. Amoi Chantek: May 2014 Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Q2hwp6eP

Tuesday 20 May 2014

KONSEP DAN KEPENTINGAN PENGAJARAN MIKRO

Pengajaran mikro merupakan teknik latihan guru yang melibatkan kumpulan kecil guru pelatih mengendalikan sebahagian sesi pengajaran di hadapan rakan sebayanya. Sesi pengajaran antara 5-10 minit itu dirakamkan kemudian ditayang semula untuk menjalankan “post-mortem” bagi mengenal pasti aspek kelemahannya supaya dapat dibuat penambahbaikan.

Pengajaran mikro membolehkan guru pelatih
·         memberi fokus kepada kemahiran mengajar tertentu dalam persekitaran yang terangkum tanpa perasaan tergugat
·         memperoleh maklum balas tentang teknik pengajarannya daripada pelbagai perspektif
·         menerima sokongan dan maklum balas daripada rakan sebaya
Adalah menarik untuk mengetahui bahawa pengajaran mikro berasal dari Stanford University pada tahun 1963.  Penyelidik dari Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Pengajaran telah mereka suatu pendekatan bagi latihan pengajaran praktikal dengan memperkenalkan kawalan ketat, kaedah lebih analitikal dan suatu pendekatan baru memberi maklum balas (Allen & Ryan dalam Brown, 1987).

4.2.1  Ciri-ciri Pengajaran Mikro
            Menurut  Allen dan Ryan (1969) ciri-ciri utama pengajaran mikro adalah:
a)        Pengajaran mikro merupakan pengajaran sebenar walaupun situasi pengajaran telah direka begitu rupa di mana pensyarah dan guru pelatih berkerjasama dalam situasi latihan.
b)        Pengajaran mikro mengurangkan keadaan kompleks bilik darjah biasa di mana saiz kelas, skop kandungan, dan masa dikurangkan.
c)        Pengajaran mikro memfokus kepada penguasaan tugasan yang spesifik, seperti kemahiran pengajaran, teknik pengajaran, penguasaan bahan kurikulum atau demonstrasi kaedah pengajaran.
d)        Pengajaran mikro membolehkan peningkatan kemahiran mengajar dalam keadaan terkawal dari segi jumlah pelajar, kaedah maklum balas, penyeliaan, dan faktor lain yang boleh diubah suai.
e)        Pengajaran mikro meningkatkan dimensi maklum balas pengajaran. Maklum balas diberi sebaik sahaja pengajaran mikro tamat.  Melalui penggunaan borang penyeliaan yang disediakan khas untuk mendapatkan maklum balas spesifik kepada beberapa aspek pengajaran, memainkan semula pita video, guru pelatih dapat mengetahui prestasinya dan akan cuba memperbaikinya dalam persekitaran yang selamat.

Secara amnya, pengajaran mikro membekal dan memperkenalkan guru pelatih secara ansur maju akan aktiviti simulasi pengajaran yang kompleks berkait rapat dengan situasi sebenar dalam bilik darjah.  Dalam pengajaran mikro, anda akan dikehendaki memfokus kepada kemahiran pengajaran khusus yang telah dikenal pasti oleh anda dan pensyarah anda. Maklum balas dimantapkan dengan menonton kembali  rakaman video dan komen-komen dalam borang penyeliaan bagi setiap kemahiran pengajaran.Sebagaimana yang dibayangkan oleh istilah tersebut, pengajaran mikro adalah ‘mikro’ dikecilkan dalam tiga cara:
·         Saiz kelas – jumlah pelajar hanya 5-10 orang;
·         Jangka masa pengajaran – boleh jadi sependek 5-10 minit; dan
·         Hanya berfokus pada satu kemahiran mengajar pada satu-satu masa

4.2.2    Proses Pengajaran Mikro
Pengajaran mikro yang asal mengandungi kitaran :  Rancang> Mengajar   >     Memerhati (Maklum balas) >     Merancang Semula  >     Mengajar Semula >         Memerhati Semula 
                                                                                (Allen & Ryan dalam Brown, 1987).

