1.0
PENGENALAN
Sejarah
Melayu merupakan satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan
kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang ditulis oleh beberapa orang
pengarang Melayu. Ketika Portugis menakluk Melaka, salinan Sejarah Melayu telah
dibawa ke Goa. Sejarah Melayu ditulis di Melaka dan dibawa bersama semasa
Sultan Mahmud Syah berundur dari Melaka pada tahun 1511. Naskhah asal ini
kemudian dibawa ke Johor dari Kampar pada tahun 1528. Portugis merampas naskhah
Sejarah Melayu pada tahun 1536 semasa menyerang Johor Lama. Naskhah ini
kemudian dibawa balik ke Johor oleh Orang Kaya Suguh. Terdapat perselisihan
pendapat berkenaan Goa. Pendapat pertama merujuk kepada Goa yang terdapat di
India, manakala pendapat kedua merujuk pada sebuah tempat bernama Gowa yang
terletak di Sulawesi. Pendapat yang kedua ternyata lebih kuat atas alasan
sekiranya Portugis mengambil salinan Sejarah Melayu dan dibawa ke Goa, India,
pastinya Sejarah Melayu akan dibawa terus ke Eropah sebagai harta rampasan.
Terdapat sekurang-kurangnya 29 versi
tetapi versi yang paling masyhur adalah versi Shellabear. Menurut pengenalan
Sejarah Melayu naskhah Shellabear, Yang Di Pertuan Raja di Hilir Sultan
Abdullah Mu’ayat Syah ibni’l Sultan Abdul Jalil Syah telah mengutuskan Seri
Nara Wangsa Tun Bambang untuk memerintah Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad atau Mahmud (Tun Sri Lanang) pada hari Khamis, 12
Rabiul Awal 1021 bersamaan 13 Mei 1612 agar menyunting salinan Sejarah Melayu
yang dibawa oleh Orang Kaya Sogoh dari Goa/ Gowa. Ketika itu Sultan Johor Lama,
Sultan Alauddin Riayat Syah ibni Sultan Abdul Jalil Syah telah ditahan di
Istana Raja Acheh, Raja Iskandar Muda. Sejarah Melayu Sulalatul Salatin dianggap
penting kerana ia memberikan adat istiadat kerajaan, susunan raja Melayu dan
sejarah kerajaan Melayu dan boleh dikatakan menyerupai konsep Sejarah Sahih
China, di mana pada setiap pertukaran Dinasti di China, sejarah Dinasti
sebelumnya akan ditulis dan disimpan di arkib negara tersebut.
2.0 CIRI-CIRI SEJARAH
Menurut Ali (1987), sastera sejarah adalah suatu bentuk
penulisan yang menggabungkan unsur-unsur penulisan sejarah dengan unsur-unsur
penulisan bukan sejarah atau sastera.
Kedua -dua unsur tersebut diolah dengan indah oleh pengarang istana
Melayu untuk menggambarkan konsep sejarah zaman silam masyarakat Melayu. Oleh itu karya sastera sejarah bukanlah karya
sastera sepenuhnya sebaliknya mengandungi unsur-unsur peristiwa sejarah yang
benar-benar berlaku pada zaman lampau.
Terdapat
beberapa ciri-ciri penting dalam sastera sejarah, ciri-ciri sastera yang
pertama ialah dari segi tujuan penulisan karya tersebut. Karya sastera sejarah
lahir di istana dan dikarang oleh penulis golongan istana yang mempunyai daya
kreatif yang tinggi untuk merakamkan kebesaran, ketinggian dan kegemilangan
pemerintahan Kesultanan Melayu dan Negara kota. Menurut Ali (1987), hasil yang
selalunya dijeniskan sebagai sastera sejarah ini tercipta di istana-istana
raja-raja Melayu, sejajar dengan istana itu tempat terkumpulnya cendiakawan
Melayu di zaman tradisi. Kebiasanya karya sastera sejarah dihasilkan atas
perintah raja atau pemerintah dan juga berfungsi sebagai wadah nasihat,
pengajaran, panduan dan petunjuk kepada golongan pemerintah dan pembesar.
