1.0 PENGENALAN
Pembinaan
Negara Bangsa amat penting bagi sebuah negara yang berbilang kaum dan agama
seperti Malaysia. Keupayaan untuk membina Negara Bangsa ini amat bergantung
kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme. Pembinaan Negara Bangsa
ini menjadi semakin penting lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang
membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja dari segi maklumat,
modal serta manusia, malahan juga sistem
nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Teras strategik Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang pertama adalah membina Negara Bangsa. Jelas sekali tergambar
teras strategik PIPP yang pertama adalah usaha menyemai dan memperkukuhkan
semangat patriotisme dan sayangkan tanah air. Dalam usaha untuk mencapai teras
tersebut, ianya bukanlah sesuatu yang
mudah tetapi memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak sama ada secara
langsung atau tidak langung.
Pembinaan negara bangsa adalah satu elemen
amat penting dalam kejayaan negara. Fokus kementerian dalam membina negara
bangsa mencakupi usaha seperti memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa
perpaduan dan bahasa ilmu, memantapkan perpaduan dan integrasi nasional,
memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya bangsa. Disinilah akan
terpampang jelas peranan seorang pendidik dalam proses pembinaan Negara Bangsa
ini. Ternyata semua tanggungjawab bagi mencapai kejayaan objektif PIPP yang
pertama ini tergalas di bahu seorang guru. Pastinya, semua golongan pendidik perlu mempunyai semangat yang luar biasa di
samping mempunyai ciri-ciri dalaman keperibadian yang unggul sebelum mendidik
keperibadian anak murid bagi memastikan proses pembinaan negara bangsa
tercapai.
2.0 KONSEP NEGARA BANGSA
Hasrat
untuk membentuk sebuah Negara Bangsa dalam konteks Malaysia boleh dihuraikan
seperti berikut:
“...membentuk sebuah negara
yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama. Bangsa
itu mestilah sejahtera, berintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompoknya,
menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan
keadilan, membentuk sebuah Bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan
pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.”
(Tun Dr. Mahathir Mohamad
Melangkah Ke Hadapan, 1991).
Menurut Pusat
Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka, (2001) negara bangsa
didefinisikan sebagai negara yang berdaulat yang didiami oleh satu bangsa.
Kamus
Dewan Edisi Ketiga (2002), mentakrifkan pembinaan bermaksud pembangunan.
Sementara itu, negara bermaksud sesuatu masyarakat yang menduduki kawasan
tertentu dan diperintah oleh sesebuah kerajaan dan bangsa pula bermaksud
kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan. Oleh itu, pembinaan
negara bangsa bermaksud pembangunan sesuatu masyarakat dalam sesebuah negara.
Menurut Kamus
Dewan Edisi Keempat (2005), negara bangsa didefinisikan sebagai negara
berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Pembinaan negara-bangsa pula adalah
merupakan satu proses mewujudkan ‘semangat kenegaraan’ atau perasaan ‘kekitaan’
dalam kalangan semua penduduk sesebuah negara (INTAN, 1980).
Selain itu, Ruslan Zainuddin, Mohd. Mahadee
Ismail dan Zaini Othman (2005), menyatakan konsep negara bangsa mempunyai makna
yang luas kerana ia merujuk kepada sebuah negara yang berdaulat dengan
rakyatnya yang hidup bersatu padu, tanpa dipisahkan oleh ikatan primordial yang
sempit seperti kaum, keturunan, agama dan sebagainya yang dilihat boleh membawa
kepada perpecahan. Tambahnya lagi, pembentukan satu negara bangsa dianggap penting dan menjadi prasyarat kepada
kemajuan sesebuah negara.
Berdasarkan konsep negara bangsa melalui
beberapa sumber di atas, dapatlah disimpulkan bahawa negara bangsa ialah satu
konsep atau bentuk kenegaraan yang memperoleh pengesahan
politiknya dengan menjadi sebuah entiti berdaulat bagi
satu-satu bangsa sebagai sebuah (unit) wilayah yang berdaulat.
