. Amoi Chantek: July 2013 Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Wednesday 3 July 2013

Sejarah Melayu

1.0         PENGENALAN
Sejarah Melayu merupakan satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang ditulis oleh beberapa orang pengarang Melayu. Ketika Portugis menakluk Melaka, salinan Sejarah Melayu telah dibawa ke Goa. Sejarah Melayu ditulis di Melaka dan dibawa bersama semasa Sultan Mahmud Syah berundur dari Melaka pada tahun 1511. Naskhah asal ini kemudian dibawa ke Johor dari Kampar pada tahun 1528. Portugis merampas naskhah Sejarah Melayu pada tahun 1536 semasa menyerang Johor Lama. Naskhah ini kemudian dibawa balik ke Johor oleh Orang Kaya Suguh. Terdapat perselisihan pendapat berkenaan Goa. Pendapat pertama merujuk kepada Goa yang terdapat di India, manakala pendapat kedua merujuk pada sebuah tempat bernama Gowa yang terletak di Sulawesi. Pendapat yang kedua ternyata lebih kuat atas alasan sekiranya Portugis mengambil salinan Sejarah Melayu dan dibawa ke Goa, India, pastinya Sejarah Melayu akan dibawa terus ke Eropah sebagai harta rampasan.

            Terdapat sekurang-kurangnya 29 versi tetapi versi yang paling masyhur adalah versi Shellabear. Menurut pengenalan Sejarah Melayu naskhah Shellabear, Yang Di Pertuan Raja di Hilir Sultan Abdullah Mu’ayat Syah ibni’l Sultan Abdul Jalil Syah telah mengutuskan Seri Nara Wangsa Tun Bambang untuk memerintah Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad atau Mahmud (Tun Sri Lanang) pada hari Khamis, 12 Rabiul Awal 1021 bersamaan 13 Mei 1612 agar menyunting salinan Sejarah Melayu yang dibawa oleh Orang Kaya Sogoh dari Goa/ Gowa. Ketika itu Sultan Johor Lama, Sultan Alauddin Riayat Syah ibni Sultan Abdul Jalil Syah telah ditahan di Istana Raja Acheh, Raja Iskandar Muda. Sejarah Melayu Sulalatul Salatin dianggap penting kerana ia memberikan adat istiadat kerajaan, susunan raja Melayu dan sejarah kerajaan Melayu dan boleh dikatakan menyerupai konsep Sejarah Sahih China, di mana pada setiap pertukaran Dinasti di China, sejarah Dinasti sebelumnya akan ditulis dan disimpan di arkib negara tersebut.
2.0       CIRI-CIRI SEJARAH
Menurut Ali (1987), sastera sejarah adalah suatu bentuk penulisan yang menggabungkan unsur-unsur penulisan sejarah dengan unsur-unsur penulisan bukan sejarah atau sastera.  Kedua -dua unsur tersebut diolah dengan indah oleh pengarang istana Melayu untuk menggambarkan konsep sejarah zaman silam masyarakat Melayu.  Oleh itu karya sastera sejarah bukanlah karya sastera sepenuhnya sebaliknya mengandungi unsur-unsur peristiwa sejarah yang benar-benar berlaku pada zaman lampau.

            Terdapat beberapa ciri-ciri penting dalam sastera sejarah, ciri-ciri sastera yang pertama ialah dari segi tujuan penulisan karya tersebut. Karya sastera sejarah lahir di istana dan dikarang oleh penulis golongan istana yang mempunyai daya kreatif yang tinggi untuk merakamkan kebesaran, ketinggian dan kegemilangan pemerintahan Kesultanan Melayu dan Negara kota. Menurut Ali (1987), hasil yang selalunya dijeniskan sebagai sastera sejarah ini tercipta di istana-istana raja-raja Melayu, sejajar dengan istana itu tempat terkumpulnya cendiakawan Melayu di zaman tradisi. Kebiasanya karya sastera sejarah dihasilkan atas perintah raja atau pemerintah dan juga berfungsi sebagai wadah nasihat, pengajaran, panduan dan petunjuk kepada golongan pemerintah dan pembesar.

Selain itu, ciri-ciri sastera sejarah yang kedua ialah corak penceritaan karya sejarah tersebut. Karya sastera sejarah mengandungi dua corak penceritaan iaitu peristiwa sebenar atau fakta sejarah dan unsur atau peristiwa bukan sejarah seperti unsur fantasi, mitos dan lagenda. Dalam sejarah Melayu, menurut Rahim (1990), sejarah melayu adalah agak keterlaluan dimana pengarang menceritakan keagungan dan kebesaran Kerajaan Melaka. Melalui penyataan tersebut, pengarang sememangnya mengangkat kedudukan Kerajaan Melaka sebagai kerajaan yang hebat dan agung dengan menggambarkan dengan perkara yang mungkin tidak dapat diterima akal dan fikiran. Selain itu, peristiwa-peristiwa sejarah juga menceritakan sejarah Negara kota merangkumi peristiwa pembukaan negeri, penaklukan, hubungan diplomatik, kegemilangan dan kejatuhan sesebuah Negara kota. Watak-watak pemerintah, pembesar dan rakyat yang terlibat dalam karya merupakan watak yang benar-benar wujud dalam sejarah sebenar. Gambaran masyarakat Melayu dari segi adat istiadat, ekonomi, politik dan struktur pemerintahan dalam karya sastera sejarah juga adalah merupakan peristiwa sejarah sebenar yang berlaku pada zaman lampau. Bagaimanapun peristiwa-peristiwa sejarah tersebut bercampur aduk antara fakta sejarah dan bukan sejarah seperti mitos dan lagenda.  Unsur mitos dimasukkan oleh pengarang dalam karya sastera sejarah untuk menunjukkan keistimewaan golongan pemerintah dan juga untuk tujuan menyindir atau mengkritik perlakuan buruk golongan pemerintah. Antara unsur mitos dalam karya sastera sejarah ialah mitos asal-usul raja, mitos pembukaan negeri, mitos kedatangan Islam dan mitos alegori contohnya dalam karya Hikayat Raja-Raja Pasai, Sejarah Melayu dan lain-lain.

Ciri-ciri sastera sejarah yang seterusnya ialah tiada perletakan pertarikhan karya sastera tersebut. Karya-karya sastera sejarah sebenarnya tidak mementingkan tarikh. Kesemua peristiwa yang diceritakan tidak disertakan dengan tarikh bilakah ianya berlaku di mana, berbeza pula dengan karya sejarah yang mementingkan fakta dan tarikh. Menurut Haron (1989), pengarang Sastera sejarah tidak meletakkan tarikh yang umum dalam penulisannya. Jadi, hal ini menyebabkan sejarawan masa kini sukar untuk meletakkan tarikh yang specifik sebagai fakta.

