinya akan mengamalkan sikap toleransi, bekerjasama dan tolong
menolong sesama insan tanpa mengira batasan agama, bangsa dan sebagainya.
3.7 Tidak
Boleh Memerangi Orang Yang Sudah Menyerah
Islam menetapkan etika
peperangan tidak boleh memerangi orang yang sudah menyerah atau kafir dhimmi
atau mereka yang sudah mengikat perjanjian damai serta mengaku taat setia
kepada pemerintah Islam. Jadi peperangan dalam Islam bukan melambangkan Islam
sebagai agama yang suka kepada keganasan atau agama yang disebarkan melalui
mata pedang. Islam adalah agama yang menganjurkan kedamaian dan peperangan
adalah cara terakhir setelah musuh-musuh Islam menyerang atau menceroboh
kawasan umat Islam atau pun melanggar perjanjian damai.
Islam telah menetapkan umat islam tidak boleh memerangi
orang yang menyerah atau kafir dhimmi atau mereka yang sudah mengikat
perjanjian damai sebagai contoh ialah semasa peristiwa Rasulullah hendak pergi
mengerjakan umrah di Makkah pada ketika itu tetapi ketika sampai di Hudaibiyah
ini, kaum kafir Quraisy menghalang rombongan Rasulullah SAW untuk masuk ke
tanah haram. Rasulullah SAW mengutus Sayyidina Uthman Affan untuk berunding
dengan mereka. Setelah lama menunggu Sayyidina Uthman yang tidak kembali,
terdengar khabar mengatakan bahawa Sayyidina Uthman mati dibunuh sehingga
menyebabkan para sahabat marah dan membai’ah Rasulullah untuk memerangi
Quraisy.
Saat itu turun wahyu dua ayat iaitu ayat 10
dan 18 daripada surah al-Fath :
“Demi
sesungguhnya! Allah redha akan orang-orang yang beriman, ketika mereka
memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan
pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia
diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati
mereka, lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas
mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya”.
Tidak lama sesudah
itu, Sayyidina Uthman kembali dengan selamat. Beliau memperlihatkan butir
proposal perjanjian genjatan senjata daripada musyrikin Makkah kepada
Rasulullah SAW. Pada ketika itulah kaum kafir Quraisy sudah menyerah dan
mengikat perjanjian dengan orang islam maka ia wajib lah ditaati dan diikuti.
3.8 Pengagihan
Harta Rampasan Perang
Cara pengagihan harta
rampasan perang. Harta-harta yang diperolehi bukan dibolot oleh Rasulullah sebaliknya
diagihkan secara sama rata di kalangan para pejuang. Selepas kewujudan
Baitulmal, harta-harta berkenaan diuruskan dengan lebih baik dan digunakan
untuk pembangunan negara khususnya pada zaman pemerintahan khalifah Umar
al-Khattab. Harta rampasan ialah harta yang diperolehi oleh para pejuang Islam
apabila mereka memerangi musuh-musuh Islam. Ia disebut sebagai Al
Anfaal dan ini seterusnya
terbahagi kepada dua jenis.
Pertama disebut
sebagai Ghanimah, iaitu harta yang diperolehi melalui peperangan yang
benar-benar berlaku. Kedua ialah harta yang diperolehi melalui peperangan yang
tidak berlaku, yakni musuh melarikan diri dan meninggalkan harta benda mereka
di medan perang. Di dalam Islam, pengagihan harta rampasan perang bukan secara
sesuka hati atau zalim, tetapi berdasarkan apa yang digariskan oleh Allah
(al-Quran) dan Rasul-Nya (Rasulullah). Allah berfirman: Mereka bertanya
kepadamu tentang harta rampasan perang. Katakanlah: Harta rampasan perang itu
(terserah) bagi Allah dan Rasul-Nya (untuk menentukan pengagihannya)."
Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di
antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika betul kamu orangorang
yang beriman; [al-Anfal 8:01]
Oleh itu sebagai
contoh Ghanimah misalnya, pengagihannya adalah seperti berikut;Dan ketahuilah,
bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka
sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, Rasul-Nya,
kerabat (Rasulullah), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang musafir
yang kehabisan bekalan; [al-Anfal 8:41]. Umat Islam tidak lagi memerangi musuh
tetapi musuhlah yang memerangi umat Islam. Mereka mengambil harta rampasan umat
Islam secara tidak adil, bahkan melakukan lebih daripada itu seperti merogol
para wanita umat Islam dan memusnahkan harta awam.
3.9 Tawanan
Perang Akan Dilayan Dengan Baik
Etika terakhir ialah
tawanan perang akan dilayan dengan baik. Ia merupakan salah satu kaedah
berdakwah yang diajar oleh Rasulullah. Dalam Perang Badar, Baginda menggunakan
kaedah diplomasi, iaitu tawanan perang harus menebus diri dengan ilmu
pengetahuan serta sejumlah wang tertentu. Selepas perang tersebut Rasulullah
juga telah berpesan pada orang ramai supaya bersikap baik dan belas kasihan
kepada orang tawanan. Sehingga ada kaum muslimin yang memberikan satu-satunya
roti yang ada kepada orang tawanan.
Sehingga orang
tawanan merasa segan dengan kebaikan yang ditunjukkan. Rasulullah kemudian
berbincang dengan orang Islam tentang nasib tawanan Badar. Ada yang menyatakan
dibunuh saja kerana mereka telah engkar dengan Allah dan mengusir kaum
Muhajirin dari Makkah. Ada pula yang
lebih lembut hatinya dan disuruh lepaskan saja dengan harapan mudah-mudahan
mereka akan insaf dan tertarik dengan Islam. Setelah lama berbincang, mereka
akhirnya mengambil keputusan untuk melepaskan mereka dengan mengenakan tebusan
sekadar yang sepatutnya mengikut keadaan masing-masing. Setinggi empat ribu dirham
dan serendah satu ribu dirham.