3.0 PERANAN GURU DALAM PROSES PEMBINAAN
NEGARA BANGSA
3.1 Menyediakan Rancangan
Mengajar
Guru mesti membuat perancangan pelajaran sebelum memulakan pengajaran
dan pembelajaran, termasuklah guru berpengalaman, guru cemerlang dan guru
pakar. Menurut Sufean Hussin (2004), hali ini kerana gurulah yang akan
membimbing atau mengajar para pelajar supaya anak didik dapat menjadi insan
yang berguna, Persediaan mengajar oleh guru akan melibatkan masa yang berbeza
mengikut pencapaian murid, kelas, bahan, dan kearifan individu guru. Objektif
dan isi pelajaran perlu disusun mengikut
keutamaan atau kefahaman murid, seperti bermula daripada aspek yang mudah
kepada yang lebih sukar, aspek yang berada dalam pengetahuan atau pengalaman
murid kepada perkara yang belum berada dalam pengetahuan dan pengalaman mereka.
Setiap perkembangan pelajaran diikuti pula oleh
aktiviti murid secara terancang dan sebahagianya spontan. Pendekatan berasaskan
‘spiral curriculum’ membolehkan murid
mengembangkan ilmu sedia ada dan memantapkan pengalaman tersedia. Mereka akan
mengikuti pengajaran peringkat demi peringkat, langkah demi langkah, fakta demi
fakta, yang keseluruhannya secara sistematik dan efektif. Dengan ini, jelaslah
bahawa dalam proses pembinaan negara bangsa, guru memainkan peranan penting
agar hasrat tersebut dapat dicapai.
3.2 Pengetahuan, Kemahiran
dan Kecekapan Bidang
Dalam proses pembinaan negara bangsa, seseorang guru haruslah mempunyai
sikap yang efektif. Menurut Ee Ah Meng (1996), seorang guru semestinya
mempunyai kecekapan yang mendalam dalam bidang atau subjek yang diajar. Guru
perlu mempunyai pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang komprehensif
terhadap bidangnya. Demikian sebaliknya, jika guru gagal untuk menjawab
pertanyaan murid atau sentiasa menangguhkan jawapan, hal ini akan menyebabkan
murid kurang berkeyakinan kepada guru tersebut dan hilang minat dalam pelajaran.
Lebih-lebih lagi jika guru sentiasa menghalang
murid-murid daripada bertanyakan perkara yang di luar kurikulum, sedangkan para
murid berminat untuk mengetahui, berkemungkinan mereka kehilangan kecenderungan
untuk bertanya dan hilang minat untuk mempelajari subjek yang diajar oleh guru
berkenaan. Jika halangan dan gangguan terhadap perkembangan murid-murid
berlanjutan, situasi ini akan mengakibatkan perencatan dan pembunuhan minat
mereka untuk belajar. Oleh itu, bagi memastikan proses pembinaan negara bangsa
tercapai, seorang guru haruslah memastikan setiap anak bangsa berjaya dalam
setiap aspek sama ada dalam proses pembelajaran atau tidak.
3.3 Kepelbagaian Kaedah
Mengajar
Dalam konteks ini, bagi memastikan pembinaan negara bangsa tercapai,
guru haruslah mempelbagaikan kaedah mengajar. Pembelajaran akan berjalan dengan
lancar, menarik dan berkesan sekiranya guru menggunakan pelbagai kaedah yang
bersesuaian dengan isi pelajaran dan kemahiran yang akan dicapai oleh murid.
Haji Hamdan bin Sheikh Tahir (1973) menyatakan bahawa seorang guru perlu “employ a wide variety of methods” untuk
menyampaikan kandungan pelajaran berbentuk teori dan amali. Guru perlu sentiasa
mengubahsuai strategi mengikut jangkaan keberkesanan penggunaan sesuatu kaedah.
Guru yang berhasrat untuk menjadikan pengajarannya efektif, seharusnya membuat
kajian atau penyelidikan mengenai kaedah yang paling sesuai untuk sesuatu isi
pelajaran, topik atau kemahiran. Kajian saintifik perlu dibuat untuk menilai
kekuatan dan kelemahan kaedah yang digunakan.
