. Amoi Chantek: September 2014 Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Tuesday 30 September 2014

SUMBER PEMBELAJARAN DAN PEMBELAJARAN

1.0       PENGENALAN
Sumber bahan pengajaran dan pembelajaran ialah apa-apa sahaja alat atau bahan yang berperanan dan bertugas untuk membantu guru-guru supaya dapat menyampaikan isi pelajaran supaya pelajar dapat memperolehi pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai berdasarkan objektif kurikulum. Alat-alat atau bahan-bahan ini dapat membantu guru dengan menyokong penyampaian pelajaran. Terdapat beberapa jenis sumber atau alat yang boleh membantu dalam pengajaran guru. Jenis-jenis alat  tersebut ialah bahan bercetak, bahan elektronik maklumat dan bahan maujud.

            Semua sumber pengajaran dan pembelajaran yang digunakan ini mempunyai beberapa tujuan selain daripada menyampaikan isi pelajaran sahaja. Antara tujuan tersebut ialah untuk merangsang deria rangsangan murid-murid, kefahaman dan interpretasi maklumat kepada murid-murid, pengekalan minat dan tumpuan melalui pelbagai media, peningkatan daya ingatan, kemahiran berfikir, peningkatan motivasi, peningkatan kreativiti, keseronokan dalam pembelajaran, kemahiran interpersonal dan intrapersonal dan akhir sekali kemahiran psikomotor.

            Guru-guru perlu tahu menggunakan sumber ini mengikut kesesuian murid-murid dari segi tajuk, objektif, dan isi pelajaran. Selain itu aspek tahap kebolehan dan perkembangan kognitif pelajar juga harus diambil perhatian oleh guru. Sumber pengajaran yang digunakan juga harus menepati keperluan murid iaitu dari segi mutunya iaitu sesuai dengan mesej, tahan lasak serta tidak mudah rosak. Penghasilan sumber ini harus dapat menarik minat dan perhatian pelajar. Ini adalah bertujuan supaya dapat merangsang dan memotivasikan pelajar untuk memberi lebih perhatian kepada proses pengajaran tersebut sekaligus menjadikan proses pembelajaran menjadi lebih efektif serta berkesan.


2.0       JENIS-JENIS SUMBER PEMBELAJARAN DAN PEMBELAJARAN
            2.1       Bahan bercetak
Menurut Atan Long (1982), bahan-bahan pengajaran dan alat bantu mengajar ada berbagai-bagai. Bahan-bahan itu mungkin dalam bentuk buku, carta atau slaid yang dipancarkan pada layar. Alat-alat yang menyokong penyampaian pembelajaran diberi nama ‘Alat Bantu Mengajar’. Bahan-bahan cetak merupakan media pendidikan yang paling mudah didapati dan disediakan. Penggunaan bahan cetak sebagai bahan pengajaran tidak terhad asalkan ia menepati objektif. Contoh bahan bercetak adalah seperti buku teks, buku kerja, buku fiksyen, buku rujukan, majalah, risalah, jurnal, surat, berita, peta, surat khabar dan nota-nota bercetak (rujuk Lampiran 1). Bahan bercetak seperti ini mengandungi maklumat dalam bentuk perkataan, lukisan atau gambar. Gagne telah memilih bahan bercetak sebagai sumber pengajaran dan pembelajaran yang paling sesuai untuk murid-murid.

            Menurut Gagne apabila ransangan luar diterima, maklumat akan ditafsir dan akan dihantar di dalam stor ingatan. Bahan pencetak merupakan salah satu media pengajaran yang memberi rangsangan luar kepada pelajar. Sama ada ianya akan memberi ingatan jangka panjang atau jangka pendek adalah bergantung kepada keberkesanan rangsangan yang diterima oleh murid-murid seperti isi kandungan yang menarik atau berkaitan dengan pengalaman sedia ada murid. Kaedah penyampaian guru juga adalah penting dalam merangsang minat murid. Menurut gagne, (Mook Soon Sang, 2000) pengalaman yang disimpan dalam stor ingatan jangka panjang adalah penting untuk manusia mengaitkannya dengan pengalaman baru agar memudahkan proses pembelajaran baru berlaku.

            Bahan bercetak ini memberi maklumat secara langsung kepada murid-murid dan secara langsung dan ianya akan meransang deria pemikiran dan penglihatan pelajar secara terus. Bahan pencetak yang dijadikan sumber pengajaran akan mendedahkan maklumat awal kepada pelajar dan diproses dan disimpan dalam stor ingatan jangka panjang akan memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas kerana sama seperti kata gagne manusia akan mengaitkannya dengan pengalaman baru. Ciri penting pada bahan bercetak ialah ianya mestilah dihasilkan melalui cetakan dan bukan hasil daripada tulisan tangan mana-mana individu. Bahan bercetak boleh didefinisikan sebagai bahan yang mempunyai tulisan dan wujud secara fizikal. Bahan ini boleh disentuh dan boleh dibaca secara terus. Bahan bercetak meliputi buku, majalah, jurnal, ensiklopedia, surat khabar, kad katalog, kamus, buku teks dan sebagainya yang dihasilkan secara bercetak.

            Walaupun bahan bercetak sukar dikemaskini dalam masa yang singkat dan penyediaan bahan pengajaran dan pembelajaran mengambil masa yang lama, namun dapat dirumuskan ianya sangat berkesan. Bahan bercetak seperti ini banyak di pusat sumber atau disimpan di perpustakaan ataupun di arkib. Semuanya dihasilkan oleh penulis-penulis atau pereka-pereka yang mahir dan terkenal di bidang masing-masing. Sumber pengajaran dan pembelajaran ini telah digunakan secara meluas oleh guru-guru di sekolah sejak beberapa lama kerana kelebihan yang terdapat pada bahan ini. Bahan ini murah dan senang didapati di mana-mana. Selain itu ia adalah bahan yang kekal dan mudah dirujuk pada bila-bila masa.

            2.2       Bahan elektronik
Bidang pendidikan yang berkembang dari semasa ke semasa menyebabkan sumber pengajaran dan pembelajaran juga telah muncul dalam pelbagai bentuk. Salah satu sumber pengajaran dan pembelajaran yang sering digunakan pada masa kini ialah bahan elektronik. Bahan elektronik terdiri daripada pelbagai bentuk. Antaranya ialah komputer, filem, televisyen, radio, transparensi, overhead projector, LCD dan pelbagai lagi (Rujuk lampiran 2) Dunia yang semakin maju sekarang telah membawa masuk teknologi dalam pendidikan. Sememangnya kita tidak dapat lari dengan arus kemajuan. Oleh itu, penggunaan teknologi dalam pendidikan sememangnya sangat penting bagi menjamin pendidikan di Malaysia seiring dengan negara-negara maju yang lain.