Selain itu, ciri-ciri sastera sejarah yang kedua ialah
corak penceritaan karya sejarah tersebut. Karya sastera sejarah mengandungi dua
corak penceritaan iaitu peristiwa sebenar atau fakta sejarah dan unsur atau
peristiwa bukan sejarah seperti unsur fantasi, mitos dan lagenda. Dalam sejarah
Melayu, menurut Rahim (1990), sejarah melayu adalah agak keterlaluan dimana
pengarang menceritakan keagungan dan kebesaran Kerajaan Melaka. Melalui
penyataan tersebut, pengarang sememangnya mengangkat kedudukan Kerajaan Melaka
sebagai kerajaan yang hebat dan agung dengan menggambarkan dengan perkara yang
mungkin tidak dapat diterima akal dan fikiran. Selain itu, peristiwa-peristiwa
sejarah juga menceritakan sejarah Negara kota merangkumi peristiwa pembukaan
negeri, penaklukan, hubungan diplomatik, kegemilangan dan kejatuhan sesebuah
Negara kota. Watak-watak pemerintah, pembesar dan rakyat yang terlibat dalam
karya merupakan watak yang benar-benar wujud dalam sejarah sebenar. Gambaran
masyarakat Melayu dari segi adat istiadat, ekonomi, politik dan struktur pemerintahan
dalam karya sastera sejarah juga adalah merupakan peristiwa sejarah sebenar
yang berlaku pada zaman lampau. Bagaimanapun peristiwa-peristiwa sejarah
tersebut bercampur aduk antara fakta sejarah dan bukan sejarah seperti mitos
dan lagenda. Unsur mitos dimasukkan oleh
pengarang dalam karya sastera sejarah untuk menunjukkan keistimewaan golongan
pemerintah dan juga untuk tujuan menyindir atau mengkritik perlakuan buruk
golongan pemerintah. Antara unsur mitos dalam karya sastera sejarah ialah mitos
asal-usul raja, mitos pembukaan negeri, mitos kedatangan Islam dan mitos
alegori contohnya dalam karya Hikayat Raja-Raja Pasai, Sejarah Melayu dan
lain-lain.
Ciri-ciri sastera sejarah yang seterusnya ialah tiada
perletakan pertarikhan karya sastera tersebut. Karya-karya sastera sejarah
sebenarnya tidak mementingkan tarikh. Kesemua peristiwa yang diceritakan tidak
disertakan dengan tarikh bilakah ianya berlaku di mana, berbeza pula dengan
karya sejarah yang mementingkan fakta dan tarikh. Menurut Haron (1989),
pengarang Sastera sejarah tidak meletakkan tarikh yang umum dalam penulisannya.
Jadi, hal ini menyebabkan sejarawan masa kini sukar untuk meletakkan tarikh
yang specifik sebagai fakta.
Ciri-ciri yang keempat ialah tiada perletakan nama
pengarang dalam penulisan sejarah Melayu. Sejarawan-sejarawan Melayu pada masa
lampau juga kebiasanya tidak akan menulis nama mereka sebagai pengarang sesebuah
karya yang telah mereka hasilkan. Menurut Rahim (1990), sudah menjadi tradisi
bagi penglipur lara atau tukang cerita Melayu tidak mahu menyebut nama
pencerita asal dalam cerita-cerita yang disampaikan dan diperturunkan mereka.
Hal ini adalah kerana biasanya sejarawan Melayu pada masa itu bersikap rendah
diri di hadapan Sultan. Oleh sebab itu mereka hanya menggunakan nama samara
seperti ‘fakir’ menganti nama mereka. Hal ini dapat dilihat dalam karya
Sulalatus Salatin di mana Tun Seri Lanang dan Raja Chulan dalam karya Misa
Melayu telah mengunakan perkataan ‘fakir’.
Seterusnya, Sejarawan Melayu pada masa itu juga telah
mengamalkan tradisi penyalinan sebuah karya. Jadi hal ini telah menyebabkan
berlakunya beberapa kesan seperti terdapat banyak versi dalam sesuatu karya
sejarah dan berlaku percanggahan fakta, berat sebelah dan penyalinan sesebuah
karya menambah dan mengurangkan cerita mengikut kepentingan mereka ataupun
berlaku amalan tokok tambah.