Setiap kitaran ditumpukan kepada latihan dalam suatu komponen kemahiran seperti set induksi dan penutup (permulaan dan pengakhiran segmen pengajaran), penyoalan yang berkesan, peneguhan pelajar dan penglibatan pelajar. Rajah 4.1 menunjukkan  proses pengajaran mikro yang digunakan secara meluas dalam institusi latihan perguruan di seluruh dunia.


  


Rajah 4.1 Proses Pengajaran Mikro

Peringkat Merancang
Sebelum memulakan pengajaran mikro, kuliah tentang konsep-konsep pengajaran mikro, kemahiran-kemahiran pedagogi, sesi rakaman video, cara pemerhatian dan maklum balas sebaya dan penggunaan borang maklum balas akan dilakukan oleh pensyarah. Pensyarah mungkin menggunakan contoh rakaman video yang menunjukkan satu contoh sesi pengajaran mikro untuk sesi perbincangan kemahiran pedagogi yang dijadikan fokus serta latihan mengisi borang maklum balas rakan sebaya.  Selepas itu, pensyarah dan guru pelatih berbincang tentang kekuatan dan kelemahan yang dapat dikesan daripada pemerhatian tersebut.

Selepas itu, pensyarah mengenal pasti guru pelatih dan menentukan kemahiran-kemahiran pedagogi yang perlu dijadikan fokus untuk mengendalikan satu sesi pengajaran mikro.  Setiap pelatih akan dibimbing untuk membuat persediaan perancangan pengajaran.

Peringkat Pelaksanaan
Sebagai guru pelatih, anda dinasihatkan  memulakan sesi pengajaran mikro dengan menyatakan objektif pengajaran yang hendak diajar.  Ini diikuti dengan persembahan pengajaran dengan berfokus pada satu kemahiran yang telah dikenal pasti.  Seramai 8-10 orang guru pelatih akan berlakon sebagai murid-murid mengikut tahap umur seperti yang dijelaskan dalam RPH. Cuba pastikan murid-murid anda mengambil bahagian yang aktif sepanjang sesi pengajaran.  Guru pelatih yang lain akan berada di sudut tepi/ bilik khas untuk membuat pemerhatian serta mengisi borang maklum balas.  Sewaktu seorang guru pelatih mengajar, gangguan luar tidak seharusnya berlaku. Guru pelatih yang menjadi pemerhati harus peka kepada komponen-komponen kemahiran pedagogi yang dijadikan fokus di samping mencari kekuatan dan kelemahan untuk dibincangkan  kemudian.

Peringkat Maklum Balas
Pada peringkat ini, pensyarah menjadi fasilitator semasa maklum balas diberi kepada guru pelatih berkenaan.  Berdasarkan borang maklum balas dan tayangan rakaman video, pendapat dan pandangan untuk mengatasi atau menambahbaik masalah/kelemahan akan dikemukakan dan dibincangkan.  Semasa maklum balas diberikan, semua pihak perlu kekalkan suasana perbincangan positif dan konstruktif supaya tidak ada mana-mana pihak yang merasa kecewa hasil daripada maklum balas tersebut. 

Peringkat Perancangan Semula
Selepas sesi maklum balas, guru pelatih berkenaan akan membuat perancangan semula berdasarkan ulasan dan komen-komen yang diberi oleh rakan sebaya dan pensyarahnya.  Sama ada guru pelatih akan mengajar semula sesi pengajaran mikro bergantung kepada hasil penilaian terhadap prestasinya.  Selepas perancangan semula guru pelatih boleh melaksanakannya sekali lagi untuk memastikan dia benar-benar menguasai kemahiran pedagogi yang dijadikan fokus tadi.