Ciri-ciri yang keempat ialah tiada perletakan nama pengarang dalam penulisan sejarah Melayu. Sejarawan-sejarawan Melayu pada masa lampau juga kebiasanya tidak akan menulis nama mereka sebagai pengarang sesebuah karya yang telah mereka hasilkan. Menurut Rahim (1990), sudah menjadi tradisi bagi penglipur lara atau tukang cerita Melayu tidak mahu menyebut nama pencerita asal dalam cerita-cerita yang disampaikan dan diperturunkan mereka. Hal ini adalah kerana biasanya sejarawan Melayu pada masa itu bersikap rendah diri di hadapan Sultan. Oleh sebab itu mereka hanya menggunakan nama samara seperti ‘fakir’ menganti nama mereka. Hal ini dapat dilihat dalam karya Sulalatus Salatin di mana Tun Seri Lanang dan Raja Chulan dalam karya Misa Melayu telah mengunakan perkataan ‘fakir’.

Seterusnya, Sejarawan Melayu pada masa itu juga telah mengamalkan tradisi penyalinan sebuah karya. Jadi hal ini telah menyebabkan berlakunya beberapa kesan seperti terdapat banyak versi dalam sesuatu karya sejarah dan berlaku percanggahan fakta, berat sebelah dan penyalinan sesebuah karya menambah dan mengurangkan cerita mengikut kepentingan mereka ataupun berlaku amalan tokok tambah.

Akhir sekali, sikap bias oleh pengarang atau penyalin terhadap sesesuatu peristiwa juga merupakan satu ciri sastera Melayu iaitu ciri sastera sejarah yang kelima. Hal ini berlaku dalam sejarah Melayu kerana kebanyakan karya hanya ditulis oleh seseorang sejarawan mengikut kepentingan mereka dan Sultan mereka. Menurut Rahim (1990), walau bagaimanapun, pengarang/penyusun Sejarah Melayu tetap merasa bertanggungjawab memenuhi hasrat rajanya. Jadi mereka terpaksa bersikap kecenderungan dalam menghasilkan idea sejarah. Karya-karya yang dihasilkan ataupun di salinkan lebih memaparkan tentang bangsa masing-masing. Contohnya dalam Sulalatus Salatin, Tun Seri Lanang bersikap berat sebelah dari segi salasilah keturunan raja-raja Melaka, adat istiadat, perisitiwa-peristiwa yang melihat semua jenis tokoh Melaka seperti Tun Perak, Hang Tuah dan sebagainya. Hal ini adalah kerana sebagai Bendahara, Tun Seri Lanang terpaksa memenuhi titah perintah daripada Sultan dan hal ini menyebabkan beliau sukar bebas daripada bersikap bias kerana takut dimurkai oleh Sultan. Hal ini menyebabkan, kebanyakkan penulisan sastera sejarah mempunyai unsur bias.


3.0       ASPEK-ASPEK DALAM SEJARAH MELAYU
            3.1       Pembinaan Jati Diri Bangsa
Menurut Nik Rosila (2002), jati diri bangsa atau identiti diri bangsa merujuk kepada kepercayaan, sikap dan pendapat yang tersusun dan dinamik yang dipegang oleh sesebuah bangsa. Bangsa yang mempunyai jati diri bangsa yang kukuh dikatakan sukar menerima pengaruh luar yang bertentangan dengan adab budaya bangsa tersebut.

            Pembinaan jati diri bangsa yang terdapat dalam Sejarah Melayu mempunyai banyak kaitan dengan unsur-unsur mitos, legenda dan kepercayaan masyarakat pada ketika itu. Salah satu yang membina jati diri bangsa masyarakat pada masa itu ialah konsep daulat dan derhaka. Fakta ini dapat dibuktikan dengan konsep daulat dan derhaka. Perjanjian antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun yang adil dan membawa kepada kebaikan kedua-dua pihak. Selain itu, dapat juga dibuktikan dalam golongan istana yang tidak menolak nilai-nilai masyarakat yang mengamalkan konsep daulat dan pantang derhaka, serta sembah dan kurnia.

            Di samping itu, pembinaan jati diri bangsa juga terbina daripada sikap yang cinta akan ilmu pengetahuan. Sebagai contoh dalam teks “Sejarah Melayu” ialah kesanggupan Sultan Mahmud sendiri yang terpaksa ke rumah Yusuf untuk belajar agama. Ini disebabkan oleh falsafah Islam bahawa ilmu itu harus dicari bukan ilmu yang mencari. Daripada contoh di atas, dapat kita lihat bahawa kedatangan Islam dalam sesuatu masyarakat atau tamadun telah mengubah sikap jahil kepada perasaan ingin tahu dan cinta akan ilmu. Sehinggakan adab dalam menuntut ilmu sangat dititikberatkan.

           
3.2       Pembentukan Masyarakat
Masyarakat merujuk kepada sekelompok orang, sekumpulan individu atau komuniti dalam sesuatu tempat. Masyarakat ini telah membentuk tamadun. Oleh itu, hidup dalam kelompok ini menimbulkan dan mewujudkan interaksi antara tamadun.

            Pembentukan masyarakat yang diceritakan dalam sastera “Sejarah Melayu” antaranya ialah terbentuk daripada jalinan hubungan antara Raja Melayu dengan Raja China. Buktinya, puteri yang tua telah dipersembahkan kepada Raja China yang menghantar perutusan meminang supaya tidak putus perhubungan antara Raja Melayu dengan Raja China. Jika kita lihat jalinan hubungan antara Raja Melayu dengan Raja China, perkahwinan anak raja menjadi penghubung antara dua tamadun. Kesannya, wujud hubungan yang baik dan interaksi masyarakat yang positif di samping hubungan perdagangan dan diplomatik.

            Selain itu, terdapat juga pembentukan masyarakat yang bermula daripada pembukaan negeri. Negeri yang dibuka kebanyakannya berasal daripada nama haiwan-haiwan seperti semut dan kucing, singa, dan anjing. Negeri yang dibuka berasal daripada nama haiwan-haiwan tersebut. Contohnya, negeri Singapura berasal daripada Singa yang dibuka oleh Seri Nila Utama semasa mengembara bersama pengikut-pengikutnya dan melihat sebuah pulau lalu membuka negeri di pulau tersebut. Kemudian, tinggallah masyarakat di negeri tersebut.