            Komputer merupakan salah satu jenis bahan elektronik yang sememangnya wajib ada di setiap sekolah. Jarang sekali kita melihat sesebuah sekolah yang tidak dilengkapi dengan kemudahan makmal komputer kecuali sekolah di kawasan pendalaman. Komputer mempunyai pelbagai perisian di dalamnya. Perisian komputer mampu membantu guru dan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Kelebihan bahan ini ialah boleh memperlihatkan sesuatu lukisan itu lebih jelas dan menarik. Sebagai contoh, seorang guru mata pelajaran sains ingin mengajar mengenai ciri-ciri seekor harimau. Sudah tentu guru tersebut tidak mampu untuk membawa seekor harimau ke sekolah. Dengan berbantukan komputer dan LCD guru tersebut boleh menunjukkan dengan jelas ciri-ciri seekor harimau dengan memaparkan gambar atau video mengenai harimau.  Selain itu, dengan komputer pelbagai maklumat boleh diakses daripada pelbagai jenis laman web. Penggunaan komputer dikatakan mampu menjadikan maklumat hanya di hujung jari. Hal ini kerana dengan penggunaan komputer pelbagai perkara boleh dilakukan. Terdapat pelbagai maklumat yang boleh diakses menggunakan komputer. Guru dan murid mempunyai banyak sumber yang boleh digunakan untuk mengakses mengenai sesuatu topik pembelajaran dan boleh membanding bezakan sesuatu maklumat tersebut. (Ismail Zain, 2002)

            Menurut Ismail Zain (2002), penggunaan komputer juga membantu guru mengakses video-video menarik daripada pelbagai laman web untuk dijadikan panduan mengajar dan tarikan buat murid-murid. Pada masa kini, terdapat pelbagai video yang berunsurkan pendidikan yang sangat membantu guru dan murid-murid untuk merancang dan melaksanakan aktiviti yang menarik dalam bilik darjah. Contohnya, video mengenai zaman pra-sejarah, video pembukaan kota Melaka dan pelbagai lagi. Oleh itu, guru mungkin boleh menggunakan video-video yang menarik yang terdapat di laman web untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

            Namun begitu, penggunaan bahan elektronik seperti komputer ini jika tidak dikawal sudah tentu boleh mendatangkan keburukan. Di samping itu kebergantungan guru terhadap komputer juga boleh mendatangkan masalah ketika waktu-waktu tertentu. Antara kelemahan penggunaan komputer ialah murid-murid mungkin melayari laman web yang tidak berfaedah jika guru dan ibu bapa tidak memantau laman web yang dilayari oleh mereka. Sebagai contoh, pada hari ini kita sering dipaparkan mengenai murid sekolah rendah yang menonton video yang tidak sepatutnya. Disebabkan itu, pemantauan sangat penting sekiranya guru ingin menggunakan komputer sebagai bahan bantu mengajar. Selain itu, penggunaan komputer juga menjadikan murid-murid leka. Hal ini kerana murid mungkin melayari pelbagai permainan di dalam komputer. (Ismail Zain, 2002)

            Penggunaan slaid power point oleh guru juga akan memberikan kesukaran sekiranya bekalan elektrik terputus di sekolah. Guru yang terlalu bergantung pada bahan elektronik seperti komputer berkemungkinan tidak mampu untuk mengajar sekiranya bekalan elektrik terputus. Guru-guru juga akan menghadapi masalah sekiranya ditempatkan atau ditukarkan ke kawasan pedalaman di mana kemudahan komputer tidak disediakan. Oleh itu, guru perlulah tidak terlalu bergantung pada bahan elektronik.  Di samping itu, penggunaan komputer juga akan mendatangkan masalah sekiranya guru langsung tidak menyimpan segala bahan pengajaran dan pembelajaran dalam bentuk asal kerana sekiranya komputer diserang virus atau mengalami kerosakan, guru berkemungkinan kehilangan segala maklumat penting. Oleh itu, guru-guru tidak digalakkan bergantung  sepenuhnya dengan komputer. Penggunaan komputer di sekolah juga memerlukan penyelenggaraan yang rapi. Komputer perlulah dijaga dengan baik untuk memastikan ia berfungsi dengan baik. Kos penyelenggaraan yang tinggi menyebabkan penggunaan komputer kadang kala boleh mendatangkan masalah.

            2.3       Bahan maujud
Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sejarah di sekolah rendah menggunakan bahan maujud seharusnya menjadi suatu kemestian. Ramai dalam kalangan pendidik khususnya guru Sejarah mengakui hakikat bahawa bahan maujud adalah kunci penting kepada pengajaran kepada kanak-kanak. Perkara ini didasari oleh teori Jean Piaget, seorang ahli psikologi dan falsafah yang banyak mengkaji dan membahaskan ilmu berkaitan tahap kognitif kanak-kanak. Menurut Piaget (1952) kanak-kanak memerlukan pengalaman konkrit untuk memahami istilah ataupun peristiwa sejarah. Hal ini kerana, murid-murid sekolah rendah masih berada dalam peringkat operasi konkrit di mana pemikiran abstrak dan hypotetikal mereka masih belum terbina sepenuhnya. Peringkat operasi konkrit adalah dalam peringkat umur 7 tahun hingga 11 tahun iaitu julat umur bagi kebanyakan murid-murid sekolah rendah. Pemikiran hypotetikal ialah pemikiran di mana seseorang itu berfikir berdasarkan situasi atau idea yang boleh diimaginasi berbanding yang realistik dan benar. Daya imaginasi pada peringkat kanak-kanak adalah lebih rendah berbanding orang lebih dewasa.

            Menurut Heddens (2005), bahan maujud ialah model konkrit yang melibatkan konsep Sejarah, menarik kepada beberapa deria serta boleh disentuh dan digerakkan oleh murid-murid (Rujuk lampiran 3). Pada masa sekarang, bahan maujud digunakan dalam pengajaran Sejarah telah diterima yang boleh diguna pakai sebagai satu kaedah yang akan membantu murid-murid belajar Sejarah dengan lebih bermakna. Pendek kata, bahan maujud membantu murid-murid membina imej mental yang lebih jelas untuk memahami konsep-konsep dan peristiwa-peristiwa Sejarah (Weiss, 2006).

