. Amoi Chantek: Pembinaan Negara Bangsa Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Wednesday 3 July 2013

Pembinaan Negara Bangsa

­1.0       PENGENALAN
Pembinaan Negara Bangsa amat penting bagi sebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Keupayaan untuk membina Negara Bangsa ini amat bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme. Pembinaan Negara Bangsa ini menjadi semakin penting lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja dari segi maklumat, modal serta manusia, malahan  juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Teras strategik Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang pertama adalah  membina Negara Bangsa. Jelas sekali tergambar teras strategik PIPP yang pertama adalah usaha menyemai dan memperkukuhkan semangat patriotisme dan sayangkan tanah air. Dalam usaha untuk mencapai teras tersebut,  ianya bukanlah sesuatu yang mudah tetapi memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak sama ada secara langsung atau tidak langung.

Pembinaan negara bangsa adalah satu elemen amat penting dalam kejayaan negara. Fokus kementerian dalam membina negara bangsa mencakupi usaha seperti memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan dan bahasa ilmu, memantapkan perpaduan dan integrasi nasional, memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya bangsa. Disinilah akan terpampang jelas peranan seorang pendidik dalam proses pembinaan Negara Bangsa ini. Ternyata semua tanggungjawab bagi mencapai kejayaan objektif PIPP yang pertama ini tergalas di bahu seorang guru. Pastinya, semua golongan pendidik  perlu mempunyai semangat yang luar biasa di samping mempunyai ciri-ciri dalaman keperibadian yang unggul sebelum mendidik keperibadian anak murid bagi memastikan proses pembinaan negara bangsa tercapai.
















2.0       KONSEP NEGARA BANGSA
Hasrat untuk membentuk sebuah Negara Bangsa dalam konteks Malaysia boleh dihuraikan seperti berikut:
“...membentuk sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, berintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompoknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah Bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.”
(Tun Dr. Mahathir Mohamad Melangkah Ke Hadapan, 1991).
Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka, (2001) negara bangsa didefinisikan sebagai negara yang berdaulat yang didiami oleh satu bangsa.
Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002), mentakrifkan  pembinaan bermaksud pembangunan. Sementara itu, negara bermaksud sesuatu masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh sesebuah kerajaan dan bangsa pula bermaksud kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan.  Oleh itu, pembinaan negara bangsa bermaksud pembangunan sesuatu masyarakat dalam sesebuah negara.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), negara bangsa didefinisikan sebagai negara berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Pembinaan negara-bangsa pula adalah merupakan satu proses mewujudkan ‘semangat kenegaraan’ atau perasaan ‘kekitaan’ dalam kalangan semua penduduk sesebuah negara (INTAN, 1980).
Selain itu, Ruslan Zainuddin, Mohd. Mahadee Ismail dan Zaini Othman (2005), menyatakan konsep negara bangsa mempunyai makna yang luas kerana ia merujuk kepada sebuah negara yang berdaulat dengan rakyatnya yang hidup bersatu padu, tanpa dipisahkan oleh ikatan primordial yang sempit seperti kaum, keturunan, agama dan sebagainya yang dilihat boleh membawa kepada perpecahan. Tambahnya lagi, pembentukan satu negara bangsa  dianggap penting dan menjadi prasyarat kepada kemajuan sesebuah negara.
Berdasarkan konsep negara bangsa melalui beberapa sumber di atas, dapatlah disimpulkan bahawa negara bangsa ialah satu konsep atau bentuk kenegaraan yang memperoleh pengesahan politiknya dengan menjadi sebuah entiti berdaulat bagi satu-satu bangsa  sebagai sebuah (unit) wilayah yang berdaulat.






3.0       PERANAN GURU DALAM PROSES PEMBINAAN NEGARA BANGSA

3.1       Menyediakan Rancangan Mengajar
Guru mesti membuat perancangan pelajaran sebelum memulakan pengajaran dan pembelajaran, termasuklah guru berpengalaman, guru cemerlang dan guru pakar. Menurut Sufean Hussin (2004), hali ini kerana gurulah yang akan membimbing atau mengajar para pelajar supaya anak didik dapat menjadi insan yang berguna, Persediaan mengajar oleh guru akan melibatkan masa yang berbeza mengikut pencapaian murid, kelas, bahan, dan kearifan individu guru. Objektif dan isi pelajaran perlu  disusun mengikut keutamaan atau kefahaman murid, seperti bermula daripada aspek yang mudah kepada yang lebih sukar, aspek yang berada dalam pengetahuan atau pengalaman murid kepada perkara yang belum berada dalam pengetahuan dan pengalaman mereka.