4.2.3  Perbezaan Antara Pengajaran Mikro Dan Pengajaran Makro

 





Pengajaran Mikro
·         5-10 orang murid
·         5-10 minit
·         satu kemahiran
·         satu konsep

Pengajaran Makro
·         30-40 orang murid
·         30-40 minit
·         pelbagai kemahiran
·         pelbagai konsep



Rajah 4.2.  Ciri-ciri perbezaan antara pengajaran mikro dan makro.
Pengajaran mikro adalah proses pengajaran yang dijalankan dalam unit kecil sebagai simulasi kepada guru pelatih. Pengajaran mikro bertujuan untuk mengurangkan masalah-masalah yang mungkin timbul semasa pengajaran makro dijalankan. Ciri-ciri, proses dan kepentingan pengajaran mikro telahpun dibincangkan dalam bahagian di atas. Untuk mendapatkan kefahaman tentang persamaan dan perbezaan antara pengajaran mikro dan makro, kita seterusnya meninjau secara ringkas konsep pengajaran makro.

Pengajaran makro merupakan satu sesi pengajaran yang lengkap bermula dari set induksi, perkembangan hingga ke penutup. Ia merupakan simulasi  satu pengajaran yang lengkap kepada satu kelas biasa. Pengajaran makro boleh dikendalikan dalam bilik darjah biasa ataupun dalam makmal pengajaran mikro. Pelaksanaannya mengandungi ciri-ciri berikut; dilakukan dalam bilik darjah, guru (guru pelatih) mengajar satu sesi pengajaran yang lengkap, bertumpu kepada pelbagai kemahiran mengajar, seramai 3-5 orang rakan pelatih berperanan sebagai pemerhati, dan yang lain berperanan sebagai murid.  Jangkamasa yang ditentukan dalam pengajaran makro adalah berdasarkan satu sesi pengajaran yang lengkap yang mungkin memakan masa selama antara 30 hingga 40 minit. Pengajaran makro merupakan kesepaduan pelbagai kemahiran pedagogi dalam pengajaran mikro berdasarkan perancangan pengajaran harian yang disediakan oleh guru. Ianya bertujuan membantu guru pelatih membiasakan diri melaksanakan pelbagai kemahiran dalam satu sesi pengajaran, di samping mereka dapat memperbaiki kelemahan sebelum mereka menghadapi situasi pengajaran sebenar di bilik darjah di sekolah.

4.3       Kemahiran –Kemahiran Asas  Pengajaran Mikro
Antara kemahiran pengajaran yang terangkum dalam pengajaran mikro dan penilaian ialah :
·          set induksi,
·          penggunaan papan tulis
·          variasi rangsangan
·          penyoalan
·          peneguhan
·         Penerangan dengan menggunakan bahan bantu mengajar, contoh dan ilustrasi


·         penutup

Dalam bahagian berikutnya, kita akan meneliti setiap lapan kemahiran pengajaran yang dinyatakan di atas dan juga membekalkan contoh borang penyeliaan bagi setiap kemahiran tersebut.

a)     Set Induksi
Sekarang mari kita meneliti kemahiran pengajaran mikro yang pertama, iaitu set induksi. Kemahiran ini merujuk kepada cara guru memulakan sesi pengajaran dan pembelajarannya. Set induksi digunakan untuk memperkenalkan sesuatu pengajaran atau topik baru dalam suatu pengajaran yang dapat menarik minat murid terhadap apa yang akan diajar seterusnya.  Set induksi juga digunakan untuk membantu mengenal pasti apa yang sudah diketahui dan menghubungkaitkannya dengan apa yang akan menyusul kemudian.

         Antara objektif penggunaan set induksi adalah seperti berikut:
·         Menimbulkan minat  murid  kepada apa yang akan dipelajari
·         Mewujudkan kerangka rujukan sebelum dan semasa sesuatu sesi pengajaran
·         Membuat perkaitan antara apa yang sudah diketahui dengan konsep atau maklumat baharu di luar pengalaman murid; dan
·         Merangsang kesediaan belajar murid.