Akhir sekali, sikap bias oleh pengarang atau penyalin
terhadap sesesuatu peristiwa juga merupakan satu ciri sastera Melayu iaitu ciri
sastera sejarah yang kelima. Hal ini berlaku dalam sejarah Melayu kerana
kebanyakan karya hanya ditulis oleh seseorang sejarawan mengikut kepentingan
mereka dan Sultan mereka. Menurut Rahim (1990), walau bagaimanapun,
pengarang/penyusun Sejarah Melayu tetap merasa bertanggungjawab memenuhi hasrat
rajanya. Jadi mereka terpaksa bersikap kecenderungan dalam menghasilkan idea
sejarah. Karya-karya yang dihasilkan ataupun di salinkan lebih memaparkan
tentang bangsa masing-masing. Contohnya dalam Sulalatus Salatin, Tun Seri
Lanang bersikap berat sebelah dari segi salasilah keturunan raja-raja Melaka,
adat istiadat, perisitiwa-peristiwa yang melihat semua jenis tokoh Melaka
seperti Tun Perak, Hang Tuah dan sebagainya. Hal ini adalah kerana sebagai
Bendahara, Tun Seri Lanang terpaksa memenuhi titah perintah daripada Sultan dan
hal ini menyebabkan beliau sukar bebas daripada bersikap bias kerana takut
dimurkai oleh Sultan. Hal ini menyebabkan, kebanyakkan penulisan sastera
sejarah mempunyai unsur bias.
3.0
ASPEK-ASPEK
DALAM SEJARAH MELAYU
3.1 Pembinaan Jati
Diri Bangsa
Menurut
Nik Rosila (2002), jati diri bangsa atau identiti diri bangsa merujuk kepada
kepercayaan, sikap dan pendapat yang tersusun dan dinamik yang dipegang oleh
sesebuah bangsa. Bangsa yang mempunyai jati diri bangsa yang kukuh dikatakan sukar
menerima pengaruh luar yang bertentangan dengan adab budaya bangsa tersebut.
Pembinaan jati diri bangsa yang
terdapat dalam Sejarah Melayu mempunyai banyak kaitan dengan unsur-unsur mitos,
legenda dan kepercayaan masyarakat pada ketika itu. Salah satu yang membina
jati diri bangsa masyarakat pada masa itu ialah konsep daulat dan derhaka.
Fakta ini dapat dibuktikan dengan konsep daulat dan derhaka. Perjanjian antara
Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun yang adil dan membawa kepada kebaikan
kedua-dua pihak. Selain itu, dapat juga dibuktikan dalam golongan istana yang
tidak menolak nilai-nilai masyarakat yang mengamalkan konsep daulat dan pantang
derhaka, serta sembah dan kurnia.
Di samping itu, pembinaan jati diri
bangsa juga terbina daripada sikap yang cinta akan ilmu pengetahuan. Sebagai
contoh dalam teks “Sejarah Melayu” ialah kesanggupan Sultan Mahmud sendiri yang
terpaksa ke rumah Yusuf untuk belajar agama. Ini disebabkan oleh falsafah Islam
bahawa ilmu itu harus dicari bukan ilmu yang mencari. Daripada contoh di atas,
dapat kita lihat bahawa kedatangan Islam dalam sesuatu masyarakat atau tamadun
telah mengubah sikap jahil kepada perasaan ingin tahu dan cinta akan ilmu.
Sehinggakan adab dalam menuntut ilmu sangat dititikberatkan.
3.2 Pembentukan Masyarakat
Masyarakat
merujuk kepada sekelompok orang, sekumpulan individu atau komuniti dalam
sesuatu tempat. Masyarakat ini telah membentuk tamadun. Oleh itu, hidup dalam
kelompok ini menimbulkan dan mewujudkan interaksi antara tamadun.
Pembentukan masyarakat yang
diceritakan dalam sastera “Sejarah Melayu” antaranya ialah terbentuk daripada
jalinan hubungan antara Raja Melayu dengan Raja China. Buktinya, puteri yang
tua telah dipersembahkan kepada Raja China yang menghantar perutusan meminang
supaya tidak putus perhubungan antara Raja Melayu dengan Raja China. Jika kita
lihat jalinan hubungan antara Raja Melayu dengan Raja China, perkahwinan anak
raja menjadi penghubung antara dua tamadun. Kesannya, wujud hubungan yang baik
dan interaksi masyarakat yang positif di samping hubungan perdagangan dan
diplomatik.
Selain itu, terdapat juga
pembentukan masyarakat yang bermula daripada pembukaan negeri. Negeri yang
dibuka kebanyakannya berasal daripada nama haiwan-haiwan seperti semut dan
kucing, singa, dan anjing. Negeri yang dibuka berasal daripada nama
haiwan-haiwan tersebut. Contohnya, negeri Singapura berasal daripada Singa yang
dibuka oleh Seri Nila Utama semasa mengembara bersama pengikut-pengikutnya dan
melihat sebuah pulau lalu membuka negeri di pulau tersebut. Kemudian,
tinggallah masyarakat di negeri tersebut.