Guru perlu berkemahiran dalam membuat kajian
tindakan atau pemerhatian saintifik. Kajian menunjukkan bahawa kaedah yang
digunakan amat berperanan penting sebagai sumber kefahaman, minat dan komitmen
murid dalam pengajaran dan pembelajaran. Murid lebih tertarik kepada kaedah
yang kemas kini dan menggunakan peralatan elektronik seperti komputer,
internet, power point, dan video. Walau bagaimanapun, guru yang bijak
menggunakan gaya tingkahlaku dan intonasi suara, bercerita, memek muka humor,
akan tetap menarik minat pembelajaran dan murid mengikuti pengajaran secara efektif.
3.4 Keceriaan, Interaksi dan
Penglibatan Murid
Selain itu, dalam proses pembinaan negara bangsa, guru mestilah
menanamkan sikap yang efektif. Menurut Kamarudin Abu dan Ee Ah Meng (1995),
guru yang efektif sentiasa berfikir dan akan merancang aktiviti penglibatan
murid-murid dalam pengajaran. Kemahiran berkomunikasi dan interaksi
kependidikan pelbagai hala guru-murid, murid-murid, dan murid-guru menjadi
teras keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Murid akan merasa pendapat dan
kehadirannya diperlukan serta dihargai. Murid-murid perlu mengenali di antara
satu sama lain, saling berinterkasi dan menggunakan panggilan baik serta
digemari yang membuktikan saling “communicate
with interest and enthusiasm”.
Semasa menyampaikan pengajaran, guru
seharusnya mempunyai pemikiran positif dan bersangka-suka terhadap murid agar
ilmu yang disampaikan diterima dengan hati terbuka, ikhlas, telus, tulus,
berminda ceria dan humur. Memandang terus dan telus terhadap individu murid dan
melihatnya dengan penuh empati serta “use
intrinsic and extrinsic rewards more often than penalties”. Situasi
sedemikian akan dapat menimbulkan interaksi positif dan konstruktif yang
menghasilkan keberkatan ilmu yang disampaikan demi manfaat jangka pendek
dan jangka panjang murid dan guru. Masyarakat dan negara akan memperoleh manfaat
seterusnya.
3.5 Motivasi, Minat dan
Mencungkil Sikap Ingin Tahu
Menurut Sufean Hussin (2004), murid-murid boleh digalakkan untuk
mengemukakan soalan, pendapat dan menunjuk cara perlakuan. Penglibatan
murid-murid secara aktif akan menimbulkan minat yang tinggi dan berazam untuk
terus berada dalam pembelajaran. Guru perlu mencari faktor-faktor yang boleh
menimbulkan minat dalam pengajaran. Ada kalanya faktor ini berbeza-beza di
antara satu kumpulan atau kelas murid. Apabila guru berjaya mencetuskan minat
murid-murid, mereka bukan saja akan terlibat secara aktif, bahkan sentiasa
mengunggu-nunggu kedatangan guru berkenaan. Ramai penyelidik psikologi
mendapati bahawa minat atau kecenderungan merupakan faktor utama penglibatan
serius murid dalam sesuatu pembelajaran. Diandaikan semut yang naik ke puncak
Gunung Kinabalu kerana minat dan dorongan terdapatnya gula atau manisan di
Puncak Low. Oleh itu, jelaslah bahawa proses pembinaan negara bangsa amatlah
bergantung kepada tugas seorang pendidik.
3.6 Ujian dan Penilaian
Menurut Kamarudin Abu dan Ee Ah Meng (1995), guru seharusnya
berkemahiran mengemukakan pelbagai jenis soalan dengan tujuan tertentu
berasaskan konsep penyoalan. Soalan-soalan berbentuk ‘provokatif’ atau thought-provoking boleh mendatangkan
rangsangan dan motivasi untuk pelajar berfikir secara konstruktif dan inovatif.