            Melalui penggunaan bahan maujud, tahap kefahaman pelajar akan lebih bertambah dengan wujudnya rangsangan luar ke atas motor kasar dan halus seperti tangan dan ini sekali gus mempertingkatkan daya kreativiti dan pemikiran kritis pelajar. Menurut Janet W. Leaner ( 1971), proses berlaku apabila wujudnya rangsangan luar yang boleh kesan dan bertindak dengan organ-organ deria, hasil proses mental dan neurologi yang mempengaruhi pembentukan konsep-konsep yang jelas dan tepat. Selepas meneliti semua aspek, bahan maujud dapat disimpulkan sebagai alat atau bahan yang bersifat konkrit atau maujud yang melibatkan penggunaan tangan murid-murid dengan cekap terhadap objek yang dapat dipegang dan dimanipulasi untuk membantu murid-murid peringkat pra operasi membina pengetahuan dan konsep sejarah secara langsung atau tidak langsung. Guru boleh membiarkan murid-murid menggunakan bahan maujud secara langsung untuk bermain, meneroka, membina, menguji dan memerhati dengan harapan murid-murid tersebut dapat memahami sesuatu peristiwa atau pembelajaran dengan lebih baik.



3.0       KEPENTINGAN MENGGUNAKAN SUMBER PENGAJARAN DAN      PEMBELAJARAN DALAM MATA PELAJARAN SEJARAH

            3.1       Merangsang pemikiran                                                                   

Sumber pengajaran dan pembelajaran merupakan satu faktor utama bagi mempelbagaikan rangsangan murid di samping mengalihkan tumpuan mereka kepada perkara-perkara yang menarik, bermakna dan penting dalam pembelajaran. Murid akan lebih berminat belajar mengenai sejarah yang terdapat di dalam mahupun di luar negara seperti yang terdapat dalam sukatan pelajaran Sejarah Tahun 4. Murid akan lebih memahami isi pelajaran secara lebih mendalam lagi sekiranya mereka dapat melihat dan menyentuh objek tersebut. Oleh itu, mereka dapat mengeluarkan idea dengan lebih cepat dan bermakna.

            Penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran dapat membantu murid-murid untuk menajamkan lagi kemahiran berfikir mereka. Perasaan ingin tahu akan mula wujud dan murid-murid akan melibatkan secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ini kerana terdapat sumber pengajaran dan pembelajaran yang memerlukan murid-murid untuk membuat analisis dan seterusnya melakukan pengkelasan di mana semua ini memerlukan kemahiran berfikir yang baik. Melalui pengalaman sedia ada, murid akan cuba menganalisa dan mengamati maklumat baru yang disampaikan agar lebih memahami perkara yang disamapaikan dalam pembelajaran. Kemahiran ini sangat diperlukan untuk murid-murid melakukan analisis, mencari maklumat, banding beza, pengkelasan, menjana idea, membuat inferens serta mengumpul maklumat dll semasa penglibatan mereka dalam proses pengajaran dan pembelajaran. (Ee Ah Meng, 2002).

            Kepentingan menggunakan sumber pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran sejarah ini ialah untuk mewujudkan rangsangan pemikiran kepada murid untuk mempelajari topik tersebut. Rangsangan awal yang diwujudkan melibatkan rangsangan deria mata dan tangan. Kanak-kanak lumrahnya akan tertarik dengan pelbagai warna dan bentuk yang berwarna warni, mereka juga mempunyai tahap inkuiri yang tinggi untuk meneroka sesuatu yang berada di hadapan mereka. Oleh itu, penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran sejarah seperti buku teks boleh membantu merangsang minat murid dan perasaan inkuiri murid dengan pelbagai gambar yang menarik dan dapat dipegang oleh mereka sendiri. Ini dapat memberi pengalaman yang bermakna kepada murid. Contohnya gambar seperti rajah kitaran hujan akan menunjukkan proses yang berlaku sehingga terbentuknya air hujan. Dengan berpandukan gambar rajah tersebut, murid akan tertarik untuk melihat satu persatu proses berlakunya hujan berbanding mereka perlu membaca satu persatu proses berlaku dalam bentuk ayat atau penulisan. Setelah mereka mendapat pengetahuan awal berkenaan gambar tersebut, kebiasaannya barulah mereka meneruskan pembacaan yang menarik minat mereka untuk mengetahui lebih lanjut. Maka salah satu kelebihan menggunakan sumber pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran sejarah telah dibuktikan dapat menarik minat murid untuk menerokai gambar-gambar tersebut. (Mok Song Sang dan Lee Shok Mee, 1991 )

            3.2       Mengintepretasi maklumat daripada peristiwa Sejarah
Menurut Mook Soon Sang (2000), dalam pengajaran sesuatu topik, terdapat perkataan dan frasa yang maknanya tidak dapat dihurai dengan perkataan sahaja. Maknanya akan lebih jelas jika diterangkan dengan contoh-contoh tertentu yang memerlukan bahan maujud mahupun bahan elektronik. Penerangan guru yang diiringi dengan sumber yang dipilih dengan rapi dan sesuai dapat memperkembangkan corak pemikiran murid serta membantu mereka memahami sesuatu dengan lebih jelas.

            Kepentingan menggunakan sumber pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran sejarah ini ialah murid-murid boleh mengunakannya mengikut kadar kecepatan mereka sendiri. Murid-murid yang lambat boleh mengambil masa untuk meneliti bahan yang diberikan secara berulang-ulang kali sehingga mereka memahaminya. Melalui maklumat dari sumber ini juga murid-murid boleh membuat pembacaan sendiri dan memperolehi maklumat dengan lebih cepat sebelum penerangan lanjut diberikan oleh guru. Ia juga telah membolehkan murid mengintepretasi maklumat daripada sesuatu peristiwa melalui sumber yang telah didedahkan. (Siow Heng Loke et. al, 2005)

            Penggunaan sumber ini bukan sahaja membantu guru malah menjimatkan masa, murid-murid boleh belajar dimana-mana dan sumber ini memberi ransangan awal kepada murid-murid untuk meneruskan sesi pembelajaran kerana ia melibatkan ransangan deria mata dan mewujudkan perasaan ingin tahu kepada murid-murid dan gambaran awal kepada murid-murid. Contoh gambar seperti rajah, foto boleh dimasukkan dalam teks untuk member gambaran lanjut kepada murid-murid mengenai konsep dan hujah-hujah bagi menambahkan lagi minat murid-murid. (Siow Heng Loke et. al, 2005)

            3.3       Menarik minat terhadap mata pelajaranSejarah

Dalam program Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang baru dilaksanakan, pembelajaran Sejarah yang berkesan dikaitkan dengan penggunaan alat dan bahan yang sesuai, terutamanya yang boleh dilihat, didengar, dirasa, dihidu dan disentuh oleh murid. Mereka boleh mengalami sendiri apa yang disampaikan oleh guru. Ini membuatkan mereka lebih memahami isi pelajaran dan apa yang difahami itu pula akan lebih kekal dalam stor ingatan mereka. Kesemua sumber, jika digunakan dalam situasi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai akan bertindak sebagai rangsangan untuk mewujudkan situasi pembelajaran yang lebih bermakna (Romiszowski,A.J. 1964). Dengan cara ini, murid akan berminat dan dapat belajar dalam situasi yang berkesan.