            Sebenarnya set induksi boleh digunakan:
·         Pada permulaan pengajaran
·         Semasa menukar topik;
·         Sebelum sesi soal-jawab;
·         Sebelum perbincangan panel; dan
·         Sebelum tayangan filem, klip video, atau bentuk multimedia yang lain

Komponen-komponen dalam set induksi mengandungi elemen berikut:
·         Menarik perhatian – ini akan tercapai jika anda ingin mencuba sesuatu yang baru setiap kali. Jika anda gunakan ‘muslihat’ yang sama setiap kali, murid anda akan jemu terutama apabila mereka boleh teka bagaimana anda akan memulakan pengajaran anda setiap kali anda memasuki kelas.
·         Mewujudkan motivasi – semasa perkembangan pengajaran, murid lemah berkemungkinan hilang tumpuan mereka; berceritalah atau tanyalah soalan yang merangsang dan relevan dan lihat kesannya.
·         Perkaitan Kognitif – ada kalanya murid gagal melihat keseluruhan bahan pengajaran yang sedang disampaikan; tetapi sekiranya murid-murid dapat mengaitkan bahan pengajaran dengan pengalaman lampau dan baru atau mungkin dengan isu semasa, ini  dapat menjadi ‘mukjizat’, dan
·         Menstruktur – murid memerlukan hala tuju agar dapat memahami apa yang sedang diajar. Oleh itu, adalah penting sekiranya aktiviti dan tugasan yang ingin dicapai dijelaskan terlebih dahulu.

b)         Penggunaan Papan Tulis
Kemahiran kedua pengajaran mikro ialah penggunaan papan tulis. Papan tulis merupakan alat bantu mengajar yang paling tua dan paling kerap digunakan guru untuk menyampaikan sesuatu idea atau konsep dalam bentuk visual. Maklumat dicatat dengan teratur untuk menambahkan keberkesanan pengajaran.  Penggunaan papan tulis secara cekap memudahkan murid membentuk persepsi yang jelas dan menyeluruh di samping menarik minat murid mengikuti pelajarannya.

            Objektif penggunaan papan tulis adalah seperti berikut:
·         Membantu guru memperjelaskan sesuatu fakta/konsep/idea yang abstrak secara tersusun.
·         Memudahkan murid membuat nota dengan berkesan.
·         Untuk guru mendemonstrasikan langkah-langkah penyelesaian masalah secara sistematik (contohnya langkah-langkah penyelesaian masalah matematik).
·         Memberi peluang interaktif kepada murid-murid tampil ke hadapan untuk menulis, menyelesai masalah atau melakarkan sesuatu idea.

      Komponen utama dalam kemahiran penggunaan papan tulis adalah:
·           Kejelasan – saiz tulisan dan gambar rajah yang sesuai, jarak antara  
      huruf dan perkataan yang sesuai, tulisan yang kemas dan  
      lurus;
·            Susunan -  penggunaan ruang, penyusunan perkataan dan ayat;
·           Penonjolan atau penekanan – penggunaan pen marker berwarna,
                                     menggaris dan melakar
·            Teknik persembahan – jelas, tepat dan relevan
                     
                          Maklumat yang relevan sahaja dikekalkan, penulisan lain perlu dipadamkan untuk memudahkan pembelajaran sesuatu konsep atau idea.  Semasa menulis di papan tulis, pastikan ketepatan dari segi penggunaan ejaan, tanda baca dan kosa kata.

c)         Variasi  Rangsangan
Kemahiran pengajaran mikro yang ketiga yang akan kita pelajari ialah variasi rangsangan. Kemahiran ini merujuk kepada cara guru mempelbagaikan teknik pengajarannya agar murid dapat mengekalkan minat dan tumpuan kepada perkara yang sedang dipelajari. Murid-murid di peringkat sekolah rendah mempunyai  tempoh penumpuan yang singkat (antara 15-20 minit). Kepelbagaian (variasi) rangsangan perlu digunakan oleh guru untuk mengekalkan perhatian mereka.