            Di samping itu, pembentukan masyarakat juga melibatkan peristiwa-peristiwa ganjil. Sebagai contoh, watak-watak yang terdapat dalam Sejarah Melayu antaranya ialah Raja Suran, Badang, Tun Jana Khatib dan Hang Tuah. Bagi peristiwa ganjil Raja Suran ialah dia telah dapat masuk ke dalam laut dan berkahwin dengan anak Raja Aftabul Ard, kemudian kembali ke Benua Keling. Badang pula terkenal dengan sifatnya yang amat kuat dan kebal dan tidak dapat dikalahkan oleh sesiapa pun sehingga dilantik menjadi Raden. Bagi Tun Jana Khatib pula, seorang yang amat bijak dengan ilmu hikmatnya dan jasadnya ghaib setelah dibunuh. Bagi Hang Tuah pula, dia dapat melawan semua yang menentangnya sehingga mengkagumkan bagi yang melihatnya.

            3.3       Kritikan Sosial
Aspek seterusnya yang dikaji di dalam Sejarah Melayu ini ialah kritikan sosial iaitu mengkritik ataupun kritikan terhadap kezaliman pihak pemerintah atau golongan raja. Sebagai contoh cerita ialah  Singapura Dilanggar Todak. Dari cerita ini kekejaman raja yang dipaparkan ialah raja menjatuhkan hukuman bunuh pada Tuan Jana Khatib kerana cemburu melihat keistimewaan ilmu menilik Tuan Jana Khatib iaitu tilik batang pinang hingga terbelah dua di hadapan raja perempuan. Selain itu, kekejaman raja menyebabkan negeri Singapura mendapat bala iaitu huru hara, kematian kejam akibat serangan todak. Manakala kezaliman lain dilakukan pihak raja seperti membunuh budak cerdik yang telah memberi idea agar hulubalang Singapura berkubukan batang pisang.

            Seterusnya kritikan terhadap kejahilan raja atau pemerintah. Terdapat juga di dalam cerita Singapura di langgar todak. Raja Singapura digambarkan sebagai seorang raja yang kurang cerdik, tidak mempunyai fikiran dan tidak berpandangan jauh. Segala idea atau cadangan yang dikemukakan raja membawa kemusnahan kepada rakyat bukannya membawa kebaikan. Sebagai contoh peristiwa raja mencadangkan "rakyat berkubukan betis masing-masing untuk menahan serangan todak". Akibatnya ramai rakyatdan hulubalang mati, cedera parah, menanggung kesakitan akibat terkena tikaman jongor todak.

            Selain itu, kritikan terhadap amalan diskrimanasi dan ketidakdilan golongan raja atau pemerintah. peristiwa ini juga dapat dilihat dari cerita Singapura dilanggar todak. Raja Singapura tidak memberi penghargaan sewajarnya kepada budak cerdik yang telah menyelamatkan Singapura dengan ideanya yang bernas. Golongan pembesar negeri merasa dengki dan bimbang kedudukan mereka akan terancam apabila budak cerdik dari keturunan rakyat biasa ini dewasa nanti kerana dia sangat cerdik dan pintar. Oleh itu, pembesar mencadangkan agar budak cerdik segera "dihapuskan" atau erti kata lain dihukum bunuh. Di sini jelas menunjukkan golongan raja menggunakan kuasa mutlak yang dimiliki untuk menjaga kepentingan golongan mereka sahaja. Manakala rakyat tidak mempunyai hak dan tidak boleh samasekali menentang rajawalaupunternyata rakyat berada di pihak yang benar.

            Kritikan terhadap sifat keangkuhan (ego) raja ingin menunjukkan kehebatan diri dan ingin sesuatu yang luar biasa atau berbeza dengan orang lain. Seperti yang terdapat di dalam Sejarah Melayu ini sendiri yang menceritakan cerita peminangan Puteri Gunung Ledang. Kritikan terhadap sikap Sultan Mahmud Syah yang ingin seorang wanita yang sangat cantik dan istimewa bukan dari golongan manusia biasa telah mengambarkan keangkuhan Sultan Mahmud Syah dan bersedia memenuhi syarat-syarat peminangan iaitu menyediakan barang-barang hantaran yang diminta seperti hati nyamuk, air mata, air pinang muda dan lain-lain. Barang-barang ini sukar diperolehi dan agak luar biasa tetapi kerana keegoannya yang tinggi Sultan Mahmud Syah sanggup menyediakan barang-barang tersebut.

            Mengambil contoh cerita peminangan Puteri Gunung Ledang lagi. Kritikan dibuat terhadap kekejaman dan penindasan golongan raja terhadap rakyat jelata. Gambaran kekejaman Sultan Mahmud Syah kerana sanggup menyediakan jambatan emas dan perak merentangi dari istana Melaka ke Gunung Ledang. Ini menunjukkan sultan sanggup memeras harta benda rakyat demi kepentingan dirinya. Raja juga sanggup "mendera" rakyat jelata menyediakan sesuatu yang amat sukar dicari seperti hati nyamuk, air mata dan air pinang muda. Juga dalam cerita Singapura dilanggar todak iaitu raja tidak menilai dan menghargai nyawa rakyat jelata hingga sanggup menitahkan rakyat berkubukan betis masing-masing. Ini menunjukan sanggup memperalatkan nyawa rakyat jelata demi kepentingan diri sendiri.

            Raja yang memiliki moral dan akhlak yang rendah seperti sifat pilih kasih, pendendam, berkepentingan diri, tidak bertanggungjawab, gila perempuan dan sebagainya juga menjadi kritikan. Seperti cerita peminangan Puteri Gunung Ledang. Gambaran Sultan Mahmud tidak sanggup menyediakan darah Raja Ahmad semangkuk (salah satu syarat peminangan). Sultan Mahmud Syah tidak sampai hati membunuh putera sendiri demi untuk dirinya (tetapi sanggup menyiksa rakyat) demi memuaskan nafsu serakahnya.

            3.4       Pendidikan
Sulalatus Salatin menyentuh tentang corak pendidikan dan perkembangan ilmu keislaman. Istana igambarkan sebagai pusat pengajian ilmu-ilmu Islam. Pasai dikatakan menjadi sebagai pusat bermuzakarah mengenai ilmu fiqah mengikut mazhab Shafie. Istana dijadikan pusat pengajaran Islam dengan sultan dan pembesar turut belajar dan menuntut ilmu. Ulama-ulama, guru-guru agama dan pendakwah berkumpul di istana. Contohnya, Maulana Sadar Jahan dari Jeddah mengajar di Melaka. Maulana Yusuf mengajar tasawuf. Sultan Mahmud turut belajar ilmu agama.

            Kitab-kitab agama seperti Kitab Duri'l-Mazlum dibawa ke Melaka oleh Maulana Abu Bakar dan diajar di istana Melaka. Sultan Mansur Syah turut belajar kitab ini. Diceritakan juga tentang utusan dari Melaka ke Pasai untuk menyelesaikan masalah-masalah berkaitan ilmu Islam kerana di Pasai ramai ulama-ulama berkumpul bermuzakarah tentang ilmu-ilmu keislaman. Pendidikan yang berunsurkan Islam dalam Sulalatus Salatin juga tergambar melalui teknik penulisannya. Mukadimah Sulalatus Salatin dimulai dengan 'Bismillahir-rahmanir-rahim...'