            Menurut Mok Song Sang dan Lee Shok Mee (1991 ), setiap murid-murid merupakan kanak-kanak yang tidak akan lengkap tanpa melakukan perkara yang boleh menarik minat kepada diri mereka. Ini adalah merupakan keperluan asas bagi setiap kanak-kanak yang normal. Jadi guru perlu mengambil berat tentang hal ini dan untuk proses pembelajaran yang berkesan guru perlu mendapat perhatian daripada murid-murid terlebih dahulu. Minat dalam pembelajaran boleh dicipta oleh guru untuk mengekalkan perhatian murid-murid supaya mereka mendapat isi pelajaran yang hendak disampaikan. Seseorang guru boleh mengubahsuai cara penyampaian pembelajaran dengan menggunakan bahan maujud. Permainan perlulah direkacipta bagi menimbulkan suasana yang seronok di dalam kelas kerana murid-murid mudah terangsang dengan aktiviti permainan. Contoh yang boleh diberi ialah permainan ‘dart’. Akan terdapat satu papan dart berbentuk bulatan di mana terdapat skor bagi pemain yang membaling panah dart tersebut. Setiap bulatan mempunyai skor yang tertentu dan jika murid-murid memanah mengenai mana-mana skor, murid tersebut perlu menjawab soalan berkaitan dengan mata pelajaran Sejarah yang terdapat di sebalik skor yang diperolehinya. Markah akan dikira berdasarkan skor yang diperolehi hanya jika jawapan yang diberi adalah betul.

            Permainan ini adalah pengubahsuaian yang dilakukan untuk disesuaikan dengan proses pembelajaran di mana dapat menyampaikan isi pelajaran yang berkaitan tema yang dipilih. Soalan-soalan yang dipilih untuk diletakkan di sebalik skor perlulah menepati aras yang telah dipilih dan bersesuaian dengan tahap murid-murid. Permainan ini boleh dikatakan sebagai kuiz tetapi dalam cara yang berbeza yang lebih menarik perhatian murid-murid. Sumber pengajaran dan pembelajaran adalah faktor terpenting dalam menentukan kejayaan program pembelajaran, menimbulkan rangsangan keinginan pelajar-pelajar untuk mengetahui sesuatu dan untuk menjadikan pembelajaran baik dan lebih menarik. Oleh yang demikian, sumber pengajaran dan pembelajaran amat penting untuk membantu guru menyampaikan ilmu dan murid menerima ilmu secara berkesan. (Tengku Sarina Aini dan Yusmina Md. Yusoff, 2006)

            3.4       Meningkatkan daya ingatan terhadap fakta Sejarah

Menurut Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaacub dan Mohd. Zohir Ahmad (2007), daya ingatan murid-murid boleh ditingkatkan dengan guru memberikan maklumat baru melalui penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran yang sesuai. Penambahan sebarang maklumat yang baru akan menyebabkan peningkatan daya ingatan mereka kepada sesuatu perkara. Dibuktikan melalui teori konstruktivisme yang disokong oleh Von Glassefel, Piaget dan Vygotsky di mana mereka menyatakan Ilmu pengetahuan terbina hasil penglibatan aktif individu yang menghubungkait maklumat baru dengan pengalaman sedia ada. Penglibatan murid secara aktif memberi pengalaman baru kepada murid dengan merasainya sendiri dan dengan ini maklumat akan dismpan dalam stor ingatan jangka panjang berikutan proses pembelajaran yang menarik dan murid merasai sendiri pengalaman tersebut.


            Secara semulajadi, kita belajar melalui berbagai-bagai deria iaitu rasa, dengar, lihat, sentuh dan bau. Dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah yang menggunakan bahan maujud seperti model hidupan zaman prasejarah, murid dapat menyentuh dan melihat sumber tersebut. Ini akan membantu murid memahami dan mengingati isi pelajaran iaitu mengenai gambaran dari aspek keadaaan dan suasana ketika itu. Kajian telah menunjukkan bahawa manusia hanya mengingati 10% daripada apa yang mereka dengar, 20% daripada apa yang mereka lihat sahaja dan 65% daripada apa yang mereka dengar dan lihat. Kajian ini jelas membuktikan bahawa lebih banyak deria dilibatkan dalam aktiviti pembelajaran, lebih teguh pula daya ingatannya. Untuk memastikan apa yang disampaikan itu kekal lama dalam ingatan murid, guru patut mempelbagaikan bahan pengajaran seperti bahan maujud, bahan bercetak mahupun bahan elektronik tersebut. (Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaacub dan Mohd. Zohir Ahmad, 2007)

            Menurut Siow Heng Loke et. al. (2005), daya ingatan murid-murid boleh ditingkatkan dengan guru memberikan maklumat baru melalui penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran yang sesuai. Penambahan sebarang maklumat yang baru akan menyebabkan peningkatan daya ingatan mereka kepada sesuatu perkara. Dibuktikan melalui teori konstruktivisme yang disokong oleh Von Glassefel, Piaget dan Vygotsky di mana mereka menyatakan Ilmu pengetahuan terbina hasil penglibatan aktif individu yang menghubungkait maklumat baru dengan pengalaman sedia ada. Penglibatan murid secara aktif memberi pengalaman baru kepada murid dengan merasainya sendiri dan dengan ini maklumat akan dismpan dalam stor ingatan jangka panjang berikutan proses pembelajaran yang menarik dan murid merasai sendiri pengalaman tersebut.

            Penggunaan sumber penting dalam pengajaran dan pembelajaran Sejarah. Hal ini kerana sumber boleh membantu guru menjelaskan isi pelajaran kepada murid dan membantu murid memahami apa yang diajar oleh guru. Sumber pengajaran dan pembelajaran bertindak sebagai media komunikasi, rangsangan, penjelas makna, penggerak pelbagai deria, sumber pengalaman, unsur yang mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran serta pendorong kepada pengajaran terancang.



            3.5       Menimbulkan motivasi dalaman dalam pelajaran Sejarah

Menurut Mook Soon Sang (2000), cara yang paling berkesan untuk membantu murid memahami persekitaran semulajadi serta persekitaran sosial mereka adalah dengan memberi mereka pengalaman sebenar atau yang hampir sebenar untuk dilihat dengan teliti yang kemudiannya menghasilkan soalan untuk dikaji. Pengguanaan pelbagai sumber media seperti tayangan video,bahan bercetak, bahan tiga dimensi dan sebagainya akan mengekalkan tumpuan murid dan meransang pengetahuan ingin tahu murid yang seterusnya akan mewujudkan minat murid yang kemudiannya akan mengekalkan lagi tumpuan murid kepada pembelajaran sesuatu tajuk. Oleh yang demikian guru mampu mencapai objektif pengajaran yang ingin disasarkan dan juga kawalan kelas secara menyeluruh dapat dilakukan oleh guru. Tumpuan dan pengamatan pelajar akan memudahkan penyampaian maklumat yang ingin disampaikan oleh guru kepda pelajar.

