Konsep
Pengajaran Makro
Pengajaran Makro
merupakan satu sesi pengajaran praktik yang lengkap bermula dari pendahuluan,
set induksi, perkembangan, penilaian dan penutup.[1] Dalam
erti kata lain, pengajaran makro ialah satu sesi pengajaran yang lengkap
bermula dari set induksi hingga penutup. Pelaksanaannya perlulah mengandungi
elemen-elemen berikut; dilakukan di kelas yang besar, perlu murid sebenar, guru
mengajar sepenuh waktu, tumpu kepada pelbagai kemahiran mengajar dan situasi
sebenar.[2]Pengajaran
makro juga merupakan kesepaduan teknik-teknik pengajaran mikro yg disokong oleh
perancangan pengajaran pembelajaran yang sekian lama dipelajari.
Proses pengajaran
makro yang dijalankan di Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman umpamanya,
mesti dipraktikkan oleh guru pelatih dengan diperhatikan rakan pelatih yang
lain. Pengajaran makro tersebut berdasarkan masa pengajaran sebenar seperti
yang ditetapkan sama ada menggunakan masa 30 minit atau 40 minit. Ianya
bertujuan membantu guru pelatih membiasakan diri melaksanakan pelbagai
kemahiran dalam satu sesi pengajaran, di samping mereka dapat memperbaiki
kelemahan sebelum mereka menghadapi situasi pengajaran sebenar di bilik darjah
di sekolah.
Prinsip
Pengajaran Makro
Antara prinsip
pengajaran makro ialah:[3]
Ø Objektif
Pengajaran dan Pembelajaran
Dalam pengajaran
makro, guru mempunyai objektif yang besar dan luas merangkumi aras pengetahuan
pelajar. Guru hendaklah menyatakan objektif secara tepat dan jelas bagi setiap
pengajaran yang dirancang berasaskan tajuk-tajuk yang dikenal pasti.
Ø Jumlah
Pelajar
Jumlah pelajar
yang terlibat jauh lebih ramai bergantung kepada bilangan pelajar di dalam
kelas sebenar. Pelajar yang terlibat adalah pelajar yang sebenar dan bukan dari
lakonan rakan-rakan. Justeru itu, pengajaran guru adalah mencabar dengan
karenah para pelajar.
Ø Strategi
Pengajaran
Dalam pengajaran
makro, guru perlu mempelbagaikan teknik dan strategi pengajaran supaya sesi
pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan dan menarik.
Ø Jangka
Masa Pengajaran
Jangka masa yang
ditentukan dalam pengajaran makro adalah berdasarkan kepada jadual waktu kelas
yang memakan masa selama antara 30 hingga 40 minit satu masa. Ekoran itu, guru
perlu bijak merancang pengajaran dan pembelajaran dengan peruntukan masa yang
ditetapkan.
Ø Bahan
Pelajaran
Dalam pengajaran
makro, guru perlu menyampaikan keseluruhan isi pengajaran yang telah dirancang
dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Oleh itu, guru perlu menguasai
sepenuhnya bahan yang hendak disampaikan dan tumpuan guru ketika menyampaikan
adalah menyeluruh.
Ø Perbincangan
dan Refleksi
Penilaian kendiri
perlu dibuat selepas guru selesai melaksanakan pengajaran sebagai refleksi atau
muhasabah berkaitan pengajaran guru. Kekurangan dan kelemahan di dalam
pengajaran perlu diperbaiki dalam pelajaran akan datang. Antara perkara yang
perlu dibuat refleksi ialah objektif, disiplin kelas dan penglibatan murid di
samping keazaman guru untuk memperbaiki pengajarannya.
Prosedur
Pengajaran Makro (Sebelum, Semasa dan Selepas)
1. Sebelum Pengajaran
– Pemilihan dan Perancangan (Persediaan Pengajaran)
Sebelum
melaksanakan sesuatu sesi pengajaran makro, guru pelatih perlulah merancang dan
menyediakan persediaan mengajar yang lengkap dan baik. Perancangan yang lengkap
dan baik merupakan satu aspek penting dalam sesuatu pengajaran yang berkesan.
Pengajaran yang berkesan akan meningkatkan pencapaian akademik murid dan
mengurangkan masalah-masalah disiplin. Berikut ialah aspek-aspek penting dalam
persediaan sebelum pengajaran:-[5]
1.
Perancangan
pendahuluan
i.
Penentuan topik
ii.
Kebolehan sedia ada murid-murid
iii.
Objektif/hasil pembelajaran
2.
Perancangan
penyampaian
i.
Penentuan strategi pengajaran dan pembelajaran
ii.
Penentuan masa
iii.
Pemeringkatan isi
iv.
Pemilihan sumber
3.
Perancangan
penilaian
i.
Pencapaian
ii.
Penganalisisan maklum balas
iii.
Pengubahsuaian
2. Semasa
Pengajaran (Pelaksanaan Pengajaran Makro)
Semasa hendak melaksanakan
pengajaran makro ini guru pelatih perlulah merancang set induksi pengajaran
yang baik dan menarik perhatian serta minat murid kepada pengajaran yang hendak
disampaikan dan dapat menggalakkan pembelajaran. Set induksi juga digunakan
bagi mengaitkan pelajaran yang lepas atau dengan pengetahuan sedia ada murid.