            Dalam mukadimah disertakan ayat-ayat al-Quran dan diikuti pula dengan terjemahan dalam bahasa Melayu. Struktur penulisan seperti ini adalah teknik yang biasa dalam karya-karya Arab-Parsi. Pada tiap-tiap akhir cetera, pengarang menutupnya dengan ayat "Wa'llahu a'lamu bi's-sawab, wa illaihi 'Imarji'u wa 'l-ma'ab." .Hanya pada akhir cetera ke XV sahaja diakhiri dengan ayat " Wa'llahu a'lam." Terdapat juga struktur penulisan menggunakan gaya khutbah. Ini jelas ketika memberi nasihat yang meleret-leret dalam wasiat. Selain itu kalimat-kalimat Arab-Parsi digunakan dalam ayat antaranya Syahbandar, alam, bahari, sahibul hikayat dan Iain-Iain.

            Melalui cerita-cerita berbingkai pula membicarakan persoalan pendidikan dan moral, pengajaran, dan teladan. Misalnya Hikayat Bayan Budiman mengetengahkan tema pendidikan dan teladan pada isteri-isteri supaya menjadi seorang isteri yang jujur dan tidak menduakan suami. Manakala dalam Hikayat Bakhtiar pula mengetengahkan tema pengajaran serta teladan pada raja supaya memerintah negara dengan adil dan tidak bertindak mengikut hawa nafsu atau mendengar fitnah pembesar-pembesar. Begitu juga melalui Hikayat 1001 Malam, mengetengahkan tema penyedaran dan keinsafan seorang raja yang mendendami setiap wanita sehingga dibunuhnya semua wanita yang dikahwininya. Tetapi akhirnya raja itu insaf terhadap kezaliman dan pembunuhan terhadap wanita yang tidak berdosa yang telah dilakukannya.

            3.5       Pemikiran
Pemikiran dalam Sejarah Melayu dapat kita lihat dalam pemikiran strategi dalam peperangan. Idea yang dikemukakan oleh pemikir ketenteraan telah membantu para pemerintah mengukuhkan kedudukan dan kekuasaan mereka. Sebagai contoh, peperangan yang jelas menunjukkan pemikiran strategi dalm peperangan iaitu semasa Melaka menentang Feringgi, Melaka diserang Siam dan Singapura dilanggar todak.

            Pertama, bagaimana Melaka mempertahankan negara dari terjajah atau ditakluk musuh, Cabaran besar kerajaan Melaka adalah apabila Feringgi dibawah pimpinan Alfonso d’Albuquerque telah menyerang Melaka. Serangan Feringgi yang pertama telah dapat dipatahkan oleh angkatan Melaka di bawah pimpinan Sultan Ahmad bersama-sama dengan Tun Ali Hati dan Seri Udani. Feringgi tetap mencari jalan untuk menakluk Melaka. Dalam serangan kedua, tangan Sultan Ahmad luka dan Melaka telah dapat dikalahkan. Sebagai usaha membangkitkan semangat berjuang dalam kalangan rakyat dan pembesar, orang-orang Melaka telah dibacakan “Hikayat Amir Hamzah”. Melaka terpaksa melalui peperangan yang dahysat yang mengorbankan ramai rakyat, pahlawan dan pembesar Melaka. Kesan peperangan ini adalah berakhirnya Kerajaan Melayu Melaka. Namun bukanlah mudah Melaka dirampas Feringgi. Bukan sedikit semangat juang dan nyawa dipertaruhkan hanya untuk menyelamatkan Melaka.

            Kedua, menggunakan strategi yang berkesan dan tindakan yang bijaksana untuk mempertahankan tanah air. Kepentingan keselamatan negara dan maruah negara suatu utama. Meskipun berhadapan dengan angkatan musuh yang besar, rakyat harus bertindak berani untuk menentang musuh. Tun Perak mengatur strategi peperangan yang berkesan dengan menambat puntung api pada pokok-pokok yang berada di sepanjang sungai sebagai helah untuk menunjukkan angkatan Melaka mempunyai bilangan anggota yang ramai. Tun Perak bertindak sedemikian sebagai memenuhi tanggungjawabnya mengetuai angkatan perang Melaka untuk menyekat kemaraan angkatan perang Siam yang bertujuan menyerang Melaka. Angkatan Siam berkampung di Batu Pahat. Tun Perak berhasrat mengelak berlaku pertempuran antara kedua-dua angkatan tersebut. Tindakan Tun Perak meletakkan setiap pokok di sepanjang tebing sungai dengan telah berhasil. Pada sangkaan orang-orang Siam, angkatan Melaka sangat besar, mempunyai bilangan yang ramai. Keadaan seperti ini tentu menunjukkan angkatan Melaka sangat kuat kerana pada biasanya setiap puntung api dipegang oleh seorang hulubalang. Siam membatalkan rancangan menyerang Melaka kerana menyangka angkatan Melaka sangat besar dan kuat berbanding dengan kemampuannya. Mereka tidak menyangka helah yang dilaksanakan Tun Perak bagi mengaburi mata orang-orang Siam itu. Kesannya: kebijaksanaan akal Tun perak yang mengetuai angkatan perang Melaka dapat mengelakkan berlaku pertempuran berdarah dan menyelamatkan Melaka dari ancaman Siam. Tun Perak mengambil langkah mengelakkan keganasan dan tumpah darah demi keteguhan kerajaan Melaka.

