. Amoi Chantek: Kampung Medan 2001 Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Sunday 11 November 2018

Kampung Medan 2001


Peristiwa berdarah Taman Medan di Petaling Jaya Selatan tercetus pada 8 Mac 2001. Yang mula-mulanya merupakan pergaduhan antara orang perseorangan dan serang-menyerang yang melibatkan sebilangan kecil orang yang tidak bertanggungjawab telah menjadi pergolakan kaum beberapa hari berikutnya. 

Apakah yang sebenarnya berlaku dan mengapa? Lima tahun selepas peristiwa tersebut, kita masih menunggu jawapan daripada kerajaan. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) enggan menyiasat perkara ini. 

Pada bulan Mac tahun lalu, M Manikavasagam dan Badrul Hisham Shaharin mewakili Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat bersama B Chandran dari Parti Reformasi Insan Malaysia menghantar sebuah memorandum kepada Yang Dipertuan Agung mendesak agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat secara mendalam kejadian ini. 

Menurut seorang penyelidik, S Nagarajan, pergolakan kaum tidak pernah berlaku antara penduduk kaum Melayu dan kaum India di Taman Medan. Apa yang sebenarnya berlaku adalah keganasan yang didalangi oleh pihak tertentu dari luar kawasan itu. 

Siasatan Nagarajan yang berasaskan wawancara dengan penduduk kampung dan mangsa membuktikan "pengganas-pengganas" bukanlah dari kawasan itu. 

Berdasarkan rekod di Pusat Perubatan Universiti Malaya, seramai 29 orang menjadi mangsa peristiwa berkenaan. Mereka dimasukkan ke wad di hospital tersebut pada 13 Mac 2001. 

Antara mereka adalah 22 orang India, tiga orang Melayu, seorang Cina, seorang rakyat Indonesia, seorang rakyat Bangladesh dan seorang rakyat Pakistan. Enam orang yang terbunuh pula terdiri daripada lima orang India and seorang Indonesia. 

Gara-gara orang luar 

Nagarajan menyangkal tangapan berlakunya pergolakan kaum antara penduduk di Taman Medan. 

Mangsa-mangsa yang ditemubual berkata bahawa mereka diserang ketika dalam perjalanan ke tempat kerja atau pulang dari tempat kerja atau keluar untuk membeli barang atau keluar untuk tujuan lain atau melawat saudara mara di kawasan itu atau semata-mata melintasi kawasan itu. 

Maka, mereka diserang tanpa dijangkakan dan secara berasingan bahkan ketika dalam keadaan seorang dua sahaja. 

Menurut mangsa lagi, penyerang mereka bersenjata dan bergerak dengan motosikal dan kereta di kawasan itu. Penyerang mereka bukan penduduk kampung. 

Penduduk Melayu dan penduduk India sudah lama duduk bersama di Taman Medan dan mereka berhubungan baik dan salin mengenali antara satu sama lain. 

Nagarajan mendapati penduduk Melayu di Kampung Datuk Harun dan Kampung Ketapang banyak membantu penduduk India untuk membeli barang di kedai runcit di kawasan itu ketika pergolakan berlaku. 

Malah penduduk Melayu di Kampung Penaga mengiringi penduduk India ke kedai apabila diperlukan. Ini memperlihatkan perhubungan kaum yang baik di kampung-kampung tersebut. 

Maka, Nagarajan mendakwa keganasan berkaitan dengan peristiwa Taman Medan dilakukan oleh golongan penjenayah yang tersusun dan didalangi oleh pihak tertentu. 

Penyelidikannya telah diterbitkan dalam bentuk tesis pada tahun lalu yang berjudul "A community in transition: Tamil displacement in Malaysia". 

Mengikut kajian Nagarajan, kerajaan telah memperalatkan pergaduhan di Taman Medan untuk kepentingan sendiri. 

Khabar-khabar angin 

Dengan cara yang tidak bertanggungjawab, pemimpin tertentu mengeluarkan kenyataan yang mengapi-apikan sentimen perkauman serta menyebarkan khabar-khabar angin.

Tersebarlah fitnah kononnya kekacauan di Taman Medan berlaku kerana parti-parti Barisan Alternatif (BA) marah kepada orang India kerana menyokong kuat Barisan Nasional (BN) dan tidak menyokong BA dalam pilihanraya umum 1999 dan juga pilihanraya kecil Lunas. 