            Terdapat bahan yang memberikan pengalaman dan motivasi secara langsung dan tidak langsung kepada murid. Bahan maujud ini boleh memberikan pengalaman langsung. Contohnya, apabila murid melihat dan memahami sendiri video mengenai zaman manusia prasejarah yang telah disediakan, mereka akan mengetahui kepelbagaian kepercayaan agama manusia prasejarah. Oleh yang demikian, aktiviti sedemikian akan memberi pengalaman yang konkrit kepada murid. Pengalaman ini akan memberi kesan yang mendalam kepada proses pembelajaran murid-murid tersebut. Kita lebih banyak belajar melalui pengalaman sendiri daripada maklumat yang diberi oleh orang lain. Murid-murid juga akan lebih memahami dan mengingati pelajaran yang diterima sekiranya mereka diberi peluang untuk melihat dan meneliti sesuatu peristiwa tersebut. (Tengku Sarina Aini dan Yusmina Md. Yusoff, 2006)

            Secara umumnya, penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran Sejarah mempunyai pelbagai kebaikan. Antaranya ialah memotivasikan pelajar. Hal ini kerana penggunaan sumber dalam mata pelajaran Sejarah seperti perisian komputer, bahan bercetak dan bahan maujud tidak membosankan berbanding penggunaan buku teks dan buku nota. Apabila murid bermotivasi untuk belajar sudah tentu mereka akan lebih bersungguh-sungguh untuk belajar dan beroleh kejayaan. Penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran sejarah juga membantu murid menghubungkaitkan teknologi dan bahan maujud dengan kehidupan. Kehidupan seharian kita yang tidak lari dari penggunaan bahan elektronik sudah tentu memudahkan lagi murid untuk belajar. Penggunaan bahan sumber pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran sejarah bukanlah disarankan seratus peratus dalam pengajaran dan pembelajaran, namun bahan-bahan sumber ini boleh dijadikan alat sokongan untuk membantu murid dan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Seterusnya, penggunaan bahan sumber pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran sejarah juga akan membantu memartabatkan profesion pendidikan. Pendidikan di Malaysia seharusnya setanding dengan negara-negara maju di dunia. Oleh itu, penggunaan sumber-sumber ini dalam pendidikan sekurang-kurangnya memperlihatkan usaha negara kita untuk meningkatkan profesion pendidikan di Malaysia. (Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaacub dan Mohd. Zohir Ahmad, 2007).

            3.6       Meningkatkan kreativiti dan keseronokan dalam pembelajaran

Meningkatkan daya kreativiti murid-murid adalah merupakan salah satu tujuan penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Ini kerana kreativiti merupakan salah satu kemahiran halus yang boleh digilap untuk menjadikan murid-murid lebih berfikir ke arah mencipta perkara baru yang lebih bernas serta menarik. Proses pembelajaran yang memerlukan daya kreativiti daripada murid-murid perlulah diadakan bagi melatih daya kreativiti mereka yang sedia ada. Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dianjurkan oleh guru di mana aktiviti tersebut boleh menguji sejauh mana daya kreativiti yang ada pada murid-murid. Selain itu guru juga boleh meningkatkan lagi daya kreativiti murid-murid dengan menggunakan sumber pengajaran dan pembelajaran yang sesuai. (Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaacub dan Mohd. Zohir Ahmad, 2007).

            Dengan itu, secara tidak langsung murid-murid akan menerima input yang baru dan idea-idea baru akan mula timbul dalam kotak fikiran mereka hasil daripada pendedahan yang diterima. Kemudian melalui penggunaan bahan maujud guru boleh menguji daya kreativi murid-murid dengan mengadakan aktiviti melukis poster. Daya kreativiti murid-murid boleh dikesan melalui idea-idea yang dicurahkan ke atas kertas lukisan mereka. Guru juga dari masa ke semasa perlu juga memantau aktiviti murid-murid bagi melihat perkembangan mereka dan memberi sedikit tunjuk ajar untuk perkara-perkara yang perlu. Guru boleh menggunakan bahan teknologi maklumat, contohnya tayangan video untuk memberi pendedahan kepada murid-murid. Kemudian melalui penggunaan bahan maujud guru boleh menguji daya kreativi murid-murid dengan mengadakan aktiviti melukis poster. Daya kreativiti murid-murid boleh dikesan melalui idea-idea yang dicurahkan ke atas kertas lukisan mereka.

            Selain dari kreativiti, ini juga akan mengembangkan lagi idea pelajar kepada tahap yang maksimum agar pelajar lebih kreatif dan inovatif dalam pembelajarannya. murid-murid boleh diberikan tugas seperti menghasilkan folio berkenaan dengan tokoh negara, melalui cara ini persembahan folio tersebut boleh mengembangkan lagi kreativiti murid-murid dalam mencari sumber maklumat dan guru hanya bertindak sebagai fesilitator. Selain intu juga, keseronokan dalam pembelajaran boleh dicipta oleh guru untuk mengekalkan perhatian murid-murid supaya mereka mendapat isi pelajaran yang hendak disampaikan. Dengan mengaitkan pengalaman sedia ada pelajar dengan aktiviti pembelajaran akan memudahkan lagi pengajaran dan pembelajaran serta pelajar akan lebih berminat untuk melibatkan diri. Contohnya penggunaan bahan maujud akan meransang minat murid kerana murid didedahkan dengan pengetahuan yang baru dan tidak biasa diketahui. Sentuhan dan pengamatan kepada bahan memberi peluang kepada pelajar untuk merasai dan melihat dengan lebih dekat kepada bahan tersebut. Selain daripada itu guru juga boleh membuat lawatan sambil belajar agar murid melihat sendiri tempat-tempat yang ingin dipelajari contohnya lawatan ke tempat-tempat sejarah seperti Kota A Famosa. Ini akan menambahkan keseronokan pelajar. (Tengku Sarina Aini dan Yusmina Md. Yusoff, 2006)