            Ketiga, sewaktu Singapura dilanggar todak, Paduka Seri Maharaja telah mengarahkan penduduk menahan serangan todak tersebut menggunakan betis. Melalui tindakannya ini, dapat dilihat betapa ceteknya akal dan pemikiran pemerintah ketika itu. Mujurlah terdapat juga golongan rakyat yang pintar yang mempraktikkan dan mengamalkan ilmu serta kebijaksanaannya ke jalan yang sepatutnya dengan penuh tanggungjawab, manfaat dan faedah. Peranan ini dapat dilihat dalam watak budak pintar yang telah memberikan idea yang berjaya menyelamatkan negerinya yang tercinta. Dapat dilihat perwatakan budak pintar ini yang amat lurus dan taat terhadap pemerintahnya. Dia juga amat bertanggungjawap dalam melaksanakan peranannya sebagai rakyat dengan baik. Sikap taat dan setianya amat dituntut supaya menjadi ikutan dan teladan setiap rakyat pada waktu itu mahupun pada masa sekarang. Fakta ini jelas kerana selain sikap terpujinya itu, dia juga seorang yang berani. Sungguhpun dengan usia yang muda itu, budak pintar itu berani mengetengahkan ideanya tidak lain tidak bukan semata-mata untuk menyelamatkan negerinya tanpa terfikir akannya akibat atau apa-apa perkara negatif. Sikap si budak pintar ini amat berbeza sekali dengan Paduka Seri Maharaja yang mana bersikap membahayakan rakyat dengan menyuruh rakyat berkubukan betis bagi menghalang serangan todak.
            Bukan setakat itu, selain berfikiran cetek, Paduka Seri Maharaja juga mudah terpengaruh dengan pembesar yang iri hati dengan si budak pintar. Budi yang amat besar dibalas dengan kekejaman oleh para pemerintah. Terbuktilah sikap pemerintah pada masa itu yang amat tidak bertanggungjawap, mementingkan diri, dan tamak. Seharusnya masyarakat Melayu tinggi dengan segala budi, budi bahasa, budi pekerti, budi baik, dan sebagainya berkaitan budi kerana budi memang amat penting dan sinonim dengan masyarakat Melayu sehiggakan dibawa sampai mati. Kelihatan amat ketara bahawa Paduka Seri Maharaja dan orang bawahannya tidak menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat seperti mana yang sepatutnya.

            3.6       Peranan Wanita
Menurut A. Rahim (1983), terdapat tidak kurang dari 180 watak di dalam Sejarah Melayu, termasuklah watak wanita dari pelbagai peringkat dan keturunan. Tetapi watak wanita yang dipamerkan hanyalah wanita yang ada hubungan dengan raja atau pembesar negeri sahaja. Sejarah Melayu sebagai sebuah hikayat yang merakamkan jurai keturunan raja-raja Melayu dan peristiwa secara episodik iaitu bermula dari sejarah Iskandar Zulkarnain menakluki Kerajaan Kida Hindi hingga ke zaman kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka, watak wanita boleh dikatakan terlibat secara langsung dalam kisah yang panjang iu. Peranan wanita ini bermula dengan Puteri Syahrul Bariah dan berakhir dengan Tun Fatimah.Walaupun peranan watak wanita tidak ditonjolkan, namun kedudukan atau kehadiran mereka tetap penting. Ini disebabkan wanita tetap menjadi punca perkembangan cerita.

            Pertama, peranan wanita yang paling jelas adalah untuk memenuhi aspek kekeluargaan (perkahwinan). Mengikut Yusoff Iskandar dan Abd. Rahman Kaeh, perkahwinan dan seks oleh tokoh-tokoh dalam Sejarah Melayu mempunyai kepentingan dan tujuan sosial yang tertentu seperti melahirkan zuriat atau keturunan dan digunakan untuk kepentingan politik bagi kepentingan negeri dan kerajaannya sendiri.
            Selain itu, peranan wanita dapat dilihat dalam mewujudkan suatu adat atau peraturan akibat perjanjian yang melibatkan wanita. Sebagai contoh, adat meminang yang dijalankan oleh Sang Sapurba untuk mengahwini Wan Sendari, anak Demang Lebar Daun, telah menjadi amalan kepada budaya Melayu hingga ke hari ini. Adat peminangan merupakan satu adat yang pasti dalam urusan perkahwinan, Akibat dari perjanjian atau pengisytiharan Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun telah melahirkan tiga perkara penting iaitu wujudnya pembahagian hak yang jelas antara raja dan hamba, konsep taat setia dan derhaka dan adat mandi-manda pengantin.

            Fitnah juga dilibatkan secara langsung dengan peranan wanita. Sebagai contoh, akibat berahikan Tun Fatimah, menyebabkan Sultan Mahmud Syah telah menjatuhkan hukuman bunuh kepada Bendahara Seri Maharaja yang terbit dari dendamnya sendiri serta fitnah orang. Jelaslah, fitnah yang disebarkan hanya kerana seorang wanita telah membawa bencana. Peranan wanita juga menjelaskan bahawa hubungan politik Melaka dengan Majapahit dan China disalurkan menerusi perkahwinan dengan Raden Galuh Cendera Kirana dan Hang Li Po. Walaupun watak-watak mereka ini tidak ditonjolkan, namun ia amat penting kerana kedudukan wanita dalam posisi yang berbagai itu telah meletakkan mereka sebagai orang yang baik, berjasa dan mempunyai kedudukan yang istimewa.

            Peranan wanita sebagai penghalang cita-cita raja yang mengikut nafsu dapat dilihat dalam peristiwa peminangan Puteri Gunung Ledang. Di sini, peranan wanita cukup menonjol sehingga dapat mengatasi watak lelaki. Inang Pengasuh Puteri Gunung Ledang hanyalah perempuan tua, tetapi kata-kata dan kehendaknya dapat mengatasi cita-cita raja, sehingga menggagalkan niat raja hendak berkahwin dengan puteri tersebut.

           
            Peranan wanita juga dapat mempengaruhi raja dalam banyak hal. Tun Fatimah boleh dianggap sebagai serikandi Melayu yang pertama kerana dapat menundukkan kekuatan dan nafsu raja atau suaminya, Sultan Mahmud Syah. Ini disebabkan sikap tegas Tun Fatimah dan keberaniannya yang tidak mahu memberi layanan sewajarnya kepada raja sehingga baginda turun dari takhta kerajaan. Tun Fatimah bertindak menggugurkan kandungannya dengan tidak menimbulkan rasa murka raja. Dia juga berjaya mempengaruhi raja melantik anaknya Raja Ali menjadi Sultan, Raja Ahmad, walaupun yang sah diketepikan. Tun Fatimah, yang menjadi isteri Sultan Mahmud Syah itu telah dilantik sebagai Raja Perempuan Melaka dan disebut sebagai Raja Perempuan Besar. Watak Tun Fatimah dianggap sebagai satu garis pemisah bagi membezakan watak Sultan Mahmud Syah dan peristiwa-peristiwa keagungan serta keruntuhan Melaka.

            Peranan wanita membantu lelaki juga diperlihatkan bagi mencapai kehendaknya. Ini dapat dilihat bagaimana perempua tua Inanganda Si Pelulut Tun Teja menolong Hang Nadim melarikan Tun Teja. Walaupun kisahnya pendek, namun peranannya amat penting. Pengarang Sejarah Melayu menganggapnya sebagai “harimau” kerana peranan dan tindak tanduknya itu mengakibatkan pelbagai peristiwa telah terjadi seperti memutuskan pertunangan antara Tun Teja dengan Sultan Pahang dan meletuskan peperangan antara orang Pahang dengan Hang Nadim di laut.
           