Selain itu, bagi yang
miskin tetapi ada pengetahuan membaca dan menulis dikehendaki supaya mengajar
sepuluh orang kanak-kanak Islam. Mereka semua dibebaskan apabila tebusan telah
dibayar atau kanak-kanak itu telah pandai. Hukuman keatas tentera Musyikin yang
ditawan ini sebenarnya dicadangkan oleh Sayidina Abu Bakar kerana menurutnya,
dengan cara layanan yang baik ini nescaya Allah SWT akan memberi hidayah kepada
mereka dan keluarga mereka untuk menganut agama Islam.
4.0 RUMUSAN
Umat Islam berjuang di jalan keamanan ,
keadilan dan apabila ianya tidak dapat dicapai melalui jalan biasa maka mereka
harus berperang untuk mempertahankan prinsip-prinsip asas islam. Tanpa
peperangan adalah mustahil umat Islam akan dapat menikmati kehidupan yang aman
dan tenteram malah kemungkinan besar nyawa dan harta benda mereka akan turut
terancam.
Meskipun demikian
sebelum sesuatu tindakan ketenteraan di ambil terhadap musuh Islam mereka
hendaklah di beri pilihan sama ada hendak menerima Islam sebagai agama mereka,
membayar cukai untuk menjaga kepentingan mereka atau berperang. Di dalam
sejarah Islam Nabi Muhammad S.A.w tidak pernah memerangi musuh tanpa terlebih
dahulu mengemukakan tiga perkara tersebut. Ini dapat di lihat daripada hadis
Rasullulah S.A.W yang diriwayatkan oleh muslim yang bermaksud:
Apabila kamu berhadapan dengan musuhmu dari
orang-orang musyrikin maka serulah mereka kepada salah satu dari tiga perkara,
jika sekiranya salah satu dari perkara-perkara itu mereka terima maka
selesaikanlah dan layani mereka dengan baik, Islam atau cukai atau peperangan.
Walau bagaimanapun di
dalam peperangan tersebut sebaik-baik sahaja kebaikan sudah dapat diperolehi,
maka kesemua bentuk peperangan hendaklah dihentikan dengan serta merta. Ini
adalah kerana keamanan adalah dasar Islam manakala tindakan ketenteraan
hanyalah sebagai alat penegak keamanan, kebaikan dan ketertiban. Ini dapat di
lihat dengan jelas daripada firman di dalam surah Al baqarah ayat 194 bererti:
(Oleh itu) barang siapa menyerang
(mencerobohi) kamu, maka seranglah ia yang seimbang dengan serangannya terhadap
kamu.
Kesimpulannya
peperangan adalah satu keperluan di dalam usaha untuk mengawal dan
mempertahankan negara yang di atasnya didirikan sistem keadilan dan kebaikan.
Oleh kerana musuh-musuh Islam ingin memusnahkannya maka satu-satunya jalan
untuk mempertahankan agama dan umat islam ialah melalui tindakan ketenteraan.
Ini dapat di lihat daripada firman Allah di dalam surah Al Baqarah ayat 193
yang bermaksud:
perangilah
mereka itu sehingga tiada lagi fitnah dan (sehingga) agama itu hanya untuk
Allah belaka. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu) maka tiada permusuhan
(lagi) kecuali terhadap orang-orang yang zalim.
Dengan ini jelaslah
bahawa Islam amat mengutamakan keamanan dan mahukan semua manusia hidup di
dalam keadaan berbaik-baik dan saling menghormati di antara satu sama lain.
Akan tetapi bukanlah bererti bahawa di dalam menjaga kedamaian dan kerukunan
hidup Islam terpaksa menggadai maruahnya dengan sentiasa bersikap negatif
walaupun dimusuhi dan dicerobohi oleh musuh diperangi dan di usir dari tanah
air. Islam amat tegas di dalam soal ini dan telah mewajibkan umatnya untuk
mempertahankan maruah islam walaupun dengan terpaksa melakukan peperangan.
Bibiliografi
Daud
Mohd Salleh (2005). Nabi Muhammad S.A.W
Keluarga Dan Sunnah. Kuala
Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Hepi
Andi Bastoni (2011). 100 Tokoh Dalam
Dakapan Rasulullah. Kuala Lumpur:
Perpustakaan Negara Malaysia: Kemilau Publika Sdn Bhd.
Mahayudin
Hj Yahaya, Ensiklopedia Sejarah Islam, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi,
1986-1989.
Mahayudin
Hj Yahaya dan Ahmad Jelani Halimi (1996). Sejarah Islam, Kuala Lumpur : Penerbit Fajar Bakti Sdn
Bhd.
Muhammad
Yasin Mazhar (1993). Organisasi Kerajaan
Pimpinan Rasulullah. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Muhammad
Husain Haekal (1972). Sejarah Hidup
Muhammad. Indonesia, Jakarta: P.T
Mitra Kerjaya Indonesia.
Mustafa
haji Daud (1991).Tamadun Islam, Kuala
Lumpur: Utusan Publication and
Distributors Sdn. Bhd.
____,
Sirah Nabi Muhammad (saw) zaman Makkah, Dewan Bahasa Dan Pustaka: Kuala Lumpur, 1992.
Professor Dr. Shamrahayu Ab. Aziz (2012).
Tajuk dari laman web http://panduanpercuma.info/tag/etika-rasulullah-dalam-perang/.
Diakses pada 4 Ogos 2012.
Adam Fikri (2011). Tajuk dari laman web
No comments:
Post a Comment