Hasil kajian itu juga menyatakan pemimpin politik setempat Taman Medan juga mengeluarkan kenyataan yang bukan sahaja tidak membantu meredakan keadaan tegang antara kaum sebaliknya bertujuan membakar sentimen perkauman. 

http://mk-cdn.mkini.net/23/ec50a178b615ef7817edaca4ea304091.jpg
Malahan bekas Pengerusi BN dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, berulang kali mengeluarkan kenyataan-kenyataan mengenai peristiwa Taman Medan yang diberi liputan luas dalam media cetak dan elektronik. 

Kajian Nagarajan mendapati Dr. Mahathir dilaporkan berkata bahawa khabar angin mengenai pergaduhan di Jalan Kelang Lama sengaja disebarkan supaya berlaku rusuhan agar kerajaan akhirnya dapat digulingkan. Malah, khabar angin itu dikaitkan dengan parti pembangkang yang dikatakan cuba menghasut dan menggunakan orang miskin mencetuskan rusuhan. 

Dr. Mahathir juga dilaporkan berkata bahawa pihak-pihak tertentu sengaja membesar-besarkan cerita kononnya beratus-ratus orang Melayu dibunuh supaya orang Melayu naik marah dan kemungkinan cerita yang sama juga disebarkan di kalangan orang India.

Katanya lagi, mereka seterusnya berharap rusuhan itu akan berterusan yang berkemungkinan menyebabkan kerajaan dijatuhkan seperti yang berlaku di sebuah negara lain. 

Reaksi pembangkang 

Ekoran kenyataan-kenyataan Dr Mahathir itu, BA menggesa supaya Ketua Polis Negara mengarahkan penyiasatan ke atasnya. BA juga mahu pihak polis bertindak secara profesional, adil dan tidak berat sebelah. 

Sehubungan itu, BA mendesak supaya ditubuhkan sebuah suruhanjaya bebas serta berwibawa untuk menyiasat segala aspek berkaitan peristiwa Taman Medan. 

Semasa pergolakan di Taman Medan, BA yang waktu itu terdiri daripada Parti Keadilan Nasional, PAS, DAP dan Parti Rakyat Malaysia, sebulat suara merayu kepada seluruh penduduk di kawasan itu agar bertenang dalam menghadapi keadaan yang berlaku. 

Malah BA telah mengaturkan pelan tindakan demi mengawal keadaan agar pergolakan kaum tidak merebak ke tempat lain. 

Sebuah taklimat besar-besaran BA berkenaan peristiwa Taman Medan telah diadakan pada 29 Mac 2001 di Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Gombak. 

Dalam taklimat tersebut, Dr Syed Husin Ali membentangkan kertas berjudul Peristiwa Taman Medan: Punca dan Implikasinya. Tiga punca pokok telah dihuraikannya. 

Punca pertama ialah keadaan sosio-ekonomi yang buruk. Taman Medan merupakan masyarakat miskin bandar yang sangat terbiar. Berserta kemiskinan, masalah-masalah lain seperti pengangguran, kesihatan, perumahan, persekolahan, kebersihan, pengedaran dadah dan kegiatan samseng sangat meluas di situ. 

Masalah sosial yang banyak ini mengakibatkan rasa kecewa dan marah yang sering boleh menegangkan suasana dalam masyarakat. 

http://mk-cdn.mkini.net/23/82fd26ec9eef484539dafe5f83d551da.jpg
Punca kedua ialah proses politik perkauman yang masih luas diamalkan di Malaysia, terutama sekali oleh pemimpin-pemimpin parti pemerintah. 

Parti-parti pemerintah boleh dikatakan semuanya berasaskan keanggotaan satu kaum; dan mereka menjalankan dasar bercorak perkauman untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat ramai. 

Punca ketiga ialah sikap pemerintahan yang tidak menghormati demokrasi. Amalan-amalan negatif semakin ketara dalam kerajaan, di mana kuasa lebih banyak bertumpu pada tangan seorang pemimpin yang menguasai polis, media dan mahkamah. Melalui penguasaan ke atas tiga institusi demokrasi ini pemimpin berkenaan boleh menjalankan pemerintahan mengikut kehendak hatinya. 

Selain itu, pemerintahan serta pucuk pimpinan juga menggunakan dasar perkauman melalui amalan sistem pecah dan perintah untuk melanjutkan kuasanya. 

Dasar dan amalan ini akhirnya boleh mengakibatkan pergaduhan dan kekejaman kaum. 

Selain taklimat itu, BA juga menubuhkan jawatankuasa muhibbah pada peringkat bahagian di Kuala Lumpur dan Selangor. 

Sikap prihatin BA serta tindakannya memperlihatkan kelebihannya sebagai gabungan politik yang tidak berpolitik perkauman dalam menangani pergolakan kaum berbanding dengan BN yang berpolitik perkauman.



No comments:

Post a Comment