4.0       RUMUSAN
Secara keseluruhannya, Sejarah Melayu banyak memberi pengajaran dan tauladan. Pelbagai peristiwa dilakarkan oleh pengarang untuk memperlihatkan kesenian dan keagungan bangsa Melayu itu.

            Dalam tugasan ini telah membincangkan aspek-aspek yang dapat menambah ilmu pengetahuan dalam bidang kesusasteraan Melayu dan mengenali tamadun Melayu dari pensejarahan sastera klasik khususnya Sejarah Melayu. Watak-watak dalam sastera Sejarah Melayu sangat menonjol dari segi peranan dan tingkah laku mereka dalam menyelesaikan masalah.

            Di samping itu, dengan adanya kajian sastera klasik ini juga dapat menjadi cerminan kepada masyarakat sekarang. Perbandingan antara masyarakat dahulu dengan sangat jauh perbezaannya. Perbezaan citra masyarakat ini seharusnya diambil iktibar dan dijadikan contoh dalam kehidupan. Sebagai contoh amalan nilai-nilai murni seperti taat pada pemerintah yang adil, tidak membenci antara satu sama lain, menghormati sesama sendiri dan sebagainya.


            Oleh yang demikian, kajian ke atas sastera klasik ini bukan sahaja untuk tatapan generasi hari ini, tetapi untuk dijadikan pedoman dengan mengambil sesuatu yang baik dan diaplikasikan dalam kehidupan. 

Pembinaan Negara Bangsa

­1.0       PENGENALAN
Pembinaan Negara Bangsa amat penting bagi sebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Keupayaan untuk membina Negara Bangsa ini amat bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme. Pembinaan Negara Bangsa ini menjadi semakin penting lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja dari segi maklumat, modal serta manusia, malahan  juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Teras strategik Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang pertama adalah  membina Negara Bangsa. Jelas sekali tergambar teras strategik PIPP yang pertama adalah usaha menyemai dan memperkukuhkan semangat patriotisme dan sayangkan tanah air. Dalam usaha untuk mencapai teras tersebut,  ianya bukanlah sesuatu yang mudah tetapi memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak sama ada secara langsung atau tidak langung.

Pembinaan negara bangsa adalah satu elemen amat penting dalam kejayaan negara. Fokus kementerian dalam membina negara bangsa mencakupi usaha seperti memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan dan bahasa ilmu, memantapkan perpaduan dan integrasi nasional, memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya bangsa. Disinilah akan terpampang jelas peranan seorang pendidik dalam proses pembinaan Negara Bangsa ini. Ternyata semua tanggungjawab bagi mencapai kejayaan objektif PIPP yang pertama ini tergalas di bahu seorang guru. Pastinya, semua golongan pendidik  perlu mempunyai semangat yang luar biasa di samping mempunyai ciri-ciri dalaman keperibadian yang unggul sebelum mendidik keperibadian anak murid bagi memastikan proses pembinaan negara bangsa tercapai.
















2.0       KONSEP NEGARA BANGSA
Hasrat untuk membentuk sebuah Negara Bangsa dalam konteks Malaysia boleh dihuraikan seperti berikut:
“...membentuk sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, berintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompoknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah Bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.”
(Tun Dr. Mahathir Mohamad Melangkah Ke Hadapan, 1991).
Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka, (2001) negara bangsa didefinisikan sebagai negara yang berdaulat yang didiami oleh satu bangsa.
Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002), mentakrifkan  pembinaan bermaksud pembangunan. Sementara itu, negara bermaksud sesuatu masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh sesebuah kerajaan dan bangsa pula bermaksud kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan.  Oleh itu, pembinaan negara bangsa bermaksud pembangunan sesuatu masyarakat dalam sesebuah negara.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), negara bangsa didefinisikan sebagai negara berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Pembinaan negara-bangsa pula adalah merupakan satu proses mewujudkan ‘semangat kenegaraan’ atau perasaan ‘kekitaan’ dalam kalangan semua penduduk sesebuah negara (INTAN, 1980).
Selain itu, Ruslan Zainuddin, Mohd. Mahadee Ismail dan Zaini Othman (2005), menyatakan konsep negara bangsa mempunyai makna yang luas kerana ia merujuk kepada sebuah negara yang berdaulat dengan rakyatnya yang hidup bersatu padu, tanpa dipisahkan oleh ikatan primordial yang sempit seperti kaum, keturunan, agama dan sebagainya yang dilihat boleh membawa kepada perpecahan. Tambahnya lagi, pembentukan satu negara bangsa  dianggap penting dan menjadi prasyarat kepada kemajuan sesebuah negara.
Berdasarkan konsep negara bangsa melalui beberapa sumber di atas, dapatlah disimpulkan bahawa negara bangsa ialah satu konsep atau bentuk kenegaraan yang memperoleh pengesahan politiknya dengan menjadi sebuah entiti berdaulat bagi satu-satu bangsa  sebagai sebuah (unit) wilayah yang berdaulat.






3.0       PERANAN GURU DALAM PROSES PEMBINAAN NEGARA BANGSA

3.1       Menyediakan Rancangan Mengajar
Guru mesti membuat perancangan pelajaran sebelum memulakan pengajaran dan pembelajaran, termasuklah guru berpengalaman, guru cemerlang dan guru pakar. Menurut Sufean Hussin (2004), hali ini kerana gurulah yang akan membimbing atau mengajar para pelajar supaya anak didik dapat menjadi insan yang berguna, Persediaan mengajar oleh guru akan melibatkan masa yang berbeza mengikut pencapaian murid, kelas, bahan, dan kearifan individu guru. Objektif dan isi pelajaran perlu  disusun mengikut keutamaan atau kefahaman murid, seperti bermula daripada aspek yang mudah kepada yang lebih sukar, aspek yang berada dalam pengetahuan atau pengalaman murid kepada perkara yang belum berada dalam pengetahuan dan pengalaman mereka.

Setiap perkembangan pelajaran diikuti pula oleh aktiviti murid secara terancang dan sebahagianya spontan. Pendekatan berasaskan ‘spiral curriculum’ membolehkan murid mengembangkan ilmu sedia ada dan memantapkan pengalaman tersedia. Mereka akan mengikuti pengajaran peringkat demi peringkat, langkah demi langkah, fakta demi fakta, yang keseluruhannya secara sistematik dan efektif. Dengan ini, jelaslah bahawa dalam proses pembinaan negara bangsa, guru memainkan peranan penting agar hasrat tersebut dapat dicapai.