Soalan dibina dalam bentuk ayat mudah, berstruktur atau terbuka. Persoalan
boleh diajukan berdasarkan pendekatan konsep Taksonomi Bloom iaitu pengetahuan,
kefahaman, aplikasi, analisis, sentisis, penilaian, dan apresiasi. Hussein
(1992:130) menukilkan bahawa Rutter, et al., (1979) mengenalpasti di anatara
ciri-ciri sekolah rendah berkesan di United Kingdom ialah penglibatan guru,
adanya penyelarasan dan ketekalan guru, sesi berstruktur, pengajaran yang
mencabar keintelektualan, perhubungan maksimum antara guru dengan pelajar,
persekitaran untuk mengajar dan belajar, dan, iklim positif.
3.7 Tindakan Susulan Melalui
Pengayaan dan Pemulihan
Ruslan
Zainuddin, Mohd. Mahadee Ismail dan Zaini Othman (2005) menyatakan tindakan susulan merupakan langkah terpenting dalam menilai keberkesanan
sebenar pembelajaran murid. Ini dilakukan pada penghujung pengajaran atau
selepas membuat penilaian atau ujian formatif atau summatif. Soalan yang
dikemukakan perlu dibincangkan semula jawapan sebenar dan rasional setiap
jawapan. Langkah ini diikuti pula oleh pemantauan prestasi, antaranya dengan
cara murid-murid yang mendapat pencapaian tinggi dikelompokkan dalam satu
kumpulan untuk proses pengkayaan pembelajaran manakala murid-murid lemah
dikelompokkan dalam satu kumpulan untuk pemulihan dengan guru memberi perhatian
dan tumpuan yang lebih banyak. Guru perlu tahu cara untuk mencapai matlamat
sama ada individu atau kumpulan terutama di dalam bilik darjah yang diajar.
3.8 Membentuk Sahsiah Anak
Bangsa
Guru
bukan saja bertanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga
membentuk sahsiah pelajar-pelajarnya. Kejayaan pelajar yang hanya sekadar lulus
dalam peperiksaan tidak bererti kepada pembangunan negara sekiranya sahsiah
serta akhlaknya buruk. Ramai anak bangsa yang kita dengar berjaya ke menara
gading,namun masih tidak tahu menghormati orang tua atau tidak mengamalkan
nilai-nilai murni. Ini menunjukkan peranan guru masih belum berjaya
membentuk anak bangsa dari segala aspek. Oleh itu, sebagai arkitek bangsa, guru
perlulah memastikan pembinaan bangsa itu dengan lebih berkualiti agar tidak
musnah sepertimana sebuah bangunan yang tumbang rebah ke bumi kerana
pembinaannya adalah daripada bahan yang kurang berkualiti.
3.9 Guru Sebagai Role Model
Menurut
Ee Ah Meng (2003), seorang guru haruslah menjadikan dirinya sebagai contoh
teladan yang baik kepada anak-anak didiknya. Percakapan seorang guru samada
berbentuk nasihat, pengajaran atau sebagainya haruslah disusuli dengan
perbuatanya. Ini adalah kerana guru merupakan ‘role’ model kepada
anak-anak didiknya. Setiap gerak-geri dan perlakuan guru dihadapan anak-anak
didiknya sudah pasti akan diperhatikan oleh mereka. Sekiranya perlakuan itu
menyalahi diri apa yang diucapkannya, maka ini akan menimbulkan persepsi yang
tidak baik dikalangan anak-anak didiknya. Seterusnya perkara ini akan
menimbulkan kesan jangka panjang yang negatif dalam aspek pembinaan generasi
yang akan mewarisi kepimpinan negara kita.