Di samping itu, pembentukan
masyarakat juga melibatkan peristiwa-peristiwa ganjil. Sebagai contoh,
watak-watak yang terdapat dalam Sejarah Melayu antaranya ialah Raja Suran,
Badang, Tun Jana Khatib dan Hang Tuah. Bagi peristiwa ganjil Raja Suran ialah
dia telah dapat masuk ke dalam laut dan berkahwin dengan anak Raja Aftabul Ard,
kemudian kembali ke Benua Keling. Badang pula terkenal dengan sifatnya yang
amat kuat dan kebal dan tidak dapat dikalahkan oleh sesiapa pun sehingga
dilantik menjadi Raden. Bagi Tun Jana Khatib pula, seorang yang amat bijak
dengan ilmu hikmatnya dan jasadnya ghaib setelah dibunuh. Bagi Hang Tuah pula,
dia dapat melawan semua yang menentangnya sehingga mengkagumkan bagi yang
melihatnya.
3.3 Kritikan Sosial
Aspek seterusnya yang dikaji di dalam Sejarah Melayu ini
ialah kritikan sosial iaitu mengkritik ataupun kritikan terhadap kezaliman
pihak pemerintah atau golongan raja. Sebagai contoh cerita ialah Singapura Dilanggar Todak. Dari cerita ini
kekejaman raja yang dipaparkan ialah raja menjatuhkan hukuman bunuh pada Tuan
Jana Khatib kerana cemburu melihat keistimewaan ilmu menilik Tuan Jana Khatib iaitu
tilik batang pinang hingga terbelah dua di hadapan raja perempuan. Selain itu,
kekejaman raja menyebabkan negeri Singapura mendapat bala iaitu huru hara,
kematian kejam akibat serangan todak. Manakala kezaliman lain dilakukan pihak
raja seperti membunuh budak cerdik yang telah memberi idea agar hulubalang
Singapura berkubukan batang pisang.
Seterusnya
kritikan terhadap kejahilan raja atau pemerintah. Terdapat juga di dalam cerita
Singapura di langgar todak. Raja Singapura digambarkan sebagai seorang raja
yang kurang cerdik, tidak mempunyai fikiran dan tidak berpandangan jauh. Segala
idea atau cadangan yang dikemukakan raja membawa kemusnahan kepada rakyat
bukannya membawa kebaikan. Sebagai contoh peristiwa raja mencadangkan
"rakyat berkubukan betis masing-masing untuk menahan serangan todak".
Akibatnya ramai rakyatdan hulubalang mati, cedera parah, menanggung kesakitan
akibat terkena tikaman jongor todak.
Selain
itu, kritikan terhadap amalan diskrimanasi dan ketidakdilan golongan raja atau pemerintah.
peristiwa ini juga dapat dilihat dari cerita Singapura dilanggar todak. Raja
Singapura tidak memberi penghargaan sewajarnya kepada budak cerdik yang telah
menyelamatkan Singapura dengan ideanya yang bernas. Golongan pembesar negeri
merasa dengki dan bimbang kedudukan mereka akan terancam apabila budak cerdik
dari keturunan rakyat biasa ini dewasa nanti kerana dia sangat cerdik dan
pintar. Oleh itu, pembesar mencadangkan agar budak cerdik segera
"dihapuskan" atau erti kata lain dihukum bunuh. Di sini jelas menunjukkan
golongan raja menggunakan kuasa mutlak yang dimiliki untuk menjaga kepentingan
golongan mereka sahaja. Manakala rakyat tidak mempunyai hak dan tidak boleh
samasekali menentang rajawalaupunternyata rakyat berada di pihak yang benar.
Kritikan
terhadap sifat keangkuhan (ego) raja ingin menunjukkan kehebatan diri dan ingin
sesuatu yang luar biasa atau berbeza dengan orang lain. Seperti yang terdapat
di dalam Sejarah Melayu ini sendiri yang menceritakan cerita peminangan Puteri
Gunung Ledang. Kritikan terhadap sikap Sultan Mahmud Syah yang ingin seorang
wanita yang sangat cantik dan istimewa bukan dari golongan manusia biasa telah
mengambarkan keangkuhan Sultan Mahmud Syah dan bersedia memenuhi syarat-syarat
peminangan iaitu menyediakan barang-barang hantaran yang diminta seperti hati
nyamuk, air mata, air pinang muda dan lain-lain. Barang-barang ini sukar
diperolehi dan agak luar biasa tetapi kerana keegoannya yang tinggi Sultan
Mahmud Syah sanggup menyediakan barang-barang tersebut.