Setiap perkembangan pelajaran diikuti pula oleh aktiviti murid secara terancang dan sebahagianya spontan. Pendekatan berasaskan ‘spiral curriculum’ membolehkan murid mengembangkan ilmu sedia ada dan memantapkan pengalaman tersedia. Mereka akan mengikuti pengajaran peringkat demi peringkat, langkah demi langkah, fakta demi fakta, yang keseluruhannya secara sistematik dan efektif. Dengan ini, jelaslah bahawa dalam proses pembinaan negara bangsa, guru memainkan peranan penting agar hasrat tersebut dapat dicapai.

3.2       Pengetahuan, Kemahiran dan Kecekapan Bidang
Dalam proses pembinaan negara bangsa, seseorang guru haruslah mempunyai sikap yang efektif. Menurut Ee Ah Meng (1996), seorang guru semestinya mempunyai kecekapan yang mendalam dalam bidang atau subjek yang diajar. Guru perlu mempunyai pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang komprehensif terhadap bidangnya. Demikian sebaliknya, jika guru gagal untuk menjawab pertanyaan murid atau sentiasa menangguhkan jawapan, hal ini akan menyebabkan murid kurang berkeyakinan kepada guru tersebut dan hilang minat dalam pelajaran.

 Lebih-lebih lagi jika guru sentiasa menghalang murid-murid daripada bertanyakan perkara yang di luar kurikulum, sedangkan para murid berminat untuk mengetahui, berkemungkinan mereka kehilangan kecenderungan untuk bertanya dan hilang minat untuk mempelajari subjek yang diajar oleh guru berkenaan. Jika halangan dan gangguan terhadap perkembangan murid-murid berlanjutan, situasi ini akan mengakibatkan perencatan dan pembunuhan minat mereka untuk belajar. Oleh itu, bagi memastikan proses pembinaan negara bangsa tercapai, seorang guru haruslah memastikan setiap anak bangsa berjaya dalam setiap aspek sama ada dalam proses pembelajaran atau tidak.





3.3       Kepelbagaian Kaedah Mengajar
Dalam konteks ini, bagi memastikan pembinaan negara bangsa tercapai, guru haruslah mempelbagaikan kaedah mengajar. Pembelajaran akan berjalan dengan lancar, menarik dan berkesan sekiranya guru menggunakan pelbagai kaedah yang bersesuaian dengan isi pelajaran dan kemahiran yang akan dicapai oleh murid. Haji Hamdan bin Sheikh Tahir (1973) menyatakan bahawa seorang guru perlu “employ a wide variety of methods” untuk menyampaikan kandungan pelajaran berbentuk teori dan amali. Guru perlu sentiasa mengubahsuai strategi mengikut jangkaan keberkesanan penggunaan sesuatu kaedah. Guru yang berhasrat untuk menjadikan pengajarannya efektif, seharusnya membuat kajian atau penyelidikan mengenai kaedah yang paling sesuai untuk sesuatu isi pelajaran, topik atau kemahiran. Kajian saintifik perlu dibuat untuk menilai kekuatan dan kelemahan kaedah yang digunakan.

Guru perlu berkemahiran dalam membuat kajian tindakan atau pemerhatian saintifik. Kajian menunjukkan bahawa kaedah yang digunakan amat berperanan penting sebagai sumber kefahaman, minat dan komitmen murid dalam pengajaran dan pembelajaran. Murid lebih tertarik kepada kaedah yang kemas kini dan menggunakan peralatan elektronik seperti komputer, internet, power point, dan video. Walau bagaimanapun, guru yang bijak menggunakan gaya tingkahlaku dan intonasi suara, bercerita, memek muka humor, akan tetap menarik minat pembelajaran dan murid mengikuti pengajaran secara efektif.

3.4       Keceriaan, Interaksi dan Penglibatan Murid
Selain itu, dalam proses pembinaan negara bangsa, guru mestilah menanamkan sikap yang efektif. Menurut Kamarudin Abu dan Ee Ah Meng (1995), guru yang efektif sentiasa berfikir dan akan merancang aktiviti penglibatan murid-murid dalam pengajaran. Kemahiran berkomunikasi dan interaksi kependidikan pelbagai hala guru-murid, murid-murid, dan murid-guru menjadi teras keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Murid akan merasa pendapat dan kehadirannya diperlukan serta dihargai. Murid-murid perlu mengenali di antara satu sama lain, saling berinterkasi dan menggunakan panggilan baik serta digemari yang membuktikan saling “communicate with interest and enthusiasm”.

Semasa menyampaikan pengajaran, guru seharusnya mempunyai pemikiran positif dan bersangka-suka terhadap murid agar ilmu yang disampaikan diterima dengan hati terbuka, ikhlas, telus, tulus, berminda ceria dan humur. Memandang terus dan telus terhadap individu murid dan melihatnya dengan penuh empati serta “use intrinsic and extrinsic rewards more often than penalties”. Situasi sedemikian akan dapat menimbulkan interaksi positif dan konstruktif yang menghasilkan keberkatan ilmu yang disampaikan demi manfaat jangka pendek dan  jangka panjang murid dan guru.  Masyarakat dan negara akan memperoleh manfaat seterusnya.