Objektif penggunaan variasi rangsangan adalah seperti berikut:
·         Menimbulkan minat dan mengekalkan perhatian murid
·         Menambahkan peluang penggunaan pelbagai deria dalam proses pembelajaran murid
·         Melibatkan murid secara aktif dalam pengalaman pembelajarannya
·         Memberi peluang kepada murid memenuhi naluri ingin tahuna melalui aktiviti inkuiri/ induktif

Guru boleh pelbagaikan penyampaian pengajarannya melalui teknik/cara seperti:
·         pergerakan guru memanafaatkan ruang secara sistematik, elakkan pengajaran dari satu sudut bilik darjah sahaja,
·         penggunaan isyarat badan yang positif,
·         penggunaan bahasa lisan dan bukan lisan yang tidak bercanggah dengan mesej yang ingin disampaikan,
·         perubahan dalam pola kelajuan pertuturan,
·         perubahan dalam fokus deria, dan
·         mengatur aktiviti untuk melibatkan murid secara fizikal.
Variasi sebegini membantu murid mengekalkan perhatian mereka, menghilangkan kebosanan dan menimbulkan rasa ingin tahu yang tinggi.

d)  Penyoalan
Satu lagi kemahiran pengajaran mikro ialah kemahiran penyoalan.  Penyoalan merupakan salah satu strategi pengajaran yang tidak kompleks serta paling berkesan untuk guru mendapatkan maklum balas tentang aras kefahaman murid-murid terhadap apa yang dipelajari.  Kemahiran penyoalan ada kaitan dengan keupayaan seseorang  dalam menggunakan soalan aras rendah dan aras tinggi.  Kemahiran ini termasuk juga kebolehan seseorang dalam bertanyakan pelbagai soalan susulan. 

Antara objektif penyoalan adalah untuk:
·         menggalakkan murid berfikir secara kritis dan kreatif
·         mendapatkan maklum balas tentang tahap kefahaman murid
·         merangsang penglibatan murid dalam perbincangan
·         mewujudkan suasana mesra dan interaksi guru-murid
·         meningkatkan proses kognitif dan metakognitif
·         menarik minat dan rasa ingin tahu murid
·         mengawal perlakuan pelajar

Kebolehan guru mengenal pasti aras soalan akan membantunya menyeimbangkan penggunaan aras soalan tinggi dan rendah.  Keseimbangan 40:60 atau 50:50 soalan fakta (Ya/Tidak & Jawapan Pendek) dengan soalan beraras tinggi (Banding beza & Pendapat) adalah munasabah bagi sesuatu sesi pengajaran.  Selepas guru mengajukan soalan, guru harus memberi masa yang cukup untuk pelajar berfikir tentang soalan sebelum memberi respons. Amalan hentian antara 3 - 5 saat merupakan masa hentian yang munasabah untuk murid memikirkan jawapan sebelum memberi respons.

Jika respons murid kurang memuaskan, guru boleh gunakan soalan susulan yang mencungkil (follow-up prompts),  mengubahsuai soalan yang terlampau susah untuk dijawab oleh murid kepada bentuk yang lebih mudah.  Soalan susulan yang meneroka (follow-up probes)meminta murid-murid untuk memberi penerangan lanjutan untuk jawapan yang kurang jelas, dan susulan alih hala(follow-up redirection) mengalihkan respons pelajar  kepada murid-murid yang lain dalam kelas untuk diberi komen dan diperbincangkan.
           
Guru perlu mengambil kira tahap umur, jantina, tahap kebolehan dan minat murid semasa membentuk contoh-contoh soalan untuk digunakan dalam pengajaran kelas.  Pastikan taburan soalan merangkumi keseluruhan kelas.  Komponen-komponen kemahiran penyoalan yang perlu diberi fokus termasuk:
·         Pembentukan soalan yang jelas, tepat dan ringkas
·         Fokus kepada satu idea
·         Hentian
·         Mencungkil
·         Alih hala soalan
·         Melayani jawapan dengan baik
·         Memberi petunjuk untuk membantu murid menjawab
Menyebarkan soalan-soalan ke seluruh kelas

e)         Kemahiran Peneguhan
Pernahkah anda dipuji kerana melakukan sesuatu yang baik?  Apa perasaan anda? Sudah tentu anda berasa amat gembira dan ingin mengulangi perlakuan tersebut.  Pujian yang anda terima itu disebut sebagai peneguhan.   Ahli psikologi pendidikan mendefinisikan peneguhan sebagai sebarang kesan yang memperkukuh atau menambahkan kekerapan sesuatu tingkah laku. 