Mengambil
contoh cerita peminangan Puteri Gunung Ledang lagi. Kritikan dibuat terhadap
kekejaman dan penindasan golongan raja terhadap rakyat jelata. Gambaran
kekejaman Sultan Mahmud Syah kerana sanggup menyediakan jambatan emas dan perak
merentangi dari istana Melaka ke Gunung Ledang. Ini menunjukkan sultan sanggup
memeras harta benda rakyat demi kepentingan dirinya. Raja juga sanggup
"mendera" rakyat jelata menyediakan sesuatu yang amat sukar dicari
seperti hati nyamuk, air mata dan air pinang muda. Juga dalam cerita Singapura
dilanggar todak iaitu raja tidak menilai dan menghargai nyawa rakyat jelata
hingga sanggup menitahkan rakyat berkubukan betis masing-masing. Ini menunjukan
sanggup memperalatkan nyawa rakyat jelata demi kepentingan diri sendiri.
Raja
yang memiliki moral dan akhlak yang rendah seperti sifat pilih kasih,
pendendam, berkepentingan diri, tidak bertanggungjawab, gila perempuan dan
sebagainya juga menjadi kritikan. Seperti cerita peminangan Puteri Gunung
Ledang. Gambaran Sultan Mahmud tidak sanggup menyediakan darah Raja Ahmad
semangkuk (salah satu syarat peminangan). Sultan Mahmud Syah tidak sampai hati
membunuh putera sendiri demi untuk dirinya (tetapi sanggup menyiksa rakyat) demi
memuaskan nafsu serakahnya.
3.4 Pendidikan
Sulalatus Salatin menyentuh tentang corak pendidikan dan
perkembangan ilmu keislaman. Istana igambarkan sebagai pusat pengajian
ilmu-ilmu Islam. Pasai dikatakan menjadi sebagai pusat bermuzakarah mengenai ilmu
fiqah mengikut mazhab Shafie. Istana dijadikan pusat pengajaran Islam dengan
sultan dan pembesar turut belajar dan menuntut ilmu. Ulama-ulama, guru-guru
agama dan pendakwah berkumpul di istana. Contohnya, Maulana Sadar Jahan dari
Jeddah mengajar di Melaka. Maulana Yusuf mengajar tasawuf. Sultan Mahmud turut
belajar ilmu agama.
Kitab-kitab
agama seperti Kitab Duri'l-Mazlum dibawa ke Melaka oleh Maulana Abu Bakar dan
diajar di istana Melaka. Sultan Mansur Syah turut belajar kitab ini.
Diceritakan juga tentang utusan dari Melaka ke Pasai untuk menyelesaikan
masalah-masalah berkaitan ilmu Islam kerana di Pasai ramai ulama-ulama
berkumpul bermuzakarah tentang ilmu-ilmu keislaman. Pendidikan yang berunsurkan
Islam dalam Sulalatus Salatin juga tergambar melalui teknik penulisannya.
Mukadimah Sulalatus Salatin dimulai dengan 'Bismillahir-rahmanir-rahim...'
Dalam
mukadimah disertakan ayat-ayat al-Quran dan diikuti pula dengan terjemahan
dalam bahasa Melayu. Struktur penulisan seperti ini adalah teknik yang biasa
dalam karya-karya Arab-Parsi. Pada tiap-tiap akhir cetera, pengarang menutupnya
dengan ayat "Wa'llahu a'lamu bi's-sawab, wa illaihi 'Imarji'u wa
'l-ma'ab." .Hanya pada akhir cetera ke XV sahaja diakhiri dengan ayat
" Wa'llahu a'lam." Terdapat juga struktur penulisan menggunakan gaya
khutbah. Ini jelas ketika memberi nasihat yang meleret-leret dalam wasiat.
Selain itu kalimat-kalimat Arab-Parsi digunakan dalam ayat antaranya
Syahbandar, alam, bahari, sahibul hikayat dan Iain-Iain.
Melalui
cerita-cerita berbingkai pula membicarakan persoalan pendidikan dan moral,
pengajaran, dan teladan. Misalnya Hikayat Bayan Budiman mengetengahkan tema
pendidikan dan teladan pada isteri-isteri supaya menjadi seorang isteri yang
jujur dan tidak menduakan suami. Manakala dalam Hikayat Bakhtiar pula
mengetengahkan tema pengajaran serta teladan pada raja supaya memerintah negara
dengan adil dan tidak bertindak mengikut hawa nafsu atau mendengar fitnah
pembesar-pembesar. Begitu juga melalui Hikayat 1001 Malam, mengetengahkan tema
penyedaran dan keinsafan seorang raja yang mendendami setiap wanita sehingga
dibunuhnya semua wanita yang dikahwininya. Tetapi akhirnya raja itu insaf
terhadap kezaliman dan pembunuhan terhadap wanita yang tidak berdosa yang telah
dilakukannya.