3.5       Motivasi, Minat dan Mencungkil Sikap Ingin Tahu
Menurut Sufean Hussin (2004), murid-murid boleh digalakkan untuk mengemukakan soalan, pendapat dan menunjuk cara perlakuan. Penglibatan murid-murid secara aktif akan menimbulkan minat yang tinggi dan berazam untuk terus berada dalam pembelajaran. Guru perlu mencari faktor-faktor yang boleh menimbulkan minat dalam pengajaran. Ada kalanya faktor ini berbeza-beza di antara satu kumpulan atau kelas murid. Apabila guru berjaya mencetuskan minat murid-murid, mereka bukan saja akan terlibat secara aktif, bahkan sentiasa mengunggu-nunggu kedatangan guru berkenaan. Ramai penyelidik psikologi mendapati bahawa minat atau kecenderungan merupakan faktor utama penglibatan serius murid dalam sesuatu pembelajaran. Diandaikan semut yang naik ke puncak Gunung Kinabalu kerana minat dan dorongan terdapatnya gula atau manisan di Puncak Low. Oleh itu, jelaslah bahawa proses pembinaan negara bangsa amatlah bergantung kepada tugas seorang pendidik.

3.6       Ujian dan Penilaian
Menurut Kamarudin Abu dan Ee Ah Meng (1995), guru seharusnya berkemahiran mengemukakan pelbagai jenis soalan dengan tujuan tertentu berasaskan konsep penyoalan. Soalan-soalan berbentuk ‘provokatif’ atau thought-provoking boleh mendatangkan rangsangan dan motivasi untuk pelajar berfikir secara konstruktif dan inovatif. Soalan dibina dalam bentuk ayat mudah, berstruktur atau terbuka. Persoalan boleh diajukan berdasarkan pendekatan konsep Taksonomi Bloom iaitu pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis, sentisis, penilaian, dan apresiasi. Hussein (1992:130) menukilkan bahawa Rutter, et al., (1979) mengenalpasti di anatara ciri-ciri sekolah rendah berkesan di United Kingdom ialah penglibatan guru, adanya penyelarasan dan ketekalan guru, sesi berstruktur, pengajaran yang mencabar keintelektualan, perhubungan maksimum antara guru dengan pelajar, persekitaran untuk mengajar dan belajar, dan, iklim positif.


3.7       Tindakan Susulan Melalui Pengayaan dan Pemulihan
Ruslan Zainuddin, Mohd. Mahadee Ismail dan Zaini Othman (2005) menyatakan tindakan susulan merupakan langkah terpenting dalam menilai keberkesanan sebenar pembelajaran murid. Ini dilakukan pada penghujung pengajaran atau selepas membuat penilaian atau ujian formatif atau summatif. Soalan yang dikemukakan perlu dibincangkan semula jawapan sebenar dan rasional setiap jawapan. Langkah ini diikuti pula oleh pemantauan prestasi, antaranya dengan cara murid-murid yang mendapat pencapaian tinggi dikelompokkan dalam satu kumpulan untuk proses pengkayaan pembelajaran manakala murid-murid lemah dikelompokkan dalam satu kumpulan untuk pemulihan dengan guru memberi perhatian dan tumpuan yang lebih banyak. Guru perlu tahu cara untuk mencapai matlamat sama ada individu atau kumpulan terutama di dalam bilik darjah yang diajar.



3.8       Membentuk Sahsiah Anak Bangsa      
Guru bukan saja bertanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga membentuk sahsiah pelajar-pelajarnya. Kejayaan pelajar yang hanya sekadar lulus dalam peperiksaan tidak bererti kepada pembangunan negara sekiranya sahsiah serta akhlaknya buruk. Ramai anak bangsa yang kita dengar berjaya ke menara gading,namun masih tidak tahu menghormati orang tua atau tidak mengamalkan nilai-nilai murni. Ini menunjukkan peranan guru masih belum berjaya membentuk anak bangsa dari segala aspek. Oleh itu, sebagai arkitek bangsa, guru perlulah memastikan pembinaan bangsa itu dengan lebih berkualiti agar tidak musnah sepertimana sebuah bangunan yang tumbang rebah ke bumi kerana pembinaannya adalah daripada bahan yang kurang berkualiti.