Sebagai seorang guru, saya percaya anda pernah menggunakan peneguhan dalam pengajaran dan pembelajaran anda.  Kemahiran peneguhan merujuk kepada cara guru memperkukuhkan pengetahuan dan kemahiran yang telah dikuasai oleh pelajar.  Dalam pengajaran mikro, peneguhan merupakan salah satu komponen kemahiran yang perlu dipraktikkan untuk menggalakkan tingkah laku positif  pelajar.

Peneguhan yang dipilih untuk digunakan oleh guru boleh berbentuk ganjaran nyata (sticker, pensil, coklat) atau berbentuk sosial (senyuman, anggukan kepala) atau berbentuk aktiviti (guna komputer, baca buku cerita, berdiri di hadapan barisan).
Peneguhan yang diberi harus dapat memotivasi atau memberi galakan kepada pelajar pencapaian rendah untuk berusaha dengan lebih giat lagi.Di samping itu, ia juga membantu dalam meningkatkan konsep kendiri pelajar dan seterusnya membantu dalam peningkatan keyakinan pelajar.


Antara objektif pemberian peneguhan adalah untuk:
·         Menarik perhatian murid
·         Menggalakkan murid berusaha lebih giat lagi
·         Meningkatkan pencapaian murid
·         Memperbaiki disiplin murid
·         Meningkatkan keyakinan murid

Komponen-komponen yang terkandung dalam kemahiran peneguhan adalah sepertI:
·         Lisan positif – bentuk kata seperti baik, betul, ya.
  • Gerak isyarat positif – termasuk senyuman, anggukan, menepuk tangan;
  • Dampingan – mendekati, berdiri di sebelah atau duduk di sisi murid,
  • Sentuhan – menyentuh kepala atau bahu, berjabat tangan, “high-five”
  • * Lisan negatif – “oooi!,” “salah,”  “malas”
·         * Gerak isyarat negatif – mengeleng kepala, merenung secara marah, mencangkuk tangan atas pinggang, dan sebagainya
   *  Mungkin digunakan oleh guru tanpa disedari dan harus mengelakkan tindakan
     seperti ini.

a)            Kemahiran Menerang Dengan Menggunakan Bahan Bantu Mengajar, Contoh Dan Ilustrasi Yang Sesuai

Kemahiran menerang dengan menggunakan contoh, bahan bantu mengajar dan ilustrasi merupakan kemahiran pengajaran mikro yang merangkumi pemilihan arahan permulaan yang sesuai, penyusunan isi kandungan secara teratur pada peringkat perkembangan pengajaran, penggunaan sumber atau ilustrasi yang sesuaiserta mendapatkan maklumbalas murid. 

Semasa menggunakan kemahiran menerang, guru boleh menerangkan sesuatu isi pelajaran atau konsep dengan memberi contoh-contoh yang sesuai sambil mempamerkan gambar-gambar, membuat demonstrasi, menayangkan klip video ataupun menggunakan ilustrasi lain yang bersesuaian.  Penerangan sesuatu konsep yang abstrak boleh juga diperjelaskan melalui ilustrasi yang lebih konkrit seperti  analogi, perumpamaan ataupun cerita-cerita yang dikaitkan dengan kehidupan harian murid.