3.5 Pemikiran
Pemikiran
dalam Sejarah Melayu dapat kita lihat dalam pemikiran strategi dalam
peperangan. Idea yang dikemukakan oleh pemikir ketenteraan telah membantu para
pemerintah mengukuhkan kedudukan dan kekuasaan mereka. Sebagai contoh,
peperangan yang jelas menunjukkan pemikiran strategi dalm peperangan iaitu
semasa Melaka menentang Feringgi, Melaka diserang Siam dan Singapura dilanggar
todak.
Pertama, bagaimana Melaka mempertahankan
negara dari terjajah atau ditakluk musuh, Cabaran besar kerajaan Melaka adalah
apabila Feringgi dibawah pimpinan Alfonso d’Albuquerque telah menyerang Melaka.
Serangan Feringgi yang pertama telah dapat dipatahkan oleh angkatan Melaka di
bawah pimpinan Sultan Ahmad bersama-sama dengan Tun Ali Hati dan Seri Udani.
Feringgi tetap mencari jalan untuk menakluk Melaka. Dalam serangan kedua,
tangan Sultan Ahmad luka dan Melaka telah dapat dikalahkan. Sebagai usaha
membangkitkan semangat berjuang dalam kalangan rakyat dan pembesar, orang-orang
Melaka telah dibacakan “Hikayat Amir Hamzah”. Melaka terpaksa melalui
peperangan yang dahysat yang mengorbankan ramai rakyat, pahlawan dan pembesar
Melaka. Kesan peperangan ini adalah berakhirnya Kerajaan Melayu Melaka. Namun
bukanlah mudah Melaka dirampas Feringgi. Bukan sedikit semangat juang dan nyawa
dipertaruhkan hanya untuk menyelamatkan Melaka.
Kedua, menggunakan strategi yang
berkesan dan tindakan yang bijaksana untuk mempertahankan tanah air.
Kepentingan keselamatan negara dan maruah negara suatu utama. Meskipun
berhadapan dengan angkatan musuh yang besar, rakyat harus bertindak berani
untuk menentang musuh. Tun Perak mengatur strategi peperangan yang berkesan
dengan menambat puntung api pada pokok-pokok yang berada di sepanjang sungai
sebagai helah untuk menunjukkan angkatan Melaka mempunyai bilangan anggota yang
ramai. Tun Perak bertindak sedemikian sebagai memenuhi tanggungjawabnya
mengetuai angkatan perang Melaka untuk menyekat kemaraan angkatan perang Siam
yang bertujuan menyerang Melaka. Angkatan Siam berkampung di Batu Pahat. Tun
Perak berhasrat mengelak berlaku pertempuran antara kedua-dua angkatan
tersebut. Tindakan Tun Perak meletakkan setiap pokok di sepanjang tebing sungai
dengan telah berhasil. Pada sangkaan orang-orang Siam, angkatan Melaka sangat
besar, mempunyai bilangan yang ramai. Keadaan seperti ini tentu menunjukkan
angkatan Melaka sangat kuat kerana pada biasanya setiap puntung api dipegang
oleh seorang hulubalang. Siam membatalkan rancangan menyerang Melaka kerana
menyangka angkatan Melaka sangat besar dan kuat berbanding dengan kemampuannya.
Mereka tidak menyangka helah yang dilaksanakan Tun Perak bagi mengaburi mata
orang-orang Siam itu. Kesannya: kebijaksanaan akal Tun perak yang mengetuai
angkatan perang Melaka dapat mengelakkan berlaku pertempuran berdarah dan menyelamatkan
Melaka dari ancaman Siam. Tun Perak mengambil langkah mengelakkan keganasan dan
tumpah darah demi keteguhan kerajaan Melaka.
Ketiga,
sewaktu Singapura dilanggar todak, Paduka Seri Maharaja telah mengarahkan
penduduk menahan serangan todak tersebut menggunakan betis. Melalui tindakannya
ini, dapat dilihat betapa ceteknya akal dan pemikiran pemerintah ketika itu.