            3.9       Guru Sebagai Role Model
Menurut Ee Ah Meng (2003), seorang guru haruslah menjadikan dirinya sebagai contoh teladan yang baik kepada anak-anak didiknya. Percakapan seorang guru samada berbentuk nasihat, pengajaran atau sebagainya haruslah disusuli dengan perbuatanya.  Ini adalah kerana guru merupakan ‘role’ model kepada anak-anak didiknya. Setiap gerak-geri dan perlakuan guru dihadapan anak-anak didiknya sudah pasti akan diperhatikan oleh mereka. Sekiranya perlakuan itu menyalahi diri apa yang diucapkannya, maka ini akan menimbulkan persepsi yang tidak baik dikalangan anak-anak didiknya. Seterusnya perkara ini akan menimbulkan kesan jangka panjang yang negatif dalam aspek pembinaan generasi yang akan mewarisi kepimpinan negara kita.

            3.10    Sifat Sabar Dalam Diri Guru
Selain itu, dalam proses pembinaan Negara bangsa, seoarang guru haruslah sentiasa tahan dan bersabar dalam setiap kerjaya untuk mendidik  anak bangsa. Guru selalu diibaratkan sebagai lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain.  Menurut Ee Ah Meng (2003), dedikasi guru dapat membentuk pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kokurilum serta berakhlak mulia. Guru berkualiti aspirasi negara. Guru yang bertanggungjawab dan amanah sentiasa dihormati oleh rakan sejawatan dan anak murid.  Sekalung budi dan sekeping kad Hari Guru sebagai tanda terima kasih yang tidak terperi kepada semua guru. Jasa dan budi guru akan sentiasa dikenang.  Segala teguran dan kritikan daripada guru semata-mata adalah demi kebaikan pelajar.  Tampaknya, profesion guru semakin mencabar berbanding dengan zaman silam.  Oleh itu guru perlu bersemangat waja diri dan gigih untuk meladeni kerenah pelajar yang semakin liar. Jangan putus asa dan patah semangat malah perlu sentiasa menyemarakkan semangat dan motivasi pelajar supaya mereka dapat menjadi insan yang kamil dan seimbang dari segi jasmani, rohani, intelek dan emosi.



3.11    Menyediakan Pendidikan Berkualiti
Ruslan Zainuddin, Mohd. Mahadee Ismail dan Zaini Othman (2005) menyatakan matlamat pembentukan sebuah negara bangsa hanya dapat dicapai jika masyarakatnya mempunyai ketrampilan dalam pelbagai bidang. Ini termasuklah juga di bidang pendidikan. Justeru adalah menjadi peranan guru dalam menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua. Pendekatan ini adalah bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan di mana pendidikan berkualiti adalah untuk memastikan semua kanak-kanak mendapat pendidikan yang terbaik supaya mereka dapat memperkembangkan potensi mereka secara holistik dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dalam erti kata yang lain pendidikan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adalah untuk menghasilkan seorang pelajar yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran dan sahsiah. Dengan hasrat agar apabila pelajar telah tamat pendidikannya dengan kecemerlangan ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains, teknologi dan ICT; kemahiran tinggi seperti berupaya berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa; dan sifat sahsiah yang positif maka mereka dapat menyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan dirinya, keluarga dan negara Malaysia.




4.0       PENUTUP   
Jelaslah disini guru adalah sebagai arkitek bangsa bagi melahirkan anak bangsa yang berilmu. Seorang guru itu seorang pendidik, pemantau kemajuan pelajaran, pembimbing, pengasuh nilai, pengajar subjek dan harus menunjukkan teladan yang baik. Pepatah Melayu menyebut ‘Guru kencing berdiri, pasti murid akan kencing berlari’. Maknanya nilai-nilai adab dan adat, budi bahasa, berakhlak mulia datangnya daripada guru dan sekolah. Sungguh pun begitu, tanpa persepakatan ibu bapa-guru, perkongsian tanggung jawab bagi melahirkan anak bangsa yang berilmu, berkemahiran, berketerampilan dan holistik tidak mudah dicapai.

Teras strategik PIPP yang pertama adalah membina negara bangsa. Dalam usaha itu , Kementerian berhasrat untuk membangunkan warganegara daripada awal persekolahan. Jelaslah disini bahawa gurulah pihak yang penting bagi bagi membentuk sebuah negara bangsa. Natijahnya, komitmen yang utuh dalam kalangan guru dapat memperkasakan pembangunan insan yang berkualiti sehingga mencapai visi negara, iaitu 1 Malaysia. Guru cemerlang negara terbilang. Pendidik perlu melengkapkan diri supaya dapat membimbing para pelajar ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang. Gurulah insan yang dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan proses pembinaan negara bangsa yang dicita-citakan oleh negara. Ini adalah kerana seorang guru berkualiti dapat  melahirkan murid  yang cemerlang yang menjadi tonggak kejayaan pembinaan negara bangsa.


No comments:

Post a Comment