Antara objektif penggunaan kemahiran menerang adalah untuk:
·         Menyampaikan isi pelajaran dengan jelas dan sistematik
·         Membantu murid membuat penanggapan yang lebih tepat berkaitan konsep yang dipelajari
·         Meningkatkan penumpuan murid terhadap pelajaran
·         Memberi pengalaman yang seakan-akan sebenar

Jadual 4.10 menunjukkan empat komponen utama, iaitu aras permulaan, kemahiran ilustrasi/contoh/alat pandang dengar, penyusunan idea dan kesimpulan.   Sila semak senarai berikut dan tandakan aspek yang anda biasa lakukan.  Anda bolehlah mencuba kemahiran-kemahiran yang anda belum pernah lakukan apabila anda mengajar di bilik darjah nanti.

a)            Kemahiran Penutup
Kemahiran penutup merujuk kepada penumpuan perhatian kepada penyelesaian sesuatu tugas atau aktiviti pengajaran dan pembelajaran.Ia merupakan bahagian terakhir sesuatu pelajaran.  Guru merumuskan sesuatu pengajaran, mengambil langkah-langkah untuk memastikan murid-murid dapat memahami serta dapat membuat perkaitan dengan apa yang telah diajar. Ia juga bertujuan untuk mengukuhkan pembelajaran murid-murid supaya mereka dapat bersedia untuk membuat pemindahan pembelajaran. Penilaian pencapaian dan aktiviti susulan boleh juga diberikan kepada pelajar pada bahagian penutup ini.

Terdapat dua jenis penutup dalam pengajaran, iaitu penutup kognitif dan penutup sosial.  Penutup kognitif digunakan dengan tujuan memperkukuhkan perkara yang telah dipelajari dengan caramemberi kesimpulan atau mengulas isi-isi penting.  Manakala penutup sosial pula bertujuan untuk memberikan sesuatu perasaan kejayaan atau kepuasan kepada murid-murid. 

Komponen-komponen kemahiran penutup terdiri daripada
·         penutup kogntif
·         penutup sosial

4.2.4  Penilaian Pensyarah/Rakan Sebaya/Kendiri Dalam Pengajaran Mikro
Format persediaan rancangan mengajar untuk pengajaran mikro adalah sama dengan persediaan RPH untuk pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah biasa (Rujuk Jadual 4.2 dan Jadual 4.3).  Perbezaannya adalah dalam pengajaran mikro,guru pelatih hanya memfokuskan kepada satu kemahiran pengajaran sahaja untuk dilaksanakan. 

Tujuan pelaksanaan pengajaran mikro adalah untuk memberi peluang kepada guru pelatih mempraktikkan kemahiran mengajar di hadapan rakan sebaya dan pensyarah dengan memfokuskan kepada kemahiran mengajar tertentu dalam persekitaran yang terangkum.  Maklum balas diperolehi daripada Borang-borang Penyeliaan Kemahiran Mikro (diisi oleh rakan sebaya) dan tontonan rakaman video.
Pensyarah selaku fasilitator bersama-sama guru pelatih mendiagnos kekuatan dan kelemahan sesi pengajaran mikro tersebut serta mengemukakan cadangan-cadangan konstruktif untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang dikenal pasti.


Banyak kajian menunjukkan kemahiran mengajar guru merupakan penentu utama terhadap pencapaian akademik murid (contohnya, Creemers, 1994; Doyle, 1986; Muijs & Reynolds, 2010, Anuar et al., 2009).  Pengajaran yang berkesan seringkali dikaitkan keupayaan guru untuk menyusun peluang pembelajaran optimum yang melibatkan kemahiran-kemahiran seperti pengurusan rutin bilik darjah, kemahiran penyoalan dan memberi maklum balas, penggunaan rangsangan dan peneguhan serta kemahiran bukan lisan yang  positif.  Selain amalan pengajaran mikro, amalan-amalan seperti:
·         pemerhatian pengajaran guru yang berpengalaman
·         pengajaran berpasangan
·         penganalisisan kendiri rakaman audio/video
·         penulisan refleksi pengajaran
dapat membantu meningkatkan kemahiran pengajaran. Melalui penyediaan perancangan, latihan yang cukup berserta dengan maklum balas daripada mentor dan rakan sebaya, seseorang guru pelatih dapat membina keyakinan untuk menjadi seorang guru permulaan yang kompeten.