Mujurlah terdapat juga golongan rakyat yang pintar yang mempraktikkan dan
mengamalkan ilmu serta kebijaksanaannya ke jalan yang sepatutnya dengan penuh
tanggungjawab, manfaat dan faedah. Peranan ini dapat dilihat dalam watak budak pintar yang telah memberikan
idea yang berjaya menyelamatkan negerinya yang tercinta. Dapat dilihat
perwatakan budak pintar ini yang amat lurus dan taat terhadap pemerintahnya.
Dia juga amat bertanggungjawap dalam melaksanakan peranannya sebagai rakyat
dengan baik. Sikap taat dan setianya amat dituntut supaya menjadi ikutan dan
teladan setiap rakyat pada waktu itu mahupun pada masa sekarang. Fakta ini
jelas kerana selain sikap terpujinya itu, dia juga seorang yang berani.
Sungguhpun dengan usia yang muda itu, budak pintar itu berani mengetengahkan
ideanya tidak lain tidak bukan semata-mata untuk menyelamatkan negerinya tanpa
terfikir akannya akibat atau apa-apa perkara negatif. Sikap si budak pintar ini
amat berbeza sekali dengan Paduka Seri Maharaja yang mana bersikap membahayakan
rakyat dengan menyuruh rakyat berkubukan betis bagi menghalang serangan todak.
Bukan
setakat itu, selain berfikiran cetek, Paduka Seri Maharaja juga mudah
terpengaruh dengan pembesar yang iri hati dengan si budak pintar. Budi yang
amat besar dibalas dengan kekejaman oleh para pemerintah. Terbuktilah sikap
pemerintah pada masa itu yang amat tidak bertanggungjawap, mementingkan diri, dan
tamak. Seharusnya masyarakat Melayu tinggi dengan segala budi, budi bahasa,
budi pekerti, budi baik, dan sebagainya berkaitan budi kerana budi memang amat
penting dan sinonim dengan masyarakat Melayu sehiggakan dibawa sampai mati.
Kelihatan amat ketara bahawa Paduka Seri Maharaja dan orang bawahannya tidak
menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat seperti mana yang sepatutnya.
3.6 Peranan Wanita
Menurut
A. Rahim (1983), terdapat tidak kurang dari 180 watak di dalam Sejarah Melayu,
termasuklah watak wanita dari pelbagai peringkat dan keturunan. Tetapi watak
wanita yang dipamerkan hanyalah wanita yang ada hubungan dengan raja atau
pembesar negeri sahaja. Sejarah Melayu sebagai sebuah hikayat yang merakamkan
jurai keturunan raja-raja Melayu dan peristiwa secara episodik iaitu bermula
dari sejarah Iskandar Zulkarnain menakluki Kerajaan Kida Hindi hingga ke zaman
kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka, watak wanita boleh dikatakan terlibat secara
langsung dalam kisah yang panjang iu. Peranan wanita ini bermula dengan Puteri
Syahrul Bariah dan berakhir dengan Tun Fatimah.Walaupun peranan watak wanita
tidak ditonjolkan, namun kedudukan atau kehadiran mereka tetap penting. Ini
disebabkan wanita tetap menjadi punca perkembangan cerita.
Pertama, peranan wanita yang paling
jelas adalah untuk memenuhi aspek kekeluargaan (perkahwinan). Mengikut Yusoff
Iskandar dan Abd. Rahman Kaeh, perkahwinan dan seks oleh tokoh-tokoh dalam
Sejarah Melayu mempunyai kepentingan dan tujuan sosial yang tertentu seperti
melahirkan zuriat atau keturunan dan digunakan untuk kepentingan politik bagi
kepentingan negeri dan kerajaannya sendiri.
Selain itu, peranan wanita dapat
dilihat dalam mewujudkan suatu adat atau peraturan akibat perjanjian yang
melibatkan wanita. Sebagai contoh, adat meminang yang dijalankan oleh Sang
Sapurba untuk mengahwini Wan Sendari, anak Demang Lebar Daun, telah menjadi
amalan kepada budaya Melayu hingga ke hari ini. Adat peminangan merupakan satu
adat yang pasti dalam urusan perkahwinan, Akibat dari perjanjian atau pengisytiharan
Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun telah melahirkan tiga perkara penting
iaitu wujudnya pembahagian hak yang jelas antara raja dan hamba, konsep taat
setia dan derhaka dan adat mandi-manda pengantin.
Fitnah juga dilibatkan secara langsung
dengan peranan wanita. Sebagai contoh, akibat berahikan Tun Fatimah,
menyebabkan Sultan Mahmud Syah telah menjatuhkan hukuman bunuh kepada Bendahara
Seri Maharaja yang terbit dari dendamnya sendiri serta fitnah orang. Jelaslah,
fitnah yang disebarkan hanya kerana seorang wanita telah membawa bencana.