3.2       Pengetahuan, Kemahiran dan Kecekapan Bidang
Dalam proses pembinaan negara bangsa, seseorang guru haruslah mempunyai sikap yang efektif. Menurut Ee Ah Meng (1996), seorang guru semestinya mempunyai kecekapan yang mendalam dalam bidang atau subjek yang diajar. Guru perlu mempunyai pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang komprehensif terhadap bidangnya. Demikian sebaliknya, jika guru gagal untuk menjawab pertanyaan murid atau sentiasa menangguhkan jawapan, hal ini akan menyebabkan murid kurang berkeyakinan kepada guru tersebut dan hilang minat dalam pelajaran.

 Lebih-lebih lagi jika guru sentiasa menghalang murid-murid daripada bertanyakan perkara yang di luar kurikulum, sedangkan para murid berminat untuk mengetahui, berkemungkinan mereka kehilangan kecenderungan untuk bertanya dan hilang minat untuk mempelajari subjek yang diajar oleh guru berkenaan. Jika halangan dan gangguan terhadap perkembangan murid-murid berlanjutan, situasi ini akan mengakibatkan perencatan dan pembunuhan minat mereka untuk belajar. Oleh itu, bagi memastikan proses pembinaan negara bangsa tercapai, seorang guru haruslah memastikan setiap anak bangsa berjaya dalam setiap aspek sama ada dalam proses pembelajaran atau tidak.





3.3       Kepelbagaian Kaedah Mengajar
Dalam konteks ini, bagi memastikan pembinaan negara bangsa tercapai, guru haruslah mempelbagaikan kaedah mengajar. Pembelajaran akan berjalan dengan lancar, menarik dan berkesan sekiranya guru menggunakan pelbagai kaedah yang bersesuaian dengan isi pelajaran dan kemahiran yang akan dicapai oleh murid. Haji Hamdan bin Sheikh Tahir (1973) menyatakan bahawa seorang guru perlu “employ a wide variety of methods” untuk menyampaikan kandungan pelajaran berbentuk teori dan amali. Guru perlu sentiasa mengubahsuai strategi mengikut jangkaan keberkesanan penggunaan sesuatu kaedah. Guru yang berhasrat untuk menjadikan pengajarannya efektif, seharusnya membuat kajian atau penyelidikan mengenai kaedah yang paling sesuai untuk sesuatu isi pelajaran, topik atau kemahiran. Kajian saintifik perlu dibuat untuk menilai kekuatan dan kelemahan kaedah yang digunakan.

Guru perlu berkemahiran dalam membuat kajian tindakan atau pemerhatian saintifik. Kajian menunjukkan bahawa kaedah yang digunakan amat berperanan penting sebagai sumber kefahaman, minat dan komitmen murid dalam pengajaran dan pembelajaran. Murid lebih tertarik kepada kaedah yang kemas kini dan menggunakan peralatan elektronik seperti komputer, internet, power point, dan video. Walau bagaimanapun, guru yang bijak menggunakan gaya tingkahlaku dan intonasi suara, bercerita, memek muka humor, akan tetap menarik minat pembelajaran dan murid mengikuti pengajaran secara efektif.

3.4       Keceriaan, Interaksi dan Penglibatan Murid
Selain itu, dalam proses pembinaan negara bangsa, guru mestilah menanamkan sikap yang efektif. Menurut Kamarudin Abu dan Ee Ah Meng (1995), guru yang efektif sentiasa berfikir dan akan merancang aktiviti penglibatan murid-murid dalam pengajaran. Kemahiran berkomunikasi dan interaksi kependidikan pelbagai hala guru-murid, murid-murid, dan murid-guru menjadi teras keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Murid akan merasa pendapat dan kehadirannya diperlukan serta dihargai. Murid-murid perlu mengenali di antara satu sama lain, saling berinterkasi dan menggunakan panggilan baik serta digemari yang membuktikan saling “communicate with interest and enthusiasm”.

Semasa menyampaikan pengajaran, guru seharusnya mempunyai pemikiran positif dan bersangka-suka terhadap murid agar ilmu yang disampaikan diterima dengan hati terbuka, ikhlas, telus, tulus, berminda ceria dan humur. Memandang terus dan telus terhadap individu murid dan melihatnya dengan penuh empati serta “use intrinsic and extrinsic rewards more often than penalties”. Situasi sedemikian akan dapat menimbulkan interaksi positif dan konstruktif yang menghasilkan keberkatan ilmu yang disampaikan demi manfaat jangka pendek dan  jangka panjang murid dan guru.  Masyarakat dan negara akan memperoleh manfaat seterusnya.




3.5       Motivasi, Minat dan Mencungkil Sikap Ingin Tahu
Menurut Sufean Hussin (2004), murid-murid boleh digalakkan untuk mengemukakan soalan, pendapat dan menunjuk cara perlakuan. Penglibatan murid-murid secara aktif akan menimbulkan minat yang tinggi dan berazam untuk terus berada dalam pembelajaran. Guru perlu mencari faktor-faktor yang boleh menimbulkan minat dalam pengajaran. Ada kalanya faktor ini berbeza-beza di antara satu kumpulan atau kelas murid. Apabila guru berjaya mencetuskan minat murid-murid, mereka bukan saja akan terlibat secara aktif, bahkan sentiasa mengunggu-nunggu kedatangan guru berkenaan. Ramai penyelidik psikologi mendapati bahawa minat atau kecenderungan merupakan faktor utama penglibatan serius murid dalam sesuatu pembelajaran. Diandaikan semut yang naik ke puncak Gunung Kinabalu kerana minat dan dorongan terdapatnya gula atau manisan di Puncak Low. Oleh itu, jelaslah bahawa proses pembinaan negara bangsa amatlah bergantung kepada tugas seorang pendidik.

3.6       Ujian dan Penilaian
Menurut Kamarudin Abu dan Ee Ah Meng (1995), guru seharusnya berkemahiran mengemukakan pelbagai jenis soalan dengan tujuan tertentu berasaskan konsep penyoalan. Soalan-soalan berbentuk ‘provokatif’ atau thought-provoking boleh mendatangkan rangsangan dan motivasi untuk pelajar berfikir secara konstruktif dan inovatif. Soalan dibina dalam bentuk ayat mudah, berstruktur atau terbuka. Persoalan boleh diajukan berdasarkan pendekatan konsep Taksonomi Bloom iaitu pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis, sentisis, penilaian, dan apresiasi. Hussein (1992:130) menukilkan bahawa Rutter, et al., (1979) mengenalpasti di anatara ciri-ciri sekolah rendah berkesan di United Kingdom ialah penglibatan guru, adanya penyelarasan dan ketekalan guru, sesi berstruktur, pengajaran yang mencabar keintelektualan, perhubungan maksimum antara guru dengan pelajar, persekitaran untuk mengajar dan belajar, dan, iklim positif.