            Setiap bahan mempunyai cara penggunaannya yang tersendiri. Ini memberi kesan terhadap kreativiti dan keseronokan pengajaran. Dengan menggunakan berbagai-bagai bahan yang ada, kaedah dan teknik pengajaran juga boleh dipelbagaikan. Kemahiran yang sama boleh dikuasai mengikut cara dan teknik yang berlainan berdasarkan jenis alat dan bahan yang digunakan. Misalnya, dengan menggunakan video manusia zaman prasejarah tersebut, murid boleh melakonkan watak identiti manusia-manusia pada zaman tersebut berdasarkan kepercayaan dan cara hidup yang mereka amalkan. Penggunaan sumber perlu dirancang dari segi kesesuaian, tujuan, masa dan cara menggunakannya. Ini melibatkan perancangan keseluruhan pengajaran dari awal hingga akhir. Dengan cara ini, guru akan merancang sesuatu pelajaran dengan lebih sempurna, kreatif dan menyeronokan. (Tengku Sarina Aini dan Yusmina Md. Yusoff, 2006)


            Menurut Mook Soon Sang (2000), sumber pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran sejarah juga mampu menjanjikan pembelajaran yang lebih menyeronokkan. Murid-murid boleh menjawab dan menyemak soalan dengan menggunakan perisian di dalam komputer. Contohnya, guru-guru boleh memberikan latihan secara online dan murid boleh menyemak jawapan mereka sama ada jawapan mereka betul atau salah.  Penggunaan komputer juga membolehkan pembelajaran secara individu dilaksanakan. Guru boleh memberikan kerja sekolah dengan menggunakan e-mel sahaja. Seterusnya, perisian di dalam komputer seperti Microsoft Office juga boleh membantu guru dan murid belajar dengan lebih efektif. Kebanyakan guru pada hari, boleh menggunakan Power Point untuk memberikan nota ringkas kepada murid. Kelebihan perisian ini ialah guru boleh menyediakan nota-nota yang menarik minat murid dengan meletakkan video, audio dan grafik yang menarik. Dengan itu, murid akan lebih menumpukan perhatian semasa guru mengajar.

            Penggunaan komputer juga membantu guru mengakses video-video menarik daripada pelbagai laman web untuk dijadikan panduan mengajar dan tarikan buat murid-murid. Pada masa kini, terdapat pelbagai video yang berunsurkan pendidikan yang sangat membantu guru dan murid-murid untuk merancang dan melaksanakan aktiviti yang menarik dalam bilik darjah. Contohnya, video mengenai zaman pra-sejarah, video membuat origami dan pelbagai lagi. Oleh itu, guru mungkin boleh menggunakan video-video yang menarik yang terdapat di laman web untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. (Ismail Zain, 2002)

            3.7       Membantu pengurusan bilik darjah

Menurut McKinney, Schiamberg dan Shelton (1998) murid akan berminat untuk belajar sekiranya mereka berpeluang untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran dan perkara ini hanya akan berlaku jika dalam guru menyediakan bahan atau alat yang berfungsi sebagai bahan maujud ataupun bahan elektronik. Apabila bahan maujud disediakan pembelajaran aktif akan berlaku dan murid akan terlibat dalam Pengajaran dan Pembelajaran secara langsung. Melalui cara ini, sumber pengajaran dan pembelajaran ini akan dapat membangkitkan minat, rasa ingin tahu, sekaligus disiplin dan sifat kerjasama akan terbentuk dalam kalangan murid. (Mok Song Sang dan Lee Shok Mee, 1991 )


            Tambahan pula, secara tidak langsung juga sumber pengajaran dam pembelajaran ini dapat mengatasi pelbagai masalah disiplin murid semasa di dalam kelas seperti mengganggu rakan semasa belajar, tidak menumpukan perhatian dan membuat salah laku yang lain. Bahan maujud dan bahan elektronik berperanan secara tidak langsung dalam hal ini apabila murid mula menunjukkan minat dan fokus apabila mereka memanipulasi bahan manipulatif. Hal ini terjadi disebabkan sumber pengajaran dan pembelajaran itu adalah menarik kerana mempunyai warna yang pelbagai. 