Peranan wanita juga menjelaskan bahawa hubungan politik Melaka dengan Majapahit
dan China disalurkan menerusi perkahwinan dengan Raden Galuh Cendera Kirana dan
Hang Li Po. Walaupun watak-watak mereka ini tidak ditonjolkan, namun ia amat
penting kerana kedudukan wanita dalam posisi yang berbagai itu telah meletakkan
mereka sebagai orang yang baik, berjasa dan mempunyai kedudukan yang istimewa.
Peranan wanita sebagai penghalang
cita-cita raja yang mengikut nafsu dapat dilihat dalam peristiwa peminangan
Puteri Gunung Ledang. Di sini, peranan wanita cukup menonjol sehingga dapat
mengatasi watak lelaki. Inang Pengasuh Puteri Gunung Ledang hanyalah perempuan
tua, tetapi kata-kata dan kehendaknya dapat mengatasi cita-cita raja, sehingga
menggagalkan niat raja hendak berkahwin dengan puteri tersebut.
Peranan wanita juga dapat
mempengaruhi raja dalam banyak hal. Tun Fatimah boleh dianggap sebagai
serikandi Melayu yang pertama kerana dapat menundukkan kekuatan dan nafsu raja
atau suaminya, Sultan Mahmud Syah. Ini disebabkan sikap tegas Tun Fatimah dan
keberaniannya yang tidak mahu memberi layanan sewajarnya kepada raja sehingga
baginda turun dari takhta kerajaan. Tun Fatimah bertindak menggugurkan
kandungannya dengan tidak menimbulkan rasa murka raja. Dia juga berjaya
mempengaruhi raja melantik anaknya Raja Ali menjadi Sultan, Raja Ahmad,
walaupun yang sah diketepikan. Tun Fatimah, yang menjadi isteri Sultan Mahmud
Syah itu telah dilantik sebagai Raja Perempuan Melaka dan disebut sebagai Raja
Perempuan Besar. Watak Tun Fatimah dianggap sebagai satu garis pemisah bagi
membezakan watak Sultan Mahmud Syah dan peristiwa-peristiwa keagungan serta
keruntuhan Melaka.
Peranan wanita membantu lelaki juga
diperlihatkan bagi mencapai kehendaknya. Ini dapat dilihat bagaimana perempua
tua Inanganda Si Pelulut Tun Teja menolong Hang Nadim melarikan Tun Teja.
Walaupun kisahnya pendek, namun peranannya amat penting. Pengarang Sejarah
Melayu menganggapnya sebagai “harimau” kerana peranan dan tindak tanduknya itu
mengakibatkan pelbagai peristiwa telah terjadi seperti memutuskan pertunangan
antara Tun Teja dengan Sultan Pahang dan meletuskan peperangan antara orang
Pahang dengan Hang Nadim di laut.
4.0 RUMUSAN
Secara
keseluruhannya, Sejarah Melayu banyak memberi pengajaran dan tauladan. Pelbagai
peristiwa dilakarkan oleh pengarang untuk memperlihatkan kesenian dan keagungan
bangsa Melayu itu.
Dalam tugasan ini telah
membincangkan aspek-aspek yang dapat menambah ilmu pengetahuan dalam bidang
kesusasteraan Melayu dan mengenali tamadun Melayu dari pensejarahan sastera
klasik khususnya Sejarah Melayu. Watak-watak dalam sastera Sejarah Melayu
sangat menonjol dari segi peranan dan tingkah laku mereka dalam menyelesaikan
masalah.
Di samping itu, dengan adanya kajian
sastera klasik ini juga dapat menjadi cerminan kepada masyarakat sekarang.
Perbandingan antara masyarakat dahulu dengan sangat jauh perbezaannya.
Perbezaan citra masyarakat ini seharusnya diambil iktibar dan dijadikan contoh
dalam kehidupan. Sebagai contoh amalan nilai-nilai murni seperti taat pada
pemerintah yang adil, tidak membenci antara satu sama lain, menghormati sesama
sendiri dan sebagainya.
Oleh yang demikian, kajian ke atas
sastera klasik ini bukan sahaja untuk tatapan generasi hari ini, tetapi untuk
dijadikan pedoman dengan mengambil sesuatu yang baik dan diaplikasikan dalam
kehidupan.
No comments:
Post a Comment