Jangka masa yang baik bagi set induksi adalah antara tiga hingga lima minit.
Seterusnya, perkembangan pengajaran yang merujuk kepada langkah-langkah
mengajar yang disusun berperingkat-peringkat berdasarkan prinsip-prinsip
pengajaran. Guru pelatih juga perlu merancang langkah-langkah pengajaran yang
berturutan, disusun dengan baik dan mencatat anggaran masa yang sesuai.
Langkah-langkah yang dirancang ada kaitannya dengan objektif khusus yang sudah
dicatatkan.
Guru pelatih juga perlu memilih dan menyusun isi pelajaran yang hendak
disampaikan. Ia perlulah sesuai dengan kebolehan serta minat murid. Isi
pelajaran tersebut perlu dipertingkatkan dan diperkembangkan dengan teliti
supaya situasi pembelajaran yang unggul dapat diwujudkan. Ketika melakukan
pemeringkatan isi, guru pelatih hendaklah menyenaraikan semua topik yang hendak
diajar, kemudian fikirkan sub topik atau isi yang manakah yang perlu diawalkan
dan yang boleh diajar kemudiannya. Untuk itu guru pelatih perlulah melihat
prinsip-prinsip berikut:
i.
Dari yang susah diketahui kepada belum
diketahui
ii.
Dari mudah kepada kompleks
iii.
Dari konkrit kepada abstrak
iv.
Dari dekat kepada jauh
v.
Dari yang dalam pengalaman kepada yang di
luar pengalaman
Bagi menyampaikan
sesuatu isi pelajaran dengan berkesan, guru pelatih hendaklah memikirkan
strategi yang akan digunakan. Pemilihan strategi yang bijaksana akan menjamin
kelicinan serta keberkesanan penyampaian sesuatu pelajaran, strategi pengajaran
yang sesuai bukan sahaja dapat meningkatkan mutu penyampaian malahan akan
menjadikan satu-satu pelajaran itu lebih bermakna serta menyeronokkan
murid-murid.
Selain itu, guru
pelatih juga harus menjalankan aktiviti untuk mengukur sejauh mana objektif
pengajaran dan pembelajaran telah tercapai. Aktiviti penilaian boleh dijalankan
secara pemerhatian terhadap aktiviti susulan, pemeriksaan kerja murid atau
melalui ujian lisan atau tulisan. Maklumat-maklumat yang didapati dari pentafsiran
penilaian ini akan menjadi asas untuk membuat pengubahsuaian terhadap
pengajaran seterusnya.
Bahagian penutup
yang merupakan bahagian terakhir dalam satu-satu pengajaran dan pembelajaran di
mana guru membantu murid menyimpul dan membuat rumusan yang berkaitan isi-isi
penting serta memberi latihan atau aktiviti pengukuhan kepada murid-murid. Guru
juga perlu memberikan rasa kepuasan belajar dan menggerakkan murid-murid supaya
bersedia untuk pelajaran akan datang. Hal ini bertepatan dengan pernyataan Ee
Ah Meng (1991) yang membahagikan penutup kepada dua bahagian, iaitu penutup
kognitif dan penutup sosial. Penutup kognitif biasanya digunakan apabila guru
menyenaraikan isi-isi penting sesuatu pelajaran dengan tujuan mengukuhkan apa
yang telah dipelajari. Manakala penutup sosial pula bertujuan memberikan suatu
perasaan pencapaian kepada murid-murid di hujung pengajaran satu-satu topik.[6]
Di sepanjang
proses pengajaran makro ini dilaksanakan pelbagai kemahiran dapat diterapkan
dan dikuasai oleh para guru pelatih setelah mereka melalui proses pengajaran
mikro sebelum ini. Ini sejajar dengan tujuan pengajaran makro itu sendiri iaitu
untuk membantu guru pelatih membiasakan diri melaksanakan pelbagai
kemahiran dalam satu sesi pengajaran. Antara kemahiran-kemahiran tersebut ialah
kemahiran penyampaian set induksi; kemahiran menerang dengan menggunakan
contoh, ilustrasi dan sumber pengajaran dan pembelajaran; kemahiran penggunaan
penyoalan; kemahiran pengelolaan variasi rangsangan; kemahiran penggunaan papan
kapor; kemahiran pengurusan aktiviti pengukuhan; dan kemahiran pelaksanaan
penutup.
3. Selepas
Pengajaran (Penilaian Pengajaran Makro dan Refleksi Kendiri)
Setelah selesai
sesi pengajaran, guru mestilah membuat penilaian kendiri sebagai refleksi atau
muhasabah berkenaan pengajaran guru. Kekurangan dan kelemahan di dalam
pengajaran tersebut perlu dibaiki dalam pelajaran akan datang. Antara perkara
yang boleh dibuat refleksi ialah pencapaian objektif, disiplin kelas dan
penglibatan murid serta keazaman guru bagi membaiki pengajarannya.
No comments:
Post a Comment