Thursday 11 September 2014

REFLEKSI PENGAJARAN MAKRO

REFLEKSI  PENGAJARAN MAKRO
MOR EDDIN BIN MORTADA
Saya telah menjalankan aktiviti pengajaran makro yang melibatkan murid tahun 5 Yakin seramai 33 orang. Walaupun pada asalnya bilangan murid seramai 43 orang disebabkan beberapa orang murid terlibat dengan  latihan koir sekolah maka 10 orang murid tiada di dalam kelas.  Murid-murid di dalam kelas ini adalah terdiri daripada murid yang beraras cerdas dan sederhana. Saya menjalankan pengajaran matapelajaran Sains untuk pengajaran makro ini.
Tajuk pengajaran yang saya pilih ialah Menyiasat Dunia dan Teknologi. Hasil pengajaran adalah mengetahui faktor yang mempengaruhi kestabilan struktur. Saya menetapkan tiga objektif pembelajaran iaitu objektif mata pelajaran, objektif saintifik dan objektif berkaitan kemahiran manipulatif sains. Saya telah menyediakan beberapa bahan bantu mengajar yang bersesuaian dan menjalankan pengajaran mengikut rancangan pengajaran yang dirancang lebih awal. Pengajaran makro ini telah dijalankan selama 30 minit di dalam makmal bagi memudahkan murid menjalankan aktiviti berkumpulan.
Kebaikan
Dalam pengajaran makro yang telah saya jalankan ini, beberapa kekuatan atau kebaikan dapat dikesan. Antaranya ialah guru merancang set induksi yang menarik minat murid untuk meneruskan pengajaran. Ia juga melibatkan keseluruhan kelas iaitu semua murid berdiri dengan sebelah kaki dan dua belah kaki untuk merasai situasi yang dikehendaki. Ia juga dapat merangsang minda murid untuk mengaitkan dengan pengajaran dan pembelajaran pada hari ini. Guru menekankan tentang difinisi kestabilan bagi memudahkan murid mengikuti isi pelajaran yang seterusnya.
Penerangan guru jelas dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Penerangan dan intonasi guru yang jelas dapat membantu murid memahami apa yang disampaikan oleh guru dengan lebih berkesan. Guru sentiasa memastikan semua murid dapat mendengar dan melihat dengan jelas bahan yang ditunjukkan semasa P&P. Guru juga peka terhadap murid dengan memberikan bantuan dan tunjuk ajar dalam memahami sesuatu konsep. Contohnya, guru memberikan tunju cara kepada murid untuk menjalankan aktiviti berkumpulan.
Bahan bantu mengajar yang disediakan juga bersesuaian. Terdapat beberapa alat bantu mengajar yang menarik minat murid seperti basikal yang jarang dilihat oleh murid. Alat bantu mengajar yang fleksibal dan menjimatkan masa seperti carta dan kad bergambar membantu proses P&P berjalan lebih lancar tanpa perlu mengambil masa untuk menulis nota di papan putih dan melukis gambar. Murid juga melakukan pergerakkan ke hadapan kelas untuk menampal kad bergambar. Aktiviti ini dirancang bagi menghilangkan rasa tegang dengan hanya duduk di kerusi mereka.
Guru merancang aktiviti berkumpulan yang sesuai bagi membolehkan murid merasai dan melihat sendiri faktor yang mempengaruhi kestabilan struktur. Aktiviti seumpama itu dapat membuatkan murid lebih faham dan mudah untuk mengingati isi pelajaran iaitu faktor yang mempengaruhi kestabilan. Guru memberikan tunjuk ajar disetiap kumpulan bagi memastikan murid dapat menjalankan aktiviti dengan betul. Aktiviti ini juga dapat menjana minda murid dengan melakukan aktiviti berdasarkan kad tugasan yang diberi. Kad tugasan memuatkan arahan yang  jelas bagi membolehkan murid membuat aktiviti dengan baik. Murid juga dapat membaca dan memahami arahan dengan baik. 
Aktiviti berkumpulan yang dijalankan  dapat melibatkan semua murid. Ini mendorong murid untuk  melibatkan diri dengan aktif sepanjang pengajaran dijalankan. Saya dapat melihat  semua murid berusaha untuk mencuba aktiviti yang disediakan secara sukarela. Aktiviti ini juga dapat menggalakkan komunikasi antara rakan kerana mereka perlu berbincang untuk menjalankan aktiviti  dengan betul. Melalui aktiviti ini juga , saya dapat melihat beberapa nilai murni yang ditonjolkan oleh murid seperti semangat kerjasama, bertimbangrasa, bertanggungjawab dan bertoleransi.  Setelah aktiviti selesai dijalankan, semua murid menunjukkan sikap yang positif dan meluahkan perasaan gembira. Suasana  pembelajaran kelihatan ceria dan memberangsangkan. 
Pembentangan hasil aktivti yang dijalanakan dapat membantu murid mempunyai daya keberanian untuk bercakap dikhalayak ramai. Murid akan mempunyai rasa tanggungjawab dan berkebolehan untuk menerangkan kepada rakan-rakan hasil dapatan mereka.
Dalam fasa aplikasi idea guru menekankan aspek penting dalam kemahiran proses sains iaitu mengenal pasti pemboleh ubah. Aspek ini sangat penting dan guru berjaya menyampaikan dengan menjawab soalan yang bersesuaian dengan aktiviti yang telah dijalankan oleh murid. Guru sentiasa memberikan bimbingan kepada murid untuk menjawab soalan dengan baik dan berkesan.
Guru juga merupakan seorang yang ada mempunyai unsur kecindan, tidak terlalu garang atau menunjukkan rasa marah jika murid tidak dapat menjawab soalan, guru turut memberikan penghargaan dan galakan seperti memberikan tepukan, kata-kata pujian dan ganjaran (gula-gula) kepada murid yang dapat menjawab soalan dengan betul. Elemen ini dapat mengeratkan hubungan antara murid dengan guru dan murid akan meresa selesa untuk bertanya atau berkongsi idea bersama guru mereka. Saya dapat mengaplikasikan kemahiran memperkukuh sepanjang pengajaran dijalankan. Kemahiran pengukuhan atau peneguhan merupakan satu teknik mengajar yang digunakan apabila murid memberi jawapan yang betul. Dalam keadaan ini guru memberi pujian kepada murid itu sebagai pengukuhan tingkah laku .Saya yakin dengan menggunakan kemahiran ini dapat memberi galakan kepada murid untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran.
Memberi pengukuhan kepada murid juga dapat memupuk semangat keyakinan untuk murid yang mewujudkan tingkah laku positif. Ia juga dapat membantu memperbaiki disiplin kelas dengan mengubah tingkah laku negatif yang timbul. Keadaan ini dapat ditunjukkan apabila saya menjalankan aktiviti semua murid berusaha untuk memilih jawapan yang betul untuk mendapat pujian tersebut. Bagi murid yang belum menerima pengukuhan juga sentiasa berusaha menunjukkan tingkah laku yang baik .Situasi ini menjadikan disiplin kelas bertambah baik dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan. Murid yang telah menerima pengukuhan merasa usahanya telah dihargai dan semangat keyakinan terhadap daya pembelajarannya semakin bertambah. Perhubungan diantara saya dengan murid juga bertambah mesra dan aktiviti pengajaran saya menjadi proses pengajaran dan pembelajaran yang digemari oleh murid.
Akhir sekali, satu lagi kebaikan yang dapat dikesan ialah guru tidak lupa untuk bertanyakan semua rumusan pelajaran pada hari itu dengan bertanyakan semula isi pelajaran yang disampaikan. Kebolehan murid merumuskan semula isi pelajaran dapat menguji kejayaan pengajaran dan pembelajaran pada hari itu. Rumusan oleh guru juga penting untuk memantapkan pengetahuan murid tentang apa yang telah dipelajari.

Kelemahan
            Setiap guru tidak dapat lari dari melakukan kesilapan dan mempunyai kelemahan dalam pengajarannya. Saya turut menyedari kelemahan yang terdapat dalam pengajaran makro ini menerusi penyediaan ringkasan mengajar dan tayangan semula video rakaman. Beberapa kelemahan saya ialah alat bantu mengajar yang saya gunakan untuk aktiviti berkumpulan kurang menggunakan radas sains yang sebenar. Seharusnya saya boleh menggunakan radas sains seperti kelalang kon, bentuk-bentuk bongkah kayu dan bikar yang pelbagai saiz. Ini dapat membantu murid mendekatkan diri dengan peralatan sains.
            Pada fasa set induksi juga saya rasakan adalah lebih baik jika saya memanggil seorang murid sahaja untuk melakukan aktiviti berdiri sebelah kaki dan dua belah kaki supaya murid-murid lain lebih jelas dengan situasi yang ingin disampaikan. Arahan kurang jelas menyukarkan murid melakukan aktiviti yang diingini oleh guru. Murid juga boleh menggunakan pengetahuan lepasnya untuk membina konsep yang baru dengan lebih mudah. Saya dapati set induksi dalam pengajaran makro yang saya rancangkan tidak menarik. Ia juga tidak mencabar minda murid dan kurang sesuai dengan tahap kebolehan murid. Saya juga tidak dapat meyediakan alat bantu mengajar dalam fasa ini  yang boleh menarik perhatian murid dan memperkembangkan pengetahuan sedia ada murid. 
            Pada fasa penstrukturan semula idea, di mana aktiviti kumpulan dijalankan adalah lebih baik ia dibuat dalam sistem stesen. Ini kerana setiap kumpulan akan melakukan aktiviti yang berbeza iaitu 4 aktiviti dapat di lakukan untuk mengukuhkan pemahaman mereka tentang konsep yang disampaikan. Kad tugasan jelas tetapi kurang menarik. Guru lupa  menyediakan borang pemerhatian untuk murid mencatatkan hasil aktiviti mereka. Murid tidak membentangkan hasil kumpulan di hadapan kelas, tetapi hanya menunjukkan semula di dalam kumpulan masing-masing.
            Kelemahan yang seterusnya di dalam fasa aplikasi idea dimana aktiviti permainan tidak dapat dijalankan kerana kesuntukan masa untuk membawa murid ke luar kelas. Makmal dirasakan tidak sesuai untuk menjalankan aktiviti permainan tersebut kerana berbasikal memerlukan tempat yang lebih luas. Guru juga tidak membincangkan tentang aplikasi kestabilan struktur dalam kehidupan seharian murid. Seharusnya pada fasa ini, guru meminta pendapat murid tentang perkaitan kestabilan struktur dengan situasi yang sebenar.
            Guru yang baik seharusnya dapat memastikan pengurusan masa yang sesuai dengan aktiviti yang dirancangkan. Jika masa tidak dirancang dengan baik dan tidak bersesuaian dengan aktiviti yang dijalankan sudah pasti pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dijalankan dengan sempurna. Pengurusan masa saya juga tidak terlalu memuaskan dan perlu difikirkan semula supaya dapat melaksanakan pengajaran dengan berkesan dan mencapai objektif yang dirancang.