3.7       Tindakan Susulan Melalui Pengayaan dan Pemulihan
Ruslan Zainuddin, Mohd. Mahadee Ismail dan Zaini Othman (2005) menyatakan tindakan susulan merupakan langkah terpenting dalam menilai keberkesanan sebenar pembelajaran murid. Ini dilakukan pada penghujung pengajaran atau selepas membuat penilaian atau ujian formatif atau summatif. Soalan yang dikemukakan perlu dibincangkan semula jawapan sebenar dan rasional setiap jawapan. Langkah ini diikuti pula oleh pemantauan prestasi, antaranya dengan cara murid-murid yang mendapat pencapaian tinggi dikelompokkan dalam satu kumpulan untuk proses pengkayaan pembelajaran manakala murid-murid lemah dikelompokkan dalam satu kumpulan untuk pemulihan dengan guru memberi perhatian dan tumpuan yang lebih banyak. Guru perlu tahu cara untuk mencapai matlamat sama ada individu atau kumpulan terutama di dalam bilik darjah yang diajar.



3.8       Membentuk Sahsiah Anak Bangsa      
Guru bukan saja bertanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga membentuk sahsiah pelajar-pelajarnya. Kejayaan pelajar yang hanya sekadar lulus dalam peperiksaan tidak bererti kepada pembangunan negara sekiranya sahsiah serta akhlaknya buruk. Ramai anak bangsa yang kita dengar berjaya ke menara gading,namun masih tidak tahu menghormati orang tua atau tidak mengamalkan nilai-nilai murni. Ini menunjukkan peranan guru masih belum berjaya membentuk anak bangsa dari segala aspek. Oleh itu, sebagai arkitek bangsa, guru perlulah memastikan pembinaan bangsa itu dengan lebih berkualiti agar tidak musnah sepertimana sebuah bangunan yang tumbang rebah ke bumi kerana pembinaannya adalah daripada bahan yang kurang berkualiti.

            3.9       Guru Sebagai Role Model
Menurut Ee Ah Meng (2003), seorang guru haruslah menjadikan dirinya sebagai contoh teladan yang baik kepada anak-anak didiknya. Percakapan seorang guru samada berbentuk nasihat, pengajaran atau sebagainya haruslah disusuli dengan perbuatanya.  Ini adalah kerana guru merupakan ‘role’ model kepada anak-anak didiknya. Setiap gerak-geri dan perlakuan guru dihadapan anak-anak didiknya sudah pasti akan diperhatikan oleh mereka. Sekiranya perlakuan itu menyalahi diri apa yang diucapkannya, maka ini akan menimbulkan persepsi yang tidak baik dikalangan anak-anak didiknya. Seterusnya perkara ini akan menimbulkan kesan jangka panjang yang negatif dalam aspek pembinaan generasi yang akan mewarisi kepimpinan negara kita.

            3.10    Sifat Sabar Dalam Diri Guru
Selain itu, dalam proses pembinaan Negara bangsa, seoarang guru haruslah sentiasa tahan dan bersabar dalam setiap kerjaya untuk mendidik  anak bangsa. Guru selalu diibaratkan sebagai lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain.  Menurut Ee Ah Meng (2003), dedikasi guru dapat membentuk pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kokurilum serta berakhlak mulia. Guru berkualiti aspirasi negara. Guru yang bertanggungjawab dan amanah sentiasa dihormati oleh rakan sejawatan dan anak murid.  Sekalung budi dan sekeping kad Hari Guru sebagai tanda terima kasih yang tidak terperi kepada semua guru. Jasa dan budi guru akan sentiasa dikenang.  Segala teguran dan kritikan daripada guru semata-mata adalah demi kebaikan pelajar.  Tampaknya, profesion guru semakin mencabar berbanding dengan zaman silam.  Oleh itu guru perlu bersemangat waja diri dan gigih untuk meladeni kerenah pelajar yang semakin liar. Jangan putus asa dan patah semangat malah perlu sentiasa menyemarakkan semangat dan motivasi pelajar supaya mereka dapat menjadi insan yang kamil dan seimbang dari segi jasmani, rohani, intelek dan emosi.



3.11    Menyediakan Pendidikan Berkualiti
Ruslan Zainuddin, Mohd. Mahadee Ismail dan Zaini Othman (2005) menyatakan matlamat pembentukan sebuah negara bangsa hanya dapat dicapai jika masyarakatnya mempunyai ketrampilan dalam pelbagai bidang. Ini termasuklah juga di bidang pendidikan. Justeru adalah menjadi peranan guru dalam menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua. Pendekatan ini adalah bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan di mana pendidikan berkualiti adalah untuk memastikan semua kanak-kanak mendapat pendidikan yang terbaik supaya mereka dapat memperkembangkan potensi mereka secara holistik dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dalam erti kata yang lain pendidikan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adalah untuk menghasilkan seorang pelajar yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran dan sahsiah. Dengan hasrat agar apabila pelajar telah tamat pendidikannya dengan kecemerlangan ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains, teknologi dan ICT; kemahiran tinggi seperti berupaya berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa; dan sifat sahsiah yang positif maka mereka dapat menyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan dirinya, keluarga dan negara Malaysia.




4.0       PENUTUP   
Jelaslah disini guru adalah sebagai arkitek bangsa bagi melahirkan anak bangsa yang berilmu. Seorang guru itu seorang pendidik, pemantau kemajuan pelajaran, pembimbing, pengasuh nilai, pengajar subjek dan harus menunjukkan teladan yang baik. Pepatah Melayu menyebut ‘Guru kencing berdiri, pasti murid akan kencing berlari’. Maknanya nilai-nilai adab dan adat, budi bahasa, berakhlak mulia datangnya daripada guru dan sekolah. Sungguh pun begitu, tanpa persepakatan ibu bapa-guru, perkongsian tanggung jawab bagi melahirkan anak bangsa yang berilmu, berkemahiran, berketerampilan dan holistik tidak mudah dicapai.

Teras strategik PIPP yang pertama adalah membina negara bangsa. Dalam usaha itu , Kementerian berhasrat untuk membangunkan warganegara daripada awal persekolahan. Jelaslah disini bahawa gurulah pihak yang penting bagi bagi membentuk sebuah negara bangsa. Natijahnya, komitmen yang utuh dalam kalangan guru dapat memperkasakan pembangunan insan yang berkualiti sehingga mencapai visi negara, iaitu 1 Malaysia. Guru cemerlang negara terbilang. Pendidik perlu melengkapkan diri supaya dapat membimbing para pelajar ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang. Gurulah insan yang dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan proses pembinaan negara bangsa yang dicita-citakan oleh negara. Ini adalah kerana seorang guru berkualiti dapat  melahirkan murid  yang cemerlang yang menjadi tonggak kejayaan pembinaan negara bangsa.