3.10 Sifat Sabar
Dalam Diri Guru
Selain
itu, dalam proses pembinaan Negara bangsa, seoarang guru haruslah sentiasa
tahan dan bersabar dalam setiap kerjaya untuk mendidik anak bangsa. Guru selalu diibaratkan sebagai
lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Menurut Ee Ah Meng
(2003), dedikasi guru dapat membentuk pelajar yang cemerlang dalam akademik dan
kokurilum serta berakhlak mulia. Guru berkualiti aspirasi negara. Guru yang
bertanggungjawab dan amanah sentiasa dihormati oleh rakan sejawatan dan anak
murid. Sekalung budi dan sekeping kad Hari Guru sebagai tanda terima
kasih yang tidak terperi kepada semua guru. Jasa dan budi guru akan sentiasa
dikenang. Segala teguran dan kritikan daripada guru semata-mata adalah
demi kebaikan pelajar. Tampaknya, profesion guru semakin mencabar berbanding
dengan zaman silam. Oleh itu guru perlu bersemangat waja diri dan gigih
untuk meladeni kerenah pelajar yang semakin liar. Jangan putus asa dan patah
semangat malah perlu sentiasa menyemarakkan semangat dan motivasi pelajar
supaya mereka dapat menjadi insan yang kamil dan seimbang dari segi jasmani,
rohani, intelek dan emosi.
3.11 Menyediakan Pendidikan Berkualiti
Ruslan
Zainuddin, Mohd. Mahadee Ismail dan Zaini Othman (2005) menyatakan matlamat
pembentukan sebuah negara bangsa hanya dapat dicapai jika masyarakatnya
mempunyai ketrampilan dalam pelbagai bidang. Ini termasuklah juga di bidang
pendidikan. Justeru adalah menjadi peranan guru dalam menyediakan pendidikan
berkualiti untuk semua. Pendekatan ini adalah bertepatan dengan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan di mana pendidikan berkualiti adalah untuk memastikan
semua kanak-kanak mendapat pendidikan yang terbaik supaya mereka dapat
memperkembangkan potensi mereka secara holistik dari segi jasmani, emosi,
rohani dan intelek. Dalam erti kata yang lain pendidikan yang disediakan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia adalah untuk menghasilkan seorang pelajar yang
cemerlang dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran dan sahsiah. Dengan hasrat agar
apabila pelajar telah tamat pendidikannya dengan kecemerlangan ilmu pengetahuan
khususnya dalam bidang sains, teknologi dan ICT; kemahiran tinggi seperti
berupaya berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa; dan sifat sahsiah
yang positif maka mereka dapat menyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan
dirinya, keluarga dan negara Malaysia.
4.0 PENUTUP
Jelaslah
disini guru adalah sebagai arkitek bangsa bagi melahirkan anak bangsa yang
berilmu. Seorang guru itu seorang pendidik, pemantau kemajuan pelajaran,
pembimbing, pengasuh nilai, pengajar subjek dan harus menunjukkan teladan yang
baik. Pepatah Melayu menyebut ‘Guru kencing berdiri, pasti murid akan kencing
berlari’. Maknanya nilai-nilai adab dan adat, budi bahasa, berakhlak mulia
datangnya daripada guru dan sekolah. Sungguh pun begitu, tanpa persepakatan ibu
bapa-guru, perkongsian tanggung jawab bagi melahirkan anak bangsa yang berilmu,
berkemahiran, berketerampilan dan holistik tidak mudah dicapai.
Teras strategik PIPP yang pertama adalah
membina negara bangsa. Dalam usaha itu , Kementerian berhasrat untuk
membangunkan warganegara daripada awal persekolahan. Jelaslah disini bahawa
gurulah pihak yang penting bagi bagi membentuk sebuah negara bangsa.
Natijahnya, komitmen yang utuh dalam kalangan guru dapat memperkasakan
pembangunan insan yang berkualiti sehingga mencapai visi negara, iaitu 1
Malaysia. Guru cemerlang negara terbilang. Pendidik perlu melengkapkan diri
supaya dapat membimbing para pelajar ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang.
Gurulah insan yang dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan proses pembinaan
negara bangsa yang dicita-citakan oleh negara. Ini adalah kerana seorang guru
berkualiti dapat melahirkan murid yang cemerlang yang menjadi
tonggak kejayaan pembinaan negara bangsa.
No comments:
Post a Comment