Langkah mengatasi kelemahan
            Setiap kelemahan dan kekurangan yang dikesan memerlukan penambahbaikan bagi meningkatkan kualiti pengajaran pada masa akan datang. Berdasarkan kelemahan dan kekurangan dalam pengajaran makro yang telah saya jalankan, penambahbaikan yang perlu dilakukan ialah menyediakan set induksi yang lebih menarik  semasa permulaan pengajaran. Saya perlu menyediakan suatu aktiviti yang luar biasa untuk membangkitkan rasa ingin tahu murid untuk meneroka ilmu seterusnya. Dalam set induksi juga terdapat empat jenis komponen iaitu untuk menarik perhatian, mewujudkan motivasi, membuat perkaitan dan menstruktur.  Aktiviti pengajaran dalam set induksi hendaklah dirancang berdasarkan komponen-komponen  tersebut disamping penyediaan alat bantu mengajar yang lebih relevan untuk menjamin keberkesanan  aktiviti dalam permulaan pengajaran.
Banyak bahan bantu mengajar yang lebih menarik dan lebih baik boleh saya gunakan dalam pengajaran saya untuk tajuk ini. Dalam aktiviti yang dijalankan seharusnya saya dapat menggunakan pelbagai radas sains untuk memperkembangkan pengetahuan murid dalam mengenali radas-radas Sains. Antaranya yang boleh saya gunakan ialah kelalang kon, bikar dan lain-lain peralatan yang sesuai.
Untuk memperbaiki kad tugasan saya yang kurang menarik, saya seharusnya menggunakan teknologi komputer untuk menghasilkan kad tugasan yang lebih baik. Kad tugasan itu juga boleh dilengkapi terus dengan borang pemerhatian setiap kumpulan untuk menjawab hasil aktiviti mereka. Pembentangan yang dijalankan di hadapan kelas seharusnya dilaksanakan. Guru boleh menyediakan sebuah meja dihadapan kelas untuk diletakkan bahan yang digunakan dan menunjukkan cara aktiviti yang dilaksanakan oleh setiap kumpulan. Murid lain dapat melihat dan memberi komen yang lebih membina dalam setiap aktiviti yang dijalankan
Penambahbaikan lain yang boleh saya lakukan ialah memastikan masa untuk melaksanakan sesuatu fasa dilakukan dengan baik. Contohnya, aktiviti permainan yang tidak dapat dijalankan memerlukan masa yang lebih untuk mambawa murid keluar dari kelas dan tempat yang lebih sesuai. Murid sememangnya teruja untuk menaiki basikal tersebut tetapi saya lebih menitik beratkan faktor keselamatan murid. Jika masa mencukupi saya akan membawa murid ke padang sekolah untuk mencuba menaiki basikal tersebut dengan kawalan guru. Ini dapat memberikan kesan positif apabila murid gembira dan terkenang aktiviti yang mereka lakukan. Untuk itu saya akan memastikan aktiviti yang dirancang bersesuaian dengan masa yang diperlukan dalam pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan.
 Saya juga perlu menguasai teknik menyoal  supaya aras soalan sesuai dengan murid, kebolehan dan pengalaman masing-masing. Melalui aktiviti  soal jawab juga, perhubungan guru dan  murid  dapat dijalin dengan baik. Saya akan cuba menyoal setiap orang murid secara keseluruhan kelas supaya semua murid sentiasa bersedia dan menyediakan jawapan bagi soalan yang saya kemukakan. Setiap murid perlu diberikan peluang dan masa untuk memikirkan jawapan yang dikehendaki oleh guru.

Kesimpulan 
Refleksi pengajaran makro yang dibuat  dapat menilai kekuatan dan kelamahan saya dalam pengajaran dan pembelajaran yang saya jalankan.  Saya juga  dapat meneliti setiap fasa pengajaran dengan cara yang lebih sistematik dan mendapatkan  maklumbalas dengan segera untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Guru yang bijak dan dedikasi seharusnya memikirkan cara yang terbaik untuk proses pengajaran dan pembelajarannya. Murid adalah pelanggan yang perlu diutamakan. Refleksi yang dibuat akan memperlihatkan kelabihan dan kekurangan guru dalam pengajarannnya. Langkah memperbaiki kelemahan perlu dilaksanakan bukan sekadar membiarkannya sahaja tanpa mengambil tindakan yang sewajarnya.
Bagi saya yang mengajar untuk tiga kelas tahun 5 akan memastikan kesilapan tidak berulang untuk mengajar topik yang sama di kelas yang lain. Penambahbaikkan perlu dilakukan. Itulah tugas guru dalam menempuh arus perjuangan mendidik anak bangsa. Guru perlu sentiasa peka, sedia dan menanamkan sikap untuk membuat yang terbaik. Jika kita dapat membuat yang terbaik, kejayaan anak didik akan menjamin kepuasan guru dalam kerjayanya.

Setelah meneliti video pengajaran dan rancangan pengajaran  yang saya sediakan, saya dapati proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan adalah berjaya dan mencapai objektif. Walaubagaimanapun penambahbaikkan perlu dijalankan supaya pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan. Bagi saya, perkara utama adalah persediaan guru, teknik pengajaran dan bahan bantu mengajar yang sesuai dapat membantu guru dan murid memahami isi pelajaran dengan lebih baik dan berkesan.